Utuhkah
stamina Pemuda PAS?
Ahmad Lutfi Othman
09:35am
2 Jun 2005
Fokus utama muktamar PAS kali ini tentunya
tertumpu kepada proses pemilihan dua jawatan
tertinggi parti, timbalan dan naib presiden,
sekaligus menunjuk arah apa sebenarnya
definisi perubahan seperti dimaksudkan
majoriti ahli-ahli PAS.
Namun, bukan mudah untuk saya, yang agak
dekat dengan parti itu, mengulas hal berkaitan,
apatah lagi dalam laman ini, dibimbangi
ia turut terseret dan terjebak dalam polemik
"kempen dan lobi", yang sebenarnya
cuba dijauhi PAS.
Oleh kerana muktamar Pemuda diadakan
lebih awal, agak lebih mudah dan selesa
untuk saya menyinggung isu-isu berkaitan
sayap kanan parti yang dipimpin Salahuddin
Ayub buat penggal kedua ini.
Sejarah
Merujuk pengalaman PAS menguruskan pemilihan
kepemimpinan, khususnya di bawah era kepimpinan
ulamak sejak 1983, muktamar tahun ini
mungkin mencatat sejarah kerana menyaksikan
pertandingan paling sengit dan mendebarkan.
Hingga saat-saat akhir tiada pihak berani
membuat ramalan tepat siapa bakal pemenang
jawatan no. 2 parti terutama selepas Ketua
Penerangan Datuk Dr Haron Din yang merupakan
calon favourite menarik diri atas faktor
kesihatan.
Peluang penyandang, Senator Ustaz Hassan
Shukri, bersama dua lagi pencabar, Datuk
Abdul Halim Abdul Rahman, Bendahari PAS
Pusat dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha
Agung PAS disifatkan "33-33-33".
Masing-masing ada kekuatan dan bebanan
tersendiri.
Begitu juga dengan potensi lapan calon
naib presiden, termasuk penyandang Datuk
Dr Hassan Ali dan Ustaz Azizan Abdul Razak.
Calon-calon lain, Husam Musa, Dr Mariah
Mahmud, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Ustaz
Ahmad Awang dan Dr Daeng Sanusi Mariok
mungkin memaksa perwakilan membuat merenung
dalam-dalam sebuat keputusan dibuat. Meskipun
berdepan suasana sukar, saya tetap cuba
menyentuh isu pertandingan dua jawatan
kanan itu dalam tulisan berikutnya nanti.
Kritikan
Setahun lalu, juga di Kelantan, muktamar
dikejutkan dengan kritikan tajam wakil
Pemuda, antara lain mengupas keperluan
PAS mengkoreksi diri, bersedia berubah
dan mempamerkan imej parti yang bersifat
nasional, terutama selepas kekalahan teruk
dalam pilihanraya Mac 2004.
Konsep kepimpinan ulamak dilihat perlu
diberikan pentafsiran baru selari dengan
cabaran semasa yang makin kompleks dan
mencabar. Ulamak dituntut lebih bersifat
terbuka dan proaktif, selain memperkaya
diri dengan ilmu-ilmu bantu dan mampu
menawar formula penyelesaian Islami ke
atas kemelut kehidupan moden.
Sambil mengakui anak-anak muda kian menjauhkan
diri daripada PAS, di tengah-tengah keasyikan
gelodak budaya hiburan melampau dan program
realiti tv, parti digesa agar sensitif
dengan persepsi golongan berkenaan terhadapnya,
manakala tekad politik yang tinggi dituntut
bagi menggerakkan usaha perubahan, dalam
kadar segera.
Saya tidak pasti apakah penganjuran majlis
berbentuk konsert (walaupun masih mengundang
personaliti sama, misalnya Akhil Hai,
Dinsman dan Ito) yang diadakan di Pusat
Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, merupakan
satu percubaan berani mendedahkan ahli-ahli
dan penyokong PAS dengan "hiburan
yang tidak melalaikan".
Eksperimen
Malangnya, ia terhenti setakat program
berkenaan, sedangkan bagi saya, isu budaya
dan hiburan memerlukan ruang masa untuk
diperdebat dan dihalusi, sambil beberapa
eksperimen perlu dijalankan. Sebenarnya
masyarakat tidak begitu hiraukan bentuk
hiburan yang mahu dianjurkan PAS kepada
ahli-ahlinya, namun rakyat prihatin dengan
dasar-dasar PAS terhadap hal berkenaan
sekiranya memerintah nanti.
Tanpa menolak faktor tradisi komplot
jahat Umno bersama Jabatan Pendaftaran
Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan pasukan
polis (walaupun 2004 dianggap paling menjolok
mata), di samping sikap pemerintah yang
keras menekan aktiviti oposisi, yang menyebabkan
PAS tersungkur dalam pilihanraya 2004,
banyak cadangan meminta pimpinan tertinggi
lebih peka dengan mood pengundi yang mudah
berubah, dan jangan terperangkap dalam
tempurung "syok sendiri".
Kebimbangan PAS terperosok ke jurang
dalam sehingga menyebabkan nanti ia kelihatan
seperti "makhluk asing" yang
gagal memahami realiti baru turut disuarakan.
PAS tidak harus berkubu di negeri-negeri
majoriti Melayu, seperti Kelantan, Terengganu
dan Perlis, sebaliknya mara ke wilayah
yang lebih majmuk sifatnya, bertunjangkan
kekuatan sendiri, bukan sekadar menumpang
tuah semasa Umno melewati zon kelam.
Mana Srikandi
Untuk mendekatkan lagi anak-anak gadis
dengan PAS (mungkin selepas menyedari
pengaruh besar Puteri Umno), Pemuda juga
mencadangkan penubuhan Srikandi, dikhususkan
kepada golongan muslimat yang lebih muda
usianya, bagi menyediakan platform lebih
sesuai (dan ceria) sebelum terjun langsung
dalam kegiatan politik yang seringkali
agak "keras" dan "sensitif"
tabiatnya.
Namun, selepas menunggu hampir setahun,
saya tidak terkesan pula cadangan itu
menjadi realiti. Alih-alih, baru-baru
ini, satu unit di bawah Dewan Muslimat,
Amal Nisa' Wal Banat (yang memberi tumpuan
aktiviti kepada golongan remaja, selain
aktiviti sukarela berbentuk pasukan seragam)
diberikan kesegaran dan penampilan baru,
dengan kependekan Nisa', sekaligus seperti
cuba memenuhi aspirasi yang terkandung
di sebalik cadangan Srikandi!
Secara peribadi saya masih merasakan
konsep penubuhan Puteri Umno tetap relevan
untuk ditumpahkan setakat perlu kepada
cadangan Srikandi, dengan batasan usia
ahli sekitar 18-35 tahun, dengan aktiviti
yang kelihatan "ringan, mendidik,
segar dan menghiburkan", selain mempersiap
diri melangkah ke gelanggang politik yang
lebih mencabar.
Kalah di kampus
Umum menyedari, sejak dulu, walaupun
ketika PAS kalah teruk, misalnya pada
awal dekad 1980-an, menyaksikan PAS mempunyai
wakil tunggal di Parlimen, namun pengaruh
PAS di kampus-kampus tetap unggul dan
menyerlah. Hampir semua Majlis Perwakilan
Pelajar (MPP) dikuasai kumpulan pelajar
yang cenderung kepada PAS.
Kini suasana berubah. Aktiviti pelajar
seakan lumpuh selepas melonjak tinggi
pada zaman reformasi. Kekangan kian menyeluruh,
jawatan naib-naib canselor dipegang individu
yang dikenali bersikap keras terhadap
gerakan mahasiswa. Malah di sebuah universiti,
pelajar-pelajarnya dikerah menjadi "barua"
Umno dengan mengangkut tong-tong kertas
undi semasa pemilihan kepemimpinan parti
itu.
Ini bermakna cabaran makin sengit untuk
PAS melebarkan pengaruhnya ke atas golongan
muda, manakala idealisme orang muda untuk
berubah dilunturkan. Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) pula dipercayai boleh memperkukuhkan
lagi cengkaman Umno, atau sekurang-kurangnya
membuatkan anak-anak muda tidak bersikap
kritis terhadap lingkungan mereka.
Pendekatan memujuk
Pendekatan demonstrasi dan tunjuk perasaan
ke atas program mungkar bertukar kepada
usaha pemujukan dan dakwah, yakni berdepan
secara langsung dengan audien. Langkah
ini wajar dialu-alukan, namun ia perlu
ketahanan dan stamina yang panjang, di
samping perlunya usaha melatih tenaga
berkemampuan sebagai sukarelawan.
Begitu pun, gerak dan rentak politik
tidak terhad kepada aktiviti yang disebutkan
di atas. Ia memerlukan ketangkasan dan
kebijaksanaan membaca situasi dan menjangka
strategi musuh memintas kita di depan,
selain memastikan asas kekuatan dan sokongan
bukan saja tidak terjejas, malah kian
ampuh.
Isu-isu rakyat yang tidak putus-putus,
misalnya kenaikan harga barang, amalan
korupsi, projek penswastaan yang membazir
dan diserahkan kepada kroni, jurang kaya-miskin
yang makin melebar, kes-kes salahguna
kuasa dan sebagainya, bukan setakat disentuh
sepintas lalu, tetapi harus "dibumikan",
dengan melibatkan penyertaan aktif rakyat
seluruhnya. Ini tidak mudah dilakukan.
Sejarah menunjukkan faktor-faktor luar,
seperti faktor Tengku Razaleigh Hamzah
(1990) dan faktor Anwar Ibrahim (1999)
banyak membantu, berbanding inisiatif
sendiri.
Membina imej
Dalam pada itu pelbagai tanggapan buruk
dan negatif kepada PAS tidak boleh dipandang
remeh, meskipun secara logiknya ia tidak
lebih cakap-cakap tepi jalan yang tidak
perlu dilayan. Usaha menempatkan kembali
PAS ke posisi tengah gelanggang masih
terlalu awal untuk dilihat kesan positif,
sedangkan tarikh pilihanraya berikutnya
hanya beberapa tahun lagi.
Jika perubahan menempatkan kepimpinan
baru menggantikan Almarhum Tan Sri Asri
Muda lebih 22 tahun lalu didorong Pemuda,
ramai mengharapkan proses perubahan memperkasakan
PAS harus digerakkan secara lebih proaktif
lagi (secara berterusan dan sistematik)
oleh anak-anak didik Salahudin dan Ustaz
Idris Ahmad ini.