Shaharir Zain: Ahli
akademik mesti artikulasikan ilmu dengan
massa
UmmahOnline
Team
10:30pm 23 Nov 2004
Dalam dunia akademia tanahair, nama Prof
Dr. Shaharir Mohamad Zain tidak perlu
diperkenalkan lagi. Profesor UKM ini bolehlah
dianggap sebagai mewakili mazhab “sains
Islam” di mana beliau telah mengemukakan
idea bahawa sains itu tidak bebas nilai;
dengan bergantung rapat pada konteks budaya
sesuatu bangsa. Idea-ideanya marak menerobos,
mendobrak dan menguasai kancah perbahasan
sains Islam di tanahair. Jika anda tidak
percaya, sorotilah saja pandangan beliau
dalam beberapa kertas kerja pentingnya
seperti ‘Simbiosis antara Sistem
Nilai dengan Tabii Matematik’, ‘Sains
Pribumi’ dan ‘PeMelayuan,
PengIslaman dan PeMalaysiaan ilmu sains
dan teknologi dalam konteks dasar sains
negara’. Nyata sekali idea-idea
yang beliau bentangkan memang bernas,
menarik dan menyegarkan.
Di samping itu, rekod pekhidmatan dan
kecemerlangan intelektualnya telah mendapat
pengiktirafan daripada banyak badan ikhtisas
tempatan dan antarabangsa seperti menjadi
Felo Institut Fizik Malaysia (FIFM) sejak
1978, Felo Akademi Sains Malaysia ( F.Ac.S.(M)
) sejak 1996, Felo Institute of Mathematics
and its Applications (FIMA)-UK sejak 1989,
Felo Islamic Academy (UK) sejak 1987 dan
Hon. Member MAAS (India) sejak 1993. Manakala
dalam organisasi yang bersifat akademik
pula, beliau telah melibatkan diri secara
aktif dengan Akademi Sains Islam Malaysia
(ASASI) dan Persatuan Sanis Matematik
(Persama) – kedua-duanya sebagai
Presiden.
Demikian juga, adalah tidak lengkap kalau
kita tidak berkongsi mengenai sumbangan
beliau terhadap fokus keilmuannya. Antara
sumbangan besarnya yang perlu disebutkan
ialah kejayaan beliau membina teori baru
dalam kefahaman mekanik kuantum menerusi
kamiran fungsian, membina formulasi teori
pengoptimuman multi-matlamat yang lebih
serasi dengan Islam, membina Lagrangean
baru bagi soliton yang memenuhi persamaan
KdV, menemui sistem nombor, angka serta
sistem sukatan Melayu, mengukuhkan gagasan
teori dan formula yang spesifik dalam
pempribumian dan pengIslaman ilmu terutamanya
dalam sains matematik serta yang terakhir
ialah membina model peruntukan sumber
universiti.
Namun apa yang perlu dipertegaskan disini
– bagi membezakan antara peranan
ahli akademik dengan intelektual –
ialah kegigihan dan keberanian beliau
dalam mengadunkan fahaman ilmu beliau
dengan keperluan dan kepentingan masyarakat.
Sekalipun terhambat dengan pelbagai kekangan
akta–akta yang dikenakan ke atas
kakitangan akademik, beliau tetap tegar
dalam menyuarakan pandangannya yang disifatkan
oleh beliau sendiri sebagai pandangan
yang berteraskan ilmu, bukannya pencak
politik! Soal kepentingan pendidikan dan
soal penegakan keadilan di tanahair telah
diperjuangkan beliau semenjak sekian lama
lagi, semata-mata atas kapasisti intelektual
beliau.
Justeru itu, dalam interbiu UmmahOnline
Team dengan beliau ini di pejabatnya pada
26 Oktober 2004, kami sebenarnya mahu
meninjau pandangan beliau dalam soal kebebasan
akademik yang kini dilihat kian lumpuh
dan tersudut. Inilah tema sebenar interbiu!
Namun kami turut menyedari, sebelum kami
pergi ke tujuan utama tersebut, maka adalah
amat perlu untuk kita soroti terlebih
dahulu sejarah kecemerlangan karier akademik
beliau; bagi mengukuhkan lagi kelayakan
beliau dalam memperbahaskan tema interbiu
ini. Justeru itu, interbiu ini bukan sahaja
merumuskan tema tersebut, sebaliknya ia
turut merangkumi autobiografi intelektualnya
secara langsung. Jadi sudah tentunya,
kesimpulan kami bahawa beliau memang melengkapi
gelaran intelektual – satu gelaran
yang mulia - bukannya sebagai ahli akademik
semata-mata (atau professor kangkung yang
kian bercambah kini!). Maka, tentunya
nilai intelektualisme seperti beliau ini
sepatutnya dibanggakan oleh kita semua
sebagai rakyat Malaysia!
Terlebih
dahulu, boleh berkongsi evolusi perkembangan
dunia akademik Prof hingga dewasa ini?
Pertamanya
saya ingin menyatakan bahawa latarbelakang
saya dalam dunia akademik ini bermula
pada tahun 1974 bila saya balik dari Australia
selepas menghabiskan pendidikan saya dalam
bidang matematik-fizik. Bidang ini orang
sering keliru kerana mereka ingat ia dua
bidang berbeza iaitu matemetik dan fizik,
sebaliknya ia sebenarnya merupakan matematik
dalam fizik. Dalam bidang seupama ini
ada dua aspek iaitu; satu aplikasi dan
satu lagi bagaimana untuk mendapatkan
idea baru matematik dari bidang fizik.
Jadi, bidang ini dia boleh serasi dengan
mana-mana bidang, cuma masyarakat sahaja
yang tidak faham.
Manakala
latarbelakang saya sebelum pergi Australia
ialah saya dianggap sebagai baya pertamalah
dalam aliran pendidikan Melayu; setelah
lulus peperiksaan khas yang ditawarkan
oleh UM untuk masuk UM sahaja. Kalau sekarang,
ia kira setaralah dengan STPM. Entah macamana
pada masa tersebut, kerajaan nak buat
eksperimen untuk cuba aliran melayu ini
samada boleh tak pergi belajar di seberang
laut dalam aliran Inggeris. Jadi dia ambil
beberapa orang di kalangan baya saya,
lebih kurang 5-6 orang begitulah untuk
buat ijazah pertama. Jadi dari situlah
saya dapat tawaran biasiswa untuk ke seberang
laut. Apabila balik ke sini pada masa
1974 itu, memang Malaysia pada ketika
itu bergolak dengan demostrasi Baling,
tetapi saya tak begitu mengikuti hingga
ia memang mengejutkan saya. Ketika di
Australia, saya terlibat dengan kegiatan
aktivis pelajar tetapi berkaitan dengan
isu seperti perperangan Amerika Syarikat
– Vietnam, perperangan Arab –
Israel dan beberapa lagi isu-isu yang
bersifat antarabangsa.
Di
sana Prof terlibat dalam front apa?
Hanya
dalam bentuk kegiatan pelajar semata-mata,
mungkin bolehlah di anggap terikut-ikut.
Saya bukannya pemimpin di sana. Kembali
Malaysia fokus saya berubah daripada terlibat
daripada isu antarabangsa. Dengan melihat
keadaan di Malaysia yang ketika itu di
mana gerakan keIslaman begitu hebat pada
masa tersebut, di mana kemuncaknya melalui
Anwar Ibrahim sebelum beliau masuk politik.
Jadi saya tertarik dengan isu-isu keilmuan,
bukan politik sangat; isu-isu keilmuan
yang dihubungkan dengan keIslaman. Jadi
pada masa itu, istilah pengIslaman ilmu
belum ada lagi, sekurang-kurangnya belum
sampai ke sini. Cuma ada istilah seperti
sains daripada perspektif Islam dan beberapa
lagi.
Di
Malaysia ini, rupa-rupanya saya tengok
sudah ada satu persatuan yang diberi nama
Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang
ditubuhkan tahun 1977. Ketika itu saya
baru tiga tahun di Malaysia, jadi kesempatan
itu saya ambil untuk masuk dalam gerakan
itu yang diasaskan antaranya oleh Osman
Bakar, walaupun pada awalnya beliau bersama
saya di UKM sebelum pindah ke UM. Pada
masa tersebut, beliau begiat dengan ABIM
sebagai setiausaha di samping cuba untuk
membentuk akademi baru ini dimana beliau
sebagai setiausaha manakala Mohd Azzman
Shariffadeen Tengku Ibrahim sebagai Presiden.
Kemudian selepas itu barulah Osman Bakar
mengajak saya menyertainya.
Di
Malaysia, kegiatan saya yang sesetengah
orang kata ia politik, sebenarnya tidak.
Semua fokus saya dikaitkan dengan ASASI,
malahan apabila saya aktif dalam Persatuan
Sains Matematik (Persama), saya cuba untuk
memasukkan idea menjadikan matematik lebih
dekat kepada Islam agar matematik itu
lebih menjadi sebahagian daripada budaya
kita. Ketika itu orang belum bercakap
perkara itu lagi, jadi saya perjuangkan
perkara ini sebagai perluasan terhadap
apa yang ada dalam ASASI. Jadi, kalau
ada keterlibatan saya dalam soal-soal
yang secara tidak langsung menyentuh isu
politik, adalah kerana saya lihat itu
ada hubungan dengan perkembangan ilmu
sains di Malaysia menurut perspektif Islam.
Dan sekarang saya menjadi Presiden ASASI
selepas Osman Bakar menarik diri apabila
beliau pergi ke Amerika Syarikat.
Apakah
detik-detik kritikal dalam karier, yang
Prof sifatkan period penting dalam dunia
akademik Prof. sendiri?
Dalam
bidang akademik ini, kemuncak kejayaan
saya bilamana saya mendapat Profesor pada
tahun 1983. Masa itu anugerah ini dianggap
satu percapaian yang bagus dimana umur
saya agak relatif mudalah untuk dapat
Profesor. Kemudian dalam tahun 1990-an,
saya banyak dapat pengiktirafan dari seberang
laut iaitu di UK di mana saya di lantik
sebagai felo. Bagi saya, itu sebenarnya
satu perhormatan yang tertinggi dalam
dunia akademik di mana menjadi felo kepada
satu institusi akademik dari negara maju
itu tentunya merupakan satu idaman semua
orang dalam dunia akademik. Jadi saya
dapat anugerah ini pada tahun 1989 sebagai
felo Institute of Mathematics and its
Applications (FIMA).
Kemudian,
saya juga mendapat beberapa pengiktirafan
daripada institusi yang ada kaitan dengan
Islam. Saya mendapat pengiktirafan felo
daripada Islamic International Institute
of Thouhgt (IIIT) yang sekarang ini terpaksa
diam, tetapi pada masa itu IIIT agak aktif
di New York dan dunia barat. Selain daripada
itu, saya turut dapat felo dari Islamic
Academy yang merupakan sebuah NGO Islam
yang menjadi sekutu kepada Cambridge dimana
Presidennya pada masa tersebut adalah
seorang Professor di Cambridge.
Kemudian
saya memperolehi satu lagi pengiktirafan
yang setara dengan felo dari kumpulan
ahli sains India dan Pakistan. Kumpulan
ini telah menubuhkan satu persatuan yang
dipanggil MAAS. Persatuan ini mempunyai
jurnal yang agak terkenal juga yang dikenali
sebagai Islamic Science Journal, dimana
saya juga selalu memberi sumbangan terhadap
jurnal tersebut. Di Malaysia, memang penghormatan
tertinggi terhadap saya bilamana dilantik
sebagai felo Akademi Sains yang ditubuhkan
pada tahun 1993. Itu saya perolehi pada
1994 di mana saya adalah ahli matematik
pertamalah yang mendapat anugerah felo
tersebut.
Apakah
tema ilmu dan karya-karya yang banyak
mempengaruhi Prof samada dalam dunia akademia
mahupun keIslaman?
Agenda
pengIslaman ilmu ini sebenarnya sudah
bermula lebih 30 tahun, kalau ia dikira
semenjak penubuhan IIIT lagi. Terutamanya
dalam bidang sains, boleh dikatakan belum
ada bentuk pendekatan teks falsafah Islam
lagi ketika tersebut. Ia masih belum ada,
dan itulah yang menjadi kekosongan besar.
Tetapi penulisan-penulisan dalam bidang
falsafah dan sejarah memang ada di Malaysia.
Itu sebab bidang ini tidak berkembang,
kerana para sarjana sendiri tidak terlibat
atau tidak berminat memandangkan mereka
fikir bidang ini agak lambat untuk mendapat
pengiktirafan. Bagi mereka, kerjayanya
makin malap jika terlibat dan bidang ilmu
yang berkaitan dengan Islam. Jadi karya
sains Islam amat-amat kosong. Kalau dalam
sains Islam, ia datangnya dari beberapa
orang sahaja yang kemudiannya disiarkan
dalam Jurnal ASASI iaitu Kesturi.
Buku
tentang tema ini belum ada ketika itu.
Jika buku yang saya tulis, saya masukkan
perisa sains Islam ini, yang saya olah
supaya nampak peranan Islam itu, meskipun
subjeknya biasa diajar di universiti-universiti.
Jadi pengolahan saya yang berbeza dengan
melihat dari segi Islam dan sebagainya.
Dalam kebanyakan karya berbentuk falsafah,
karya Hossein Nasr dan Syed Naquid seringkali
menjadi rujukan saya.
Dan
sekarang dunia falsafah termasuk falsafah
sains barat sekalipun, ia telah pergi
kepada spiritual. Karya-karya itu saya
baca; seperti kalau di Barat karya Thomas
Kuhn manakala yang Islaminya daripada
karya Hossein Nasr iaitu ‘cosmological
doctrine’ yang kini telah diterjemahkan
oleh DBP. Ia berkesan kepada saya, kerana
ia membantu bilamana saya terlibat dalam
ASASI ini, maka saya mencari-cari apakah
dia pendekatan yang disebut sebagai sains
Islam itu. Dan, buku ini menjawab sebahagiannya
daripada apa yang saya cari.
Manakala
buku Kuhn tentang bagaimana sains itu
berkembang. Saya berminat mengenai Kuhn
ini bilamana selepas membaca karya Hossein
Nasr. Sebelum saya baca buku Kuhn ini,
sebenarnya karya Hossein Nasr saya telah
baca dulu di mana Nasr banyak menyentuh
mengenai Kuhn. Kuhn menceritakan bahawa
sains ini bukannya berkembang tidak putus-putus.
Ia sebenarnya berkembang, melompat dan
kemudiannya putus. Inilah apa yang dikenali
‘paradigm’. Jadi, Kuhn perkenalkan
istilah ‘paradigm’ itu. Jadi,
jika buku tidak ada, mungkin saya tidak
dapat kekuatan untuk memperjuangkan sains
Islam kerana sains ia bermakna saya nak
membentuk paradigma baru, ada ke tak?
Jadi rupa-rupanya sains barat sudah berkembang
seperti itu. Maknanya daripada Yunani,
ia berkembang. Kemudian Islam mengambil
dan ubah paradigma dan seterunya berkembang.
Kemudian Eropah ambil dan berkembang serta
ubah paradigmanya.
Baiklah,
apa pandangan Prof pula mengenai tahap
kemajuan aliran sains tulen berbanding
sains sosial di Malaysia ini?
Dari
segi bidang sains tulen pula, saya rasa
Malaysia agak ke depan berbanding bidang
sosiologi, antropologi, ekonomi dan sebagainya.
Ini mungkin kerana di Amerika Syarikat
terdapat IIIT yang mana kebanyakan ahli-ahlinya
terdiri daripada aliran sains sosial ini.
Jadi buku-buku pendekatan Islam tentang
ilmu sains tulen ini tidak berapa saya
tumpulah sebab ia bukan bidang utama saya.
Tetapi buku-buku umum falsafah karangan
tokoh-tokoh besar, hampir kesemuanya saya
baca.
Berkait
dengan perjuangan ASASI, kenapa rakyat
tidak begitu terasa kesan kehadirannya?
Apa puncanya?
Sebenarnya
dalam ASASI sendiri, kita ada ahli lebih
kurang 200 sahaja, walhal ahli akademik
dalam bidang sains tulen lebih daripada
4000 orang di Malaysia, itu tidak termasuk
lagi dalam kejuruteraan, perubatan dan
lain-lain lagi. Kalau ahli cuma ada 200
orang sahaja, ia tidak dapat mencapai
bilangan genting bagi orang lain turut
merasa kesan persatuan ini.
Tetapi
kalau kita tengok persatuan Sister in
Islam (SIS) dan Pergerakan Keadilan Sedunia
(JUST), ahlinya tidak sampai seratus orang
kerana mereka ada ‘god father’.
Misalnya, kalau nak menyiarkan apa-apa
pendapatnya, suratkhabar senang sahaja
untuk siarkannya. Di sinilah pengaruh
media dan politik memainkan peranan yang
sangat penting. Kalau JUST itu, bukan
sahaja di Malaysia, tetapi dunia luar
sana turut melihat JUST memperjuangkan
agenda yang sama dengan mereka tentang
apa yang dimaksudkan dengan keadilan yang
mana tidak semestinya kita bersetuju semuanya
itu.
Manakala
SIS ahlinya mungkin sekitar 40 orang sahaja,
tetapi masyarakat begitu terasa ramainya
ahli persatuan ini sebab dia boleh masuk
dalam SUHAKAM dan MTEN atas nama SIS.
Bayangkanlah, ABIM tidak boleh masuk walaupun
ABIM lebih besar, tetapi SIS boleh! Jadi
sebenarnya persatuan tidak semestinya
besar, asalkan dapat menembusi institusi
berpengaruh ini. Dulu kegiatan Islam ini
ada ‘god father’ – Anwar
Ibrahim – jadi ia senang nak buat
aktiviti dan suratkhabar pun sedia menyiarkannya.
Sekarang malap, sebab dunia kini mengutuk
Islam jadi orang dalam pun dah menjadi
takut.
Dalam
soal kekangan kebebasan akademik, wujudkah
akta yang menjadi hambatan kepada para
ahli akademik di universiti-universiti
tempatan?
Akta
tatatertib Guru! Dalam akta ini ia meyatakan
bahawa setiap pensyarah tidak dibenarkan
untuk menerbitkan apa-apa, kecuali dengan
kebenaran Naib Canselor. Itu memang hambatan
yang besar sekali. Tetapi 99% sahaja pensyarah
tidak ikut itu. Gila ke, bilalah Naib
Canselor nak baca kesemua? Cuma peraturan
tu boleh digunakan bila-bila msa ada masalah.
Kalau sekiranya ada seorang menteri ke
yang baca benda yang dia tidak senang,
dia akan terus rujuk kepada Naib Canselor
yang kau lulus ke tak ni? Jika tidak,
maka kenalah. Sebab peraturan di sini
jelas
Jadi
tentu sekali Akta Tatatertib Guru ini
perlu dirombak kembali?
Memang,
sudah banyak tahun ia tidak dinilai kembali.
Memang patut untuk dihalusi dan di liberalkan.
Cuma apa yang berlaku sekarang, kebanyakan
orang tidak peduli atau ikut Tatatertib
Guru ini. Lagipun kebanyakan penulisan
akademik ini seperti penulisan laporan
makmal, takkanlah nak beri pada Naib Canselor
untuk baca. Dalam konteks ini, mereka
berani. Apa, nak tunggu baca dulu baru
nak diterbitkan?. Tetapi jika yang melibatkan
tafsiran, hubungan dengan masyarakat,
itu yang dirisaukan oleh pihak atasan.
Jadi dalam konteks ini pula, akhirnya
pensyarah tidak buatlah! Takut! Self sensation!
Dia takut pasal tatatertib guru inilah!
Bagaimana
pula dengan Akujanji?
Akujanji
juga memberi kesan, cuma ia mengingatkan
pensyarah kepada tatatertib itu sahaja
sebab dulu orang tak kisah. Pada saya
Akujanji ‘is nothing’. Kalau
tak ada Akujanji pun, kerajaan boleh ambil
tindakan kerana tatatertib Guru itu sudah
jelas. Banyak benda pensyarah tidak boleh
buat tanpa kebenaran Naib Canselor.
Berdasarkan
kepada pengalaman Prof sendiri; dari manakah
datangnya tekanan ke atas kebebasan akademik?
Tekanan
dari dalam, tetapi saya tahulah itu dari
luar juga. Cuma, kebiasaannya tindakan
dari dalam lebih awal daripada apa yang
diluar cakap!
Umum
menyedari Prof agak lantang dalam mengutarakan
isu-isu yang bersifat kemasyarakatan.
Namun hingga kini Prof masih di izinkan
kekal dalam institusi akademik kerajaan.
Jadi, apa kekuatan yang Prof ada untuk
mampu bertahan sehingga kini?
Saya
rasa sebab bidang akademik saya pun kuat.
Mereka susah untuk membuat tindakan yang
drastiklah. Maknanya, kalau intelektual
sahaja tapi tidak ada ‘substance’
dari segi akademik ia lebih mudah untuk
orang singkir, terutamanya dalam dunia
akademik ini. Cukup senang! Tapi saya
rasa susah, kalau seseorang itu dari segi
hasil penyelidikannya, dan kerjanya jauh
lebih baik dari mereka yang pro-kerajaan.
Ia tidak ada sebab yang kuat. Cuma bila
datang masanya, dia bolehlah disngkirlah
tetapi taklah begitu drastik, macam saya
tafsirkan tindakan universiti terhadap
saya yang tidak memanjangkan tempoh kontrak
saya sepanjang seperti rakan-rakan saya
yang lain. Memang itu sebahagian daripadanya,
tapi itu kita tak boleh ‘challenge’
sebab bila kita dah pencen, itu ehsan
institusi semata-mata samada mereka nak
ambil ke tidak. Jadi, kalau kita ahli
akademik ada perjuangan sesuatu benda,
maka kita kena kuatkan rekod akademik
serentak dengan perjuangan kita.
Cuma
kekadang timbul persoalan bahawa soal
perjuangan kebebasan akademik ini dilihat
agak ketinggalan berbanding dengan isu-isu
yang sekelasnya seperti kebebasan media,
hak asasi, hak bersuara dll. Apa komen
Prof?
Di
sini, masyarakat tidak beberapa faham
maksud kebebasan akademik. Kebebasan akademik
itu bermaksud ialah kebebasan untuk melahirkan
pendapatnya dalam sesuatu isu sahaja.
Bukannya untuk kita tunjuk perasaan atau
memberi pengucapan umum bagi menyatakan
sesuatu pandangannya. Kebebasan akademik
ini memberi ruang untuk kita nyatakan
pendirian kita dalam seminar dan penulisan,
itu yang penting. Bukan nak jadi macam
ahli politik. Kalau dulu, saya difahamkan
bahawa pensyarah UM boleh masuk calon
pilihanraya tanpa perlu meletak jawatan.
Saya rasa itu tidak sesuai, ahli akademik
bukannya ahli politik. Bukankah intelektual
itu lain? Kalau di Malaysia ini, peranan
intelektual tidak ada sebab kita telah
di bahagi dua samada pihak kerajaan atau
anti kerajaan, yang di tengah di antara
ini tidak ada, dan tidak dibenarkan tumbuh.
Itu yang saya selalu cakap, kenapa tidak
dibenarkan tumbuh! Kadang-kadang nampak
dia bercakap pro kerajaan, kadang-kadang
nampak dia bercakap pro-pembangkang. Itu
baru peranan intelektual. Jadi yang ada
sekarang ialah istilah yang dikatakan
professional intelektual di kalangan dunia
akademik. Professional intelektual ini
di mana parti politk akan membayar mereka
ini untuk bercakap atas nama parti. Ini
banyak berlaku, terutama yang UMNO lah
sebab dia ada duit dan tak ada rasa takut.
Kalau pihak lain, mereka tak nak pun bercakap
sekalipun ada duit sebab takut. Jadi perbezaan
kita dengan kebebasan akademik di Eropah
ialah intelektual diberi peluang dan peranan.
Mungkin
ahli akademik fikir, sebarang perubahan
mustahil boleh dilakukan selain dari kerajaan?
Memang,
oleh kerana tolenrasi pihak berkuasa itu
terlampau rendah, maka akhirnya orang
tidak kisah. Ahli akademik pun macam manusia
biasa juga, kata apa apa pun, dia orang
dah tak kisah dah. Bila sampai tahap tu
memang bahaya. Maknanya dia rasa membuang
masa sahaja bercakap ini sebab pihak berkuasa
tidak akan berubah. Mereka fikir, apa
tujuan kita bising-bising, ia tidak akan
berubah. Jadi ia satu anggapan yang salah,
sebab orang yang berkuasa manusia juga.
Inilah sebab banyak sangat dia dengar
benda yang tak bagus, maka dia akan berubah
sedikit-sebanyak. Yang saya sedih tengok
bila saya pergi ke kampung-kampung, masyarakat
kampung kata macam itu, manakala di kalangan
pensyarah juga macam itu. Jadi apa tujuan
kita kritik mengenai sesuatu isu, dia
tidak akan dengar. Akhirnya, senanglah!
Ini yang salahnya yang perlu diperbetulkan
kembali.
Dalam
kes di Malaysia, bagaimana tahap kebebasan
akademiknya?
Di
Malaysia mereka cakap sahaja bebas, tetapi
mereka ini sentiasa tuduh saya pembangkang,
walhal banyak juga masa saya bercakap
pro-kerajaan, tetapi tidak timbul dan
dibesarkan. Jadi, saya rasa itulah keadaan,
bila kita bercakap mengenai kebebasan
akademik di Malaysia. Ahli akademik adalah
golongan yang paling ramai yang berpontensi
untuk membentuk golongan yang ketiga.
Tetapi itu masih belum berlaku di Malaysia.
Jika
di Indonesia, ia cepat berlaku iaitu selepas
sahaja tercetusnya gerakan reformasi itu.
Saya rasa ia didorong oleh beberapa sebab,
mungkin ia telah lama sangat yang bergelojak
dalam jiwa masyarakat Indonesia yang sering
dikekang. Bila ada kebebasan, banyak golongan
ketiga ini yang dapat bercakap. Pada saya,
itu budaya yang baiklah di Indonesia yang
jauh lebih baik dari sini.
Cuma
di Indonesia ini ada masalah baru kerana
terlampau banyak kelompok. Sepatutnya
cuma ada satu, iaitu intelektual yang
boleh menjadi jurucakap ummah tentang
sesuatu isu. Kalau tengok forum di televisen
mereka pun jelas, di sana mereka memang
panggil yang kontra, manakala di Malaysia
di panggil yang mono sahaja.
Tetapi
dalam soal kebebasan media kita perhatikan
ia lebih berani dan berpengaruh jika dibanding
dengan kebebasan akademik. Apa pendapat
prof?
Bagi
saya suratkhabar yang agak berani ialah
Malaysiakini. Mereka berani! Mungkin pihak
berkuasa tidak nampak ada impak besar
dari mereka. Di Malaysia yang paling sensitifnya
ialah Utusan Melayu, sebab di sinilah
‘hardcore’ UMNO yang menjadi
pekerja-pekerjanya. Jadi dia begitu sensitif.
Lepas itu pergi kepada suratkhabar Inggeris.
Berkenaan dengan suratkhabar Inggeris,
pihak berkuasa tidak berapa tekan sangat
sebab mereka fikir ia kurang pengaruh
di mana mereka yang membaca suratkhabar
Inggeris ini sudahpun tidak senang dengan
kerajaan lagi. Jadi mereka takut ini suratkhabar
yang boleh membentuk fikiran rakyat besar.
Manakala kalau suratkhabar Cina bukannya
ada apa signifikan yang besar terhadap
perubahan politik negara. Sebab itu kalau
kita boleh menguasai Mandarin, ia satu
kelebihan.
Akhir
sekali, mungkin Prof ada pesanan buat
ahli-ahli akademik terutamanya di Malaysia,
apa yang sewajarnya untuk kita lakukan
bagi mengembalikan martabat golongan akademik
di tanahair.
Pertama
sekali, ahli akademik mesti menumpukan
80% daripada kehidupannya dalam bidang
masing-masing. Dan, 20% lagi itu ialah
mengartikulasikan ilmu yang ada dalam
diri dia untuk menghubungkan kepada keadaan
masyarakat. Dengan itu, akan terpupuk
diri dia untuk menjadi intelektual. Bila
dia jadi intelektual, secara tidak langsung
dia akan terlibat dengan massa. Itu yang
saya selalu sebut di pelbagai ceramah
di kalangan pensyarah. Tetapi apa yang
berlaku, kalau ahli sainsnya, lebih 99%
dari mereka berada di dalam bilik makmal
sahaja. Dia tidak mahu masuk atau tidak
mahu kisah terhadap apa yang berlaku di
luar oleh kerana pelbagai faktor seperti
takut dan materialistik. Bagi mereka,
ia tindakan yang menyeksa diri. Saya pun
boleh jadi professor juga, tetapi tidak
ada masalah. Jadi, dia kena lebih seimbang
hidup dia antara ahli akademik yang masyarakat
boleh tumpang lebih dari sekadar sebagai
ahli sains. Sebenarnya, ahli sains pun
masyarakat boleh tumpang, tetapi ia memerlukan
masa yang lama. Biasanya, satu-satu penemuan
ahli sains ini mengambil masa 20 hingga
30 tahun baru dapat dinikmati oleh masyarakat.
Tetapi kalau intelektual, ia cepat untuk
masyarakat menikmati sumbangan itu. Jadi
itu hasrat saya. Upamanya bagi bidang
sastera ini, memang bidang itu bidang
masyarakat, tetapi kerana keadaan yang
tercipta, maka dia jadi tidak terlibat
dengan masyarakat.