KETIKA TERPANDANG KERTAS ITU
Ketika terpandang kertas itu di atas meja,
pantas tangan mencapai lalu membaca
"Ah! Borang Penilaian Prestasi Kerja, rupanya."
Lalu lembaran kuselak satu persatu bagai tahun lalu.
Bagaimana aku boleh terlupa?
Sedang setiap tahun perlu mengisi borang yang sama
dan mendapat penilaian yang sama?
Ketika terpandang kertas itu,
tiba-tiba sahaja aku jadi insaf.
Itu cuma penilaian manusia sesama manusia sahaja.
Lantas terfikir bagaimana pula penilaian Tuhan
ke atas hambanya?
Apakah prestasi manusia telah mencapai taraf insan
atau masih lagikah berperibadi haiwan?
Nilamsuri®
25 September 1996
Perpustakaan Awam Negeri Perlis
- Mingguan Malaysia 12 Januari 1997 -
PERAKAM WAKTU : SATU RENUNGAN BUAT
SEMUA
Telah tiba rupanya saat-saat gawat itu
tatkala perakam waktu menjerit-jerit memberi amaran
kelihatanlah manusia saling berebut sesama sendiri
menanda kedatangan ke daerah perjuangan masing-masing.
Dalam asyik mengetuk perakam waktu
seketika kita sebenarnya terlupa
waktu telah dijualbeli.
Nah! Lihat sahaja di suatu penjuru
berbisik sesama sendiri lalu angguk
tanpa rasa berdosa dan tangan-tangan itu
mulai kehilangan amanah.
Ah! Tak pernah terfikirkah mereka
penipuan di permulaan hari akan membawa
selautan dosa sehingga ke petang?
Di suatu sudut perakam waktu menangis
apa ertinya tulisan yang ditatu di badan?
amaran yang jelas mula diremehkan
masing-masing berebut membantu
rakan merakam kedatangan
penipuan berlarutan dan akhirnya menjadi amalan
kejujuran diketepikan lalu wujudlah budaya baru
budaya penipuan.
Wahai manusia katakanlah
siapa lagi bakal menolong mencatatkan
waktu-waktu yang sebenar di sana
selain pencatat amal kiri kananmu?
Nilamsuri®
12 Januari 1998
Perpustakaan Awam Negeri Perlis
- Berita Minggu 15 Februari 1998 -
SESEKALI BERDIRI DI LAMANMU
Sesekali berdiri di laman sejarah
pernahkah kita menyapu kabur ingatan
yang memenuhi segenap penjuru rumah kebebasan ini
ke tengah ruang pengajaran?
Sesekali berdiri di laman memori
pernahkah kita menggilap kembali cermin hati
yang berpalit debu-debu keangkuhan
pada bingkai pengalaman?
Sesekali berdiri di laman keliru
pernahkah kita membasuh ingatan
membilang sisa-sisa kelukaan dan kesakitan silam
dalam memancang panji-panji kemenangan?
Sesekali berdiri di laman peradaban
pernahkah kita menyandar harapan ke bahu keinginan
dan menghalau walang yang merintang haluan
dalam menempatkan diri ke mercu kejayaan?
Sesekali berdiri di laman rumahmu
pernahkah terlintas di taman fikiran
benih-benih iri masih kental bercambah di dada
petualang
dan kemungkinan kembali dicerobohi tetap ada!
Nilamsuri®
Perpustakaan Awam Perlis
7 Ogos 2000
- Berita Minggu 4 Ogos 2002 -
SEJENAK DI GEDUNG SEJUTA PENGETAHUAN
Betapalah bahagia jiwa ini
ketika menyusun langkah ke arahmu
mendasari gerbang makrifat yang terbuka luas
bebas meneroka jauh ke sempadan pengetahuan
bebas menjelajah ke ruang pengalaman.
Bermula dari setitis tinta kata
melebar menjadi segumpal rasa
marilah kita kutip segala intipati pusaka
kita adun~saringkan menjadi jalinan cerita
kita perluaskan menjadi lagenda dunia.
Di gedung sejuta pengetahuan ini
tersimpan memori melingkari sudut-sudut sempit
di sini, kita mendulang faedah dari selautan ilmu
bersama melakar gagasan tanpa ragu
demi menggenggam piala kemenangan.
Sejenak di gedung sejuta pengetahuan
terbina kukuh tembok keazaman
di sini, kita memugar ilmu tanpa batas
bersama mengukir kegemilangan negara
dari pancaran kemilau fikir permata bangsa.
Nilamsuri®
9 September 2001
Perpustakaan Awam Perlis
- Antologi Ratib 1000 Syair (Dalam Selenggaraan)-
LAFAZ SETIA INI
(Untukmu Negeriku)
"Setia ini terlaung dari kamar nurani yang
sedia terbuka
ke pintu makrifat pinta ditakrifkan maknanya."
Setia ini tidak hanya pada lafaz dan kata
setia ini tidak hanya tunduk taat dan patuhi segala
setia ini tidak hanya pada keikhlasan dan kejujuran
warganya
setia ini bukan sekadar cetusan dan gagasan
pemimpinnya
setia ini bukan sekadar perisytiharan dan perakuan
semata
tetapi jua sumpah berdaulat
sumpah keramat!
Padamu negeri permaiku;
tanah kecintaan tempat darah ini mengalir,
menakung segala bakti dan jasa di dadamu
memugar setiap jerih dan keringat, hanya untukmu
membias percikan cahaya penyuluh jalan,
agar tidak teraba-raba mencari arah
cekal dan tabah, melangkah mara menuju sejahtera
tanpa ragu, siap siaga mendepani cabaran.
Padamu negeri ayuku,
akan kuhiaskan dirimu dengan permata gemilang
biar sinarnya memukau ke segenap penjuru alam,
akan kulimpahkan kasih sayang tanpa rasa sangsi
biar aroma cinta ini mengharum di jambangan hati,
akan kunyalakan obor semangat perjuangan bangsa
biar apinya marak menyala, menerangi setiap ruang
merdeka,
akan kusimpulkan temali pengorbanan ini
biar kejap erat tak terungkai lagi.
Lalu setia ini terangkum dari kamar diri menjadi
satu
begitulah teguhnya lafaz setiaku padamu
dirgahayu negeriku!
dewasalah kamu segera, di dalam rebah atau bangun
buat menjulang piala kejayaan.
Nilamsuri®
27 April 2001
Kuala Perlis – Suara Perlis November / Disember
2002
MONOLOG HATI
Berdiri di halaman tasik keliru
dengan seraut wajah gusar
di tangan tergenggam umpan rindu
cuba memancing kata-kata
tak terlafaz antara ulas bibir
tak tertunai oleh pusaran janji.
Berdiri di hadapan sungai gelisah
di dalam kebeningan sebuah ilusi
di hati tergenggam sejuta ingin
cuba memukat selautan bahagia
tak terdaya mencipta sejahtera
tak tercapai impian membara.
Berdiri di tepian pantai ingatan
di sebalik teduhan sinar matamu
di nurani tergenggam secebis harap
cuba mengemudi bahtera gemilang
akan berlabuhkah sauh kehidupan
dari pelayaran mencari arah?
Nilamsuri®
Kuala Perlis
** Berita Harian Khamis 17 Mei 2001**
LEWAT PERJALANAN ITU
(Bicara Rakyat Afghanistan)
Saat melewati perjalanan tanpa noktah
bersama airmata meladungi ruang diri
terasa sayu memanjat tembok keruntuhan
bergelut antara gejolak amarah dan ketakutan
yang terbit dari selubung-selubung igauan ngeri
ketika maruah diri tersungkur di lantai takdir
ketika hujan keangkuhan menenggelamkan
santun peribadi dan ombak keganasan kian merajai.
Ketika nyawa telah tiada harganya
masih sempatkah kami menghirup nafas kedamaian
mengutip sisa-sisa kekenyangan dari kantung
keikhlasan
meluputkan calar-balar dosa semalam yang tak sempat
dipadamkan dan menghitung bahagia di bumi sendiri
ataukah sabar menunggu saat-saat maut
bakal menjemput kami bukan dengan salam
tetapi atom, granit dan peluru dendam?
Biarpun simpati melimpahi tebing kesedaran
lalu mengalir laju dari kolam kemanusiaan sejagat
kami bertekad kembali mencari sebuah nama yang
tergelincir
bangkit menghunus setia yang masih utuh ingin menikam
harimau luka yang menyembunyikan kuku dan taring
keegoan
terima kasih kerana masih sudi mengirimkan secebis
doa
merestui perjuangan kami walau keretakan langit dan
bumi
semakin melebar membekas kesakitan di belukar diri.
Nilamsuri®
19 Oktober 2001
Kangar, Perlis
- Berita Minggu 17 Mac 2002 -
UNTUKMU : SEBUAH PUISI BERDARAH
(Renungan Buat Pemerintah
Dunia Yang Berbangga Dengan Kuasa Vetonya)
Telah kau coretkan cetusan rasa
di helaian bisu peradaban ini
dengan tinta merahmu,
nanar mencakar luka seperti merahnya
darah kesakitan yang dituangkan zionis di bumi
Palestin.
Telah kau nukilkan ilham pena di helaian merah
peradaban ini
dengan dakwat keangkuhanmu,
perit ngilu merabaklumatkan kemanusiaan
memercikkan kezaliman lalu membasahi lantai
Afghanistan.
Telah kau jalinkan kalam agungmu
di helaian hitam peradaban ini
dengan bait-bait terpilih,
menenggelamkan suara sang penyair sejagat
menumpahkan kesombongan
dan menyimbahi asid sengsara ke wajah Iraq.
Telah kau jilidkan sebuah antologi puisi berdarah
dari simpulan benang-benang keegoaanmu,
perlahan namun terancang
menepati impian dan citamu memenangi sayembara itu.
Telah kudengar degup nadimu berdetak resah
meniti perjalanan yang bakal berpenghujung
mengakhiri sejarah sebuah bangsa berdaulat.
Telah kuperhati riak wajahmu yang sayu menanti
namun siapakah sang perkasa yang bakal mengisi
mimpimu
bangkit membina mahligai maruah
dan memutihkan kembali peradaban ini?
Nilamsuri®
23 Oktober 2001
Kuala Perlis
- Berita Minggu 24 Februari 2002 -
BERUMAH DALAM EMOSI
Tinta sang penyair belum pernah kekeringan bicara
meski sepanjang mana nukilan yang terhasil
dari celupan dakwat fikiran menghiasi persada karya
dengan alunan bahasa indah penyeri laman pujangga
menyusun rangkap demi rangkap menjadi pagar kata.
Berikan penyair itu sehelai kertas
juga sebatang pena; bakal tercatat kalam agung
ilham permata sakti dari tinta kencana
setelah sekian lama sang penyair
berumah dalam emosi.
Nilamsuri®
24 November 2001
Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
- Pemenang Pertama Sayembara
Hadiah Penulisan Puisi
Persatuan Penulis Perlis (3P) -
GERHANA 11
Apakah kita masih berkesempatan
memutar waktu kembali ke asal mula
sedang mentari semakin rakus menumpahkan
bahang amarah memantul percikan panas petaka
menyentak kesedaran berlabuh di ruang akal?
Seandainya kita diberi kesempatan
lontarkan belati permusuhan jauh ke sempadan fikir
ubati kemanusiaan yang terluka di gelanggang silam
gilapkan lantai peradaban yang saban musim basah
disimbahi hujan dosa yang melebat di dalam diri.
Jika kita masih berkesempatan
mengakhiri gerhana dunia ini tanpa menyakiti hati
alam
menampal dinding perpecahan yang sedia retak dengan
iman
membina kota keperibadian yang runtuh sebelumnya
bangkit menjulang empayar kesejahteraan merentasi
zaman.
Ternyata kita masih berkesempatan
mengutip sampah-sampah dosa yang jatuh bertaburan
menghimpun kembali di penjuru rumah keinsafan
membakar rentung sengketa silam lalu biarkan sahaja
abu sengsara berterbangan dihembus angin sentosa.
Kita yang masih diberi kesempatan
menghembus nafas yang tepu dengan hitam dosa
menyedut udara kedamaian di langit terbuka
setelah kita makamkan sengketa yang bergelimpangan
dipersemadian abadi tanpa rasa sangsi, wajar
menginsafi.
Nilamsuri®
25 November 2001
Kuala Perlis
- Berita Minggu 26 Mei 2002 -
SAAT MEMBACA CATATANMU
(Dedikasi buat S. Hashim Ahmad,
penulis ‘Jejak Keramat’)
Mencari belati diri yang sering melukakan
di antara jejak langkah keramat itu dan putaran waktu
acapkali melenakan kita sehingga sering terlupa
bahawa kita sebenarnya punya visi yang jauh lebih
besar
bukan sekadar menjadi penurut; mengangguk tanpa sedar
watikah sejarah yang pernah tercuri masih tercatat di
sini.
Jangan biarkan mereka membakar catatanmu
kerana ia adalah nukilan perjuangan yang tiada tara
nilainya kita sendiri yang memberi tanpa secalit
sangsi.
Perlu apa pada harga diri
andai perhitungan masih tersungkur
di gelanggang pertikaman,
terselamat oleh tangan-tangan asing
yang menunggu di tepian pantai perubahan
melihat hempasan badai
begitu akrab melanda nasib bangsa dengan gembira,
barangkali juga
lalu, di ruang katarsis perjuangan ini kian parah
bernanah
ditusuk berdarah dan hampir rebah; ternoktah oleh
penjarah.
Jangan biarkan mereka membakar catatanmu
kerana ia adalah tafsiran perjuangan yang tiada tara
nilainya kita sendiri yang memberi tanpa secalit
sangsi.
Aku bukan pembicara bijaksana jauh sekali perawi
atau pembuka sangkar demokrasi perjuangan bangsa
aku sekadar menukang fikiran yang baru terbuka
dari peti keadaan setelah sekian lama tersimpan rapi
diselimuti debu-debu kebiadaban dan bangkit mencari
kunci yang hilang setelah bertahun berada di
genggaman.
Jangan biarkan mereka membakar catatanmu
kerana ia adalah biasan perjuangan yang tiada tara
nilainya kita sendiri yang memberi tanpa secalit
sangsi.
Nilamsuri©
28 November 2001
Perpustakaan Awam Perlis
- Berita Minggu 14 Julai 2002 -
DI HUJUNG PENA KATA INI
(Sempena Ratib 1000 Syair Yang
Berlalu)
(a)
Di hujung pena kata ini mengalir
sederas arus fikir yang menepu sebelumnya
kembali berlabuh ke pangkalan bicara.
Di hujung pena kata ini berdetik
sepantas putaran perjalanan waktu
mengembalikan bahasa kalbu ke asal makna.
Di hujung pena kata ini ditatah
dari ilham kencana sang penyair
menanti saat bermula upacara.
Di hujung pena kata ini tergenggam
segugus hasrat, tak jua selesai mimpi perawi
berlalu sebelum sempat terucap salam.
(b)
Di dalam kebisuan menanti di halaman rasa
sepi tak jua sepi seusai ratib sakti dikeramatkan
kerana lidah kata ini menjadi pedang memancung
segenap walang yang bergentayangan di jiwa.
Tak seperti melakar peta sejarah
bahasa yang tercatat ini adalah bahasa hati
lalu di hujung pena kata ini masih mengembara
mencari diri, mencari diri.
Percakapan yang terakam dari hujung pena ini
adalah kata-kata yang menjelajah pada sehelai kertas
dan ucapan yang terlafaz ini bukan sekadar retorika
di hujung pena kata ini kita meratib, ratib!
Nilamsuri®
3.43 Pagi
1 Februari 2002
Kuala Perlis
- Lampiran kreatif Warta Gapena April-
KATA-KATA ITU
Kata-kata itu menjelma menjadi dosa
ketika kental hati dan tajam lidah seiring
berkuasalah segerombolan hitam akal
yang bangkit dari perbaringan khianat.
Kata-kata itu menjelma menjadi dosa
ketika racun amanah berbaur tuba curiga
menerajui takhta egois ke puncak prejudis
dan hasad pun turut merampas kepercayaan.
Kata-kata itu menjelma menjadi dosa
ketika kejujuran dan keikhlasan diperdebatkan
duri-duri fitnah bertaburan di hamparan setia
menghumban hipokrasi ke penjara birokrasi.
Kata-kata itu menjelma menjadi dosa
ketika hujan keangkuhan melebat dalam diri
jatuh membasahi dan menggelincirkan kesumat
muslihat bergelandangan, memancung semangat.
Kata-kata itu menjelma menjadi dosa
ketika situasi lemas di segara konspirasi
kelam membatukan arca ketidakadilan
memantul pahit kebenaran di cermin peribadi.
Kata-kata itu menjelma menjadi dosa
ketika bicara mulus menjadi rencong
menikam tepat ke jantung waras
tatkala merevolusikan pemikiran itu.
Nilamsuri®
25 Februari 2002
Kuala Perlis
- Tunas Cipta Julai 2002 -
SEPERTI KATAMU, KEKASIH 11
Seperti katamu, kekasih
nyala rasa dari pelita hati
bersumbukan kasih sayang
tetap menerangi kamar erti.
Di hujung keris percintaan ini
tersarung kesetiaan saat menemukan
tusukan kasih pertama dari paduan cinta
sedia diasapkan saban musim tanpa henti.
Seperti katamu, kekasih
perlu dikembalikan waktu yang tertumpah
dari gelas pasrah di meja gundah
walau kekunci kata membelit gelisah.
Resah terantai di tiang emosi
erat mengikat ketabahan diri
terkuncilah sepi di peti mimpi
saat dirimu menanyakan erti rindu.
Seperti katamu, kekasih
sayap malam yang mengepak
terbang tanpa henti mengitari
lelangit kasih yang kian membiru.
Tatkala menjala di tasik kesabaran
terjaringlah janji, lagu laut mengiringi
dan kita bakal menjahit kembali
jala cinta yang terkoyak itu.
Nilamsuri®
31 Mac 2002
Kuala Perlis.
- Seri Dewi & Keluarga Julai 2002 -
PADA PENDAKIAN INI
"Jalan menuju ke puncak itu
menyimpan berjuta halangan!" kata ayah.
Benar, jejak pertama ke sini
hanya bersaksi ranjau yang mencalarlukakan
wajah alam yang terkoyak di dalam
perangkap pembangunan dan jaring kepuraan
yang tak berkesudahan.
Kata ibu : "Hidup umpama pendakian
berjaya ke puncak maka tercapailah impian."
Benar, di sini kelongsong yang menyaluti
kerangka diri tidak lagi gagal
menafsir hidup sebenar.
Pada pendakian ini
jejak pertama adalah memaknai kewujudan diri
langkah kedua mencari seberkas kekuatan dan azam
seterusnya mengisi ketabahan sebagai
bekalan sepanjang perjalanan
mendaki dan menuruni jurang dan lembah kehidupan
menelusuri segenap lorong kepayahan.
Ketika menuruni antara jurang dan lembah
jejak langkah menjadi begitu berhati-hati
tersalah langkah membawa padah.
Kata ayah dan ibu
tetap teguh memeluk tiang fikir
pada pendakian ini sudah kutemui jawapannya
bahawa perjalanan berliku
tak selalunya membelit kesukaran
terkadang ia menyimpul jua kemanisan.
Pada pendakian kali ini
tekad kembali mengasak kotak akal
agar terus mencari jalan pulang.
Nilamsuri®
17 Mei 1998
Bukit Ayer, Perlis
- Mingguan Malaysia 19 Julai 1998 -
SURAT TERBUKA BUAT TUAN PRESIDEN 11
[Selamat malam, Tuan Presiden. Kesakitan adalah
bius
bakal melumpuhkan, kukira. Kerana itu surat ini
terutus].
Ini surat telah kualamatkan padamu, Tuan Presiden
apakah Tuan sudi membaca setelah menerimanya?
Surat ini kutulis dengan dakwat harapan; masih
merah
semerah harapan di musim baru. Membara dalam
baris-baris.
Ia tertitis dengan hitam kata-kata.
Cukup untuk memadamkan
mimpi Tuan yang tak pernah tanggal.
Tak terpalitkah sedikit rasa?
Maaf, Tuan Presiden. Surat ini mungkin bakal
dicampakkan
ke lantai kemarahan. Lantai itu nantinya akan menjadi
saksi.
Tahukah wahai Tuan Presiden?
Ingin sekali kupadamkan suara
keangkuhan Tuan yang sering melantun di dewan
kepuraan.
Salinan surat ini turut kukirimkan ke meja PBB.
Apakah mereka masih didakap waktu?
Atau waktu pantas memintas langkah?
Sesungguhnya yang benar, wajar mengembalikan nyata
walau mata perjalanan sesekali silau ditusuk ngeri
peristiwa.
[Selamat beradu, Tuan Presiden.
Surat terbuka ini tak terpalit antrax
dari jutaan doa malah manis penawar
buat mengubati kesakitan batinmu, Tuan].
Nilamsuri®
4 Januari 2003
10.20 Malam
Kamar Ilham, Kuala Perlis
- Mingguan Malaysia 16 Mac 2003 -
CERITERA TIGA WATAK: SUATU
PERTANYAAN
Darah siapakah lagi
yang ingin kau titiskan, Yazid
setelah tercerai kepala dari jasad seorang Hussein?
Karbala, padangmu menjadi saksi.
Ingatlah, wahai ingatan yang tak kunjung padam
api permusuhan itu akan menyimbah dirimu
dan beribu Hussein lagi akan bangkit
menentang kekejaman.
Airmata siapakah lagi
yang ingin kau tumpahkan, Hindun
setelah seorang Hamzah
berjaya kau tewaskan dengan pisau permusuhan?
Awaslah, awas wahai ingatan yang tak pernah lekang
cemburumu bakal menimpa diri
lalu akan tampil lagi beribu Hamzah
yang hebat dalam ngauman perjuangan.
Dosa apakah yang telah kami lakukan, Soros
setelah ekonomi kami kau carik-carikkan
dan apakah yang ada di peti fikirmu?
bahawa kami akan tersungkur di telapak kakimu?
tidak sekali-kali kami sangkutkan iman yang
masih tertinggal itu di baju simpati IMF
akan bangkit lagi beribu Hussein dan Hamzah
menentang kezaliman itu
walau kau mampu melumpuhkan kemajuan negara kami
walau kau mampu menumbangkan ekonomi kami
namun kau tak termampu membeli agama kami.
Nilamsuri®
20 Disember 1997
Kuala Perlis
- Mingguan Malaysia 3 Mei 1998 -
Nilam Suri
honeyza2@yahoo.com