Ahmad
Lutfi Othman: Membina Malaysia baru,
bukannya bebanan Anwar seorang
UmmahOnline
Team
10:30am 15 Sept 2004
UmmahOnline
Team telah menerima jawapan temubual (melalui
e-mel) daripada Ahmad Lutfi Othman pada
14 September 2004; isunya berkisar mengenai
bahang pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim!
Sebenarnya bukan sahaja kami, malahan
ramai pihak lagi yang tidak sabar-sabar
menunggu pandangan sang penulis dan aktivis
media yang sering bikin kontroversi ini,
apatah lagi, 'fenomena Anwar' merupakan
isu fokusnya semenjak sekian lama.
Dengan
kapasiti ini, sudah tentu beliau adalah
antara mereka yang layak untuk membicarakan
persoalan mengenai perjalanan politik
Anwar pasca-pembebasan beliau. Justeru,
bagi memenuhi harapan tinggi pelbagai
pihak ini, UmmahOnline Team telahpun berpeluang
untuk mendapatkan temubual bersama dengan
Ahmad Lutfi meskipun dimaklumkan bahawa
kesihatan beliau agak terbatas dalam tempoh
tersebut. Namun, berbekalkan keazaman
tinggi untuk berkongsi pandangan dengan
umum, maka temubual ini dapat dilengkapkan
akhirnya. Berikut adalah rangkuman temubual
menarik tersebut:-
Secara
jujur, adakah saudara gembira dengan pembebasan
Anwar? Mengapa?
Jelas,
Anwar adalah mangsa kezaliman. Beliau
dipecat, diaibkan, dipukul separuh mati,
dipenjarakan, dinafikan hak untuk mendapat
keadilan melalui mahkamah. Pada hari pembebasannya,
buat pertama kali saya dan isteri, hadir
ke mahkamah. Sehari sebelum itu ketika
saya berkunjung ke Hospital Kuala Lumpur,
di depan bangunan yang menempatkan wadnya,
sudah terasa debar bahawa Anwar akan dibebaskan
esok hari.
Tiada
dapat digambarkan perasaan sebenar bila
mendapat tahu rayuan Anwar diterima. Segalanya
berbaur, namun yang pasti, semua gembira,
saling mengucapkan tahniah. Putrajaya
nampak cerah biarpun suasana agak mendung.
Penantian selama enam tahun termakbul.
Yang penting, kezaliman ke atasnya sudah
tertebus. Maruah diri dan keluarganya
dipulihkan. Dan harapnya segala institusi,
seperti media massa, polis, jabatan peguam
negara, kehakiman, yang dicacatkan dengan
teruk selama enam tahun itu dapat dipulihkan
segera.
Sejauh
mana saudara mengenali Anwar? Adakah saudara
mempunyai kenangan peribadi dengan beliau
yang boleh dikongsi?
Semasa
Anwar mula menjadi Menteri Pendidikan
pada awal 1986, saya merupakan Setiausaha
Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi
Malaysia (PMUTM). Kami pernah mengatur
pertemuan dengannya, dan berlaku sedikit
ketegangan apabila dibangkitkan isu pengharaman
purdah. Di UTM, sembilan pelajar UTM dipecat
kerana menutup muka. Kami membantah keras
peraturan itu.
Mewakili
PMUTM, saya mengutus surat mengucapkan
tahniah kepada Anwar sambil mengingatkannya
bahawa pelajar-pelajar akan bangkit menentangnya
jika beliau tidak melaksanakan sistem
pendidikan berteraskan Islam dan membebaskan
mahasiswa daripada kongkongan Akta Universiti.
Mingguan Watan kemudiannya, pada 10 Jun
1986, menerbitkan warkah saya itu sepenuhnya
dan ia dijadikan bahan berita muka depan,
dengan tajuk “Siswa Ugut Anwar”.
Seminggu
selepas itu, akhbar sama melaporkan, juga
di muka depan, “UTM Pecat Pemimpin
Pelajar”, dengan gambar saya tertera
di sebelahnya. Ramai beranggapan saya
dipecat kerana ‘ugutan’ terhadap
Anwar, sedangkan ia tiada kaitan. Sejak
itu ada mengandaikan saya menjadi kritikal
terhadap Anwar kerana mahu ‘membalas
dendam’, walhal ia tidak timbul
sama sekali.
Selepas
meninggalkan alam kampus, saya terlibat
dengan Harakah – sejak awal penerbitannya
– dan juga menulis buku-buku politik.
Di Harakah, saya mengendalikan ruangan
kampus. Manakala Anwar seorang Menteri
Pendidikan, tentulah saya dilihat meneruskan
‘gelanggang pertempuran’ dengannya,
melalui Harakah. Dalam pertemuan tertutup
dengan pimpinan mahasiswa, Anwar sering
menyindir beberapa pemimpin gerakan pelajar
yang dianggap pro-pembangkang kerana sering
membocorkan isi perbincangan itu kepada
Harakah.
Anwar
dikritik keras, malah dilabelkan “penipu”
oleh Harakah apabila beliau berdolak-dalik
ketika ditanya mengenai penahanan dua
pemimpin pelajar Universiti Malaya, di
bawah ISA, selepas mengetuai demonstrasi
membantah konsert. Tidak lama kemudian,
saya juga dikurung tanpa bicara ekoran
insiden sama.
Setahun
sebelum pemilihan kepimpinan Umno 1993,
saya mula menulis buku bertajuk “Anwar
Lawan Ghafar?” Saya menyerahkan
sendiri naskhah awal kepada setiausaha
akhbar Anwar semasa saya hadir pada majlis
rumah terbuka Aidilfitri Anwar di Bukit
Damansara. Bagi penyokong Anwar, buku
itu dilihat lebih menyebelahi Ghafar.
Saya diberi pelbagai gelaran buruk, oleh
Anwar dan Mahathir, kerana menulis buku
itu.
Apa
pun, tanggapan saya itu, yang pada awalnya
dilihat fitnah dan berusaha untuk adu-domba
pemimpin atasan Umno, menjadi kenyataan.
Ghafar merajuk keluar negara dengan membimbit
beg plastik selepas hanya mendapat 7 pencalonan
untuk mempertahankan jawatan Timbalan
Presiden Umno, sedangkan semua bahagian
Umno yang lain mencalonkan Anwar.
Sebenarnya
menjelang pemilihan Umno, Oktober 1993,
saya menyiapkan tiga buku lain, dua darinya
khusus tentang Anwar, “Memo Buat
Bakal PM” dan “Anwar Salah
Pilih”. Buku kedua mengkritik keras
Anwar kerana memilih tokoh seperti Abd
Rahim Tamby Chik sebagai regunya dalam
“Team Wawasan” untuk jawatan
Ketua Pemuda Umno. Rahim terkenal kerana
isu moral dan rasuah.
Tidak
sampai dua tahun selepas itu, saya menulis
dua buku, “Krisis Anwar-Mahathir”
dan “Mengapa Anwar Perlu Lawan Mahathir”.
Sekali lagi penyokong Anwar termasuk ketua
pengarang akhbar harian terkemuka menyanggah
tanggapan saya itu. Rasanya, dari buku-buku
itu, mungkin saya dikira penentang, atau
sekurang-kurangnya, pengacau Anwar.
Bagaimanapun,
selepas keluar UTM, saya tidak pernah
bersemuka dengan Anwar, kata orang, kami
‘bergaduh’ dari jauh saja.
Semasa hampir semua penulis politik memujanya,
saya lebih selesa untuk memberi teguran
kepadanya. Bagi saya, pemimpin biar bagaimana
hebat sekalipun, mesti ditegur, dikritik,
hatta dikecam bila melakukan kesalahan.
Malah
ketika Anwar dipecat enam tahun lalu,
sebelum ditahan pada 20 September, saya
tidak sempat berjumpa dengannya. Dari
penjara, Anwar ada mengirim surat ketika
saya terlantar uzur di kampung. Ketika
saya menerbitkan majalah Detik dan akhbar-akhbar
tidak berkala, Anwar tidak pernah menghampakan
harapan saya terutama melalui interviu
bertulis dan rencana lainnya, yang kerap
menggunakan nama pena.
Menjelang
pemecatannya, saya menulis buku “Layakkah
Anwar Ketuai Reformasi?” Selepas
ditendang keluar Umno dan kerajaan, saya
menulis “Skandal Seks atau Konspirasi
Politik?” dan “Malaysia Tanpa
Anwar”, di samping pelbagai makalah
lain.
Sekiranya saudara berpeluang
untuk menemubualnya, apakah satu soalan
penting yang hendak saudara tanyakan kepadanya?
Saya
cuma mahu melafazkan ucapan tahniah di
atas ketabahannya yang cukup luar biasa
menanggung segala keperitan yang dilaluinya.
Tiada soalan eksklusif. Kalau ada pun,
apa rahsia beliau menghadapi semua itu?
Anwar perlu dibiarkan menikmati kebebasan
yang selama ini dinafikan kepadanya. Beliau
tentu banyak berfikir dan merancang, selama
beliau ditahan, kita hanya perlu bersabar
menunggu untuk melihat apa aksi politiknya
selepas ini.
Baiklah,
apakah saudara telah menduga bahawa Anwar
akan dibebaskan dalam penghakiman Mahkamah
Persekutuan baru-baru ini?
Walaupun
khabar tentang pembebasannya sudah disebarkan
dua minggu sebelum 2 September, namun,
saya seperti orang lain juga, tidak mahu
dikecewakan lagi. Sudah acap kali kita
diberikan harapan setiap kali penghakiman
penting Anwar, tapi akhirnya hampa. Kehakiman
kita cukup kuat diikat kemahuan pihak
eksekutif, khususnya Perdana Menteri.
Hanya selepas elit politik melihat tiada
problem besar kalau Anwar dibebaskan,
maka barulah impian kita untuk melihat
‘cahaya di hujung terowong’
berhasil.
Ramai
yang berpendapat bahawa pembebasan Anwar
ini telah mencerminkan integriti badan
kehakiman negara yang sebelum ini dilihat
amat bobrok sekali. Malah, para pemimpin
politik pembangkang mengalu-alukan peristiwa
ini dengan menyifatkan sebagai proses
yang mengukuhkan lagi demokrasi negara.
Justeru, bagaimana saudara melihat perkara
ini?
Yang
sedihnya, Anwar ditangkap, dibicara dan
dipenjarakan kerana kehendak penguasa,
waktu itu Dr Mahathir Mohamad, bukan berdasarkan
fakta keterangan dan undang-undang. Dan
sekiranya beliau dibebaskan juga kerana
kemahuan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad
Badawi, dan bukan semata-mata fakta kes,
maka saya turut bersedih. Maknanya, hakim-hakim
masih tidak bebas menentukan penghakiman,
mereka perlu melihat isyarat dari pihak
eksekutif.
Apa
pun, menyedari Pak Lah tidak campur tangan
dalam kes ini - walaupun difahamkan pihak
lain, termasuk Dr Mahathir, telah berusaha
keras menekan hakim-hakim sehingga pagi
pada 2 September itu – sudah sepatutnya
kita mengharapkan ia sebagai permulaan
kepada era baru sistem kehakiman negara
yang bebas. Saya lebih suka melihat aspek
positif biarpun jelaga hitam masih membungkus
sistem kehakiman kita. Ada unsur keterbukaan
dalam diri Pak Lah yang harus dimanfaatkan.
Lumpur
yang dipalitkan Dr Mahathir ke atas badan
kehakiman sudah dimulakan lama sebelum
Anwar dianiayai, terutama ketika beliau
berdepan dengan hakim-hakim berwibawa,
dalam kes yang membabitkan hidup-mati
kerjaya politiknya. Kita belum lupa bagaimana
Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah
Agung dipecat, ekoran rayuan Umno 11 berhubung
pengharaman Umno, pada 1988.
Pembebasan
Anwar hanya isyarat awal kepada satu proses
panjang bagi memulihkan wibawa badan kehakiman
kita. Pak Lah harus menunjukkan komitmennya
bahawa beliau bersedia menerima apa saja
penghakiman, tanpa mempengaruhinya, biarpun
nanti ia tidak memihak kepadanya.
Apakah
impak terbesar di sebalik pembebasan Anwar
terhadap lanskap politik Malaysia selepas
ini?
Anwar
adalah insan luar biasa yang tidak boleh
direndahkan kemampuannya untuk mendefinisikan
semula percaturan politik negara. Ringkasnya,
gelanggang politik yang kini dilihat tidak
bermaya selepas kemenangan besar BN, Mac
lalu, akan menjadi lebih bergelora, lebih
menarik.
Biarpun
suasana sekarang jauh berbeza daripada
senario 1998, namun ramai beranggapan
ada arus deras di bawah permukaan yang
nampak tenang. Ia hanya memerlukan ‘seorang
Anwar’ untuk menjadikannya kembali
meriah dan bergelombang. Rasanya, kita
tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikannya.
Cakap-cakap
umum mula kedengaran bahawa Anwar berkemungkinan
akan kembali menyertai UMNO. Justeru,
bagaimana saudara melihat masadepan politik
Anwar samada terus kekal dalam wadah pembangkang
atau kembali ke pangkuan UMNO? Begitu
juga, bagaimana pula dengan nasib Parti
Keadilan?
Saya
tertanya-tanya, mengapa pemimpin atasan
Umno, termasuk timbalan presidennya, Najib
Razak, perlu gusar dan nampak gabra dengan
pembebasan Anwar. Bekas TPM itu belum
pun melakarkan dengan jelas kerjaya politiknya,
selain menegaskan dia akan bersama teman-teman
dalam pembangkang dan NGO.
Dari
kenyataan-kenyataannya selepas dibebaskan,
Anwar nampak cukup berhati-hati apabila
bercakap mengenai rencana politiknya.
Beliau seperti terbuka kepada semua kemungkinan.
Enam tahun beliau keseorangan, saya kira
ia cukup lama untuknya melihat apa yang
terbaik buat dirinya, keluarga, bangsa
Melayu, umat, tanahair dan juga dunia
keseluruhannya. Anwar di lihat aset yang
tidak wajar diketepikan bukan oleh negara
ini tetapi juga di peringkat lebih tinggi.
Di
samping peranan penasihat setianya, juga
teman-teman pemimpin pembangkang, selain
pengaruh reformis yang banyak berkorban,
bagi saya, rakyat seluruhnya mampu menentukan
rentak politik Anwar. Beliau pasti mengambil
kira semua sektor itu. Anwar pada 2004
sudah tentu jauh berbeza dengan Anwar
1982. Saya doakan beliau istiqamah atas
jalan yang benar. Pengalaman berkaca 16
tahun bersama Umno mungkin banyak mendewasakannya,
siapa kawan, siapa lawan dan siapa teman
ketika susah.
Anwar
adalah pelopor kepada gerakan reformasi
di negara pada tahun 1998. Dan, tidak
dapat dinafikan bahawa gerakan reformasi
banyak memainkan peranan penting dalam
usaha untuk membebaskan Anwar. Jadi, dengan
pembebasan Anwar ini, aktivis-aktivis
reformasi mungkin kehilangan idea atau
tonik untuk meneruskan perjuangan. Bahkan,
ada yang menjangkakan gerakan reformasi
ini akan berkubur. Benarkah begitu?
Biarpun
gerakan reformasi memperjuangkan bukan
setakat pembebasan Anwar, namun itulah
inti kepadanya. Dan saya kira tidak banyak
yang dibincangkan bagi memberi makna menyeluruh
kepada tuntutan perubahan itu. Tiada seminar
dan diskusi serius tentangnya; ia lebih
banyak ditandai oleh aksi-aksi protes
di jalanan. Perisytiharan Permatang Pauh
yang digariskan Anwar enam tahun dulu
pun tidak dihiraukan.
Saya
percaya Anwar boleh menyegarkannya kembali,
mungkin kepada satu tahap yang tidak difikirkan
oleh kita. Namun Anwar tidak boleh merubah
segalanya. Semua peringkat rakyat, termasuk
dalam Umno, harus berani melakukan anjakan
paradigma. Anwar sendiri mengatakan, dalam
meneruskan agenda reformasi, beliau bersedia
berkerjasama dengan Perdana Menteri Abdullah,
biarpun dalam banyak hal lain mereka berbeza
pandangan.
Anwar
dilihat oleh ramai pihak adalah tokoh
yang bersih, berkarismatik dan menjadi
harapan rakyat (atau pembangkang) untuk
memimpin negara ke arah sebuah negara
yang adil dan demokratik. Adakah saudara
percaya bahawa Anwar adalah pemimpin terbaik
untuk menerajui negara ketika ini?
Dalam
dunia tanpa sempadan, cabaran dan asakan
semakin sengit. Pemimpin negara kita harus
berkemampuan merempuh dugaan itu. Secara
peribadi, saya tidak meletakkan kriteria
yang terlalu tinggi kepada sesiapa yang
mahu menerajui negara. Kadang-kadang pemimpin
yang terlalu karismatik pun boleh menjahanamkan
dirinya sendiri, juga membawa negara ke
jurang kehancuran.
Saya
kira, biarpun Pak Lah dilihat baik, mesra
rakyat, mahu menghapuskan rasuah, tidak
mementingkan golongan taukeh, namun seperti
ada sesuatu yang kurang dalam susuk tubuhnya.
Pemimpin kanan Umno sendiri mengakui kekurangan
Pak Lah ini. Melihatnya melalui kaca TV
pun sudah dapat mengesan kelemahan semulajadi
Pak Lah. Ada kawan saya memberitahu, itulah
kelemahan orang yang jujur, tapi saya
tidak setuju seratus peratus dengannya.
Dalam
kekurangan Pak Lah itu - tanpa mengetepikan
kekuatannya - tampil susuk tubuh Anwar
Ibrahim, yang sarat dengan ‘PM material’.
Sekurang-kurangnya itu persepsi majoriti
rakyat, juga ahli-ahli Umno, dan dalam
politik persepsi merupakan antara unsur
terpenting.
Soalan
terakhir, harapan saudara secara peribadi
terhadap Anwar dalam pentas politik tanahair?
Banyak
yang perlu dilakukan untuk membuat perubahan
dalam negara ini. Dan banyak pula sektor
penting dalam sistem bernegara yang dirosakkan
sejak dua dekad lalu. Kita perlu masa
bertenang bagi melihat secara keseluruhan
apa yang telah berlaku selama ini. Kita
tidak perlu terlalu agresif menyusun tindakan
sebelum memahami realiti.
Ramai
menyedari hakikat ini, sama ada dari dalam
parti pembangkang mahupun parti pemerintah.
Namun, tidak ramai mampu memecah kebuntuan
ini; kita seperti kehilangan punca, tidak
tahu dari mana harus memulakan, atau bertindak
seperti tikus membaiki labu. Kebendaan
cukup menghimpit dan mengasak dari segenap
sudut. Agama dipinggirkan. Saya kira Anwar
boleh membantu mencerahkan kegelapan itu,
namun tidak semua harus digalaskan ke
bahunya. Semua pihak harus pro-aktif membina
kembali Malaysia baru.