Pembaharuan bukan sekadar memulihkan imej

Ahmad Lutfi Othman
01:01am 08 Jun 2005

Sejak awal lagi, ahli-ahli PAS akar umbi menghantar mesej jelas, tempoh Ustaz Hassan Shukri sebagai timbalan presiden tidak mungkin melebihi satu penggal.

Mereka juga sudah ada calon pengganti, Dr Haron Din. Takdir menentukan segalanya, Tuah Ustaz Nasharudin Mat Isa , calon favourite untuk naib presiden, menunggu apabila di saat-saat akhir -- selepas Haron Din menarik diri -- bersedia berdepan penyandang dan seorang lagi calon, Ustaz Abd Halim Abd Rahman.

Liputan istimewa

Kemenangan anak muda 43 tahun ini mendapat liputan istimewa media dan pemerhati politik, dalam dan luar negara. Hampir tiada analisis negatif menghiasi dada akhbar tempatan, sesuatu yang menyimpang dari amalan tradisi, selain momokan “ulamak tua dan konservatif ditolak”. Tentu tidak munasabah mengharapkan media milik pemerintah mengalu-alukan sepenuhnya, apatah lagi menghampar permaidani merah kepada proses peralihan kepemimpinan PAS, saingan sengit Umno sejak 50 tahun dulu.

Harapan tinggi bagi menggerakkan PAS ke era perubahan digalaskan ke bahunya. Malah ada menyifatkannya sebagai pewaris Almarhum Fadzil Mohd Noor, bekas presiden PAS, yang kehilangannya masih cukup terasa hingga kini. Ustaz Fadzil kerap diingati kerana ketangkasan memanfaatkan potensi dan kebijaksanaan mengolah cabaran politik semasa. Tanpanya mungkin sukar dibayangkan penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (1990) dan Barisan Alternatif (1999).

Undi yang diperolehi Nasharuddin, 536, yakni sekitar 57 peratus, dikira sudah memadai sebagai azimat awal mengatur langkah ketika semua mata tertumpu kepadanya, apa lagi baki undi masih terbahagi kepada dua calon. Namun, ada pihak mahu memerhatikan dulu rentak Nasharudin berdepan pelbagai gugatan yang sedia menunggu, bukan disebabkan usia mudanya tetapi beliau dianggap belum cukup terdedah dengan kerencaman politik Malaysia memandangkan jalannya terlalu pendek memintas posisi strategik jawatan no. 2 itu.

PAS tolak naib presiden ulamak?

Untuk jawatan naib presiden, media yang gemar merumuskan kepemimpinan ulamak sudah tertolak dalam PAS, cepat menangkap peluang selepas semua calon berlatarbelakangkan agama tidak terpilih termasuk penyandang, Ustaz Azizan Abd Razak. Husam Musa, Mohamad Sabu dan Dr Hassan Ali dikatakan regu profesional yang bakal mempamerkan imej baru PAS yang lebih sederhana, terbuka dan mudah diterima masyarakat, termasuk golongan bukan Islam.

Meskipun Nasharudin juga dari kelompok ulamak, beliau cuba dianjak keluar darinya, dengan label ulamak liberal atau ulamak profesional, mungkin difaktorkan oleh pengajian akademiknya yang merentasi Jordan dan Britain, juga hubungan antarabangsanya yang meluas. Malah ada menyimpulkan seolah-olah kini tinggal presiden parti, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, keseorangan di puncak, sedangkan realitinya beliau bukan saja terbuka menerima idea perubahan, malah mendorong parti lebih proaktif menangani persekitaran baru.

Namun senarai AJK PAS Pusat baru menyuntik unsur keseimbangan apabila lebih ramai ulamak terpilih, iaitu 11 dari 18 orang, termasuk dua calon naib yang kalah, Ustaz Ahmad Awang dan Dr Daeng Sanusi. Di masa lalu, calon-calon bukan lulusan agama mendominasikannya. Malah ada pihak menyifatkan kekalahan Azizan lebih disebabkan faktor kesihatannya, bukan penolakan terhadap golongan ustaz. Gabungan tua-muda, baru-lama, dengan kepelbagaian pengalaman dan pendedahan merupakan aset berharga buat PAS turut sama melakar lanskap politik, sekurang-kurangnya tidak membiarkan Umno-BN memonopolinya. Ketara sekali perwakilan mahu semua elemen dan potensi kekuatan digembleng, di samping mempastikan tiada sektor terpinggit.

“Undi calon ulamak terpecah tiga, selain kegagalan mereka mengemukakan calon-calon muda atau muka baru yang lebih popular untuk jawatan itu,” kata seorang veteran parti. “Jika Taib Azamuddin atau Tuan Ibrahim Tuan Man bersedia bertanding, saya rasa salah seorang boleh menang. Begitu juga kalau Ustaz Hashim Jasin, pesuruhjaya PAS Perlis yang menawar diri.”

Penyelarasan, penambahbaikan

Seperti kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, proses perubahan adalah fitrah semulajadi, yang tidak boleh disekat, kecuali terhenti dengan sendiri di Padang Mahsyar, begitu juga konsep kepemimpinan ulamak yang bermula 22 tahun lalu. Kritikan, hatta serangan keras perwakilan terhadap kewibawaan ulamak, termasuk Majlis Syura, tidak menandakan mereka ditolak. Ia adalah proses penyelarasan, pemerkasaan dan penambah-baikkan (kalaupun bukan peremajaan) menghadapi cabaran baru, juga mengambil kira kompleksiti real politik Malaysia.

Perwakilan PAS sebenarnya bebas menentukan pilihan tanpa didorong sentimen pertembungan mana-mana golongan dalam parti, apa lagi diumpan politik wang. Kempen SMS hanya sekadar memeriahkan suasana dan “memanfaatkan” teknologi moden. Namun mereka tetap bersatu hati mahukan kepemimpinan yang responsif dengan tuntutan zaman, selain mengakar kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam. Keputusan pemilihan menyerlahkannya.

“Kempen dan lobi tidak sihat patut disekat dan dipandang serius, tapi bagi saya,” kata seorang pemerhati yang tidak absen dari mengikuti muktamar sejak 1980 lagi, “ia tidak perlu dirisaukan sangat. Semakin membesar parti, maka kian hebat juga simpang-perenangnya. Harus ada mekanisme sesuai bagi membantu perwakilan membuat pilihan tepat. Benar, rekod kerja dan prestasi calon menjadi kayu ukur, tapi ia bukan jawapan kepada seluruh persoalan berbangkit mengenai kebolehan dan kemampuan seseorang calon itu.”

Nasharuddin diberi peluang sepertimana Hassan Shukri dulu, dengan hasrat dapat menjadi gandingan mantap Ustaz Hadi, mengulangi nostalgia gandingan Fadzil - Hadi, Zulkifli Mohamad – Burhanuddin. Ada ruang yang ditinggalkan presiden harus dipenuhi Nasharuddin. Namun tidak wajar atas hujah perubahan segalanya mahu dirobah dan dirombak. Dua tahun lagi, tidak mustahil PAS akan mencari calon lain jika Nasharuddin gagal memenuhi aspirasi perwakilan.

Keberanian baru perwakilan

“Selama ini perwakilan sukar menukar pemimpin, bersikap malu alah dan tidak mahu menjatuhkan air muka, tapi pemilihan lalu menandakan ada keberanian baru untuk menilai secara terbuka rekod kerja ketua di atas,” ujar seorang pengamat politik. “Sekali mereka ‘sampai hati’ menaikturunkan pemimpin, maka semakin mudahlah perwakilan melakukannya lagi di masa depan, mungkin dua tahun lagi.”

Selain mewakili wilayah pantai timur (Husam), utara (Mohamad Sabu) dan tengah (Hassan Ali) ketiga-tiga naib presiden baru itu tidak mempunyai banyak masa untuk membuktikan proses memperkasakan parti dapat dilakukan menjelang pilihanraya umum 2008. Ramai menunggu gerak dan idea Mohamad Sabu memandangkan beliau selama ini agak terbuka menyuarakan kritikan terhadap kepemimpinan tertinggi parti, terutama mengenai sikap sambil lewa menghadapi asakan dan tekanan menghakis sisa-sisa demokrasi di negara ini. Husam pula dijangka mengukuhkan kedudukan sebagai perancang strategik parti, cuba mengisi kekosongan Mustafa Ali.

Khususnya Mohamad Sabu dan Dr Hassan Ali, undi yang mereka perolehi dikira agak rendah, masing-masing 445 dan 435, iaitu tidak sampai 45 peratus dari jumlah keseluruhan undi, 944. Dr Hassan misalnya masih tertinggal satu undi berbanding undi yang diperolehi Dr Rosli Yaakob, AJK PAS Pusat di tangga paling bawah (436). Disebabkan tiada keputusan rasmi jumlah undi lima calon yang kalah, dapat dibayangkan perwakilan seperti mengagihkannya hampir sama rata, sekaligus memberi ingatan awal kepada pemenang supaya tidak menganggap amanah itu bagai cek kosong yang boleh diisi apa saja.

Faktor Mariah

Malah difahamkan, calon wanita yang gagal dalam percubaan pertamanya, Dr Siti Mariah Mahmud, hanya dipisahkan 11 undi dengan Hassan, iaitu 424. Jelas, perwakilan yang rata-ratanya lelaki, menunjukkan sikap terbuka, bukan sekadar mengundi Mariah, tetapi bersedia melakukan apa saja untuk memaju dan memperkasakan parti. Asal saja idea cadangan itu munasabah dan boleh mengangkat martabat jamaah, ia tidak akan ditolak. Hampir pasti Mariah akan diberi kedudukan penting oleh Ustaz Hadi selepas ini.

Dari sudut lain, saya berpendapat, Majlis Syura Ulamak, badan tertinggi yang mengawal perjalanan parti, lebih mudah diperteguhkan apabila bilangan ulamak dalam Dewan Harian telah berkurangan. Mungkin dengan pembabitan lebih aktif Dr Haron Din nanti, majlis tersebut dapat berfungsi seperti disuarakan ramai pembahas baru-baru ini, serta dapat diperlengkapkan secepat mungkin dengan pelbagai keperluan asas, misalnya pejabat, kakitangan tetap, dan bajet mencukupi.

Proses mengembalikan PAS ke “tengah gelanggang” dapat dilancarkan lagi jika jawatan pentadbir utama parti, misalnya setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan pusat, selain pesuruhjaya negeri-negeri, dimantapkan oleh tokoh-tokoh berkebolehan, kreatif, tahan uji, dan bersifat pengurus yang baik. Idea dan gagasan baru tidak membawa makna apa-apa jika usaha menterjemahkannya dalam bentuk praktik dan amali tidak diberi tumpuan khusus.

Pesuruhjaya baru?

“Saya lebih tertarik dengan muka-muka baru AJK PAS Pusat, seperti Mujahid Yusuf Rawa dan Amirudin Hamzah. Saya menunggu suntikan idea mereka, yang diharap ada kelainannya. Presiden juga harus berani mendedahkan tokoh muda lain ke jawatan itu, memenuhi kouta lantikan, selain merombak pesuruhjaya negeri tertentu. Pesuruhjaya pula harus membentuk kabinet dewan hariannya yang kompeten, bukan dianggotai mereka yang rapat dengannya saja,” kata seorang pemerhati sambil mengharapkan Ustaz Hadi memberi perhatian khas kepada Nisa’, bagi memesrakan PAS dengan remaja wanita, selepas cadangan Dewan Srikandi ditolak.

Faktor Anwar Ibrahim masih dianggap antara penentu kebangkitan pembangkang menjelang pilihanraya akan datang. Sikap terbuka Ustaz Hadi mempelawa Anwar mengetuai barisan oposisi dan pengakuannya bahawa PAS tidak mungkin memerintah secara solo, membuktikan PAS tetap mementingkan permuafakatan dalam usaha membentuk kerajaan alternatif. Sikap akhbar tertentu yang cuba menggambarkan Anwar ditolak perwakilan PAS hanya mendedahkan kegerunan mereka terhadap lonjakan baru pembangkang, selain menelanjangkan “kebodohan” akhbar itu memanipulasi keadaan.

Kemenangan tokoh-tokoh -- yang dikaitkan dengan gerakan reformasi dan Anwar -- untuk semua jawatan pusat yang dipertandingkan dilihat penganalisis sebagai keyakinan penuh perwakilan untuk PAS menyusun langkah bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Pelbagai gosip yang mencurigai gerak Anwar, termasuk kemungkinan menyertai semula Umno, nampaknya langsung tidak berbekas. Namun di pihak Anwar sendiri, beliau tentu tidak memandang enteng isyarat jelas yang disuarakan perwakilan Pemuda Pulau Pinang walaupun ia tidak mewakili suara majoriti; dalam keyakinan terselit sikap hati-hati!

Bersama Anwar

Dalam siri ceramahnya bertemu rakyat, merentasi Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini, Anwar mengulangi komitmennya untuk kembali aktif menjayakan agenda perubahan bersama pembangkang dan NGOs, selepas tugasannya di Amerika berakhir hujung tahun ini. “Sejauh mana pun PAS cuba bergerak dan berubah dalam arus perdana, tanpa dokongan Anwar, tidak banyak impak positif sempat diraih dalam pilihanraya akan datang,” kata seorang bekas pemimpin Umno. “Anwar masih tokoh karismatik yang mampu menarik perhatian dan sokongan seluruh lapisan masyarakat, dari pelbagai keturunan dan agama. Maaf kalau saya sebut, pimpinan baru PAS seolah-olah kabinet bayangan Anwar sendiri!”

Jelas, pemimpin tertinggi Umno mengambil sikap cukup berhati-hati sebelum mengulas senario terkini itu. Mereka mungkin memerlukan masa untuk menilai strategi dan pendekatan baru berdepan fenomena baru PAS, apatah lagi dunia luar pun seakan-akan turut meraikannya. Cuma, saya tertarik dengan ingatan seorang teman: “Penting untuk PAS terus berubah, sekaligus membina imej baru yang lebih sederhana dan terbuka. Namun jangan terlalu ghairah untuk mengindahkan parti di mata pihak luar kerana yang lebih penting ialah kejujuran berpolitik, khususnya kesungguhan membela rakyat. Imej baik itu selalunya akan datang sendiri bukan disebabkan perubahan kosmetik yang dibantu perunding imej.”

 
Ahmad Lutfi Othman; seorang penulis media bebas. Telah memulakan kariernya kewartawanannya di Harakah, hingga kini banyak menerbitkan buku-buku politik yang mengugat. Dalam era reformasi, beliau aktif menerbitkan bahan-bahan yang berbau oposisi sebelum akhbar terbitannya diharamkan. Dengan idea baru, beliau mengambil inisiatif menerbitkan akhbar-akhbar tidak berkala sebelum ia dihentikan akibat dihimpit oleh tekanan baru kerajaan, kewangan dan kesihatan. Sebagai penulis media bebas yang berdedikasi dan komited, beliau yakin dan percaya bahawa golongan penulis mampu menjadi agen perubahan yang berkesan dalam senario politik lokal mahupun global.