Semua
yang syahid ada kesan tembakan: Pastikan
janji temu kita di Kedutaan Siam
Ahmad Lutfi Othman
10:00pm 28 Okt 2004
Bagaimana
sibuk pun di hujung minggu ini, cubalah
kosongkan diari anda pada dua tarikh penting
ini. Pertama: selepas solat Jumaat, 29 Oktober,
di depan Kedutaan Thailand, Jalan Ampang,
Kuala Lumpur. Kedua, pagi, lebih tepat lagi
jam 8.30, hari Ahad, 31 Oktober, di KLIA.
Dua detik bersejarah itu harus dipahatkan
dengan tinta emas, yang bakal mengungkapkan
suara rasa keprihatinan kita terhadap pergolakan
tanahair dan rantau ini.
Mungkin ada pihak memberi daleh bahawa perhimpunan
menyambut kepulangan Anwar Ibrahim pada
pagi Ahad itu lebih menjurus kepada peristiwa
politik anjuran kumpulan tertentu, tetapi
bagaimana pula dengan pertemuan setiakawan
di depan Kedutaan Thailand? Bagi saya, ia
wajar dimanfaatkan sepenuhnya, bagi melambangkan
satu pendirian umat seaqidah yang jelas
dan tegas, bahawa pembunuhan beramai-ramai
100 penunjuk perasaan di depan Balai Polis
Thak Bai itu, sama sekali tidak akan dibiarkan
berlalu begitu saja. Permohonan maaf PM
Thailand harus disanggah sekeras-kerasnya!
Turun
beramai-ramai pamerkan rasa amarah
Kepimpinan
Thaksin Sinawatra harus digegarkan dengan
kesepaduan tekad dan kejituan semangat
umat Islam negara ini. Justeru, perhimpunan
selepas solat Jumaat, esok, di depan Kedutaan
Thailand itu harus mampu mengumpulkan
seramai mungkin warga kota, bukan saja
untuk meluahkan rasa amarah yang amat
sangat terhadap tindakan biadap bala tentera
Siam itu, juga membawa mesej bahawa nasib
saudara-wara yang seagama dengan kita
wajib mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Tenaga
dan kemampuan kita mungkin terbatas untuk
menolong dan membantu mereka. Namun, untuk
sekadar bersama-sama mempamerkan rasa
jengkel kita terhadap tindakan ganas dan
zalim tentera Siam di bawah pimpinan Thaksin
itu, tentunya ia bukan menagih pengorbanan
yang besar. Saya menyarankan agar pihak
penganjur, yang terdiri dari pelbagai
pertubuhan, khususnya Pemuda PAS, agar
digemblengkan seramai mungkin peserta
perhimpunan aman itu, dengan persiapan
rapi dan mampu membuka mata negara jiran
itu.
Tidak terdaya saya menonton tindakan binatang
tentera Siam yang menendang kepala, memijak
perut, penunjuk perasaan yang telahpun
dipaksa berbaring, sambil tangan terikat
di belakang. Tentunya kita tidak hanya
akan menggelengkan kepala atau meludah
kaca TV protes. Sekurang-kurangnya kita
mampu berdiri di depan Kedutaan Thailand,
lepas solat Jumaat, esok, meluahkan rasa
yang terbungkam di dada, sambil menyusun
strategi bagi bersama-sama membantu mereka
yang tertindas itu.
Harga
memaafkan tragedi berdarah di Krisek
Enam
bulan lalu kita biarkan peristiwa berdarah
di Masjid Kerisek, juga mengakibatkan
pembunuhan kejam ke atas umat Islam Pattani.
Apakah kita sekali lagi akan membiarkan
tragedi ngeri, hanya beberapa kilometer
daripada sempadan negara, tanpa melakukan
sesuatu yang bermakna, setidak-tidaknya
bagi membuktikan kita masih ada rasa ukhuwwah
dan persaudaraan sejati.
Saya
merayu agar kita dapat turun bersama-sama
di depan Kedutaan Thailand, esok, selepas
solat Jumaat, 29 Oktober 2004, di hari
baik (Jumaat) bulan baik (Ramadhan). Jadikanlah
bahagian kedua Ramadhan penuh keberkatan
ini sebagai saksi bahawa kita benar-benar
mengungguli sifat seorang mukmin yang
tidak akan berdiam diri melihat saudaranya
menggelupur dizalimi.
Sebagai
rujukan, disertakan berita-berita terkini
berkaitan tragedi berdarah itu:
I
TAK
BAI 27 Okt. - Bercanggah dengan alasan
Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra bahawa
puasa menjadi punca kematian berpuluh-puluh
penunjuk perasaan di sini kelmarin, keluarga
mangsa mendapati tubuh badan sanak-saudara
mereka itu penuh dengan kesan tembakan.
Utusan
Malaysia diberitahu, setakat malam ini
50 jenazah yang diserahkan kepada mereka
semuanya mempunyai kesan tembakan di seluruh
tubuh terutama pada dada dan kepala.
Ditembak
rambang, mati dibelasah
Mereka
mendakwa, mangsa-mangsa yang terbunuh
itu dipercayai ditembak secara rambang
oleh pihak tentera dan polis serta ada
pula mati akibat dibelasah ketika dalam
tahanan.
Semalam,
Thaksin yang mengaitkan amalan puasa sebagai
punca kematian turut memberi alasan sekurang-kurang
84 penunjuk perasaan mati disebabkan lemas
kerana disumbat ke dalam trak yang padat
dan berhimpit-himpit.
Seorang guru agama dari Kampung Ummu Lanas,
Abdullah Che Mid yang bertanggungjawab
membantu menguruskan jenazah mangsa menegaskan,
dakwaan itu adalah satu pembohongan.
Ini
kerana kata beliau, hampir semua jenazah
yang diuruskannya mempunyai kesan tembakan
pada tubuh mereka terutama pada dada dan
kepala.
``Saya
tidak faham kenapa kerajaan Thailand masih
enggan menyatakan fakta yang sebenar dengan
memberi alasan yang tidak munasabah mengenai
punca kematian. ``Sebelum ini mereka telah
menipu seluruh dunia dengan menyatakan
hanya enam orang sahaja terbunuh. Kini
mereka berbohong pula dalam soal punca
kematian,'' katanya ketika ditemui di
tanah per-kuburan kampung berkenaan hari
ini.
Sekurang-kurangnya
84 orang penduduk Islam di sini disahkan
oleh pihak berkuasa terkorban dalam tunjuk
perasaan besar-besaran di balai polis
kelmarin, yang menyaksikan pasukan keselamatan
melepaskan tembakan ke arah orang awam.
Penduduk
di sekitar Tak Bai bagaimanapun percaya
jumlah kematian melebihi 100 orang. Tragedi
berdarah tersebut merupakan yang terburuk
seumpamanya di selatan Thai selepas tragedi
di Masjid Kerisik, Pattani yang menyaksikan
32 orang dibunuh oleh pihak berkuasa Thailand.
Sementara
itu seorang pembantu imam di sebuah masjid
di sini yang turut terlibat menguruskan
jenazah, Che Din Che Lah pula berkata,
walaupun ada antara jenazah yang diuruskan
tidak mempunyai kesan tembakan tetapi
muka dan seluruh badan mereka mengalami
kecederaan parah kesan dipukul. Oleh itu,
beliau yakin mangsa mati akibat dibelasah
ketika berada dalam tahanan.
``Malah ada penduduk yang melihat bagaimana
ahli keluarga mereka masih hidup ketika
ditahan tetapi dimaklumkan terbunuh kemudiannya.
``Apabila jenazah sampai ke rumah mereka
melihat terdapat kesan tembakan di beberapa
bahagian badan,'' katanya.
Mangsa
cedera tidak dirawat
Seorang
penduduk di kampung yang sama Sufii Hassan,
40, berkata, pihak tentera perlu dipersalahkan
dalam insiden berkenaan kerana selain
melepaskan tembakan, mereka juga tidak
memberi rawatan sewajarnya kepada mangsa.
Beliau
mendakwa melihat berpuluh-puluh orang
yang cedera termasuk yang parah, diikat
tangan dan kaki mereka sebelum dihumban
ke dalam trak.
``Ini
bukanlah soal mereka sesak nafas tetapi
akibat cedera ditembak oleh pihak berkuasa.
Kerajaan tidak harus berbohong dalam soal
ini lagi kerana ia melibatkan nyawa manusia
bukan binatang,'' katanya sambil menahan
sebak berikutan kehilangan dua anak dalam
kejadian itu.
Seorang
lagi keluarga mangsa, Salleh Daud berkata,
kenyataan pihak berkuasa itu tidak bertanggungjawab
dan merupakan satu pembohongan.
Beliau
yang kesal dengan kenyataan itu mempersoalkan
kenapa terdapat kesan tembakan di seluruh
jenazah abangnya jika benar dakwaan pihak
berpunca bahawa kematian mangsa adalah
akibat sesak nafas dan berpuasa.
``Jenazah
abang saya penuh dengan kesan tembakan
iaitu di dada, kepala, paha dan betis.
``Malah, wang kertas yang diserahkan kepada
kami juga terdapat kesan tembakan dan
darah mangsa,'' katanya ketika ditemui
di Kampung Gerong, Cha Ai Rong.
Menurut
Salleh, dalam kejadian itu abangnya, Abdul
Rahman, 53, mati ditembak menyebabkan
tujuh anaknya berusia antara lima hingga
25 tahun, hilang tempat bergantung.
Beliau
berkata, kenyataan pihak berkuasa itu
pasti akan mencetuskan lagi kemarahan
dan rasa tidak senang masyarakat Islam
di wilayah selatan Thailand yang sering
menjadi mangsa ketidakadilan pihak kerajaan.
Turut
menyangkal kenyataan pihak berkuasa Thailand
itu ialah seorang ibu, Che Jah Che Mail
61, yang kematian seorang anaknya berusia
18 tahun.
Ditembak
di dada dan belakang tapi doktor kata
mati kerana lapar berpuasa
``Jenazah
anak saya mempunyai dua kesan tembakan
di dada dan bahagian belakang kepala tetapi
doktor beritahu saya anak saya mati kerana
lapar berpuasa.
``Mereka
cuba melakukan pembohongan secara terang-terangan
dengan memberi alasan yang tidak masuk
akal,'' katanya.
Seorang
lagi penduduk, Kamarudin Hamid mendakwa
melihat berpuluh-puluh mayat yang masih
belum tuntut mempunyai kesan tembakan
ketika beliau menuntut mayat adiknya di
sebuah kem tentera di Pattani.
Beliau
yakin semua mangsa itu terkorban pada
hari pertama kejadian lagi akibat terkena
tembakan.
``Saya
tidak fikir ada yang mati kerana sesak
nafas atau berpuasa. ``Ini kerana saya
sendiri melihat bagaimana pihak tentera
Thailand melepaskan tembakan kepada sekumpulan
penduduk yang sedang berbaris di tepi
sungai dekat kawasan kejadian,'' katanya.
II
Di
JAKARTA, pemimpin Islam Indonesia semalam
menganggap peristiwa itu sebagai perbuatan
sebuah negara pengganas.
Bungkus
mangsa seperti sardin
“Mereka
membungkus mangsa dalam lori itu seperti
sardin. Ia perbuatan tidak berperikemanusiaan
ketika umat Islam mengerjakan ibadat puasa,”
kata Ketua Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.
Ahli
pertubuhan Muhammadiyah Indonesia, Dien
Syamsuddin, berkata kejadian berkenaan
sesuatu yang kejam. “Apa yang berlaku
adalah keganasan kerajaan. Kami mengutuk
kejadian berkenaan sekeras-kerasnya,”
katanya. Kerajaan Indonesia pula bimbang
dengan ketegangan semakin menjadi-jadi
di Thailand dan berharap ia akan diselesaikan
sejajar dengan komitmen kerajaan itu pada
keadilan sosial.
Laporan
dari Singapura mengatakan, masyarakat
Islam seluruh Asia, meluahkan kemarahan
berhubung kematian ngeri penunjuk perasaan
Islam yang ditahan di selatan Thailand
itu.
Pegawai
negara anggota Asean yang turut disertai
Thailand, dengan umat Islam berjumlah
pada anggaran 500 juta orang, melahirkan
kebimbangan berhubung perkara itu. “Mereka
perlu bertukar pendapat dulu sebelum berbuat
apa-apa. Sebagai satu blok, menjadi kepentingan
bagi anggota Asean untuk mengendalikan
masalah ini dengan hati-hati,” kata
penganalisis dari Singapura.
Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Asia di Hong Kong berpendapat,
tragedi itu adalah pembunuhan terbaru
beramai-ramai di Selatan Thailand berpunca
daripada kurangnya kawalan terhadap anggota
polis dan tentera di kawasan terbabit
sejak dua tahun lalu.
Di
ISLAMABAD, blok enam parti pembangkangnya
mengutuk kejadian itu dan meminta Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu menyiasat.
Di
TEHERAN, Iran yang mengutuk keras kejadian
itu mendesak pihak berkuasa menghukum
golongan bertanggungjawab.
“Iran
menganggap tindakan itu tidak sesuai dan
tidak dapat diterima. Kami berharap kerajaan
Thai akan melakukan sedaya upaya mengenal
pasti dan menghukum pihak bertanggungjawab,”
jurucakap Kementerian Luarnya, Hamid Reza
Asefi. Speaker Parlimen Iran, Gholamreza
Hadad Adel turut mengutuk insiden itu
dengan berkata: “Kerajaan Thailand
tidak sepatutnya melayan minoriti Islam
seperti itu.”
Sementara
itu, Timbalan Pengarah Amnesty International
Asia, Natalie Hill, berkata insiden itu
perlu disiasat segera, secara berkesan
dan bebas. “Mereka yang disyaki
terbabit dalam insiden itu perlu digantung
daripada tugas sementara menantikan hari
perbicaraan dan dibawa ke muka pengadilan,”
katanya dalam satu kenyataan yang difaks
ke sini.
Kenyataan
itu menyatakan, sementara memperakui pentingnya
bagi pihak keselamatan mempertahankan
diri jika diserang, Amnesty International
menggesa pihak berkuasa Thailand supaya
memastikan pihak keselamatan menggunakan
kekerasan hanya apabila diperlukan.
Pertubuhan
itu turut menggesa kerajaan Thailand supaya
memberikan akses kepada 1,300 orang yang
ditahan selepas insiden di bawah undang-undang
tentera itu, untuk menemui peguam, sanak
saudara serta disediakan rawatan secukupnya
bagi memastikan mereka tidak terdedah
kepada sebarang kekejaman, hukuman atau
layanan tidak berperikemanusiaan.
Amnesty
International turut menggesa pihak berkuasa
supaya mengadakan satu siasatan bebas
terhadap tuduhan lain yang mendakwa penggunaan
kekerasan yang berlebihan semasa pihak
berkuasa menjaga keselamatan di wilayah
selatan negara itu. Ia termasuk insiden
pada 28 April lalu apabila lebih 100 orang
yang disyaki menyerang balai polis mati
selepas berhadapan dengan pihak keselamatan.
Di
HONG KONG, kumpulan hak asasi manusia
Asia menyifatkan kejadian itu sebagai
tragedi yang tidak dapat dimaafkan serta
menyalahkan kelemahan kawalan sejak dua
tahun lalu.
Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Asia beribu pejabat
di Hong Kong (AHRC), mengkritik Thaksin
kerana mencabar pasukan keselamatan supaya
mengekang demonstrasi itu dengan kejam.
Pengarah
Eksekutif AHRC, Basil Fernando, berkata
dengan angka kematian begitu tinggi akibat
penggunaan peluru hidup dan kesan gas
pemedih mata serta lemas dalam trak yang
penuh sesak, kejadian itu amat mengganggu
dan tidak dapat dimaafkan.
“Thailand
mesti mewujudkan badan penyiasat bebas
berhubung kejadian itu. Adakah wujud perkara
tersembunyi mengenai apa sebenarnya berlaku?
Kerajaan mesti menjelaskan perkara sebenar,”
katanya.
AHRC
menyifatkan kematian terbaru itu ialah
akibat langsung dari ‘kawalan lemah
yang disengajakan ke atas polis dan tentera’
di Selatan Thailand sejak dua tahun lalu.
“Kekurangan
tindakan yang diambil untuk berurusan
dengan golongan bertanggungjawab melakukan
kejam terdahulu membuka pintu kepada pencabulan
hak asasi manusia,” katanya.
Di
BANGKOK, akhbar The Nation menyalahkan
Thaksin atas tragedi yang dianggap sebagai
pencabulan hak asasi manusia dan pendekatan
kuku besinya di wilayah yang didiami kira-kira
enam juta penduduk Islam itu. “Kini
kepimpinan yang lemah dan mementingkan
diri sendiri, Thaksin mengancam mengheret
negara itu ke kancah perpecahan antara
rakyat dan negara.
Seperti
hantar babi ke pusat sembelihan
“Thaksin
mungkin tidak bertanggungjawab secara
langsung menyumbat tahanan ke dalam trak
seperti menghantar babi ke pusat penyembelihan,
tetapi tentera Thai menunjukkan sikap
benci dan tidak mempedulikan aspek kemanusiaan
yang mencerminkan bagaimana negara itu
ditadbir,” kata The Nation.
Akhbar
The Thai Post juga mengkritik cara kerajaan
menangani konflik di selatan negara itu.
“Usaha untuk menyelesaikan masalah
itu melalui tindakan mata ke mata tidak
dapat menyelesaikan masalah itu. Hanya
melalui langkah keamanan dan pencegahan
dapat mengendurkan masalah dan memulihkan
keyakinan masyarakat terbabit,”
kata akhbar itu dalam lidah pengarangnya.
Akhbar
The Bangkok Post pula berkata, tragedi
itu akan mendorong belia Islam menyertai
gerakan militan untuk berjuang menubuhkan
sebuah negara Islam di Selatan Thailand.
“Kerajaan perlu sedar cara kekerasan
saja tidak dapat menenangkan wilayah selatan
yang memberontak. Ia tidak akan dapat
memenangi perang terhadap militan Islam
tanpa mendapatkan sokongan dan kerjasama
penduduk Islam tempatan,” katanya.