Kesalahan besar menulis surat untuk Harakah

Ahmad Lutfi Othman
08:55pm 30 Dis 2004

Rasanya sudah cukup lama saya tidak menulis tentang gerakan pelajar (sehingga tidak dapat mengingati bila tarikh akhirnya) walaupun saya tetap yakin, apa saja perubahan yang mahu digerakkan, golongan mahasiswa adalah elemen paling penting di dalamnya. Tuntutan reformasi menjadi tempang jika anak-anak muda penuh idealisme ini tidak turut serta.

Minat saya dalam penulisan mula disalurkan dalam bentuk yang agak tersusun semasa belajar di UTM, khususnya ketika diamanahkan sebagai anggota exco majlis perwakilan pelajar yang terbabit secara langsung dengan hal ehwal akhbar dan penerbitan. Saya meneruskan penerbitan "Nada Kampus" dan mengusahakan penerbitan baru, "Suara Siswi". Sesekali saya menulis untuk "Mingguan Bumi" (milik Almarhum Pak Hussain Yaakob, juga banyak menyentuh pergolakan di kampus).

Pada tahun berikutnya, 1985, meskipun dilantik Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM), saya tetap tidak melepaskan kedudukan sebagai ketua pengarang bagi kedua-dua makalah itu. Pahit maung berdepan dengan karenah pentadbiran urusetia HEP (hal ehwal pelajar), yang ada kalanya bertindak rakus, bukan saja menyunting tulisan sesuka hati mereka, malah membuangnya begitu saja.

Pernah saya ditunjukkan (baca: diugut) oleh Timbalan Naib Canselor HEP, cadangan bertulis daripada penasihat undang-undang UTM bahawa saya boleh dikenakan beberapa dakwaan, bukan saja di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti, malah oleh beberapa akta lain, antaranya Akta Hasutan, hanya kerana menyebarkan kepada pegawai-pegawai kanan universiti, memorendum bantahan pelajar terhadap larangan pemakaian purdah.

Apabila melangkah keluar UTM secara kontroversi pada pertengahan tahun 1986, penulisan mengenai aktivisme mahasiswa tetap menjadi prioriti. Tabloid politik, misalnya "Watan" dan "Mingguan Tanahair" menjadi medan baru saya. Ketika dijemput Ustaz Nakhaei Ahmad untuk bersama Harakah, saya juga diminta menjaga kolum mengenai siswa.

Sehinggalah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tiga tahun kemudian, isu gerakan pelajar masih menjadi minat utama, malah ia sebenarnya yang menyebabkan saya direhatkan sekejap. Tulisan saya dalam Harakah mengenai demonstrasi pelajar Universiti Malaya membantah konsert Sheila Majid di depan Dewan Tunku Canselor, sehingga terpaksa disuraikan secara kekerasan oleh polis, menjadi alasan utama saya dikurung ISA, bersama Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam UM.

Justeru, tidak pelik saya dilihat menjadikan Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan ketika itu sebagai sasaran utama penulisan saya. Dalam beberapa majlis tertutup perjumpaan pemimpin gerakan pelajar bersamanya, Anwar mengingatkan aktivis kampus berkenaan (yang dianggap condong kepada PAS) supaya tidak melaporkan perbincangan itu kepada Harakah! "Jangan pula jadi posmen kepada Lutfi," tekan Anwar.

Selepas rancak mengikuti pergolakan dalaman Umno, khususnya menjelang cabaran Anwar terhadap Ghafar Baba bagi merebut jawatan timbalan presiden pada 1993, tumpuan kepada isu-isu kampus semakin menipis. Namun, sesekali saya masih bertanya khabar, terutama teman-teman aktivis dalam Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) dan Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis). Dari jauh, saya memendam hasrat untuk membukukan segala pengalaman bergulat dalam kerencaman politik kampus. Alhamdulilah, teman baik saya, Suhaimi Embong, bekas aktivis PMUTM, berjaya menyempurnakannya dengan baik sekali dalam "Di Sebalik Tabir Politik Kampus".

Umum sememangnya mengiktiraf sumbangan besar mahasiswa – yang sering dikaitkan dengan jolokan "golongan tidak berkepentingan"— dalam mempengaruhi, dan ada ketikanya, mendefinisikan persekitaran serta meletakkan asas penting perjalanan sejarah.

Beberapa peristiwa yang membentuk sejarah moden, misalnya revolusi Islam Iran 1979 dan kejutan reformasi Indonesia Mei 1998, menampilkan bintang daripada golongan pelajar. Dalam kesempatan ini, saya lebih suka merujuk perkembangan di negara jiran.

Gerry van Klinken, editor "The Last Days of Suharto" merumuskan: "Mahasiswa memainkan peranan menonjol dalam politik Indonesia. Rakyat Indonesia mengkagumi mahasiswa sebagai aktor yang tidak dinodai kepentingan politik. Setiap peristiwa nasional yang besar melahirkan generasi lain mahasiswa yang melihat dirinya lebih radikal dibandingkan generasi sebelumnya."

Malah, peranan mereka menjatuhkan Suharto dimulakan dalam satu pertarungan yang mempertaruhkan hidup-mati apabila mereka berani berdada dengan ketumbukan tentera lengkap bersenjata, benteng terakhir sang diktator, yang menguasai republik itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Ramai juga demonstran yang terkorban dirobek tembakan militer, antaranya di kampus Trisakti dan Atma Jaya, manakala ratusan lainnya tercedera. Pelajar turut mempengaruhi perhimpunan bersejarah di Ciganjur, 10 November 1998 yang mempertemukan empat tokoh penting oposisi, Gus Dur (tuan rumah), Amien Rais dan Megawati, juga Sultan Hamengkubuwono, selepas mahasiswa kecewa dengan pengganti Suharto, Habibie, yang dikira tidak banyak melakukan perubahan, selain lantang mendesak tentera berundur dari politik.

Selain menuntut mileter menarik diri sepenuhnya dari Parlimen, mahasiswa menyepakati agar Jeneral Wiranto meletakkan jawatan di atas tragedi pembunuhan sejumlah mahasiswa dalam demontrasi, manakala Presiden Habibie digesa turun dan digantikan dengan tokoh-tokoh pembangkang. Mahasiswa mahu elit zaman Suharto turut berundur kerana "mundurnya Suharto tidak menghapuskan Orde Baru".

Menurut buku "Harapan dan Kecemasan: Menatap Arah Reformasi Indonesia" (suntingan Arief Budiman), meskipun perjuangan pelajar menentang kediktatoran Suharto bermula sekian lama, namun ia dirancakkan pada Disember 1997 dan Januari 1998, lima bulan sebulan Suharto ditarik turun takhta, apabila mahasiswa universiti di kota-kota provinsi luar Jakarta melancarkan protes, sambut-menyambut.

Seringkali demonstrasi pelajar dari universiti yang kurang terkenal ini berdepan dengan amaran tentara agar aksi tunjuk perasaan itu tidak dilancarkan di luar kampus. Setidak-tidaknya 22 kota menyaksikan aksi protes mahasiswa apabila mereka tetap melangsungkan taktik "long march" di luar kampus yang konsisten. Serangan tentera menyuraikan demonstrasi tersebar dengan cepat ke seluruh negara.

Tindakan ganas tentera di luar kampus itu kini berlangsung di depan mata rakyat, terutama penduduk miskin kota. Ada banyak cerita tentang kaum ibu yang membantu merawat mahasiswa yang terluka dengan hiba sambil berteriak marah terhadap keganasan militer yang didalangi pemerintah. Suasana menjadi gawat apabila delegasi mahasiswa luar Jakarta berjaya mempengaruhi pelajar-pelajar ibu kota untuk "bertempur" di Jakarta sendiri.

Protes itu mencapai kemuncaknya apabila regim Suharto menjadi lebih ganas selepas tentera menembak mati beberapa mahasiswa di Universiti Trisakti dalam usaha akhirnya membenamkan aksi pelajar. Akhirnya Suharto terpaksa mengaku kalah, menjelang mobilisasi massa berskala besar yang dijadual pada 19 dan 20 Mei 1998.

Di negara ini, pada masa hampir sama, ketika teriakan menuntut Mahathir berundur bergema dengan hebatnya, selepas timbalannya, Anwar Ibrahim dipecat dan diaibkan, golongan pelajar tidak ketinggalan, meskipun bukan mereka perintisnya. Ramai menjadikan demonstrasi petang Sabtu di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai aktiviti mingguan. Beberapa kumpulan kecil mahasiswa, termasuk dari pelajar bukan Melayu, terbentuk, bagi menyahut panggilan perubahan, selain gerakan rasmi sedia ada.

Namun, seperti juga kebangkitan pembangkang dan reformis, kemaraan itu cepat dipintas. Antara sasaran pemerintah (yang mengamuk bagai lembu nazak selepas disembelih), bagi memulihkan kedudukan dan maruah Umno-BN, ialah dengan mengadakan pelbagai sekatan dan kongkongan terhadap kegiatan warga kampus. Pemimpin pelajar dicekup ISA, malah di UiTM ada yang dipecat. Seorang pensyarah UTM Skudai turut dibuang. Budaya takut kembali menyerkup. Penghuni kampus diperlakukan seperti robot, pentadbiran tertinggi kampus mula dirombak dan diperkukuhkan identiti pro-Umnonya.

Sekurang-kurangnya tiga naib canselor universiti tempatan (yang rapat dengan PM Abdullah) berlagak umpama pemimpin Umno yang kemaruk kuasa. Mereka mahu pastikan semuanya tunduk patuh kehendak pemerintah dan kampus dibebaskan daripada sebarang anasir yang berani mencabar kezaliman, menegur kediktatoran, membetulkan kepincangan. Pensyarah dirantai, mahasiswa dibisukan; autonomi universiti menjadi kertas perbincangan usang.

Komplot pentadbiran universiti itu memuncak apabila pelajar dikehendaki memilih wakil mereka dalam pilihanraya kampus lalu. (Sebelum ini, majoriti kampus, khususnya yang lebih dikenali umum, dimenangi oleh kumpulan pelajar yang tidak disenangi Umno). Mana tidaknya, Menteri Pendidikan Tinggi sendiri -- dibantu rapat setiausaha parlimennya -- menjadi ketuanya!
Kebetulan sang menteri menggunakan isu itu bagi memenangkan dirinya dalam pertandingan majlis tertinggi Umno. Secara terbuka, dan berulang kali, beliau melahirkan rasa gembiranya selepas calon-calon pilihan Umno menang dalam pilihanraya majlis perwakilan pelajar itu. Malang sekali, walaupun bertanding atas tiket menteri, beliau kecundang. Beliau mencipta rekod; inilah kali pertama menteri pendidikan tidak mendapat tempat dalam senarai 25 calon yang menang, dan kemudiannya tidak pula dilantik presiden.

Segalanya dikerah untuk menumpaskan gerakan pelajar yang dikira tidak boleh diperalatkan pemerintah, termasuk mengetatkan kelayakan calon dan peraturan berkempen. Setiap universiti mempunyai sekatan berbeza sesuai dengan situasi masing-masing, namun mereka berkongsi hasrat yang satu, iaitu mengalahkan calon yang dianggap pro-pembangkang sebelum pertandingan bermula. Selepas BN menang besar Mac 2004, sindrom ‘mensifarkan pembangkang’ melanda urusetia hal ehwal pelajar (HEP) pula.

Ada sedikit gegaran di USM berikutan pelajar tahun akhir, Soh Sook Hwa, 22, dihadap ke jawatankuasa disiplin atas tuduhan membantu calon pembangkang dalam pilihanraya lalu. (Walhal puluhan pelajar UiTM dikerah untuk menjadi ‘budak mengira undi’ dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini). Lobi membela Sook Hwa melimpah ke Parlimen. Wakil-wakil rakyat PAS, Keadilan dan DAP turut menurunkan tandatangan ke atas petisyen menyokong pelajar berkenaan.

Namun saya lebih memandang serius tindakan yang bakal dikenakan ke atas Ali Bukhari Amir, juga pelajar semester akhir komunikasi, USM, hanya atas ‘kesalahan’ menulis di Harakahdaily (31 Ogos 2004), bertajuk ‘Demokrasi di universiti sudah mati" dan Berita Kampus (27 September 2004), akhbar makmal pelajar kewartawanan.

Beliau dipanggil jawatankuasa penyiasatan, yang dianggotai lima pegawai, 13 Disember lalu. Walaupun tiada pertuduhan spesifik dikenakan, Ali mungkin dibebankan dengan tuduhan mencemarkan nama baik USM selain melanggar akta puaka, AUKU, yang melarang mana-mana pelajar menulis kepada media luar tanpa kebenaran universiti.

Tulisannya di harakah, dalam ruangan surat pembaca, mendedahkan wujudnya fenomena anti-intelektual di USM, misalnya dengan kemunculan program hiburan Aman Damai Idol (Adi), sedangkan dalam masa sama, hujah Ali, pilihanraya Majlis Penghuni Desasiswa akan digantikan dengan perlantikan melalui temuduga oleh pegawai HEP.

"Hal ini sekali gus menamatkan nadi demokrasi di USM. Mudahlah program yang melalaikan mahasiswa berkembang mekar selaras dengan itu mematikan budaya intelektual yang menjadi ramuan penting dalam memartabatkan universiti," suratnya dipetik.

Meskipun Ali hanya meletakkan nama samarannya di hujung surat itu, Ibnuamir, namun sebagai orang yang bertanggungjawab, beliau mengakui menulisnya. Jika beliau menafikan itu bukan tulisannya, pihak universiti tidak mempunyai bukti untuk mengesahkan sememangnya Ali yang menulis surat berkenaan.

Manakala tulisannya di Berita Kampus, bertajuk "Idealisme Mahasiswa menang tipis 19-18 kepada Aspirasi", memetik pandangan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam USM menafikan laporan awal sebuah akhbar harian yang mendakwa kemenangan besar kumpulan Aspirasi di semua kampus, termasuk USM, kecuali UIA.

Sewaktu mahasiswa di luar negara bergelut dengan isu-isu sejagat, adik-adik kita terus dihimpit, ditekan dan tidak dibenarkan untuk berfikir secara matang. Menjadi kesalahan besar buat mereka meluahkan isi hati biarpun kepada ruangan surat dalam internet sekiranya isu yang disuarakan boleh memanaskan telinga pentadbir kampus yang kontang hati budi itu.

Sebagai rujukan, saya nukilkan kembali surat Ali yang menjadi punca kontroversi itu:

Demokrasi di universiti sudah mati

Oleh Ibnuamir (USM)

Baru-baru ini dalam Forum Ehwal Islam sempena ConVex04; majlis konvokesyen di USM, seorang panelis telah menyatakan bahawa telah wujud fenomena 'anti-intelectualism' di dalam kebanyakan universiti di Amerika Syarikat.

Perkara ini menjadi kebimbangan besar oleh kebanyakan pendidik, pensyarah universiti serta para pengkaji dasar-dasar ilmu pendidikan di Amerika.

Dalam kajian mereka, kebanyakan pelajar universiti di Amerika sudah tidak ghairah lagi menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan mereka.

Hal ini kerana, mereka lebih cenderung untuk menjadi atlet sukan, ghairah kepada seks, suka kepada pakaian-pakaian perhiasan termasuklah nyanyian serta mengadakan parti hiburan di rumah-rumah. Mereka sudah tidak gemar lagi membicarakan isu-isu politik.

Selain daripada pengaruh TV yang melampau hebat, kini wujudnya American Idol yang telah mendapat sambutan hangat daripada para remaja Amerika kini.

Tidak ketinggalan juga di Malaysia, beberapa badan penyiaran telah mengambil kesempatan ini menjayakan Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan sebagainya.

Fasa seterusnya, fenomena baru yang dapat dikesan di USM ialah Aman Damai Idol (Adi). Ia berlaku selepas pihak pentadbiran USM mengumumkan bahawa pelantikan MPD (Majlis Penghuni Desasiswa) hendaklah melalui temuduga dan pelantikan oleh sebuah majlis yang terdiri dari sebilangan pegawai HEP. Ini bermaksud, pilihan raya MPD dimansuhkan.

Hal ini sekali gus menamatkan nadi riwayat demokrasi di universiti khususnya USM. Dengan cara ini, mudahlah program-program yang melalaikan mahasiswa berkembang mekar selaras dengan itu mematikan budaya intelektual yang menjadi ramuan penting dalam memartabatkan universiti itu sendiri.

Adalah diharapkan dengan pendedahan ini, kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan lain-lain pihak seperti badan bukan kerajaan dapat memikirkan sesuatu bagi membanteras gejala liar yang merosakkan peranan universiti itu sendiri.

Satu kempen besar-besaran di peringkat kebangsaan untuk membanteras budaya anti-intelektualisme perlulah disusun.

 
Ahmad Lutfi Othman; seorang penulis media bebas. Telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah, hingga kini banyak menerbitkan buku-buku politik yang mengugat. Dalam era reformasi, beliau aktif menerbitkan bahan-bahan yang berbau oposisi sebelum akhbar terbitannya diharamkan. Dengan idea baru, beliau mengambil inisiatif menerbitkan akhbar-akhbar tidak berkala sebelum ia dihentikan akibat dihimpit oleh tekanan baru kerajaan, kewangan dan kesihatan. Sebagai penulis media bebas yang berdedikasi dan komited, beliau yakin dan percaya bahawa golongan penulis mampu menjadi agen perubahan yang berkesan dalam senario politik lokal mahupun global.