Anwar
Ibrahim: Amerika bermain dengan api
UmmahOnline
Team
11:00am 26 Sept 2004
Anwar
Ibrahim merupakan ikon kepada gerakan
reformasi di Malaysia. Satu nama yang
disegani dan digeruni oleh kawan dan lawan,
sekurang-kurangnya dalam konteks politik
Malaysia. Umum sedia maklum, selepas dibebaskan
pada 2 September 2004, beliau telah bergegas
(dan masih) mendapatkan rawatan di Munich,
Germany bagi merawati derita tulang belakang
yang sekian lama dialaminya. Lantaran
itu, sebagai personaliti yang sarat dengan
pelbagai pengalaman - dalam pergerakan
Islam (lokal dan global), kepimpinan parti
politik dan kerajaan serta mendekam di
penjara selama enam tahun - maka sudah
tentunya kini beliau ada menyimpan khazanah
pengalaman yang menarik untuk dikongsi
bersama kita.
Bertitik
tolak dari hasrat ini, maka baru-baru
ini, UmmahOnline Team telahpun berjaya
mendapatkan temubual (via telefon) dengan
Anwar Ibrahim di Munich khususnya untuk
menyoroti beberapa keaslian pandangan
beliau terhadap isu-isu yang sememangnya
begitu akrab dengan reputasi Islam dan
Ummah secara global. Dalam temubual tersebut
ada beberapa intipati yang menarik. Ini
termasuklah seruannya kepada seluruh dunia
Islam dan Barat agar tampil menyemarakkan
kembali dialog antara-agama dan dialog
antara-peradaban - yang kini seolah-olah
telah dilupakan. Begitu juga dengan kesan
negatif daripada arus globalisasi yang
turut sama dihimbaunya, di samping melontarkan
rumusan terkini mengenai dilemma yang
dihadapi oleh sistem ekonomi Islam dan
mengutarakan teguran terhadap sikap agresif
Amerika Syarikat terhadap Iraq dan Afghanistan.
Selain
daripada itu, Anwar turut menyampaikan
mesej khas kepada para pelaku di sebalik
tindakan keganasan yang berterusan di
Indonesia - yang disifatkannya sebagai
tindakan yang langsung tidak mempunyai
tempat dalam Islam. Dalam temubual ini
juga, Anwar turut mengambil peluang untuk
mengkritik pendirian dan tindakan negara-negara
ASEAN yang dilihat oleh beliau sebagai
telah cuba mengambil kesempatan dengan
menggunakan akta draconian (tahanan tanpa
bicara) di negara masing-masing sambil
berdalilkan bahawa ia tindakan yang selari
dengan agenda 'Perang Menentang Keganasan'
sepertimana ditaja oleh Amerika Syarikat.
Namun
begitu, apa yang paling mengugah hati
nurani kita sepanjang temubual ini dijalankan
ialah, bilamana beliau berkongsi pengalaman
dan rintihan peribadi yang perit dilaluinya
selama enam tahun. Di sana beliau keseorangan
dan kesepian, tidak seperti lazimnya.
Namun sepertimana yang diungkapkan oleh
Ahmad Lutfi Othman ketika temubual UmmahOnline
Team dengannya sebelum ini, Anwar berjaya
meredah segala ujian yang maha hebat tersebut.
Cuma, mungkin kita tertanya-tanya, apakah
rahsia kekuatan beliau tersebut? Jadi,
sementelah menikmati kebebasan yang terbentang
luas ini, apakah pula perasaan dan penghayatan
beliau terhadap nilai kebebasan yang diragut
daripadanya selama ini? Kemana pula halatuju
karier politik beliau? Untuk butiran yang
terperinci mengenai temubual eksklusif
ini, silalah ikuti rakaman dibawah:-
Selepas
pembebasan anda, beberapa kali anda melahirkan
minat untuk memainkan peranan di dalam
dialog antara-agama dan antara-peradaban.
Kuasa-kuasa Barat juga dilihat sedang
cuba untuk membina jambatan budaya dengan
negara-negara lain ekoran bencana yang
melibatkan Afghanistan dan Iraq. Tetapi
sekiranya dialog ini mahu mempunyai kesan
yang lama dan utuh, maka ia seharusnya
berdepan dengan realiti politik, struktur
dan ekonomi yang setakat ini belum pernah
ada seorang pun pemimpin Islam yang berjaya
mengutarakan persoalan tentang perbezaan
kuasa dan ketidakadilan ekonomi di antara
negara maju dengan negara membangun. Sejauh
manakah harapan anda untuk membawa perubahan
ini?
Dialog
tidaklah boleh dimulakan dengan membincangkan
perkara yang tidak relevan. Adalah naif
sekali jika kita beranggapan bahawa dengan
berdialog, maka ia akan membenarkan kita
memisahkan diri dari realiti terutamanya
dari aspek institusi dan struktur. Dialog
tidak sepatutnya mempunyai maksud untuk
memisahkan diri dari persoalan yang mendesak
ini, tetapi sebaliknya ia merupakan suatu
cara untuk merapatkan diri dengan mereka
secara yang lebih realistik dan bernuansa.
Namun
begitu, adalah salah bagi kita untuk menganggap
bahawa negara-negara yang sedang membangun
sepatutnya menjadikan diri mereka lebih
baik dan lebih aman dengan sendirinya.
Sehingga hari ini, masalah-masalah seperti
rasuah yang berleluasa, undang-undang
yang lemah dan ketiadaan demokrasi di
negara-negara membangun ini telah menyumbang
kepada masalah kemiskinan dan penghakisan
hak asasi manusia.
Dialog
merupakan satu cara untuk kita menukar
persepsi kita dan mendapatkan perspektif
yang lebih jelas mengenai isu-isu ini
dari pelbagai sudut agar kita dapat mencapai
kefahaman yang lebih baik. Berkenaan peranan
dan kedudukan saya, secara peribadi, saya
tidak pernah meminta hak yang istimewa
dan kedudukan sebagai pemimpin. Saya juga
bukanlah jurucakap kepada sesiapa. Apa
yang saya percaya dan katakan sebelum
ini adalah; dialog adalah sangat di perlukan
di dunia muktakhir ini. Sehubungan dengan
itu, adalah lebih baik bagi kita (negara-negara
membangun) untuk berusaha mencapai persefahaman
dengan Barat serta memahami kesilapan
kedua-dua belah pihak. Saya ingin menegaskan
pendirian saya di sini bahawa dialog adalah
suatu cara untuk kita memartabatkan agenda
mengenai hak asasi manusia, demokrasi,
pembasmian kemiskinan, keadilan sosial
dan masyarakat sivil diseluruh dunia.
Langkah ini bukanlah bermaksud untuk membenarkan
sebelah pihak sahaja yang menguasai atau
mempengaruhi pihak yang lain. Sebaliknya,
kita semua harus menumpukan pemikiran
kepada nilai-nilai asas, manakala nilai-nilai
ini juga merupakan nilai-nilai asas dalam
Islam yang kita sanjungi.
Susulan
daripada persoalan di atas yang telah
menyentuh mengenai globalisasi dan ketidakadilan
sosial, bagaimana anda menimbangkan isu
ini dan mengapa pula anda membuat tanggapan
bahawa negara-negara membangun setakat
ini masih gagal untuk mengubah struktur
global yang ada pada masa kini?
Globalisasi
adalah bersifat serampang dua mata bagi
sesiapa yang menguasainya. Namun begitu,
harus di ingat bahawa hingga setakat ini
hanya kesan negatifnya sahaja yang telah
dirasai di seluruh dunia, dan sebaliknya
adalah salah untuk kita mengatakan bahawa
globalisasi secara keseluruhannya hanya
memberi faedah kepada Barat semata-mata.
Kita harus ingat bahawa globalisasi telah
mencetuskan huru-hara bukan sahaja di
negara-negara maju bahkan juga di negara-negara
membangun. Lihat sahaja pada rakyat-rakyat
di negara Eropah dan Amerika Syarikat
yang miskin. Apakah faedah yang telah
mereka perolehi?
Kita
perlulah ingat bahawa globalisasi telah
wujud dengan kita selama ini. Ia bukanlah
baru dicipta semalam. Muslim hari ini
sememangnya begitu khuatir akan globalisasi,
dan kekhuatiran mereka adalah bersandarkan
alasan yang betul. Tetapi Muslim perlu
juga menghimbau kembali ketika era di
mana ketamadunan Islam berada di kemuncaknya,
mereka merupakan penggerak kepada proses
globalisasi tersebut. Barat tidak mencipta
globalisasi, sebaliknya mereka hanya memperbaharuinya
sahaja.
Tetapi
yang menjadi pemangkin kepada proses-proses
ini adalah mereka yang mempunyai kuasa
dari segi kewangan dan pelbagai agensi
korporat. Fasa semasa bagi globalisasi
inilah yang di lihat tidak adil secara
semulajadinya kerana ia hanya mementingkan
mereka yang kaya dan berkuasa sahaja.
Namun, seperti yang telah saya nyatakan,
mangsa kepada arus globalisasi semasa
bukan sahaja terdapat di negara-negara
membangun tetapi juga terdapat di Barat.
Negara-negara
Islam terutamanya adalah agak obses dengan
perkara-perkara seperti ‘ekonomi
Islam’, ‘kewangan Islam’
dan sebagainya. Tetapi seperti yang anda
sedia maklum, rasuah, nepotisme dan ketidaktelusan
adalah fenomena lazim di dalam ekonomi
umat Islam. Adakah ungkapan tentang ekonomi
Islam ini semuanya retorika semata-mata?
Adakah kerajaan Islam benar-benar memahami
tentang mekanik dan dinamik mengenai situasi
ekonomi global ini?
Ini
adalah isu yang selamanya perlu diberi
perhatian. Tiada kesalahan di dalam membentuk
rangka kerja bagi sistem ekonomi Islam,
selagi mana ia bertujuan untuk agenda
reformasi demi kepentingan keadilan sosial,
ekuiti dan kebajikan – yang mana
agenda ini juga merupakan matlamat Islam
itu sendiri. Ini kerana, tujuan utama
ekonomi Islam ialah untuk membina sistem
ekonomi yang sesuai dengan permintaan
moral dan spiritual Islam yang universal.
Semua ini adalah bermaksud untuk membina
satu sistem ekonomi Islam dimana matlamat
akhirnya adalah untuk melihat umatnya
sebagai penyumbang kebaikan. Sistem ekonomi
Islam tidak seharusnya dilihat sebagai
agenda bagi mengalih isu ketidakadilan
sosial – bilamana kuasa sesuatu
rejim itu berada di dalam krisis.
Justeru,
di mana yang dikatakan kegagalan ekonomi
Islam, dan juga di mana serta bila ia
menjadi kosmetik sahaja? Ia sebenarnya
berpunca daripada institusi dan struktur
ekonomi itu sendiri, dan sebarang perubahan
yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan
segelintir pihak sahaja. Maka, adalah
amat mendukacitakan bagi kita kerana inilah
yang menjadi punca mengapa pada dewasa
ini ekonomi Islam (di dalam masyarakat
Islam) hanyalah merupakan satu tarikan
bagi memenuhi hasrat peribadi agar ia
kelihatan lebih religius. Tetapi realitinya,
kemiskinan dan ketidakadilan sosial di
kalangan masyarakat Islam mereka masih
berleluasa. Tiada gunanya kita mempunyai
institusi Islam yang bersifat kosmetik
selagi mana sistem ekonomi itu sendiri
tidak mengutamakan isu sebenar seperti
kemiskinan, kekurangan pendidikan, penindasan
hak dan sebagainya.
Bagi
saya, matlamat ekonomi Islam adalah untuk
mengurangkan kemiskinan, ketelusan, keadilan
sosial dan menguruskan ketidakaturan serta
ketidakadilan dalam sistem ekonomi global.
Apabila negara Islam gagal untuk menangani
isu yang sebenar, maka mereka selalu mengambil
pendekatan yang bersifat kosmetik supaya
ia kelihatan lebih islamik walhal mereka
adalah sebaliknya.
Kerajaan
Amerika Syarikat sekarang kelihatan agak
gementar dengan apa yang telah mereka
cipta seperti kumpulan Taleban yang sebelum
ini disokong oleh Amerika di Afghanistan,
tetapi sekarang mereka sudah tidak dapat
mengawalnya lagi. Apakah peranan yang
dapat dimainkan oleh pemimpin Islam seperti
anda bagi menangani realiti yang kompleks
ini?
Bukan
kerajaan Amerika Syarikat sahaja yang
patut gementar. Sebaliknya, kita sebagai
Muslim juga patut mengambil berat mengenai
perkara ini. Kita sepatutnya bimbang tentang
bagaimanakah keganasan yang tidak berakal
ini boleh muncul di kalangan kita, berkembang
di antara kita dan merekrut ahlinya juga
dari kalangan kita juga. Kemunculan pelbagai
kumpulan seperti Taleban sebenarnya telah
menimbulkan banyak persoalan penting serta
cabaran untuk kita di dunia Islam ini.
Bagaimanakah nilai dan kepercayaan yang
kita pegang teguh selama ini telah dipesongkan
lalu berakar di kalangan masyarakat kita?
Terdapat
desakan agar perlunya bagi kita memuhasabah
diri kita dan bertanya, bagaimanakah dan
mengapakah masyarakat serta sistem politik
kita boleh membenarkan perkara seumpama
ini terjadi? Bagi saya, ketiadaan demokrasi,
ketelusan dan dialog di kalangan dunia
Islam adalah salah satu faktor utama yang
mendorong perkara-perkara seumpama ini.
Tetapi faktor luaran turut bertanggungjawab;
dan jelas sekali bahawa kerajaan Amerika
telah bermain dengan api apabila tidak
mengendahkan bahaya serta implikasi yang
mungkin terjadi sekiranya mereka cuba
untuk menguasai dan memperalatkan kumpulan-kumpulan
Muslim. Tindakan ini akhirnya akan menimbulkan
perperangan di antara satu sama lain.
Ini
adalah sebab mengapa sangat penting buat
kerajaan Amerika dan Barat untuk mengambil
bahagian dalam dialog yang berkala dan
terbuka kerana; manipulasi seperti ini
(sokongan Amerika terhadap Taleban) boleh
membawa kepada huru-hara sepertimana yang
kita dapat lihat sekarang ini di Afghanistan.
Saya amat risaukan masa depan Afghanistan
kerana setakat ini tiada jawapan yang
mudah terhadap masalah-masalah yang ada
di sana yang kini menjadi kian rumit di
mana setelah berdekad mereka berada di
dalam konflik, helah, muslihat dan manipulasi.
Asia
Tenggara sekarang telah dilabelkan sebagai
medan pertempuran kedua (second front)
di dalam ‘Peperangan Menentang Keganasan’
yang di taja oleh Washington. Indonesia
telah dikecam teruk akibat pengeboman
Bali, Marriott, dan terbaru pengeboman
di Kedutaan Australia pada baru-baru ini.
Adalah amat sukar untuk mempercayai semua
yang kita dengar mengenai Jamaah Islamiyah
kerana kita tahu bahawa kebanyakan daripada
maklumat ini datangnya daripada tentera
dan polis rahsia negara-negara ASEAN.
Tetapi, jika benar Jamaah Islamiyyah benar-benar
bertanggungjawab terhadap serangan-serangan
ini, apakah yang ingin anda sampai mereka?
Apakah rayuan anda kepada mereka? Apakah
mesej anda kepada kumpulan-kumpulan seumpama
itu yang terdapat di ASEAN dan di seluruh
dunia Islam?
Saya
tidak mempunyai jawapan kepada persoalan
penglibatan Jamaah Islamiyah lantaran
terlalu banyak maklumat yang telah diterima
yang boleh dipertikaikan dan dari sumber
yang tidak telus. Tetapi, mesej saya kepada
mereka ini - walau sesiapapun mereka -
ialah: dengan nama Allah, apakah perjuangan
yang sedang anda fikirkan dan terhadap
siapakah perjuangan itu anda ditujukan?
Kerana apa yang sedang anda lakukan sekarang
adalah bukannya perang ataupun jihad.
Sebaliknya, pembunuhan insan-insan yang
tidak berdosa dan ini adalah merupakan
satu tindakan yang tidak boleh diterima.
Tindakan seperti ini tidak mempunyai tempat
dalam Islam dan haram sepertimana yang
telah diungkapkan oleh para ulama’.
Jadi apakah yang anda fikir anda sedang
lakukan? Bagaimanakah tindakan seperti
ini dapat membantu umat Islam, dan reputasi
serta imej Islam?
Saya
tujukan kata-kata ini kepada mereka yang
telah melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan
tersebut, kerana seperti yang telah saya
nyatakan, hanya sedikit sahaja yang kita
ketahui mengenai kumpulan-kumpulan yang
terlibat manakala kerajaan-kerajaan negara
ASEAN tidak bersedia untuk membuka hasil
siasatan mereka secara terbuka. Nemun
begitu saya amat terkejut dan tersentuh
dengan tragedi yang telah terjadi.
Berikutan
dari persoalan tadi, Perang Menentang
Keganasan di ASEAN telah menyebabkan hak
asasi manusia dan nilai demokrasi terhakis.
Hal ini jelas kelihatan dalam undang-undang
yang digunakan di Malaysia, Indonesia,
Singapura, Thailand dan Filipina. Apakah
reaksi anda terhadap perkembangan ini
dan bagaimanakah anda menangani situasi
ini?
Kengerian
yang telah kita saksikan di ASEAN sejak
beberapa tahun kebelakangan ini memang
mengejutkan majoriti moral yang terdapat
di dalam komuniti Muslim. Seperti yang
telah saya nyatakan, kita tidak boleh
lagi mengabaikan persoalan pembangunan
di dalam masyarakat kita. Tetapi kita
juga tidak boleh melawan kumpulan-kumpulan
anti-demokrasi ini berserta kecenderungannya
dengan undang-undang yang berbentuk penindasan
dan drakonian ini. Kerajaan ASEAN tidak
boleh menggunakan penindasan dan ketidakdemokrasian
ini sebagai alat atau hujah terhadap Perang
Menentang Keganasan yang ditaja oleh Amerika
Syarikat bagi mencapai hasrat mereka serta
melenyapkan segala bantahan ramai. Kita
perlu mencari punca kepada pemasalahan
ini dan bagi saya, ketiadaan budaya demokrasi
dan masyarakat sivil yang bertanggungjawab
serta bertoleransi merupakan punca masalah
ini. Apa yang kita perlukan ialah masyarakat
yang dinamik dan berfikiran terbuka. Ini
adalah bagaimana seseorang itu memenangi
perjuangan untuk minda dan hati. Anda
tidak boleh memenangi hati masyarakat
ini dengan menggunakan kaedah yang zalim
seperti penahanan tanpa bicara dan undang-undang
yang represif.
Berkaitan
dengan perjuangan untuk hati dan minda,
Barat sekarang mahu menggalakkan apa yang
dipanggil sebagai Islam moderat. Tetapi
seperti apa yang di dedahkan di dalam
laporan RAND oleh Cheryl Bernhard, apa
yang mereka betul-betul maksudkan ialah
Islam yang pasif, yang tidak mengancam
ekonomi, tentera dan matlamat politik
serta cita-cita Amerika Syarikat. Sesetengahnya
turut memperkatakan tentang usaha untuk
membuatkan Muslim agar berperang sesama
sendiri bagi melemahkan momentum pergerakan
Muslim global. Tidakkah anda berasa bimbang
tentang usaha ini? Bagaimanakah reaksi
anda, kerana anda juga kadangkala dirujuk
sebagai ‘model pemimpin Islam yang
moderat’?
Izinkan
saya untuk menyatakan pendirian saya sekali
lagi tentang perkara ini. Saya tidak dan
tidak akan meminta kedudukan sebagai pemimpin
di dalam komuniti Islam. Saya hanya ingin
mengungkapkan pandangan dan kepercayaan
saya berteraskan kepada nilai-nilai yang
saya dukungi dengan teguh dan ia amat
saya sanjungi. Apa yang saya mahu adalah
untuk menjadi sebahagian daripada debat
global yang telah dilenyap dan ditangguhkan
terlalu lama di antara dunia Islam dan
Barat.
Tentang
laporan RAND yang telah anda nyatakan
tadi, ia perlu di ambil perhatian bahawa
fenomena ini bukanlah perkara yang baru.
Penggunaan label-label dan definasi seperti
‘Islam yang moderat’ bagi
menilai, menahan dan mengawal Muslim bukanlah
sesuatu perkara yang baru. Kerana itulah
saya amat berhati-hati dengan label dan
klasifikasi seperti itu. Tidak dapat dinafikan
lagi bahawa objektif mereka adalah sama
iaitu untuk memecahbelahkan umat Islam
menurut klasifikasi tertentu dan kemudiannya
menahan dan mengawal mereka.
Beberapa
cendikiawan Barat mungkin mahu menggunakan
strategi itu, tetapi perlu dipertegaskan
di sini bahawa tiada variasi Islam baru
yang boleh dicipta di samping tiada juga
bentuk Islam khusus yang boleh dicorak
dan dipaksa dari kekuatan luar.
Namun,
kita juga tidak seharusnya menipu diri
sendiri. Muslim sebenarnya telah bersaing,
berkonspirasi dan melemahkan - secara
tidak sedar - sesama sendiri semenjak
sekian lama dan kita tidak memerlukan
peranan pihak luar untuk cuba melemahkan
kita. Strategi pecah dan perintah hanya
berkesan terhadap Muslim kerana kita sebenarnya
sememangnya telah berpecah. Itulah sebab
mengapa Islam zaman ini harus menangani
masalah dan kelemahan sebenar di dalam
masyarakat mereka.
Kita
perlu mengetengahkan masalah-masalah penyalahgunaan
kuasa, rasuah, kekurangan pendidikan,
ketidakadilan sosial dan sebagainya yang
telah menyelubungi kita sejak sekian lama.
Tanpa menghiraukan pelbagai usaha-usaha
Barat untuk melaga-lagakan umat Islam
sesama sendiri, di dapati bahawa kegagalan
kita untuk memperbaiki masalah struktur
dalaman masyarakat yang telah mendedahkan
kita kepada manipulasi luar dan lantas
ia menyebabkan kita mula merasai bahang
terhadap pemecah-belahan politik.
Mengapakah
pergerakan-pergerakan Islam gagal mengesan
kegagalan dan kelemahan di dalam masyarakat
mereka sendiri? Adakah pada pendapat anda
mereka perlukan pendekatan secara lebih
progresif yang radikal iaitu seperti menangani
pemasalahan kemiskinan, rasuah, ketenteraan
dan sebagainya daripada terbuai dengan
nostalgia, ortodoksi atau pendekatan dogmatik
yang lapuk?
Kita
perlulah merasa rendah diri untuk mengaku
bahawa kita telah gagal mencapai tahap
yang pernah kita letakkan kepada diri
kita sendiri. Tetapi kita juga perlu menyedari
bahawa pergerakan-pergerakan Islam di
seluruh dunia perlu berjuang menentang
regim yang zalim dalam persekitaran yang
tidak demokratik. Jadi kegagalan mereka
adalah disebabkan oleh kedua-dua faktor
iaitu dalaman dan luaran.
Ramai
orang di dunia ini melihat anda sebagai
pemimpin Islam yang moderat dan progresif
dan itu adalah aset anda yang kekal sehingga
sekarang. Bolehkah anda menyatakan visi
anda terhadap Islam yang progresif dan
masa depannya? Apakah yang patut menjadi
isu teras bagi projek Islam yang progresif?
Anti-rasisme? Anti-rasuah? Perjuangan
untuk demokrasi?
Seperti
yang telah saya nyatakan sebelum ini saya
tidak gemar akan label ‘Muslim moderat’,
‘Muslim progresif’ dan sebagainya.
Bagi saya salah satu dari contoh terbaik
untuk model pemimpin Islam ialah Sayyidina
Abu Bakar. Apabila beliau diberikan tanggungjawab
sebagai Khalifah Islam yang pertama, beliau
berulang kali menyatakan bahawa kuasa
sebenar masyarakat Islam terletak pada
masyarakat itu sendiri dan bukannya pada
beliau. Beliau menegaskan bahawa beliau
hanyalah penggerak kepada aspirasi rakyatnya
dan kuasa sebenar itu terletak di tangan
rakyat dan bukannya di tangan pemimpin
yang dipilih. Itulah yang sewajarnya kita
contohi berkaitan persoalan mengenai kuasa
menurut perspektif Islam.
Untuk
mengukur kejayaan mana-mana Muslim dalam
bentuk kepimpinannya, maka perlulah kita
melihat kepada hasilnya serta apa yang
boleh ia curahkan. Kejayaan seseorang
pemimpin Islam adalah melalui keupayaannya
untuk mengubah ke arah positif keadaan
hidup rakyat yang telah melantiknya menjadi
pemimpin. Apakah maksudnya kenyataan ini
di dalam konteks realiti masakini? Sebagai
permulaannya, ia bererti perubahan keadaan
sosio-ekonomi di populasinya dan memperbaiki
taraf hidup serta kebajikan rakyatnya.
Di samping itu, ia juga merupakan keadaan
persekitaran sosial di tempat mereka tinggal
dan ini secara tidak langsung akan membawa
kepada persoalan lain seperti toleransi
antara budaya, masyarakat majmuk dan masalah
prejudis dan diskriminasi.
Saya
setuju dengan anda bahawa rasisme adalah
isu yang telah lama diabaikan. Para ilmuwan
Islam banyak membincangkan tentang keadilan
dan universalisme di dalam Islam tetapi
mereka juga sepatutnya menghalakan arah
perbincangan mereka kepada realiti masa
ini. Sebagai contoh, apakah makna semua
ini dari segi hubungan antara kaum? Ada
fokus yang jelas dalam Islam yang menekankan
tentang hak samarata. Oleh itu, masalah
rasisme tidak mempunyai tempat di dalam
masyarakat Islam. Jadi pergerakan-pergerakan
Islam hendaklah berbincang tentang isu-isu
ini juga, mereka tidak boleh bersifat
rasisme atau berfikiran sempit di dalam
pendekatan dan politik mereka.
Akhir
sekalinya, mengenai perkara yang sedikit
peribadi, setelah 6 tahun, terbukti bahawa
dunia masih tidak melupakan anda. Dan
disebabkan kepada pemenjaraan anda-lah,
maka anda di lihat sebagai pemimpin yang
bersih dan tidak tercemar dengan pembangunan
politik di Malaysia dan seluruh dunia.
Bagaimanakah anda mengendalikan semua
harapan yang dibuat ke atas anda dan apakah
yang anda rasakan ia sebagai cabaran utama
dan tanggungjawab anda sekarang?
Secara
jujur, saya rasa khuatir dan bimbang.
Saya kini amat tersentuh dengan kebaikan
serta ingatan yang diperolehi oleh saya
semenjak dibebaskan. Tetapi saya juga
sedar akan harapan yang semakin tinggi
diletakkan di atas bahu saya. Saya tidak
pasti samada seratus orang yang sempurna
boleh mencapai apa yang diharapkan dari
saya, apatah lagi dari seorang individu
biasa seperti saya!
Kebebasan
telah menjadi keseronokan bagi saya, dan
buat masa ini saya sedang merasai kenikmatan
kebebasan yang telah lama hilang. Selama
6 tahun, kadangkala apabila mendekam seorang
diri, saya bersendirian dan tidak mempunyai
sesiapa sebagai teman bicara. Sekarang
saya sudah boleh berbual dan boleh bersama
dengan mereka yang saya sayangi, dan ini
adalah sesuatu yang sangat indah. Tetapi
saya juga menyedari bahawa selepas tempoh
ini saya perlu berbuat sesuatu, lebih
dari hanya menikmati kebebasan semata-mata.
Terdapat
banyak cabaran yang harus saya hadapi.
Maka, saya harus bekerja dengan lebih
kuat di samping mendapatkan pandangan
daripada rakan-rakan bagi menentukan tindakan
saya yang seterusnya. Kemudian, saya harus
membuat keputusan dengan penuh hati-hati
dan berfikir panjang mengenai bentuk dan
kesesuaian peranan saya. Ketika ini, saya
perlu menyesuaikan diri dengan perbualan
kerana saya tiada teman berbual untuk
suatu tempoh yang agak lama! Selain itu,
saya juga amat tersentuh hati dengan semua
sokongan dan simpati yang dihulurkan,
dan saya amat berterima kasih kepada mereka
semua.