Mustafa
Ali: Saya rasa lebih relaks sekarang (siri
1)
UmmahOnline Team
01:01am 08 Jun 2005
Datuk Haji Mustafa Ali - kami hanya membahasakan
beliau dengan panggilan cikgu sahaja;
Cikgu Pa! Memang, riak wajahnya seolah-olah
menampakkannya beliau sangat senang hati
dengan sapaan sebegitu atau… barangkali
beliau gembira sangat dengan natijah Muktamar
PAS di Kota Bharu baru-baru ini. Mungkin?
Temujanji yang diatur di Pejabat Perhubungan
PAS Terenganu pada sore 07 Jun 2005 sebenarnya
telah terlewat sekitar 15 minit dari waktu
asal yang dijanjikannya. Tetapi pulangannya,
nah! UmmahOnline Team pula diberi tambahan
masa yang cukup panjang untuk bersamanya.
Wah…mungkin agaknya Cikgu Pa nak
tunjuk dia betul-betul relaks sekarang,
detik hati kami (ketawa).
Wawancara hampir dua jam ini sebenarnya
berjalan secara santai-santai sahaja;
tidaklah serius sangat. Banyak suasana
temubual kami diselangi dengan ketawa
dan senggih-senggih sokmo (selalu).
Ya, meskipun kami menerangkan mengenai
latar belakang UmmahOnline ini, tetapi
beliau cepat-cepat lagi memohon maaf kerana
kurangnya mengikuti perkembangan dunia
siber. Kadang-kadang lucu juga memikirkan
‘gelagat’ Cikgu Pa ini (ketawa).
Arghhh.… lupakan saja soal itu.
Sebenarnya, dalam wawancara panjang ini,
kami telah bahagikannya kepada tiga siri
- sesuai dengan kumpulan topik yang diperbincangkan.
Pada keseluruhannya, Cikgu Pa ada menyentuh
mengenai hal peribadinya (ini kami muatkan
dalam siri pertama), perpaduan kaum, Dasar
Ekonomi Baru (DEB), kematangan politik
nasional serta masa depan universiti &
kebebasan akademiknya dll. Perlu di maklum
lebih awal juga, dalam wawancara ini tiadalah
gagasan-gagasan besar yang beliau lontarkan,
sebaliknya Cikgu Pa banyak mempertegaskan
kembali galuran tindakan dan penyelesaian
yang sewajarnya dipertimbangkan terutamanya
oleh Umno dan kerajaan. Tampaknya beliau
cukup suka (atau: ceria) dengan tema ini.
Harap-harap begitulah. Justeru, untuk
mengamati lebih lanjut penekanan Cikgu
Pa ini, maka kami rasa ada baiknya bagi
para pembaca berkongsi hasil wawancara
ini. Dan, harap bersabar untuk menanti
terbitan siri yang berikutnya.
Pertama, apa perasaan cikgu sebaik
sahaja melepaskan jawatan kanan dalam
parti?
Alhamdulillah, saya rasa relaks sikit
(ketawa besar). Inilah antara muktamar
yang saya paling gembira. Saya rasa cukup
relaks sambil tengok perkembangan-perkembangan
yang berlaku. Jadi, saya kira cukup-cukup
baiklah dengan keadaan sekarang.
Ya, setelah berakhir muktamar
ini, apa perkara pertama yang cikgu fikirkan?
Saya? Oh, saya nak melihat penerusan
perjuangan. Saya masih tetap melihat penerusan
perjuangan itu. Harap generasi kepimpinan
baru ini akan berjalan terus. Dan, saya
tidak akan berhenti dari politik ini.
No, no, no!
Ada yang melihat cikgu telah
memilih masa yang tepat untuk berundur.
Betul tak persepsi ini?
Saya begini. Saya punya langkah ini sebenarnya
bukan benda baru. Ini berkait dengan succession
plan seperti yang selalu saya sebut
pada media massa, iaitu proses pengantian
pimpinan. Bagi saya rasa ini bukanlah
benda baru bagi saya. Sesuatu yang sudah
lama saya buat dalam proses untuk melihat
keberkesanan pimpinan parti. Kebanyakan
parti politik termasuk PAS juga, dia tidak
ada succession plan sebab dalam
politik ini tidak semudah sebagaimana
dunia koporat. Jadi oleh kerana saya merasakan
bahawa di antara naib-naib presiden itu,
sayalah yang paling lama, di samping saya
merasakan sudah ada orang yang boleh mengantikan
tempat saya, maka saya rasa ini satu cara
untuk mengurangkan beban seseorang pimpinan
supaya dia jadi lebih fokus.
Sebab dalam dunia politik ini banyak
tanggungjawab. Bukan saya sahaja, kebanyakan
pimpinan politik memang memegang banyak
jawatan samada di peringkat pusat, negeri
atau seterusnya. Dari sudut keberkesanan
kita lacks focus. Bila terlalu
banyak, jadi saya rasa adalah baik bagi
pimpinan menerapkan fokusnya supaya keberkesanan
itu dapat dirasakan. Untuk makluman, dalam
waktu yang sama, saya juga ketua pengarah
Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP). Banyak
benda yang hendak diselesaikan. Oleh sebab
itu, saya rasa inilah masa yang terbaik
dan nampaknya ramai yang berkebolehan,
maka saya ambil keputusan untuk berundurlah.
Walaupun saya umumkan keputusan itu dekat
dengan waktu muktamar, tapi sebenarnya
telah lama saya buat keputusan itu. Cuma
menunggu waktu muktamar sahaja.
Kenapa tidak umumkan lebih awal
saja?
Sebab muktamar ini ialah waktu peralihan.
Ia waktu yang paling sesuai. Apabila saya
berhenti, terus ada orang yang boleh take
over. Contoh sebagaimana saya dalam
pemuda dulu…. saya dilantik ketua
pemuda pada tahun 1975 dan saya pegang
selama duabelas tahun jawatan ketua pemuda
itu sehingga 1987. Dan saya sentiasa tengok
untuk cari pengganti yang boleh mengambil-alih.
Bila bertemu penganti, parti masih suruh
teruskan lagi. Tetapi bila sampai terlalu
lama, manakala dah ada orang yang oleh
mengambil alih, maka saya tinggalkan.
Itu masa pemuda. Pada peringkat negeri
pun, baru-baru ini saya lepaskan jawatan
sebagai setiausaha perhubungan. Saya melihat,
apabila ada orang baru yang boleh ambil
alih, kita kenalah bagi kat dia…
sebab ini pengagihan tugas. Jadi, oleh
kerana parti tidak buat ini sebagai satu
proses yang menyeluruh, maka mana yang
saya mampu buat by personel lavel,
saya buatlah. Ini adalah sumbangan saya
sendiri terhadap succession plan
seperti yang saya sebutkan tadi.
Apa reaksi keluarga tentang hasrat
cikgu ini?
Saya tidak bagi tahu pada keluarga saya
(ketawa). Tapi sebenarnya mereka pun sepertinya
sudah bersetuju. Saya terlalu banyak tidak
ada masa bersama keluarga. Cuma bila makin
tua ini dah kuranglah sikit. Itupun keluarga
saya rasa sudah merasakan terlalu lama.
Jadi, kenalah fokus yang mana rasa kita
boleh buat. Yang kita rasa tak dapat nak
lepaskan, mungkin tidak ada orang lagi
yang boleh kita serahkan tanggungjawab,
maka kenalah saya pegang dulu. Bila ada
orang, kita berilah pada orang baru pula.
Teman-teman seperjuangan dalam
parti pula?
Banyak yang terkejutlah.
Bagaimana cikgu menerangkan keputusan
ini pada mereka?
Mereka boleh faham….saya rasalah.
Saya kata, “awak dah ada, apa lagi
saya nak buat, kita bahagi-bahagi tugaslah”
(ketawa).
Tadi cikgu ada sebut pasal fokus,
semacam cikgu ada tumpuan baru selepas
ini?
Tidak, sebenarnya dalam pilihanraya banyak
kerja yang perlu dilakukan. Kita ada electoral
reform committee yang saya ketuai.
Jadi, ini banyak kerja. Baru ini lepas
post-mortem di mana saya juga mengetuainya.
Memanglah makan banyak masa, malah kerja
ini pun akan sentiasa bersambung. Maka,
kalau saya pegang banyak-banyak, maknanya
beban sangatlah. Bila ada orang yang boleh
ganti, baik ganti teruslah. Dan ini memang
track record saya macam itu. Bukan
sahaja dalam politik, malah dalam parti
dan juga luar parti. Saya ADUN Wakaf Mempelam
dua penggal, i don’t know what
you know or not. Saya wakil rakyat
tahun 1982 dan tahun 1986. Waktu itu PAS
sudah ada dua kerusi. Itu salah satu kerusi
yang sangat selamat. Tahun 1990, dengan
adanya Parti Semangat 46, maka lagi mudahlah.
Saya kata dah ada orang muda, so better
bagi kat dia, dan saya tandinglah dekat
mana-mana pun. Kalau kalah itu, tak mengapalah…
Wakaf Mempelam masih menang, kalau menang
pula tambah lagi satu kerusi. Jadi, YB
Haji Abdul Wahid Endut yang ambil alih
tempat saya itu. Memang inilah cara saya.
Oh…ya, macamana sebenarnya
cikgu boleh menceburkan diri dalam politik?
[terdiam] Saya memang keluarga politik.
Saya dilahirkan dari keluarga politik.
Ayah saya memang ketua cawangan PASlah
di kampung saya. Dan seluruh keluarga
saya terlibat dengan politik. Maknanya,
kesedaran politik itu sudah terlalu awal
bagi saya. Malah, tahun 1959 sewaktu saya
tingkatan dua lagi, saya sudah terlibat
dalam politik serta pilihanraya. Masa
itu bangsar panas sudah ada, dan masa
itu juga tidak ramai orang yang boleh
menulis pun. Jadi, saya bantu-bantulah
mana yang patut. Dan, banyak pimpinan
PAS yang selalu berkunjung ke rumah saya.
Ditambah lagi dengan kesedaran itu, maka
rasanya dah satu tanggungjawablah untuk
terlibat dalam politik ini.
Cikgu ada mentor tak dalam dunia
politik ini?
[terdiam] Mentor ya? Tak ada....tetapi
saya belajar berdasarkan pengalaman saya.
Mentor khusus memang tidak ada. Saya banyak
belajar dari pengalaman, melihat,
observation dan semuanya sekali.
Hasil daripada both theoretical and
practicallah yang saya gunakan sebagai
panduan dalam politik ini.
Cikgu memang telah agak lama
dalam dunia politik ini, jadi mungkin
dalam tempoh itu ada waktu-waktu yang
cikgu sendiri berasa kecewa. Boleh cikgu
berkongsi tak sebahagian daripadanya?
[terdiam lama] Kekecewaan itu relatiflah.
Bila bercakap dalam konteks Malaysia.
demokrasi, pilihanraya dsb….bila
kita merasakan persiapan itu sudah agak
bagus yang telah kita buat, kemudian pencapaian
itu tak seberapa, memanglah berasa kecewa…
memang rasa kecewalah. Sebab tidak semestinya
apa yang kita usahakan sungguh-sungguh
mesti hasilnya bagus. Kadang-kadang usaha
kita tak seberapa mana pun, tapi kita
masih boleh menang. Jadi itulah, waktu
sungguh-sungguh tapi tak dapat, maka rasalah
kekecewaan itu. Dan, dari segi personal
level, saya tidak begitu sangat sebab
saya dah tahu, bila saya masuk pilihanraya
ini, saya meletakkan diri saya payah nak
menang.jadi kalau saya kalah sekalipun,
maka saya sudah bersedia. Tetapi kalau
menang, itu satu bonuslah. Dan kadang-kadang
kita nak buat sesuatu perubahan, kemudian
ia tidak berlaku….rasa jugalah kekecewaan
itu.
Rasanya apa yang mungkin cikgu
rasa terkilan kerana masih tak sempat
nak lakukan lagi?
Saya rasa tidak berbangkit soal saya
tak sempat nak buat. Apa yang saya tak
sempat nak buat, akan di sambung oleh
orang lain. I’m still working.
Jadi tak berbangkitlah soal itu.
Tetapi bukankah bila cikgu berundur
dari jawatan kanan dalam parti, pastinya
cikgu akan rasa kehilangan sesuatu?
Saya akan terus bersama parti. Dari sudut
jabatan pilihanraya saya masih pegang.
Saya masih terus berkhidmat. Harakah saya
masih pegang. Jadi tanggungjawab itu berterusan.
Cuma barangkali lebih ringan sikit, dan
ringan ini di tampung oleh kawan-kawan
yang lain. Ertinya bagilah ruang pada
saya untuk…hmmm… membaca banyak
sikit kot. Sebab saya miss banyak
juga masa. Antara hobi saya ialah membaca.
Jadi, ini yang banyak saya miss.
Beli buku dah banyak….tapi tengok-tengok
tak sempat nak baca. So i need more
timelah untuk baca. Dan, tentunya
satu lagi untuk memberi lebih sedikit
masa untuk keluargalah.
Apa kenangan manis yang cikgu
ingati selama menceburkan diri dalam dunia
politik ini?
[berfikir] Ya…. sebenarnya antara
kenangan paling manis saya ialah muktamar
yang paling baru ini (senyum lebar). Itu
antara saat-saat paling manis bagi saya.
Iaitu apabila saya berundur, saya melihat
ia digantikan dengan orang yang mampu
untuk melaksanakan apa yang telah ditinggalkan.
Maka, saya rasa cukup gembira sekarang
ini sebenarnya. Itu salah satunya.
Yang keduanya ialah waktu PAS Terengganu
mencapai kemenangan pada tahun 1999, ini
satu peluang untuk kita melaksanakan tugas
kita kepada rakyat dan negeri. Antara
benda yang kita rasa ada satu kepuasan
di situ. Walaupun masih banyak lagi yang
tak sempat kita lakukan, tetapi kita telah
buat semampu yang kita boleh. Itulah antara
contoh-contohnya.
Kami percaya ramai juga yang
terharu bila cikgu mengumumkan untuk berundur
dari jawatan senior parti. Tetapi seandainya
cikgu ada satu impian untuk Malaysia amnya
dan PAS khususnya, apakah ia?
Saya nak tengoklah di Malaysia ini satu
kewarasan berpolitik sebenarnya. Ya, kewarasan
berpolitik atau political dignity…
kembali menjadi ciri dalam politik demokrasi
di Malaysia ini. Erti manusia bebas, tetapi
bukanlah bermaksud kebebasan yang tiada
hadnya. Kebebasan ini dalam pengertian
untuk menegur, mengkritik sepatutnya tidak
boleh dikekang. Saya nak melihat itu.
Dan, satu-satunya yang boleh bagi cabaran
ialah PAS. Tiada ada kekuatan lain lagi.
Kekuatan lain boleh bersama dengan PAS,
tetapi kalau PAS tidak ada, maka tidak
akan kekuatan untuk kita menghadapi keadaan
politik di Malaysia ini. Base
politik di Malaysia ini orang Melayu.
Melayu ini ialah samada orang Umno ataupun
PAS, Keadilan ada juga tetapi tidak kuat.
Jadi oleh sebab itu, kalau PAS tidak memainkan
peranannya, saya rasa itu beratlah. Sebab
itu PAS perlu memainkan peranannya. Dan
political dignity yang saya sebutkan
ini akan dapat kita bina dengan kekuatan
yang ada. Yang jadi ketidakwarasan politik
di Malaysia ini sebab Umno punya caralah.
Cara-cara Umno bertindak yang tidak betul
dan teruk sangat caranya itu. Semuanya
ada kepentingan politik. Biarlah demokrasi
itu berjalan dengan free and fair.
Itupun bukan pilihanraya kita yang seratus
peratus free and fair, tapi
at least janganlah ada penipuan-penipuan
yang besar seperti yang berlaku dalam
pilihanraya umum 2004. Biarlah ada level
playing field. Bila kita tengok pun, kita
puas. Dan, rakyat menolak kita it’s
ok. Sebab kita belum kuat, hendak buat
macamana? You have to accept this
fact. Ini yang berlaku bukannya rakyat
yang menolak kita, tetapi kita ditolak
oleh faktor yang bukan dari rakyat. Itu
yang tidak adilnya di situ. Jadi, saya
nak tengoklah penerusan PAS dengan pimpinan
baru ini untuk terus memajukan PAS.
Kalau cikgu tidak keberatan,
apa komen cikgu terhadap kepimpinan baru
PAS?
Ya, saya antara orang yang sangat gembira
dengan kepimpinan baru ini. Dan, antara
sebab saya berundur pun sebab saya yakin
orang-orang ini boleh melaksanakan apa
yang saya nak buat pun. Lagipun saya dah
berumur, tak boleh nak pergi round seluruh
Malaysia. Orang baru ini bolehlah buat…haa
begitu. Saya mungkin boleh buat kerja
yang tidak macam waktu saya muda dululah.
Waktu saya muda dulu, empat ceramah sehari
semalam pun saya boleh buat. Tetapi sekarang
tidak boleh lagi dah. Satu bolehlah…nak
empat…hei…tak boleh. Orang
muda ini (kepimpinan baru) bolehlah. Tenaga
dia kuat…tetapi pengalaman kita
bolehlah dimanafaatkan oleh orang muda
ini (ketawa).