Apa salahnya Abdullah-Najib belajar dari Jakarta?

Ahmad Lutfi Othman
08:21pm 14 Dis 2004

Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak terhadap kenyataan Anwar Ibrahim mengenai kualiti demokrasi di Malaysia dan Indonesia, juga ‘gertakan tidak menjadi’ menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin ke atas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat supaya menarik balik kenyataannya menuduh BN menggunakan wang untuk memenangi pilihanraya umum lalu, wajar sekali untuk dibahaskan.

Najib, ketika mengakhiri lawatan empat harinya ke Jakarta, membidas pandangan Anwar yang menyifatkan ruang kebebasan bersuara di Indonesia jauh melepasi suasana yang mencengkam di negara umat Islam lainnya. “Di sini ada kebebasan mengeluarkan pendapat, kebebasan mengkritik dan kebebasan untuk menerbitkan media sendiri,” Anwar dipetik agensi berita ketika berucap selepas solat Jumaat di Jakarta.

Dalam pertemuan dengan pemimpin pelajar di sana, Najib menekankan, “Ketika seluruh dunia melihat Malaysia sebagai model, ada pula orang yang menganggap negara sebagai tidak cukup demokrasi. Nak demokrasi macam mana lagi,” tanya beliau dengan menambah kerajaan boleh membuat perubahan dari semasa ke semasa tetapi ia perlu diadakan secara evolusi bukan revolusi. “Nak reformasi kita buat reformasi, tetapi bukan reformasi dengan mendemonstrasi di jalanan sebab itu akan bawa kepada anarki dan kacau bilau. Kita bukan tidak buat reformasi, malah Barisan Nasional merupakan parti yang paling besar dari segi reformasinya,” tegasnya.

Perbincangan bagi meluaskan ruang kebebasan bersuara, walaupun dilihat dari sudut pandangan berbeza dan bercanggah antara satu sama lain, perlu dirancakkan. Najib tentu berhak mempertahankan diri, apatah lagi jika dia merasakan dirinya diserang secara peribadi oleh “seteru ketatnya” semasa beliau turut sama berkunjung ke Indonesia.

(Bukan rahsia lagi -- Najib merupakan pemimpin Umno paling sensitif dengan gerak Anwar selepas dibebaskan 2 September lalu. Anwar sendiri beberapa kali mempersoalkan, mengapa Najib “gelabah sangat” dengan pembebasannya, sehingga langkah menutup pintu Umno (sedangkan pintu itu belum pun diketuk) kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, dipercayai dimulakan oleh inisiatif Najib).

Manakala Anwar juga berhak menyampaikan rasa hatinya, yang dilihat lebih kepada ucapan meraikan perkembangan positif di negara jiran itu (apatah lagi apabila beliau diberi sambutan bertaraf ketua negara!) berbanding usaha memperlecehkan suasana tidak demokratik negara ini. Mujur Najib tidak mengulangi langkah tradisi (dan usang) melabelkan apa saja usaha mengkritik pemerintah, khususnya semasa di luar negara, sebagai “tindakan tidak patriotik” atau “memalukan negara sendiri”.

Banyak pihak mengaitkan lingkungan yang menekan pandangan berbeza dengan pemerintah dan menindas suara pembangkang dengan pemerintahan 22 tahun Mahathir Mohamad, yang sering disifatkan sebagai “diktator melalui undang-undang”. Justeru, apabila Mahathir berundur akhir 2003, rakyat mengharapkan hembusan angin demokrasi yang lebih segar dapat memulihkan iklim politik yang membahang sejak sekian lama.

Bagi saya, pemerintahan kukubesi Mahathir tidak hanya bermula pada pertengahan 1998, bilamana Anwar dan penyokong setianya diketepikan secara berperingkat-peringkat, terutama dengan penyingkiran beberapa editor kanan akhbar harian berpengaruh dan sebuah stesen swasta. Jejaknya sudah dapat dikesan pada awal pemerintahan 2M, terutama membabitkan sistem kehakiman dan penyempitan ruang mengeluarkan pendapat berbeza.

Lebih malang apabila usaha itu dilembagakan menerusi pindaan akta yang sedia mengongkong dan diperkukuhkan melalui pindaan perlembagaan yang begitu kerap. Jika direnungi, meskipun berdepan dengan halangan yang bersifat sementara, Mahathir lebih suka mengambil tindakan, yang bukan saja membuang halangan itu, tetapi memusnahkan apa saja institusi yang dikira boleh memperlambatkan -- apatah lagi jika merosakkan -- perancangannya.

Sering saya membawa contoh, bagaimana dalam usaha mempastikan kedudukannya sebagai Presiden Umno (dan tentunya yang lebih penting sebagai Perdana Menteri) tidak tergugat selepas kes pemilihan Umno 24 April 1987 dirujuk di mahkamah, Mahathir bukan saja tergamak mengharamkan partinya malah sanggup memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, diikuti dua Hakim Mahkamah Agung, dan seterusnya menghancurkan kewibawaan badan kehakiman, yang sehingga kini masih dipersoalkan integritinya.

Hanya kerana berdepan dengan karenah dan gelagat menjolok mata raja-raja tertentu, Mahathir tidak teragak-agak untuk mengaibkan seluruh raja-raja Melayu dan mejerumuskan institusi raja-raja pada kedudukan yang tidak menguntungkan sesiapa, kecuali elit pemerintah yang terus “memperalatkannya” demi meraih deretan pingat kebesaran, sekaligus memperkukuhkan budaya feudal dan survival Umno-BN.

Bukan hasrat saya untuk mengaitkan Najib dengan pemerintahan autokratik Mahathir hanya kerana beliau dilihat “pewaris” bekas PM itu, berbanding Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan cuba menjarakkan diri dengan Mahathir. Ia tidak ada kena mengena dengan pergolakan dalaman Umno kerana baik Abdullah atau Najib, ataupun sesiapa saja yang menguasai pemerintahan melalui sistem sedia ada tentu tidak bersedia “membuang lebihan kuasa” yang diwarisi dari Mahathir, apatah lagi jika rakyat dilihat seakan-akan tidak mendesak (dan memperjuangkan) “lebihan kuasa” itu dibataskan.

Tertarik saya apabila seorang rakan memberitahu, beliau pernah bertanya kepada ‘orang kanan’ Abdullah, apa reaksi pemimpin-pemimpin kanan Umno selepas Anwar dibebaskan. Beliau mengakui, ramai yang marah dan tidak bersetuju kerana ia mengundang risiko buat Umno yang kini dalam keadaan selesa selepas menang besar dalam pilihanraya umum lalu.

Mereka menyalahkan Abdullah kerana membebaskan Anwar, yang disifatkan “seekor harimau garang yang terluka”, yang boleh mencakar balik Umno atau pemimpin kanannya sendiri, kecuali Abdullah. Tapi, orang kuat PM menyanggah: “Benar, Pak Lah membebaskan harimau dan kini harimau itu kini bersamanya. Jadi sesiapa saja yang berhasrat untuk menentang Pak Lah akan berfikir banyak kali kerana dia mungkin terpaksa berdepan dengan harimau itu dulu!”

Saya sendiri tidak begitu arif dengan reformasi menyeluruh membuang segala sekatan terhadap hak menyuarakan pendapat di Indonesia sejak Suharto ditumbangkan. Namun umum maklum dengan ruang kebebasan bersuara yang berkembang dengan pesat di sana, terutama dari segi hak menerbitkan media sendiri dan juga peluang terbuka untuk mengkritik pemerintah tanpa rasa takut dan bimbang.

Hak menerbitkan media sendiri, tanpa perlu membazirkan masa mengharapkan ehsan pemerintah, merupakan antara petanda penting darjah kebebasan bersuara di sesebuah negara. Usaha mendesak media utama sedia ada menyiarkan berita, analisis dan pandangan yang berbeza dengan kepentingan elit yang menguasainya, dari satu sudut, sebenarnya tidak praktikal. Lebih penting agar tiada halangan untuk mana-mana pihak, termasuk parti pembangkang, bagi menerbitkan media sendiri. Biar semuanya bertanding dan bersaing dalam pasaran terbuka.

Begitu juga dengan hak untuk berhimpun (dan berucap), yang kini perlu melepasi pelbagai tingkat birokrasi yang merimas dan meletihkan. Peliknya, kemenangan besar BN, sehingga menguasai 91% kerusi di Parlimen, tidak menyebabkan segala hambatan yang dipertingkatkan sejak kejutan keputusan pilihanraya 1999 dikendurkan. Jiwa besar PM langsung tidak menyerlah, (pembangkang sudah tersungkur tapi mahu ditekan terus) malah dalam beberapa sektor, misalnya di kampus-kampus universiti tempatan, ruang beraktiviti makin dikuncupkan.

Menteri Pendidikan Tinggi sendiri masuk kampus berkempen untuk calon “penyokong Umno-BN” (jangan dikira lagi peranan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar). Dua aktivis kampus di Universiti Sains Malaysia dihadapkan ke lembaga disiplin hanya kerana dilihat tindakan dan tulisan mereka tidak serasi dengan kepentingan pemerintah atau condong kepada pembangkang. Tenaga akademik makin terhimpit dan kerap menerima surat tunjuk sebab atas kegiatan yang mereka sendiri tidak pasti bercanggah dengan peraturan universiti.

Dalam tulisan berikutnya nanti, saya berhasrat untuk mengemukakan realiti berbeza di Indonesia, seterusnya mengambil iktibar positif dari gelanggang yang subur buat demokrasi berkembang di sana. Ada pihak berpendapat, tentulah tidak manis untuk Najib, ketika masih di Jakarta, berbangga dengan “kesan positif” pertumbuhan ekonomi Malaysia berbanding Indonesia melalui tindakan sistematik dan berterusan kerajaan negara ini menekan oposisi dan sesiapa saja yang berbeza pandangan dengannya.

“Mentang-mentang jutaan rakyat Indonesia merantau ke Malaysia mencari sesuai nasi, maka apa saja usaha positif Jakarta diremehkan. Sedangkan kita harus mengambil kira latarbelakang negara itu secara menyeluruh terutama bebanan sejarahnya,” kata seorang pemerhati.

Rakyat Indonesia kini mula bangkit dari kesan buruk peninggalan Suharto, yang mencengkam selama tiga dekad. tahun. Setiap negara ada pendekatan tersendiri, terutama dalam mencari pendekatan bijaksana memulihkan kebobrokan yang ditinggalkan pemerintahan kukubesi terdahulu. Bukan sesuatu yang memalukan untuk masing-masing warga jagat berkongsi pengalaman dari sudut yang boleh dimanfaatkan bersama.

Perbezaan jelas antara kedua-dua negara ini ialah Malaysia jelas berbangga dengan kesinambungan pemerintahan sejak merdeka, walhal Indonesia seperti meletakkan garis pemisah antara pemerintahan Suharto dan era reformasi. Oleh itu, pelbagai perubahan dibuat dalam semua bidang, termasuk politik, ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Pemilihan presiden secara terus oleh rakyat merupakan antara langkah drastik yang perlu dipuji. Lebih penting perjalanan sistem pilihanraya yang adil, bebas dan jujur, selain keterbukaan mengundang pemerhati antarabangsa untuk memastikan ia benar-benar diuruskan secara telus.

PM Abdullah cuma bermain retorik apabila menyedari keperluannya untuk membina jarak dengan pemerintahan Mahathir, yakni sekadar usaha mempamerkan imej baru, sedangkan sehingga kini tiada usaha serius untuk merobah warisan hodoh itu. Mungkin yang nampak jelek di zaman Mahathir sudah disolek indah dan ditampal kosmetik cantik, namun percanggahan asas dengan prinsip demokrasi belum pun diusik Abdullah.

Maafkan saya untuk terus mengulangi senario buruk cengkaman Abdullah terhadap kebebasan akhbar negara ini. Harakah dikurangkan kekerapan penerbitannya daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, majalah dua kali sebulan Detik dan mingguan Eksklusif, juga majalah Al-Wasilah diharamkan; semuanya berlaku di zaman Abdullah menjadi Menteri Dalam Negeri, antara 1999-2000, suatu era yang cukup kritikal bagi memusnahkan momentum kemenangan BA dalam pilihanraya ke-10.

Ramai beranggapan Abdullah hanya melaksanakan arahan Mahathir, termasuk mengharamkan ceramah-ceramah politik, termasuk di markas pembangkang, juga menahan tanpa bicara aktivis reformasi dan menyumbat mereka dua tahun di Kamunting. Namun, selepas berkuasa penuh pada November 2003, cengkaman itu tidak pun dilonggarkan, malah pilihanraya pertama dikendalikan di bawah Abdullah, pada Mac 2004, adalah yang terburuk pernah disaksikan oleh sejarah politik Malaysia sejak pilihanraya 1959. Ia sarat dengan penipuan dan penyelewengan, manakala tempoh kempen terpendek mengalahkan rekod kepincangan pilihanraya zaman Mahathir.

Dalam tulisan berikutnya, di samping cuba memperincikan perubahan di Indonesia dan realiti hodoh demokrasi zaman Abdullah, saya berhasrat mengemukakan langkah awal yang perlu diusahakan pemerintah bagi menyelamatkan Malaysia dari terus tersisih dari perkembangan positif kebebasan bersuara negara-negara jiran, misalnya Indonesia, Filipina dan Thailand. Isu politik wang yang ditimbulkan Khairy, walaupun kini cuba dipendamkan selepas menyedari menantu PM tersalah langkah, juga perlu dilanjutkan.

 
Ahmad Lutfi Othman; seorang penulis media bebas. Telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah, hingga kini banyak menerbitkan buku-buku politik yang mengugat. Dalam era reformasi, beliau aktif menerbitkan bahan-bahan yang berbau oposisi sebelum akhbar terbitannya diharamkan. Dengan idea baru, beliau mengambil inisiatif menerbitkan akhbar-akhbar tidak berkala sebelum ia dihentikan akibat dihimpit oleh tekanan baru kerajaan, kewangan dan kesihatan. Sebagai penulis media bebas yang berdedikasi dan komited, beliau yakin dan percaya bahawa golongan penulis mampu menjadi agen perubahan yang berkesan dalam senario politik lokal mahupun global.