Tak
Bai: Nyawa umat Islam hanya RM18.57
Ahmad Lutfi Othman
08:30am 16 Nov 2004
Ramadhan,
hujung Oktober, tidak sepanas mana, malah
hujan kerap turun di waktu petang, dan
ia tentunya memudahkan umat Islam, termasuk
anak-anak kecil, berpuasa. Namun, pembunuhan
beramai-ramai hampir 100 penunjuk perasaan
di balai polis Tak Bai, Narathiwat (yang
jaraknya hanya beberapa km dari sempadan)
dan kepulangan Anwar Ibrahim selepas dua
bulan di Jerman dan Makkah (juga sambutan
365 hari pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi)
menimbulkan riak berbeza, sekaligus merentap
suasana tenang itu.
Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, menjadi
sasaran kecaman ribuan warga Kuala Lumpur,
yang mewakili pelbagai pertubuhan politik
dan NGO, di depan kedutaan Thailand, Jumaat
lalu, membantah tindakan zalim, biadap
dan tidak berhati perut pihak tentera,
khususnya anggota komando, terhadap lebih
1,300 penunjuk perasaan yang ditangkap.
Selain membunuh sembilan orang (tiga darinya
di dalam sungai) dalam operasi 25 September,
semua tahanan yang dilucutkan baju, dengan
tangan terikat di belakang, dipaksa merangkak
di bawah terik mentari, sambil ditendang
dan diterajang di kepala, perut, sebelum
dihumban ke dalam trak, secara berlapis-lapis,
macam menyusun batu-bata.
Seramai 78 tahanan dilaporkan meninggal
kerana sesak nafas terhimpit dalam perjalanan
ke berek tentera, yang memakan masa enam
jam, sejauh 120km. (Sudahlah bertindih-tindih,
trak itu dilitupi kanvas yang panas dan
membahang. Anehnya, sewaktu tahanan dibebaskan,
mereka hanya mengambil masa dua jam untuk
jarak perjalanan yang sama. Jelas, mereka
merancang untuk melakukan penyeksaan sehingga
mati).
Bagaimanapun saksi dan keluarga mangsa
menyanggah apabila memaklumkan sebahagian
besar mayat mempunyai kesan tembakan di
seluruh tubuh, terutama kepala dan dada.
Ada juga yang mati dibelasah dalam tahanan,
manakala mereka yang cedera parah terbiar
menunggu maut tanpa rawatan. Pelbagai
cerita sedih, ngeri dan dahsyat tersebar
apabila kebanyakan tahanan dibebaskan,
sementara 189 yang lain akan didakwa.
Menurut pensyarah sains politik, Dr Mohd
Agus Yusof, apabila membenarkan pihak
tentera campur tangan dalam urusan yang
sepatutnya ditangani pihak polis, maka
natijah jumlah kematian yang tinggi sudah
dijangka. Pendekatan tentera dan polis
sememangnya berbeza dalam menghadapi situasi
genting.
Bukankah tentera dilatih untuk membunuh
dengan mengetepikan segala proses rundingan
dan diplomasi, yang sewajarnya digunakan
ketika berdepan dengan aksi protes rakyat
tempatan? (Sedangkan operasi polis pun
bisa tersasar jika diasak dan dinaungi
kepentingan politik; rujuk Peristiwa Memali).
Ditanya sokongan terbuka Thaksin terhadap
tindakan ganas askar, Dr Agus berkata,
berdasarkan latar belakang pemerintahan
negara itu yang kuat dikuasai pengaruh
tentera, tentunya Perdana Menteri tidak
berani mempertaruhkan kedudukannya jika
secara terbuka menyalahkan mereka.
(Bagaimanapun pemerintahan Thaksin yang
dikatakan melakukan pembunuhan misteri
terhadap 2,000 orang yang disyaki pengedar
dadah dianggap sudah merancang lama untuk
memberi pukulan maut kepada pejuang Islam
Pattani).
Meskipun dalam dekad mutakhir ini pemerintah
sivil di Thailand tidak digugat tentera
secara langsung, bahkan ruang pertumbuhan
demokrasi nampak agak selesa, namun pada
era 70-an dan 80-an, sehingga awal 90-an,
sering berlaku rampasan kuasa membabitkan
tentera. Bagi tentera Thai, menyuraikan
demonstrasi dan aksi yang dianggap menentang
kerajaan dengan tembakan peluru hidup
adalah perkara biasa.
Secara ringkasnya, konflik di selatan
Thailand memerlukan penyelesaian menyeluruh,
termasuk membayar ganti rugi kepada keluarga
terbabit (bukan sekadar RM18.57 dan kemeja
T!), menyuburkan ruang kebebasan mengamalkan
tuntutan agama, budaya dan bahasa setiap
kelompok rakyatnya, selain menjalin perundingan
atas dasar saling menghormati, berpegang
konsep sama adil dan sama rata tanpa membezakan
setiap warganegara, terutama bagi memulihkan
keyakinan umat Islam kepada Bangkok, di
samping mempastikan kemajuan pembangunan
ekonomi di wilayah terbabit.
Malah bekas perdana menteri, Tun Mahathir
Mohamad mencadangkan agar empat wilayah
majoriti Muslim di selatan Thai diberikan
autonomi. Cadangannya ini menimbulkan
reaksi segera Thaksin, yang nyata tidak
senang dengannya, sambil menyifatkan ia
bukan pandangan kerajaan Malaysia. Difahamkan
puluhan ribu rakyat Thai turut marah dengan
pendapat Mahathir itu apabila mereka turun
menunjuk perasaan sambil membakar patung
beliau. Akhbar-akhbar yang menyiarkan
suara Mahathir turut dibantah.
Namun dengan hanya memberi jawatan tertentu
dalam kerajaan kepada segelintir elit
Muslim, tetapi membiarkan majoriti lain
menderita, apatah lagi bayangan usaha
“mensiamkan” seluruh rakyat
masih mencengkam, pemerintah seolah-olah
mahu memaksa keadaan menjadi lebih buruk
dan meletakkan wilayah ini terus terbiar.
Manakala menyerahkan hak autonomi sepertimana
berlaku di Mindanao, Filipina, terhadap
pemimpin MNLF, Nur Misuari, tidak juga
menyelesaikan masalah, sebaliknya beliau
terpaksa bertindak nekad menentang Manila
apabila menyedari semuanya bagaikan sandiwara
mempermainkannya, dan akhirnya beliau
meringkuk ditahan.
Justeru, tidak hairan apabila ada pihak
melihat beberapa insiden pembunuhan beramai-ramai
itu, termasuk di Masjid Kerisek, yang
jumlah korban hampir 500 orang -- untuk
tahun ini saja -- sebagai “pembersihan
etnik” seperti berlaku di Bosnia.
Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin,
dalam artikelnya, merumuskan: “Apa
yang diperlukan oleh umat Islam selatan
Thai ialah peningkatan martabat, sistem
pendidikan bertaraf antarabangsa, pembangunan
ekonomi yang pesat, kemudahan infrastruktur
dan perumahan yang mampu mencetus mobiliti.
Pembangunan selatan Thai harus diintegrasikan
dengan arus kemajuan yang dialami utara
Semenanjung yang sudah sampai ke pagar
sempadan.”
Biarpun saya tidak begitu bersetuju dengan
kesimpulan Daim bahawa masalah di sana,
baginya bukan isu politik, tetapi ekonomi,
namun penegasannya bahawa dunia Islam
perlu tegas dalam membantah cara Thailand
menyelesaikan masalah di selatan, wajar
direnung.
“Kaedah sekarang tidak dapat diterima
sama sekali. Dunia Islam perlu mengingatkan
Thailand bahawa tindakan seumpama ini
jika tidak dibendung, boleh mencetuskan
pemboikotan ke atas negara itu. Sekadar
meminta maaf walaupun berkali-kali tidak
dapat mengembalikan mereka yang tumbang,”
tegas Daim.
Bagi saya, usaha harus dilipatgandakan
oleh rakyat prihatin Malaysia untuk memberi
tekanan, desakan dan bantahan secara berterusan
ke atas kerajaan Thailand, terutama melalui
kedutaannya di KL, juga pejabat konsulat
di Kelantan dan Pulau Pinang. Nota bantahan
sepatutnya diserahkan sendiri kepada pegawai
kedutaan, membabitkan pelbagai kumpulan
dan individu berpengaruh, dalam majlis
berbeza, bukan digabung dan diwakilkan
kepada empat lima tokoh sahaja, melalui
penyerahan memorandum bersama.
Renungkan, jika kita boleh menggembleng
tenaga ribuan umat di depan kedutaan Amerika
atau Britain, atas isu Iraq dan Afghanistan,
mengapa demi rintihan nasib malang saudara
seaqidah di seberang sempadan -- yang
sebangsa dan sebudaya, malah ada yang
seketurunan -- kita bersikap acuh tak
acuh, dan menganggap segalanya selesai
selepas satu demonstrasi.
Pastinya demonstrasi dan siri aksi bantahan
isu Pattani lebih dapat menekan serta
mempengaruhi Thaksin dan konco-konconya,
berbanding menggesa Bush atau Blair berundur
daripada mana-mana wilayah yang ditakluki
(mungkin Bush sendiri kurang maklum di
mana lokasi Malaysia!).
Gerakan Islam, misalnya ABIM dan JIM,
selain secara intensif mengutip derma,
solat hajat, mengeluarkan kenyataan akhbar,
wajar turun berdepan dengan wakil Thaksin
di kedutaan. Biar pegawai-pegawai merasa
diasak kiri kanan, depan belakang. Sidang
media seeloknya di sini, bukan di markas
atau pejabat masing-masing. Luahkan rasa
marah itu secara terbuka kerana dari segi
psikologi ia lebih berkesan. Mereka yang
serobok menggunakan peluru seperti Thaksin
biasanya pekak untuk mendengar bisikan,
rayuan atau memorandum.
Nota diplomatik kadang-kadang terlalu
kaku untuk mengungkapkan rasa ukhuwah
kita terhadap rakan-rakan seagama, yang
‘disembelih’ 4km dari sempadan
negara. Demonstrasi aman sepatutnya dirancang
lebih sistematik, bukan mengulangi persembahan
hambar 29 Okt. Dan ia boleh digerakkan
lagi, mungkin oleh kumpulan atau pakatan
berbeza, misalnya atas nama badan dakwah,
gerakan pelajar, belia, pertubuhan wanita
atau kesatuan sekerja.
Jangan pula kita merasa rendah diri untuk
mengekspresikan rasa jengkel dan marah
dengan pembunuhan beramai-ramai di Tak
Bai itu, bimbang nanti kita dianggap puak
ekstrim atau melampau. Sesekali kita harus
menjadi diri sebenar, menjiwai rasa marah
sambil menuntut sesuatu yang rasional.
Harus diingat, pentas demonstrasi bukannya
seperti ceramah kelompok atau majlis penerangan;
ia ada disiplin dan kelaziman yang perlu
dipatuhi!
Saya dapat mengesan dua “kecelaruan”
dalam usaha kita membantah tindakan zalim
Thailand itu. Pertama, mengapa perlu ditekankan
desakan kita agar tragedi ngeri itu “tidak
berulang lagi”. Istilah “tidak
berulang lagi” seolah-olah, bagi
saya, membawa maksud bahawa isu yang sedang
kita bahaskan (sebenarnya yang kita kecam
dan bantah keras itu) sudah diselesaikan,
lalu sebagai kesimpulannya, kita mengingatkan
agar ia jangan sampai berulang.
Lagi pun istilah “jangan berulang
lagi” membawa konotasi negatif dalam
majlis-majlis demonstrasi atau tunjuk
perasaan; ia seperti bernada pesanan atau
nasihat saja. Walhal persoalan utama di
selatan Thai belum terungkap sepenuhnya,
malah Thaksin dan pihak tentera Thai tetap
mempertahankan tindakan biadab mereka
menggunakan kekerasan (menyuraikan demonstrasi
dengan tembakan peluru hidup termasuk
kepada pemerhati), juga menghina Islam
apabila mensabitkan kematian 80 tahanan
itu akibat amalan berpuasa.
Fokus kita tidak seharusnya tersasar.
Pembunuhan ini bukan kali pertama atau
berlaku secara tidak sengaja. Ia dilakukan
secara berperancangan atas nama keganasan
sebuah negara yang didokong kekuatan ketenteraan
untuk mematahkan tuntutan rakyat yang
tidak bersenjata.
Kedua, istilah “stop killing”
atau hentikan pembunuhan di Narathiwat,yang
bagi saya tidak sarat dengan unsur-unsur
bantahan keras, dan sekali lagi bernada
pemujukan. Sememangnya kejadian pembunuhan
tidak berlaku sepanjang masa kerana wilayah
selatan itu belum lagi diisytiharkan zon
perang. Tentera hanya membunuh dalam suasana
dan lingkungan tertentu, meskipun diakui
ada kalanya berlaku peristiwa pembunuhan
misteri. Sememangnya kes selatan Thai
ini berbeza dengan Acheh, Moro, apatah
lagi Palestin, Chechnya, Kashmir atau
Afghanistan.
Apa yang hendak saya tekankan ialah kita
seharusnya “lebih tegas, lebih berani
dan lebih jelas” menyuarakan bantahan
itu, meluahkan amukan rasa yang bersarang
di dada, melakukannya secara bersungguh-sungguh,
sehingga meninggalkan impak atau sekurang-kurangnya
berjaya menyampaikan mesej kepada Thaksin
bahawa kita menolak secara total alasan
pembunuhannya itu, dan semua tidak selesai
hanya melalui permintaan maaf atau satu
dua langkah spontan untuk menenangkan
keadaan.
Sedangkan saya perhatikan, melalui demonstrasi
29 Oktober itu, seakan-akan kita secara
sedar menahan rasa marah kita dari memuncak
dan menyirap panas. Kita seolah-olah mendinginkan
suasana yang sepatutnya lebih panas dan
membara. Mungkin kita kekurangan bintang-bintang
pemidato demonstrasi, namun saya melihatnya
sebagai kesan daripada kelemahan perancangan
bagi menjayakan satu majlis tunjuk perasaan.
Mengapa tiada tokoh “bersuara latar”
(yang getar dan alun suaranya sesuai dengan
“kehendak majlis”) yang bertindak
untuk membantu mana-mana pemidato sambil
memandu khalayak bagi mempastikan tiada
waktu senggang yang sejuk dan membosankan?
Ambil satu contoh mudah, saya tidak lihat
poster atau pemidang yang direka khas,
yang diedarkan untuk setiap peserta demonstrasi
itu menjulang atau mempamerkannya. Tiada
satu slogan yang dapat menangkap imiginasi
mereka yang berhimpun di depan kedutaan
itu, sehingga ramai yang bersembang antara
satu sama lain, atau bersikap pasif; sesuatu
yang kelihatan bercanggah dengan imej
sebuah majlis untuk membantah pembunuhan
beramai-ramai, yang berlaku beberapa km
dari sempadan negara ini.
Ungkapan kata yang mengecam Thaksin pula
dipamerkan dalam saiz yang cukup kecil
sehingga mereka yang berada di seberang
jalan tidak dapat membacanya dengan jelas,
apatah lagi untuk pengguna Jalan Ampang
yang melintasinya. Lebih ketara apabila
tiada simbol tentang kezaliman Thaksin
yang dilakarkan dalam saiz gergasi, sekurang-kurangnya
jelas pada pandangan kakitangan kedutaan
itu yang saya lihat mengintai melalui
celah langsir di tingkat atas.
Seakan terlepas peluang untuk mengeksploitasi
rasa marah dan benci khalayak apabila
diumumkan pihak kedutaan menolak permohonan
bagi melibatkan semua wakil yang dipilih
menyertai rundingan di dalam bangunan
kedutaan. Jelas, ia satu sikap sombong
tidak bertempat. Sepatutnya inilah kemuncak
agenda hari itu, dengan digemblengkan
suara keras peserta demonstrasi; anehnya
pengumuman Salahuddin Ayub itu tidak disambut
teriakan protes yang luarbiasa kuatnya.
Masing-masing seperti tidak menjiwai “suasana
majlis”!
(Saya pun hairan mengapa saya seperti
ditarik-tarik untuk mengkritik dengan
nada agak keras terhadap demonstrasi itu,
walhal saya pun bukanlah seorang demonstran
yang baik, malah sering absen dari mengikutinya,
jauh sekali untuk berada di barisan depan.
Tanpa sebarang niat memperkecilkan usaha
besar menganjurkannya, nurani saya cuma
memberontak tidak puas hati melihat reaksi
sopan kita berdepan langkah ganas dan
kejam sebuah kerajaan terhadap saudara
seagama).
Malaysia yang kini memegang teraju OIC
harus bersikap proaktif, sekurang-kurangnya
memanggil sidang tergempar membincangkan
hal ini, dengan kadar segera. (Walaupun
PM masih mengheret isu puluhan tahanan
ISA yang dikurung lebih 3 tahun di Kamunting).
Isu Pattani sudah membarah sekian lama,
dengan siri kisah tragis pembunuhan ulamak
berwibawa, terutama sekitar Perang Dunia
II.
(Rasanya ramai mengingati, antara lain,
tragedi pembunuhan misteri didalangi kerajaan
terhadap tokoh ulamak Patani, Tuan Guru
Haji Sulong, 1954, dan tiga orang lain.
Mereka hilang dan tidak pulang-pulang
selepas mengadakan pertemuan tertutup
dengan ketua penyiasat polis Thai di Songkhla,
Lt Kol. Bunlert Lert Pricha).
Saya kira satu konvensyen khas mengenainya
juga patut dianjurkan badan-badan Islam
di Asia Tenggara. (Mereka yang berkemampuan,
terutama usahawan berjaya, wajar turun
membantu meringankan bebanan keluarga
mangsa, juga memerhatikan apa yang dapat
dilakukan untuk menyumbang sesuatu yang
lebih bermakna, misalnya memantapkan institusi
pendidikan di sana).
Tidak perlulah kita mengharap inisiatif
ini dimulakan oleh pemimpin Asean. Bukan
sangat kerana dihalang pendirian tidak
campur tangan masalah negara jiran, tetapi
masing-masing mempunyai beban dosa yang
hampir sama. Malah pendekatan zalim turut
digunapakai, misalnya oleh Filipina terhadap
pejuang Islam di selatan negara itu dan
juga Indonesia terhadap pergolakan Acheh.
Malaysia, Singapura dan Brunei pun tentu
tidak mampu “menasihati” Thailand
kerana rekod masing-masing “bukannya
elok sangat”. Burma apatah lagi!
(Umpama, “aku garu belakang hang,
hang garu belakang aku”).
|
|
|
|
Ahmad
Lutfi Othman; seorang penulis media
bebas. Telah memulakan kariernya kewartawanannya
di Harakah, hingga kini banyak menerbitkan
buku-buku politik yang mengugat. Dalam
era reformasi, beliau aktif menerbitkan
bahan-bahan yang berbau oposisi sebelum
akhbar terbitannya diharamkan. Dengan
idea baru, beliau mengambil inisiatif
menerbitkan akhbar-akhbar tidak berkala
sebelum ia dihentikan akibat dihimpit
oleh tekanan baru kerajaan, kewangan
dan kesihatan. Sebagai penulis media
bebas yang berdedikasi dan komited,
beliau yakin dan percaya bahawa golongan
penulis mampu menjadi agen perubahan
yang berkesan dalam senario politik
lokal mahupun global. |
|
|
|