Iraq
adalah bumi yang sentiasa bergolak! Jika
anda membaca sejarah Islam, tentunya anda
akan menemukan sabda Rasulullah SAW yang
menyifatkan bumi ini sebagai Qarbun
wa Bala’. Sebagai bumi yang
penuh pertumpahan darah di sepanjang zaman,
Iraq kini bolehlah dikatakan telah berjaya
melepasi satu tahap sukar dalam sejarah
pembentukannya. Rupa-rupanya ada rahmat
di sebalik pencerobohan tentera Amerika
Syarikat pada tahun 2003 lalu. Slogan
untuk membawa demokrasi yang dikumandangkan
oleh Amerika akhirnya membungkam dirinya
sendiri; bagaimana natijah pilihanraya
Iraq baru-baru ini berhasil mengangkat
kekuasaan yang tidak sealiran dangan telunjuknya
sendiri.
United
Iraq Alliance (UIA) merupakan badan politik
naungan Ayatollah Ali Sistani - sang marja’
di Hauzah Najaf al-Asyraf. Dari penguasaan
UIA inilah, kita akan dapat melihat bagaimana
satu gambaran corak kepimpinan 'senyap'
seorang ulama progresif sehingga sukses
memimpin bangsa Iraq keluar dari kelelahan
pertarungan sejak berabad lamanya. Dari
Sistani, banyak yang kita boleh belajar
darinya. Sistani yang zuhud itu tidak
pernah tampil di hadapan umum, tidak pernah
memberikan wawancara dan tidak pernah
berpidato di khalayak. Namun setiap perkataannya
selalu didengari dan di taati. Ini berbeza
dengan pendirian generasi yang lebih muda
seperti Moqtada al-Sadr yang tampak lebih
agresif. Namun, apapun pendirian generasi
muda, ia tidaklah sampai hingga mengugat
izzah mereka terhadap kepimpinan
agama oleh Sistani.
UmmahOnline
Team melihat ada sesuatu yang aneh, unik
dan menarik dalam konflik. Justeru, dari
lanjutan wawancara sebelum ini, kami berkesempatan
untuk turut sama mengajukan hal ini pada
Tuan Haji Mohamad Sabu. Iraq ketika serangan
Hulagu Khan pada 1258M telah menampilkan
Nashirudin at-Thusi sebagai penyelamat,
meskipun at-Thusi telah dianggap ‘kafir’
oleh Ibn Taimiyyah ekoran berkerjasamanya
dengan penceroboh Tartar. Untuk makluman,
tentera Tartar ini hampir-hampir saja
menakluk seluruh bumi Islam kalau tidak
keberanian Sultan Qutuz yang bingkas bangun
menundukkan Tartar dalam pertempuran di
Ain Jalut, Palestin.
Namun
begitu, selain keberanian Qutuz kita juga
patut bertanya, sosok siapakah yang akhirnya
telah berjaya mengislamkan Hulagu Khan
dan tentera-tentera pencerobohnya ini?
Peranan siapakah juga yang menggunakan
hikmahnya hingga berjaya menyelamatkan
demikian banyak khazanah ilmu di kota
Baghdad? Dan, dengan usaha siapakah dunia
Islam hingga kini bisa berbangga kerana
pernah mempunyai balai cerap Maraghah?
Pastinya ini semua tidak terrealisasikan
tanpa adanya sumbangan besar khawjah Nashirudin
at-Thusi - ilmuan muslim yang mengasaskan
ilmu trigonometri.
Seperti
at-Thusi juga, Sistani turut mempertontonkan
bakat yang sama. Dari mula pencerobohan,
Amerika sebenarnya telah diperdaya dengan
hikmahnya. Tanpa disedari dari
awal, strategi Sistani ini akhirnya merintis
denai ke arah pembentukan sebuah kerajaan
Islam yang paling demokratik dalam sejarah
dunia Arab! Malahan sokongan Bush pada
Shiah sekular, Iyad Allawi turut gagal
untuk mengekang kebangkitan Ibrahim Jaafari,
seorang teknokrat Islamis. Ini sesuatu
yang tidak ddi sangka oleh kuasa besar
tersebut. Cuma apa yang perlu ditangani
oleh kerajaan baru Iraq dewasa ini ialah
bagaimana untuk mengekang serangan-serangan
bom ke atas rakyat awam. Pada kami, gejala
ini yang bersumber dari dua pihak iaitu;
(1) di lakukan oleh tentera CIA dan Mossad,
atau (2) memang tidak boleh dinafikan
ada kemungkinan besar ia di lakukan oleh
pengganas muslim yang ‘bodoh’.
Merujuk
kepada persoalan kedua ini, mengapa kami
tidak ragu-ragu lagi mengelarnya sebagai
perbuatan penganas muslim yang 'bodoh'?
Perkataan pengganas yang 'bodoh' adalah
mencerminkan fenomena umat Islam sejagat
yang dahagakan pemerintahan Islam tetapi
salah memilih pendekatan. Usama Ben Laden
adalah manifestasi terbaik bagi mangsa
kepada keghairahan perjuangan agama ini.
Manakala dalam kes Iraq pula, Mussab Al-Zarkawi.
Pejuang-pejuang Islam palsu ini telah
lupa bahawa Islam tidak pernah mengajar
para penganutnya menyerang sebarang kepentingan
umum, apatah lagi jika ia boleh mengorbankan
nyawa manusia yang tidak berdosa. Hingga
kini, faktor utama bumi Iraq tidak aman
bukan kerana adanya tentera penceroboh,
sebaliknya kerana peranan Al-Zarkawi yang
menganggu gugat asas pembinaan negara
baru Iraq. Inilah puncanya!
Sebab
itu, kami ingin tegaskan sekali lagi,
tindakan Sistani yang ‘berkerjasama’
dengan tentera penceroboh barangkali pada
peringkat awalnya merupakan satu keputusan
yang di anggap tidak popular dan tidak
Islamik. Tetapi cuba anda lihat hasilnya
kini, tidakkah ia satu keputusan yang
berbaloi? Bahkan kerana kebijaksanaan
sang Ayatollah inilah, beliau - tanpa
rasa prejudis dan diskriminasi agama -
telah dicalonkan oleh sebuah kumpulan
Kristian di Iraq (Chaldo Assyrians) untuk
meraih anugerah Nobel Keamanan Dunia 2005.
Pada Sistani, dunia memang terhutang budi
dengan anda…
Apa
pendapat saudara mengenai perjalanan demokrasi
anjuran Amerika Syarikat di Iraq sekarang?
Demokrasi di Iraq, kita tak tahulah secara
terperinci, samada mereka hendak teruskan
ataupun sebaliknya. Tetapi dari sudut
demokrasi, pilihanraya mereka jauhlah
lebih bebas dari Malaysia. Itulah yang
menyebabkan kumpulan yang Amerika tak
suka pun boleh menang. Dan semua pemerhati
politik bersetuju bahawa pilihanraya mereka
bebas. Namun sejauh mana mereka dapat
bertahan dengan suasana yang ada ini bergantunglah
kepada perkembangan dari semasa ke semasa.
Nantinya Iraq akan membina membina pelembagaan
baru. Agaknya ke mana halatuju negara
Iraq ini?
Saya yakin dan percaya Iraq akan menjadi
sebuah Negara Islam.
Bagaimana pula dengan kenyataan
Ayatollah Ali Sistani yang mahu lembaga
keagamaan dipisahkan dengan perjalanan
politik?
Perjalanan politik yang dimaksudkan oleh
Ayatollah Sayyed Ali Sistani itu ialah
perjalanan harian perntadbiran eksekutif,
seperti pembangunan infrastuktur, soal
harga minyak dan lain-lain. Tetapi dari
dasar negara, beliau tetap mahukan Islam
sebagai teras perlembagaan Iraq.
Bagaimana pula dengan gerakan
yang dicetuskan oleh Moqtada Sadr? Semacam
tidak searus dengan corak yang Sistani
anjurkan?
Beliau bukannya seorang yang bertaraf
mujtahid. Beliau hanya bertahap sebagai
penggerak ummah. Beliau sendiri pun tidak
mengaku dirinya sebagai mujtahid. Jadi
peranan beliau memang sesuai sangatlah
sebagai pressure group ke atas
tentera penceroboh Amerika. Lagipun dia
anak muda. Bukan semua yang mesti berada
pada posisi macam Sistani, cukuplah dia
seorang saja.
Sebelum ini, Ayatollah Ali Sistani
adalah mengeluarkan larangan untuk menyerang
tentera Amerika. Apakah kebijaksanaan
di sebalik kenyataan Sistani ini?
Ya, pada andaian saya dia memikirkan bahawa
perlunya dibentuk kerajaan terlebih dahulu.
Sebab kita tahu dari segi penentangan
Amerika sekarang, kalau Amerika cabut,
siapa yang akan naik? Kemungkinan Saddam
dan Parti Baath yang telah tersusun lama
akan muncul semula. Barangkali Ayatollah
Sistani mahu mengelak keadaan ini dari
berlaku.
Jadi, perlukah tentera Amerika
berundur sekarang?
Perlu undur setelah Iraq mempunyai tentera
dan polis sendiri. Amerika tetap perlu
undur, kalau tak undur, mereka akhirnya
akan diundurkan. Bahkan saya sendiri berasa
Amerika tidak bersedia untuk bertahan
lama di Iraq dalam menghadapi suasana
yang tidak menentu ini.
Menariknya di Iraq (atau tepatnya:
Baghdad), strategi yang sama pernah digunakan
oleh Nashirudin At-Thusi semasa penaklukan
oleh tentera Hulagu Khan? Kini skrip yang
sama telah berulang kembali, cuma wataknya
kali ini di bawa oleh Ayatollah Ali Sistani?
Ya semuanya serupa. Macam kita kata kezaliman
yang berlaku di Baghdad di bawah pemerintah
Abbasiyyah dulu. Tiada siapa yang dapat
menjatuhkan kezaliman dinasti Abbasiyyah
melainkan orang Tartar, kemudian barulah
mereka dapat buat perubahan politik baru
di Baghdad. Saddam pula, siapa yang dapat
jatuhkannya kalau bukan kawan dia sendiri
(rujuk: Amerika). Dan Amerika pun faham,
bukan senang untuk menghadapi permainan
politik orang-orang ulama Shiah ini terutamanya
Ayatollah Sayyed Ali Sistani ini.
Bagaimana pula dengan ancaman dari Mussab
Al-Zarqawi, kumpulan Tawhid, Al-Qaeda
dll?
Sebenarnya kumpulan sebegini telahpun
muncul duhulu. Pada dahulunya ia dibiayai
oleh British untuk menyerang pengkalan-pengkalan
Turki yang ketika itu di bawah permerintahan
kerajaan Usmaniyyah. Kumpulan ini akan
mengebom stesen kereta api, tempat-tempat
awam bagi menghalau penjajah Usmaniyyah
di negara-negara Arab ini. Dan inilah
yang menjatuhkan penguasaan Usmaniyyah
Turki dulu, iaitu atas semangat nasionalisme
Arab. Dan kumpulan militan di Iraq kini
pada asalnya telah dilatih oleh British
dan CIA samada Pakistan atau tempat-tempat
lain. Kumpulan ini juga, kadang-kadang
dia digunakan oleh Amerika, dan kadang-kadang
juga bila dia jadi monster mereka lawan
semula Amerika. Tetapi kumpulan ini tidak
melambangkan apa-apa untuk appear Islam
di mata dunia. Lebih parah lagi di Iraq,
kumpulan-kumpulan ini menganggap orang-orang
Islam Shiah itu kafir, dan boleh dibunuh.
Tetapi dengan jiwa yang besar, Sistani
melarang orang-orang Shiah melawan balik
sampai hari ini. Pada Ayatollah Sistani,
kalau ada yang terbunuh itu, anggaplah
ia sebagai satu korban. Bukannya kerana
mereka takut? Mungkin di sini Ayatollah
Sistani memikirkan, bila orang Shiah mengangkat
senjata melawan balik, maka sampailah
hasrat Amerika supaya orang Islam berbunuhan
sesama sendiri.
Kini kerusi Presiden Iraq telahpun
ditentukan dengan pelantikan Jalal Talabani
dari suku Kurdi. Adakah ini membawa maksud
bahawa Kurdi akan kembali menguasai politik
di Iraq mahupun dunia Arab seperti yang
pernah dibuktikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi
- yang juga dari suku Kurdi?
Pada saya, kita bolehlah meramal demikian,
tetapi apa yang jelas ialah teori bulan
sabit, iaitu kumpulan Ahlul Bayt yang
rangkaiannya sampai ke Lebanon. Dan teori
inilah yang membimbangkan Amerika, Israel
dan negara-negara Arab yang telah sekian
lama menjadi proksi Amerika.