Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Assalamualaikum WBT
Saya merakamkan setinggi kesyukuran ke hadirat Illahi atas segala limpah kurnia-Nya akhirnya hasrat UMNO Cawangan ini untuk mempunyai homepage sendiri menjadi kenyataan dengan pelancaran Homepage Rasmi UMNO Cawangan Kg Tong, Kubang Bemban Pasir Mas ini.
Pembinaan homepage ini telah dimulakan secara beransur-ansur oleh seorang ahli UMNO cawangan ini sejak pertengahan tahun 2001. Di samping kebanggaan mempunyai homepage sendiri, rasa bangga ini juga lantaran pembinaan yang tidak memerlukan khidmat pakar dari luar. Ini membuktikan keupayaan dan kesediaan UMNO cawangan ini memanfaatkan segala teknologi yang ada dalam menyahut seruan kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi maklumat (IT).
Pada peringkat awal pelancarannya, homepage ini sekadar memuatkan paparan maklumat, namun ia akan dibangunkan dengan penggunaan portal bagi membolehkan interaksi atas talian secara langsung dengan orang ramai. Kaedah ini akan dibangunkan pada masa akan datang. Walau bagaimanapun pada masa ini, segala maklumat tentang UMNO cawangan ini sudah boleh didapati melalui homepage ini. Homepage ini juga dibina sebagai sumber maklumat dan interaksi di kalangan ahli dan rakyat dengan UMNO cawangan secara langsung. Setiap ahli akan dibekalkan dengan akaun e-mail peribadi bagi membolehkan maklumat segera dihantar kepada setiap ahli.
Di samping memperkenalkan teknologi maklumat di kalangan masyarakat, ia juga akan menggalakkan penggunaan teknologi tersebut secara lebih meluas. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan dan pengendalian homepage ini. Semoga manfaat daripada perkembangan pesat IT di negara ini akan turut sama dirasai oleh semua golongan masyarakat.
Sekian
![]() |