Mengapa gerak Anwar masih dicurigai?

Ahmad Lutfi Othman
01:01am 08 Jun 2005

Saya tidak ada di Kota Bharu ketika seorang perwakilan Pemuda PAS membangkitkan isu Anwar Ibrahim seperti dilaporkan tajuk utama Berita Harian hari ini. Justeru, ketepatan berita bertajuk “PAS tolak Anwar” tidak dapat dipastikan. Namun, ia langsung tidak menganggu untuk saya turut berkongsi rasa dan bertukar idea mengenai fenomena Anwar dan hubungkaitnya dengan perjuangan pembangkang di negara ini.

Tidak berbangkit soal kumpulan akhbar berkenaan (termasuk NST) mempunyai agenda tertentu melumpuhkan gerakan reformasi dan pembaharuan, memandangkan “luahan kebimbangan dan kecurigaan” terhadap pilihan masa depan politik Anwar sudah lama diperkatakan, sebaik saja beliau dibebaskan September 2004.

Tetap jadi fokus

Polemik mengenainya turun naik; apabila Anwar bertindak dan bersuara tentang sesuatu isu, ada-ada saja telahan menarik dibuat. Maknanya, beliau tetap menjadi tumpuan ramai walaupun tiada sebarang jawatan disandangnya, malah dilarang dari aktif berpolitik sehingga 2008.

Ia bukan saja meresahkan sebahagian penyokong pembangkang, juga menambah debar tokoh-tokoh kanan Umno, termasuk timbalan presiden, Najib Razak dan dikongsi sepupunya, Hishamuddin Hussain. Sebab itu “pintu Umno ditutup rapat” sebelum Anwar mengetuknya! Dipercayai masih ramai ahli-ahli dan pemimpin Umno yang bersimpati dengan Anwar, dan jika peluang nampak terbuka, pasti ada pihak sedia bertungkus-lumus membawanya kembali bersama parti itu.

Kedudukan istimewa

Sebenarnya berbanding bekas tokoh-tokoh Umno yang terpelanting keluar, Anwar mempunyai kedudukan istimewa dengan pemimpin-pemimpin PAS, khususnya apabila dikaitkan dengan pengalaman berjuang bersama ABIM. Pernah diberitakan bekas presiden PAS, Allahyarham Tan Sri Asri Muda berminat untuk mempelawa Anwar sebagai penggantinya.

Malah Anwar sendiri mengibaratkan hubungannya dengan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor bagai adik dan abang. Terpahat dalam ingatan bagaimana Ustaz Fadzil menurut nurani hati kecilnya mengunjungi kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri itu, sehari selepas dipecat Dr Mahathir Mohamad, tanpa mendapat restu pimpinan PAS terlebih dulu, sedangkan waktu itu Anwar masih Timbalan Presiden Umno.

Tanpa menunggu masa lama, PAS menghimpunkan pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), melalui Gerak, menentang tindakan zalim dan mengaibkan terhadap Anwar, sekaligus bangkit membantah tahanan borong ISA ke atas tokoh-tokoh Umno dan NGO Muslim yang dikaitkan dengannya.

Kemuncaknya, buat pertama kali, meskipun dengan Anwar berada di penjara, parti-parti pembangkang, termasuk yang “berbeza kutub”, PAS dan DAP duduk semeja, mencari persefahaman, merumuskan tindakan, yang akhirnya melahirkan Barisan Alternatif (BA). Pilihanraya bersejarah 1999 menyaksikan satu manifesto dikemukakan PAS-DAP-PRM-KeADILan, walaupun logo bersama belum dapat disepakati, sekurang-kurangnya meningkat satu tangga berbanding pilihanraya 1990 yang masih memetakkan PAS dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, manakala S46 duduk semeja dengan DAP di bawah pakatan berbeza, Gagasan Rakyat.

Sepakat pilih Anwar bakal PM

Menjelang hari pengundian, Anwar dinamakan sebagai calon bakal perdana menteri jika BA berkuasa. Poster warna-warni lebam mata Anwar lebat menghiasi jalan ke pusat mengundi, memudarkan lambang biru dacing BN. Takdir menentukan BN masih kukuh menerajui kuasa meskipun Umno terpaksa melepaskan Terengganu dan menyerahkan begitu banyak kerusi tradisi di Kedah, Pahang, Perlis, Selangor dan juga Perak.

Tanpa analisis mendalam sekalipun, semua pihak akur faktor Anwar adalah penyumbang terbesar kemerosotan Umno yang cukup ketara itu, s30 Rabi al-Thani 1426elain kebencian dan amarah yang tinggi terhadap pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang tempoh 1999-2004, tiada perkembangan menarik dapat dicatatkan oleh barisan pembangkang. DAP keluar pakatan tidak rasmi BA, manakala PAS dikejutkan berita sedih, Ustaz Fadzil meninggal dunia. Peralihan kuasa Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi turut mengubah tempo politik yang sedia muram.

Mimpi ngeri akhirnya menjadi kenyataan, BN menguasai 91 peratus kerusi Parlimen dan menawan semula Terengganu, manakala Kerajaan PAS Kelantan bak telur di hujung tanduk, diselamatkan hanya oleh beberapa undi sahaja. Semua kerusi PAS di DUN Pahang, Selangor dan Perak melayang!

Perwatakan sederhana Abdullah menimbulkan desas-desus bahawa Anwar mungkin dibebaskan lebih awal. Lagi pun tiada rekod permusuhan mendalam antara mereka berdua. Mulanya penyokong reformasi melihat tiada bezanya pemerintahan Mahathir dan Abdullah apabila Perdana Menteri tidak melayani rayuan Anwar untuk mendapat rawatan lanjut ke luar negara.

Pemerintahan baru

Namun, Abdullah yang kelihatan mula menjarakkan diri dari “bebanan sejarah buruk” Mahathir menunjukkan beberapa perubahan positif, dan paling menonjol ialah usahanya untuk membanteras rasuah dan rasa prihatinnya bagi memulihkan kebebasan kehakiman. Tema berkenaan tidak asing dari perjuangan Anwar dan gerakan reformasi selama ini. Banyak pihak bercakap, ada ruang tawar-menawar dengan Abdullah untuk membawa Anwar keluar daripada penjara.

Apabila nama-nama hakim yang bakal memutuskan rayuan Anwar diumum, angin bertiup kencang membawa cerita beliau bakal dibebaskan. Tapi, umum arif benar bahawa seberani mana sekalipun hakim-hakim berkenaan, tanpa lampu hijau Perdana Menteri, Anwar akan terus merengkok. Dan selepas dibebaskan, Anwar tidak lupa memberi penghargaan tinggi buat Abdullah, dan menekankan beliau pasti terus terkurung jika Mahathir masih berkuasa.

Agak sedih juga memikirkan, belum sempat pembebasan Anwar diraikan penyokongnya di seluruh negara, dan rasa gembira-lega dikongsi bersama, disebabkan terpaksa “dikejar” ke Jerman untuk menjalani pembedahan, teka-teki masa depan politiknya pula yang hebat didebatkan. KLIA ribut seketika diserbu ribuan penyokongnya, menandakan pengaruh Anwar tidak boleh diperkecilkan.

Berbeza sekali dengan Ku Li -- yang sempat menyusun strategi, mengatur aksi berdepan dengan BN dalam dua kali pilihanraya bersama PAS -- Anwar hanya baru bertindak sebagai simbol dan penyemarak semangat untuk menjatuhkan Mahathir, tiba-tiba sebaik saja dibebaskan, pelbagai “kemungkinan buruk” ditimbulkan, antaranya tidak mustahil beliau menyertai semula Umno.

Buang masa Anwar bersama pembangkang?

Dari sudut lain pula, ada pihak merasakan kehebatan Anwar terlalu mahal untuk dibazirkan bersama gerakan pembangkang, apatah lagi mood politik semasa sama sekali tidak menyebelahi oposisi, selain Abdullah terus mengakar memulihkan imej Umno yang dicemari Mahathir. Tidak kurang yang berpendapat, kalau pun Anwar mahu meneruskan perjuangan reformasinya, beliau boleh membantu Abdullah mencapainya.

Respons Anwar pula menimbulkan tafsiran pelbagai makna, diburukkan lagi dengan kandungan ceramahnya yang sekadar mengisahkan nostalgia di penjara, disulami jenaka dan mengulangi satu dua jasanya semasa menjadi anggota kerajaan dulu. Ramai dapat mengesan, Anwar seperti mahu mengelak dari menjadikan Abdullah sebagai sasaran kritikannya, sedangkan rakyat melihat tiada banyak perubahan mendasar yang diusahakan perdana menteri, selain gimik dan slogan baru.

Apabila Anwar memilih untuk lebih kerap berada di luar negara, mulanya di UK, seterusnya berpindah ke Amerika Syarikat, dengan berpangkalan di kampus universiti tertentu, tafsiran pelbagai lapis tadi menjadi bertambah kompleks. Ia lebih sulit dan berserabut selepas Anwar membuat sokongan terbuka terhadap bekas Penolong Setiausaha Pertahanan Amerika, Paul Wolfowitz, si Yahudi perancang utama serangan ke atas Iraq, untuk jawatan strategik Presiden Bank Dunia. Hubungan rapatnya dengan tokoh-tokoh serantau yang dilihat cenderung kepada “Islam liberal” mula dipertikai.

Menarik Timur dan Barat

Tokoh reformasi Indonesia, Amien Rais berkata Anwar mempunyai ‘kedudukan yang unik” kerana kepimpinannya yang berkarisma, menjadi daya penarik kepada rakyat pelbagai latarbelakang, di dalam dan di luar negara. “Apabila dia berucap, orang ramai mendengar dan masyarakat antarabangsa dari Timur Tengah hingga ke Washington amat bersimpati dengannya. Beliau diterima dengan meluas di negara-negara Arab, tetapi pada masa yang sama, Washington, London dan Paris juga amat bersimpati terhadapnya. Ini adalah sesuatu yang unik.”

Bagaimanapun, kedudukan unik dan istimewa itu, tidak mustahil “menikam belakangnya” jika semakin ramai menaruh syak atau curiga, disebabkan beberapa langkah Anwar yang kadang-kadang sukar difahami. Cetusan hati seorang perwakilan Pemuda kelmarin mungkin tidak menggambarkan mood keseluruhan, namun ia tidak boleh diremehkan. Anwar perlu menyanggahnya secara lebih meyakinkan.

Tetapi tentu ada yang berkata, apa lagi yang boleh Anwar janjikan selain yang disebutnya berulang kali, termasuk ketika beliau menjelajah empat negeri baru-baru ini, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan?

 
Ahmad Lutfi Othman; seorang penulis media bebas. Telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah, hingga kini banyak menerbitkan buku-buku politik yang mengugat. Dalam era reformasi, beliau aktif menerbitkan bahan-bahan yang berbau oposisi sebelum akhbar terbitannya diharamkan. Dengan idea baru, beliau mengambil inisiatif menerbitkan akhbar-akhbar tidak berkala sebelum ia dihentikan akibat dihimpit oleh tekanan baru kerajaan, kewangan dan kesihatan. Sebagai penulis media bebas yang berdedikasi dan komited, beliau yakin dan percaya bahawa golongan penulis mampu menjadi agen perubahan yang berkesan dalam senario politik lokal mahupun global.