Amarah
rakyat Malaysia dingin
Ahmad
Lutfi Othman
10:00am 05 Nov 2004
Ramadhan,
hujung Oktober, tidak sepanas mana, malah
hujan kerap turun di waktu petang, dan ia
tentunya memudahkan umat Islam, termasuk
anak-anak kecil, berpuasa. Namun, pembunuhan
beramai-ramai hampir 100 penunjuk perasaan
di balai polis Tak Bai, Narathiwat (yang
jaraknya hanya beberapa km dari sempadan)
dan kepulangan Anwar Ibrahim selepas dua
bulan di Jerman dan Makkah (juga sambutan
365 hari pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi)
menimbulkan riak berbeza, sekaligus merentap
suasana tenang itu.
Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, menjadi
sasaran kecaman ribuan warga Kuala Lumpur,
yang mewakili pelbagai pertubuhan politik
dan NGO, di depan kedutaan Thailand, Jumaat
lalu, membantah tindakan zalim, biadap dan
tidak berhati perut pihak tentera, khususnya
anggota komando, terhadap lebih 1,300 penunjuk
perasaan yang ditangkap.
Selain membunuh sembilan orang (tiga darinya
di dalam sungai) dalam operasi 25 September,
semua tahanan yang dilucutkan baju, dengan
tangan terikat di belakang, dipaksa merangkak
di bawah terik mentari, sambil ditendang
dan diterajang di kepala, perut, sebelum
dihumban ke dalam trak, secara berlapis-lapis,
macam menyusun batu-bata.
Seramai 78 tahanan dilaporkan meninggal
kerana sesak nafas terhimpit dalam perjalanan
ke berek tentera, yang memakan masa enam
jam, sejauh 120km. (Sudahlah bertindih-tindih,
trak itu dilitupi kanvas yang panas dan
membahang. Anehnya, sewaktu tahanan dibebaskan,
mereka hanya mengambil masa dua jam untuk
jarak perjalanan yang sama. Jelas, mereka
merancang untuk melakukan penyeksaan sehingga
mati).
Bagaimanapun
saksi dan keluarga mangsa menyanggah apabila
memaklumkan sebahagian besar mayat mempunyai
kesan tembakan di seluruh tubuh, terutama
kepala dan dada. Ada juga yang mati dibelasah
dalam tahanan, manakala mereka yang cedera
parah terbiar menunggu maut tanpa rawatan.
Pelbagai cerita sedih, ngeri dan dahsyat
tersebar apabila kebanyakan tahanan dibebaskan,
sementara 189 yang lain akan didakwa.
Menurut
pensyarah sains politik, Dr Mohd Agus
Yusof, apabila membenarkan pihak tentera
campur tangan dalam urusan yang sepatutnya
ditangani pihak polis, maka natijah jumlah
kematian yang tinggi sudah dijangka. Pendekatan
tentera dan polis sememangnya berbeza
dalam menghadapi situasi genting.
Bukankah
tentera dilatih untuk membunuh dengan
mengetepikan segala proses rundingan dan
diplomasi, yang sewajarnya digunakan ketika
berdepan dengan aksi protes rakyat tempatan?
(Sedangkan operasi polis pun bisa tersasar
jika diasak dan dinaungi kepentingan politik;
rujuk Peristiwa Memali).
Ditanya
sokongan terbuka Thaksin terhadap tindakan
ganas askar, Dr Agus berkata, berdasarkan
latar belakang pemerintahan negara itu
yang kuat dikuasai pengaruh tentera, tentunya
Perdana Menteri tidak berani mempertaruhkan
kedudukannya jika secara terbuka menyalahkan
mereka. (Bagaimanapun pemerintahan Thaksin
yang dikatakan melakukan pembunuhan misteri
terhadap 2,000 orang yang disyaki pengedar
dadah dianggap sudah merancang lama untuk
memberi pukulan maut kepada pejuang Islam
Pattani).
Meskipun
dalam dekad mutakhir ini pemerintah sivil
di Thailand tidak digugat tentera secara
langsung, bahkan ruang pertumbuhan demokrasi
nampak agak selesa, namun pada era 70-an
dan 80-an, sehingga awalb90-an, sering
berlaku rampasan kuasa membabitkan tentera.
Bagi tentera Thai, menyuraikan demonstrasi
dan aksi yang dianggap menentang kerajaan
dengan tembakan peluru hidup adalah perkara
biasa.
Secara
ringkasnya, konflik di selatan Thailand
memerlukan penyelesaian menyeluruh, termasuk
membayar ganti rugi kepada keluarga terbabit
(bukan sekadar RM18.57 dan kemeja T!),
menyuburkan ruang kebebasan mengamalkan
tuntutan agama, budaya dan bahasa setiap
kelompok rakyatnya, selain menjalin perundingan
atas dasar saling menghormati, berpegang
konsep sama adil dan sama rata tanpa membezakan
setiap warganegara, terutama bagi memulihkan
keyakinan umat Islam kepada Bangkok, di
samping mempastikan kemajuan pembangunan
ekonomi di wilayah terbabit.
Malah bekas perdana menteri, Tun Mahathir
Mohamad mencadangkan agar empat wilayah
majoriti Muslim di selatan Thai diberikan
autonomi. Cadangannya ini menimbulkan
reaksi segera Thaksin, yang nyata tidak
senang dengannya, sambil menyifatkan ia
bukan pandangan kerajaan Malaysia. Difahamkan
puluhan ribu rakyat Thai turut marah dengan
pendapat Mahathir itu apabila mereka turun
menunjuk perasaan sambil membakar patung
beliau. Akhbar-akhbar yang menyiarkan
suara Mahathir turut dibantah.
Namun
dengan hanya memberi jawatan tertentu
dalam kerajaan kepada segelintir elit
Muslim, tetapi membiarkan majoriti lain
menderita, apatah lagi bayangan usaha
“mensiamkan” seluruh rakyat
masih mencengkam, pemerintah seolah-olah
mahu memaksa keadaan menjadi lebih buruk
dan meletakkan wilayah ini terus terbiar.
Manakala menyerahkan hak autonomi sepertimana
berlaku di Mindanao, Filipina, terhadap
pemimpin MNLF, Nur Misuari, tidak juga
menyelesaikan masalah, sebaliknya beliau
terpaksa bertindak nekad menentang Manila
apabila menyedari semuanya bagaikan sandiwara
mempermainkannya, dan akhirnya beliau
meringkuk ditahan.
Justeru,
tidak hairan apabila ada pihak melihat
beberapa insiden pembunuhan beramai-ramai
itu, termasuk di Masjid Kerisek, yang
jumlah korban hampir 500 orang -- untuk
tahun ini saja -- sebagai “pembersihan
etnik” seperti berlaku di Bosnia.
Bekas
Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, dalam
artikelnya, merumuskan: “Apa yang
diperlukan oleh umat Islam selatan Thai
ialah peningkatan martabat, sistem pendidikan
bertaraf antarabangsa, pembangunan ekonomi
yang pesat, kemudahan infrastruktur dan
perumahan yang mampu mencetus mobiliti.
Pembangunan selatan Thai harus diintegrasikan
dengan arus kemajuan yang dialami utara
Semenanjung yang sudah sampai ke pagar
sempadan.”
Biarpun
saya tidak begitu bersetuju dengan kesimpulan
Daim bahawa masalah di sana, baginya bukan
isu politik, tetapi ekonomi, namun penegasannya
bahawa dunia Islam perlu tegas dalam membantah
cara Thailand menyelesaikan masalah di
selatan, wajar direnung.
“Kaedah
sekarang tidak dapat diterima sama sekali.
Dunia Islam perlu mengingatkan Thailand
bahawa tindakan seumpama ini jika tidak
dibendung, boleh mencetuskan pemboikotan
ke atas negara itu. Sekadar meminta maaf
walaupun berkali-kali tidak dapat mengembalikan
mereka yang tumbang,” tegas Daim.
Bagi
saya, usaha harus dilipatgandakan oleh
rakyat prihatin Malaysia untuk memberi
tekanan, desakan dan bantahan secara berterusan
ke atas kerajaan Thailand, terutama melalui
kedutaannya di KL, juga pejabat konsulat
di Kelantan dan Pulau Pinang. Nota bantahan
sepatutnya diserahkan sendiri kepada pegawai
kedutaan, membabitkan pelbagai kumpulan
dan individu berpengaruh, dalam majlis
berbeza, bukan digabung dan diwakilkan
kepada empat lima tokoh sahaja, melalui
penyerahan memorandum bersama.
Renungkan,
jika kita boleh menggembleng tenaga ribuan
umat di depan kedutaan Amerika atau Britain,
atas isu Iraq dan Afghanistan, mengapa
demi rintihan nasib malang saudara seaqidah
di seberang sempadan -- yang sebangsa
dan sebudaya, malah ada yang seketurunan
-- kita bersikap acuh tak acuh, dan menganggap
segalanya selesai selepas satu demonstrasi.
Pastinya demonstrasi dan siri aksi bantahan
isu Pattani lebih dapat menekan serta
mempengaruhi Thaksin dan konco-konconya,
berbanding menggesa Bush atau Blair berundur
daripada mana-mana wilayah yang ditakluki
(mungkin Bush sendiri kurang maklum di
mana lokasi Malaysia!).
Gerakan
Islam, misalnya ABIM dan JIM, selain secara
intensif mengutip derma, solat hajat,
mengeluarkan kenyataan akhbar, wajar turun
berdepan dengan wakil Thaksin di kedutaan.
Biar pegawai-pegawai merasa diasak kiri
kanan, depan belakang. Sidang media seeloknya
di sini, bukan di markas atau pejabat
masing-masing. Luahkan rasa marah itu
secara terbuka kerana dari segi psikologi
ia lebih berkesan. Mereka yang seronok
menggunakan peluru seperti Thaksin biasanya
pekak untuk mendengar bisikan, rayuan
atau memorandum.
Nota
diplomatik kadang-kadang terlalu kaku
untuk mengungkapkan rasa ukhuwah kita
terhadap rakan-rakan seagama, yang ‘disembelih’
4km dari sempadan negara. Demonstrasi
aman sepatutnya dirancang lebih sistematik,
bukan mengulangi persembahan hambar 29
Okt. Dan ia boleh digerakkan lagi, mungkin
oleh kumpulan atau pakatan berbeza, misalnya
atas nama badan dakwah, gerakan pelajar,
belia, pertubuhan wanita atau kesatuan
sekerja.
Jangan
pula kita merasa rendah diri untuk mengekspresikan
rasa jengkel dan marah dengan pembunuhan
beramai-ramai di Tak Bai itu, bimbang
nanti kita dianggap puak ekstrim atau
melampau. Sesekali kita harus menjadi
diri sebenar, menjiwai rasa marah sambil
menuntut sesuatu yang rasional. Harus
diingat, pentas demonstrasi bukannya seperti
ceramah kelompok atau majlis penerangan;
ia ada disiplin dan kelaziman yang perlu
dipatuhi!
Saya
dapat mengesan dua “kecelaruan”
dalam usaha kita membantah tindakan zalim
Thailand itu. Pertama, mengapa perlu ditekankan
desakan kita agar tragedi ngeri itu “tidak
berulang lagi”. Istilah “tidak
berulang lagi” seolah-olah, bagi
saya, membawa maksud bahawa isu yang sedang
kita bahaskan (sebenarnya yang kita kecam
dan bantah keras itu) sudah diselesaikan,
lalu sebagai kesimpulannya, kita mengingatkan
agar ia jangan sampai berulang.
Lagi
pun istilah “jangan berulang lagi”
membawa konotasi negatif dalam majlis-majlis
demonstrasi atau tunjuk perasaan; ia seperti
bernada pesanan atau nasihat saja. Walhal
persoalan utama di selatan Thai belum
terungkap sepenuhnya, malah Thaksin dan
pihak tentera Thai tetap mempertahankan
tindakan biadab mereka menggunakan kekerasan
(menyuraikan demonstrasi dengan tembakan
peluru hidup termasuk kepada pemerhati),
juga menghina Islam apabila mensabitkan
kematian 80 tahanan itu akibat amalan
berpuasa.
Fokus
kita tidak seharusnya tersasar. Pembunuhan
ini bukan kali pertama atau berlaku secara
tidak sengaja. Ia dilakukan secara berperancangan
atas nama keganasan sebuah negara yang
didokong kekuatan ketenteraan untuk mematahkan
tuntutan rakyat yang tidak bersenjata.
Kedua,
istilah “stop killing” atau
hentikan pembunuhan di Narathiwat,yang
bagi saya tidak sarat dengan unsur-unsur
bantahan keras, dan sekali lagi bernada
pemujukan. Sememangnya kejadian pembunuhan
tidak berlaku sepanjang masa kerana wilayah
selatan itu belum lagi diisytiharkan zon
perang. Tentera hanya membunuh dalam suasana
dan lingkungan tertentu, meskipun diakui
ada kalanya berlaku peristiwa pembunuhan
misteri. Sememangnya kes selatan Thai
ini berbeza dengan Acheh, Moro, apatah
lagi Palestin, Chechnya, Kashmir atau
Afghanistan.
Apa
yang hendak saya tekankan ialah kita seharusnya
“lebih tegas, lebih berani dan lebih
jelas” menyuarakan bantahan itu,
meluahkan amukan rasa yang bersarang di
dada, melakukannya secara bersungguh-sungguh,
sehingga meninggalkan impak atau sekurang-kurangnya
berjaya menyampaikan mesej kepada Thaksin
bahawa kita menolak secara total alasan
pembunuhannya itu, dan semua tidak selesai
hanya melalui permintaan maaf atau satu
dua langkah spontan untuk menenangkan
keadaan. Sedangkan saya perhatikan, melalui
demonstrasi 29 Oktober itu, seakan-akan
kita secara sedar menahan rasa marah kita
dari memuncak dan menyirap panas. Kita
seolah-olah mendinginkan suasana yang
sepatutnya lebih panas dan membara. Mungkin
kita kekurangan bintang-bintang pemidato
demonstrasi, namun saya melihatnya sebagai
kesan daripada kelemahan perancangan bagi
menjayakan satu majlis tunjuk perasaan.
Mengapa
tiada tokoh “bersuara latar”
(yang getar dan alun suaranya sesuai dengan
“kehendak majlis”) yang bertindak
untuk membantu mana-mana pemidato sambil
memandu khalayak bagi mempastikan tiada
waktu senggang yang sejuk dan membosankan?
Ambil
satu contoh mudah, saya tidak lihat poster
atau pemidang yang direka khas, yang diedarkan
untuk setiap peserta demonstrasi itu menjulang
atau mempamerkannya. Tiada satu slogan
yang dapat menangkap imiginasi mereka
yang berhimpun di depan kedutaan itu,
sehingga ramai yang bersembang antara
satu sama lain, atau bersikap pasif; sesuatu
yang kelihatan bercanggah dengan imej
sebuah majlis untuk membantah pembunuhan
beramai-ramai, yang berlaku beberapa km
dari sempadan negara ini.
Ungkapan
kata yang mengecam Thaksin pula dipamerkan
dalam saiz yang cukup kecil sehingga mereka
yang berada di seberang jalan tidak dapat
membacanya dengan jelas, apatah lagi untuk
pengguna Jalan Ampang yang melintasinya.
Lebih ketara apabila tiada simbol tentang
kezaliman Thaksin yang dilakarkan dalam
saiz gergasi, sekurang-kurangnya jelas
pada pandangan kakitangan kedutaan itu
yang saya lihat mengintai melalui celah
langsir di tingkat atas.
Seakan
terlepas peluang untuk mengeksploitasi
rasa marah dan benci khalayak apabila
diumumkan pihak kedutaan menolak permohonan
bagi melibatkan semua wakil yang dipilih
menyertai rundingan di dalam bangunan
kedutaan. Jelas, ia satu sikap sombong
tidak bertempat. Sepatutnya inilah kemuncak
agenda hari itu, dengan digemblengkan
suara keras peserta demonstrasi; anehnya
pengumuman Salahuddin Ayub itu tidak disambut
teriakan protes yang luarbiasa kuatnya.
Masing-masing
seperti tidak menjiwai “suasana
majlis”! Dan perhimpunan yang benar-benar
aman itu berakhir tanpa klimaks. (Saya
pun hairan mengapa saya seperti ditarik-tarik
untuk mengkritik dengan nada agak keras
terhadap demonstrasi itu, walhal saya
pun bukanlah seorang demonstran yang baik,
malah sering absen dari mengikutinya,
jauh sekali untuk berada di barisan depan.
Tanpa sebarang niat memperkecilkan usaha
besar menganjurkannya, nurani saya cuma
memberontak tidak puas hati melihat reaksi
sopan kita berdepan langkah ganas dan
kejam sebuah kerajaan terhadap saudara
seagama).
Malaysia
yang kini memegang teraju OIC harus bersikap
proaktif, sekurang-kurangnya memanggil
sidang tergempar membincangkan hal ini,
dengan kadar segera. (Walaupun PM masih
mengheret isu puluhan tahanan ISA yang
dikurung lebih 3 tahun di Kamunting).
Isu Pattani sudah membarah sekian lama,
dengan siri kisah tragis pembunuhan ulamak
berwibawa, terutama sekitar Perang Dunia
II. (Rasanya ramai mengingati, antara
lain, tragedi pembunuhan misteri didalangi
kerajaan terhadap tokoh ulamak Patani,
Tuan Guru Haji Sulong, 1954, dan tiga
orang lain. Mereka hilang dan tidak pulang-pulang
selepas mengadakan pertemuan tertutup
dengan ketua penyiasat polis Thai di Songkhla,
Lt Kol. Bunlert Lert Pricha).
Saya
kira satu konvensyen khas mengenainya
juga patut dianjurkan badan-badan Islam
di Asia Tenggara. (Manakala pihak berkemampuan,
khususnya usahawan Muslim berjaya yang
ramai bilangannya di Malaysia, dapat menyumbang
sesuatu yang lebih bermakna kepada mangsa
dan juga misalnya, perkembangan institusi
pendidikan di sana).
Tidak
perlulah kita mengharap inisiatif ini
dimulakan oleh pemimpin Asean. Bukan sangat
kerana dihalang pendirian tidak campur
tangan masalah negara jiran, tetapi masing-masing
mempunyai beban dosa yang hampir sama.
Malah pendekatan zalim turut digunapakai,
misalnya oleh Filipina terhadap pejuang
Islam di selatan negara itu dan juga Indonesia
terhadap pergolakan Acheh. Malaysia, Singapura
dan Brunei pun tentu tidak mampu “menasihati”
Thailand kerana rekod masing-masing “bukannya
elok sangat”. Burma apatah lagi!
(Umpama, “aku garu belakang hang,
hang garu belakang aku”)
Namun
begitu, Pak Lah diharapkan lebih tegas
bersuara bagi kepentingan minoriti umat
Islam yang tertindas, khususnya di Patani,
dan lain-lain wilayah bergolak. Bukankah
beliau sendiri berjanji untuk memberi
tumpuan kepada isu-isu yang ada kaitan
dengan kedudukannya sebagai Pengerusi
OIC, selepas menyelesaikan dua isu tempatan,
yakni pilihanraya umum dan pemilihan Umno?