PuisiPenaBerduri

Menggamit Bala Yang Maha Esa ( 8ogos2006 )

Sudah hilangkah pertimbangan insan
Terhakiskah sudah kemanusiaan
Urat nadi berwajah haiwan
Darah mengalir dirasuki syaitan

Tiada lagikah kewarasan
Hilangkah pertimbangan
Berkuburkah segala kebaikan

Tubuh kecil diratah mentah
Berkecai jasad pekat berdarah
Seluruh kasih terpisahlah sudah

Tiada lagi wajah comel manja
Hilang sudah gelak ketawa
Dunia suram berwajah duka
Angkara manusia iblis durjana

Dunia kini di ambang senja
Seolah kehidupan seorang tua
Itulah janji itulah petanda
Bila agama sering dipersenda

Gementar alam meratap hiba
Memohon doa pada yang Esa
Dunia kekejaman sudah pun tiba
Seolah menggamit bala dari Yang Maha

Mengayuh Jiwa Memudik Rasa ( 15jul2006 )

aku memudik rasa

menaiki sampan bicara

menelusuri sepanjang pantai kehidupan ini

mencari dan mengerti hakikat kejadian insani

mencari dan memahami diriku sendiri



kekadang aku dibuai mesra dek ombak cerita manusia

kekadang badai melanda menerpa mengungkap sengketa

namun aku masih di sampan bicara ini

berpegang pada prinsip dan jati diri sendiri



berpanas disirami mentari kemarahan

berhujan bermandikan air tangisan

dibuai lena dek buaian kelembutan

semuanya aku harungi di sepanjang perjalanan ini



adakalanya aku melihat kebathilan diselaputi kelembutan

adakalanya aku melihat kejahilan diselaputi kepura-puraan

namun tetap ada kebenaran walau menuntut pengorbanan

tetap wujud keikhlasan dan kejujuran di sepanjang perjalanan ini



aku semakin mengerti tentang ombak kehidupan

aku semakin mengenali hati budi makhluk ciptaan Tuhan

anugerah akal penentu haluan

anugerah qalbu mencuit perasaan



jauh aku ke tengah lautan kehidupan

semakin dalam dan menakutkan

aku tidak pasti apakah dihujung perjalanan nanti

akan ada daratan yang menanti

atau aku berkubur tanpa ada nesan penanda diri



apapun aku akan terus disampan bicara ini

menelusuri kehidupan sendiri

mencari erti ..mencari damai di hati

Kamar Cinta Kita, indahnya cinta.( 8jun2006 ).............


ku selak langsir kasih ini
dari kamar cinta yang mewangi
terasa kehangatan menjalar di jiwa
keghairahan membangkitkan rasa

aku tenang menghuni kamar cinta ini
yang terbina dari kasih yang suci
menyelubungi perasaan seharum kasturi
sehangat mentari di pagi hari

terhias rapi kamar cinta kita
warna bak pelangi di mana mana
kita selesa di kamar cinta kita
atas kurniaan yang Maha Esa

hamparan sayangmu menyelimut rasa
di jendela cinta kita ada kasih tertera
kita hiaskan cinta kita dengan sejujurnya
kita terima segala kekurangan yang ada

takala malam berkunjung tiba
cinta kita umpama bulan mengambang
menerangi segala kegelapan
ditemani bintang-bintang bersinar terang

kamar cinta kita adalah kamar setia
kita terlena dibuai rasa teratak_9kiss.gif

Bersyukur Dengan Anugerah Ini, kurniaan alam untuk insan.( 8jun2006 ).........

alir airnya mengalir tenang
menyusur alur tebing di kiri kanan
di sepanjang laluannya pepohon buluh berdesiran
diulit kicauan beburung berterbangan

semilir bayu bertiup nyaman
anak anak ikan bercunggapan
timbul silih berganti mencuri pandangan
kilauan mentari bercaya terang di permukaan

indahnya pandangan kurniaan Tuhan
buat hambaNya diberi kehidupan
anugerah yang Maha Terbilang
fitrah kejadian dalam kehidupan

anugerah Tuhan kepada insan
alam dan insan saling berhubungan
penuh dengan cinta...penuh kemesraan
aliran bahagia membuah kerinduan

bukit bukau menghijau kelihatan
sunyi alam bertukar kemerduan
dek siulan penghuninya yang keriangan
rerama berterbangan memukau pandangan

teruskan hubungan ini wahai teman
jangan dikhianati anuegrah ini teratak_coffee1.gif

Perjalanan Ini ( 7jan2006 )

Di perjalanan pulang..
hutan hijau selendang jiwa
angin berbahasa mesra
melewati denai yang biru airnya
bangau putih berterbangan di sana
sawah bendang indah di mata
meliuk lembut pepohon nyiornya

ahh tenangnya hati hamba
senyuman membunga dibibir ceria

kehidupan penuh makna
bak pelangi berbagai warna
selepas hujan,sejuk dan nyaman terasa

wahai Tuhan
bersyukurkah hamba mu ini
tak kala kesusahan menghimpit
diri keluh resah tanpa arahnya

wahai Tuhan
bersyukurkah hamba mu ini
tak kala kemewahan berada di sisi
penuh fantasi..dunia bagai mimpi

lambatnya tiba.....
ke laman bonda
mahu ku kucup dahi bonda
mahu ku cium pipi bonda

ahhh rindunya aku
pada kampung tercinta

ikhlas dari
Pena Berduri

Ku Musafir Di Minda Sendiri (22may206)

adakah riak-riak bahagia di hati ini
kiluan gembira memancar seri
mencari damainya hati
ku musafir di minda sendiri

gelombang rindu yang tak bertepi
mengolah kasih berbuih putih
menghempas syahdu di hati ini
mengalun rindu di antara sedih

ku musafir di minda sendiri
mencari ertinya cinta
segar berbunga di sudut jiwa
mengharum dek kasih sayangnya

adakalanya kerisuaan menjenguk rasa
dengan lintasan berbalam mendebar sukma
tabahkan aku dengan sengketa melanda
kuatkah aku dengan ujian menimpa

indahnya rasa berolak jua
kuatnya jiwa bergoyang juga
lintasan apakah namanya
mengugat cinta yang telah dibina

ku musafir di minda sendiri
mencari realiti antara mimpi
berdenyut dengan nadi cintanya
hidup antara derita dan bahagia

di musafirku ini
aku melihat adanya cahaya
rupanya derita hadir mengundang bahagia
esoknya ..pasti mentari bersinar ceria
cinta mekar di tasik jiwa

Jiwaku, Rindunya aku..............(17may206)

aku pernah terlena dalam pelukanmu
tika sedih...takala aku rasa sayu
persis bayi kecil yang didodoi manja
hilang segala yang terbuku di dada ini

jari jemarimu melingkar manja
membelai hati ini dengan damai yang kau beri
aku rindukan wajahmu wahai jiwa
ingin aku dengar nyanyian merdumu itu
walau jauh aku pergi..pasti kembali dalam pelukanmu

tidak ku temui damai yang kau beri
di sini...di sana...tak ada yang sepertimu
jelinganmu mengamit rasa
terlalu indah senyumanmu wahai jiwa

dikau ada tika aku perlukan
dikau di sana setia
dikau memberi segala-galanya
dikau menanti dengan dakapan mesra

wahai jiwa.....
nantikan kedatanganku
kerana aku merinduimu
belailah aku
dakaplah aku
aku terlalu merinduimu


dikaulah jiwaku
wahai pantai yang ku puja.....

Cinta Kita..desa Tercinta (9 may 206)

desa ini pernah bersaksi setia
pada bicara cinta suatu ketika
indahnya desa..indahnya bicara
semesra kasih yang kita bina

sungai yang mengalir jernih
menjadi saksi betapa ikhlasnya cinta kita
terlihat di dasarnya..
tiada terlindung dek mata
dalamnya cinta kita

semilir bayu menyapu muka
sedamai kasihmu...
tenangnya dalam pelukan cintamu
terlena dek belaian kasih kita berdua

pepohon hijau seakan berbicara
yang cinta kita mekar selamanya
kicau burung ketawa ria
sama gembira dek cinta terbina

aku rindu pada seraut wajah dipuja
ceria bersulam mesra
aku rindu pada senyum dinda
bersalut madu...seharum kuntuman bunga

desa ini dan cinta kita
anugerah yang tak mampu diungkap bicara
segar dan hidup selamanya
kita bahagia...
cinta kita..desa tercinta teratak_9kiss.gif

Petapa Derita Di Lembah Sengsara, untuk yang diluka hatinya........(3may206)

ku lontarkan kasih ini
biarlah hancur di mamah masa
ku carikkan sayang ini
biar berkecai di mana mana

untuk apa kasih di jiwa hamba
kalau cinta bersalut duka
ku anyam cinta bersulam mesra
ku pintal kasih sepenuh jiwa
ku selimutkan sayang di qalbunya

tapi untuk apa..........
kalau cintaku di pijak nista

sudah ku bina istananya cinta
sudah ku siap segalanya
namun hilang seri menghalang bahagia
titisan airmata mencurah jua

jangan dipujuk perginya hamba
jangan diingat kenangan lama
biar jiwa dihuni duka
pergi hamba ...pergi selamanya

kalaupun kembalinya hamba
tidak ke istana cinta yang telah dibina

anyaman cinta bersulam mesra
pintalan kasih terputus jua
petapa duka menghuni jiwa
titisan derita membeku rasa

biarkan hamba dipinggiran sana
lupakan istana lupakan semua

petapa derita di lembah sengsara
penuh dengan cerita duka
menyakitkan...

titisan kesakitan merah warnanya
dengan hirisan luka yang amat dalam
longlai kehidupan...berkecai impian

penghuni lembah sengsara
tidak selemah yang disangkakan
mereka bangkit kembali
dengan baju yang masih berdarah luka
mereka membina kembali kekuatan semangatnya

penghuni lembah sengsara
mengutip mimpi menyusun bahagia
ketabahan mengajar penghuninya
merealitikan sebuah cinta

derita cinta diabadikan selamanya
pasti nanti tidak mudah untuk sesiapa
meratah jujurnya hati
memusnah impian bakal dibina

Faham?, faham ke keliru?...........(27april206)

ye aku faham..
aku yakin aku faham
aku rasa aku faham
pasti...aku pasti yang aku faham
memang aku faham sangat

hmm benar ke aku faham
apa yang aku faham
kenapa setelah aku faham..masih ada yang aku tak faham
fahamkah aku..............
pasti ke aku ni faham?

banyaknya ruang ruang kosong dalam kefahaman aku
mengapa makin besar ruang kosong itu
makin membesar juga simpang siurnya
ahh mengapa kefahaman aku mengecil begini

aku tak kenal lagi siapa diriku ini
semuanya menjadi keliru
tadinya aku sangka aku faham

pening ....bagaimana aku mula tak memahami
mengapa ketidakfahaman ini menjalar begitu cepat
tadi aku faham satu..
kini aku keliru seribu.....
termasuk aku?
siapa aku?
siapa aku???????

Nelayan Dan Mulhid Berjuta, cerita dua sahabat...........(26april206)

dua sahabat...........
seorang yang saban harinya membanting tulang
mengerah tenaga mencari sesuap nasi
berjerih perih mendapatkan pulangan
peluh memercik..kadangkala darah mengalir
bagi membayar kurniaan rezeki Yang Esa
di malam harinya menangis ...
bukan mengenangkan nasib diri
tapi cintanya pada Ilahi

seorang lagi segak bergaya
bekereta mampu terbeliak mata memandangnya
punya rumah besar ..punya segala-gala
yang kerjanya banyak di kerusi empuk
dengan penghawa dingin peneman setia
didampingi setiausaha cantik lagi bergaya
baginya..usahanya itu membuah bahagia
tidak percaya pada sesiapa
apa lagi pada Yang Maha Esa


Pertemuan 1

si segak bergaya mempelawa sahabatnya
meninjau kota metropolitan
diperlihat kemewahan dunia
menganguk si nelayan mendengar celotehnya
berkerut dahinya....
memercik peluhnya....
bukan kerana kagum pada sahabatnya
tapi..
kesal di hatinya...
kerana menafi besar dan agungnya Yang Maha Esa

Pertemuan 2

giliran si nelayan mempelawa pula
di bawanya sahabatnya ke laut sana
menaiki sampan kecil
jauh ke ketengah...
hamparan daratan hilang dari pandangan
di dada laut membiru..seluas pandangan
diolek gelora lautan dalam

ditepuknya bahu sahabat..
digosoknya belakang sahabat
berkata si nelayan
" wahai sahabat...masihkah menafikan adanya Tuhanmu"
berderai ketawa si pemilik berjuta
" dimana Tuhanmu wahai sahabat..
dikau ku lihat membanting tenaga..
kalau benar Tuhanmu ada..
mengapa dibiar dikau menderita?
sedangkan dikau menyembah setia"

si nelayan termenung duka
memohon Allah menunjuk jalanNya
memberi hidayahNya

di bocorkan nelayan perahu mereka
tenggelam di dasar lautan bergelora
ketika itu....
terkejut si pemilik berjuta
terasa gugur jantungnya
merasai takut seluruh anggotanya
kerana kematian jelas dan nyata
dunia dan isinya tak mampu membantunya

merintihlah pemilik berjuta
" WAHAI TUHANKU..AMPUNKAN AKU..AKU PERCAYA KEWUJUDAN MU"

Allahu Ahbar! Allahu Akhbar!
si nelayan berteriak memuji Tuhannya
di lautan bergelora ..nelayan sujud pada Yang Maha Esa.

Cerita Di Pinggiran (20april206)

berada di lapangan luas tak sama dengan di pinggiran
terlalu jauh bezanya
aku melihat begitu ramai yang berada di pinggiran
kenapa?
untuk apa berada di pinggiran
kerana telah tau akan runtuhnya
tahu betapa jejak tak kuat cengkamannya

aku cuba mencari jawapan
terlalu ramai yang tak mampu lari dari pinggiran
tak kuatkah mereka untuk mencapai daratan luas terbentang
tak layakkah mereka
atau sememangnya mereka dilahirkan sekadar untuk berada di pinggiran?

ahh rasanya tidak...mereka bukan dilahirkan begitu
tak mungkin mereka selemah itu
namun di mana letaknya kekuatan dan kelemahan
pada wajah yang dipujakah
atau pada lemahnya jiwa menahan gelodak rasa?

berada di pinggiran mengundang debar di dada
pinggiran yang rapuh dan mengundang bala
kalaupun kekal di pinggiran...
untuk apa?
kalau jatuh?
tak apa lah kalau cetek airnya...
kalau tajam membenam dada menunggu di bawah sana bagaimana?

berada di pinggiran bukan salah sesiapa
salah kita sebenarnya
jiwa kita terlalu lemah untuk melangkah
sedarlah wahai jiwa ...
berada di pinggiran sekejab masa tak apa lah
tapi bukan untuk selamanya...
tak perlu membuang usia
tak perlu menangis hiba

dunia luas terbentang..pinggiran hanya detik pertemuan
sekejab saja...jangan di tangisi
pinggiran penting hanya untuk berbual bicara
mengenal dan bermesra

pinggiran ada waktunya
walau indah hanya sementara
walau pedih pun sama..tak lama
penting untuk kembali ke daratan luas terbentang
penting mendirikan bahagia pada kenyataan

pesan hamba...kalau lama di pinggiran
berfikirlah kembali..bukan untuk kekal di sana
tapi kembali ke alam nyata

berada di pinggiran banyaknya derita
dari bahagia......
banyaknya sengsara dari ceria teratak_!!up.gif

Bicara Resah Ii, antara mimpi dan impian..nyata berbalam (13april206)

resahku tiba lagi
terlalu banyak yang terjadi
semuanya berkisar dalam ruang yang sama
kedangkalan dan kejahilan terlumat sebati

kebenaran dan keilmuan tak berada di tempatnya
terlalu jauh pergi membawa diri
compang camping pakaiannya
terlalu daif......merajukkah dia.....
mengapa??

kejayaan yang berwajah duka
kerana terlindung dan tersembunyi
sedang hakikatnya ia milik kita
dimana silapnya??

berapa lamakah lagi kesuraman menyelubungi bangsa ini
berapa lamakah lagi pulangnya kebenaran dan keilmuan di sisi
benar fikirnya..benar lakunya..benar adilnya....benar yang di redhaiNya
berapa lamakah lagi kejayaan akan menjadi milik kita
ingin sekali melihat semua ini
kembali berada ditempatnya...menyinar bangsa

silapkah kita menafsir segala?
silapkan kita menilai mereka?
silapkah .....silapkah kita..........

ye silap kita...
silap takala kita diam bila mereka merencana
ye silap kita...
silap takala kita diam melihat kejahilan memimpin manusia
ye silap kita....
silap takala keilmuan diperlekehkan....pelakon hadalan dijulang mulia

wahai bangsaku.....
kembalikanlah kebenaran...
kembalikanlah kejayaan
kembalikanlah keadilan...
kembalikanlah keilmuan

wahai bangsaku.......
kuburkan kejahilan..kuburkan ketakutan...kuburkan pelakon kepimpinan
kembalikanlah kecemerlangan, kembalikanlah kegemilangan...jadilah yang terbilang

 


Di Pergunungan Ini (2april206)

malam di pergunungan
mengundang syahdu di hati ini
berbumbungkan bintang dan bulan
terang mengambang..bercahaya memancar berkilauan
bayu pun bertiup manja....membelai rasa

malam di pergunungan
diselaputi kabus menusuk ke tulang
malam terasa nyaman dan tenang
indahnya alam..indahnya perasaan

cengkerik berbisik sesama sendiri
menghias kesunyian malam
bau wangian alam di pergunungan
menusuk menambah ghairahnya sentuhan alam

malam di pergunungan mengingatkan aku
tentang cinta kepadaNya
berzikir memuji yang Esa
merasai kebersaranNYa
dengan kurniaan alam ..anugerah pada manusia

malam di pergunungan
membawa kenangan cinta kita berdua
kasih yang terbina..
di selaputi suasana kedamaian
dalam pelukan suasana di pergunungan

malam di pergunungan
memusatkan seluruh jiwa
tanpa suara...jauh dari cerita manusia
ku bawa cerita bahagia ke pergunungan
akan ku abadikan bahagia itu di sini
akan ku tugukan kasih kita

di pergunungan ini...jiwaku dan alam bersatu


Tetamu Malam (22mac206)

jiwaku dijemput malam bersamanya seketika
takala embun menitiskan airmatanya
tika kesunyian membalut rasa

malam memimpin jiwaku mengenal cinta
cinta manusia dengan wajah-wajah tertera
malam menunjukkan cinta terluka
membisik ke jiwaku...malam berkata
wahai jiwa..lihat betapa cintanya terseksa
kesian padanya.. hancur luluh hidupnya

jiwaku dan malam menangis sama
betapa sedihnya kami melihat duka di hatinya

malam memeluk jiwaku erat
damailah dikau wahai jiwa
cinta manusia tak semua terluka
lihat cinta itu....bahagianya mereka

aku ajarkan kepadamu wahai jiwa
kuceritakan tentang manusia
ku ajar juga tentang sunyi dan sepi ini
dikehidupan ini berbagai cerita wahai jiwa
malam meneruskan bicara...

aku menangis di dada malam
jiwaku diusap lembut
terasa dingin sekali dalam pelukan

malam ini aku damai terasa
kedamaian bersama malam
jiwaku dikucup lembut...

malam berkata...
wahai jiwa..saat perpisahan telah tiba
janganlah dikau bersedih wahai jiwa
tabahkan hatimu...malam berpesan manja
jiwaku diulit sendu...dilagu rindu

aku dicipta untuk ketenangan wahai jiwa
namun bukan selamanya kita dapat bersama
ada ketikanya ..perpisahan direlakan jua
selamat tinggal jiwa
damailah dikau wahai jiwa.......


Pimpinlah Kami, khas buat idolaku...............ameen(22mac206)

ntah kenapa hati ini
masih mengharap...terlalu tinggi harapan
untuk melihat....untuk merasai...untuk dinaungi

entah kenapa hati ini
takala peristiwa itu berlaku
aku keluh kesah
jiwa ku kacau..aku bagai tertikam sembilu
aku lemah..aku seolah ditinggal sendiri

ntah kenapa hati ini
melihat raut wajahnya
aku terpana..kagum pada pidatonya
hebatnya dia...bijak akalnya

ntah kenapa hati ini
seakan berkata.....zaman kegemilangannya baru bermula
setelah begitu lama dia menderita
setelah begitu lama dia terseksa

ntah kenapa hati ini
seakan berkata...itulah dia orangnya
sejarah berulang lagi rupanya
dimana mana ..ceritanya sama
Allah mengajarnya..menjadi seorang manusia
diberi ujian ke atasnya


ntah kenapa hati ini
menunggu sesuatu yang akan bermula
aku tau ianya pasti berlaku
suatu saat...bila masanya tiba
akan terjadi apa aku sangka
pasti terjadi...............

ntah kenapa hati ini
terlalu mengharap dia kembali
hatiku berteriak...pimpinlah kami!!!!!


 

Keparat Agama Dan Adat (22mac206)

segak bergaya dengan kot hitam warnanya
hati kembang dek pujian
bercakap diatur...banyak hmmm dari bersuara
sepatah-sepatah..di hatinya bangga

dahulu mengaji di sekolah desa
berkat dari usaha ibu dan bapanya
lalu ke menara gading akhirnya
belajar segala...
dikala itu hatinya juga bangga

mencari kerja dibantu kabel
ampu menjadi budaya
kedudukan dek batu loncatan
memijak sudah asam garam kehidupan

ahh manusia..tidak pernah puas
masyarakat didampingi dengan tujuan
akhirnya dipilih menjadi.....kerna disangka pejuang
bertahtalah dia menjadi harapan

inilah manusia....
yang asalnya dari desa
yang dahulu belajar agama
kini lupa asal usulnya
lupa adat dan budaya
lupa masyarakatnya

sakit hatiku melihat gelagat
bercakap macam tak tau adat
sedarkan dia..gajinya dibayar rakyat
sedarkan yang dia diperalat?

herannya aku..kenapa rakyat tak melihat
mana satu yang boleh diharap...
kenapa dipilih jenis keparat
keparat pada agamanya..pada adat

bencinya aku...
pada manusia yang keparat pada agama dan adat

Daerah Luka (19mac206)

aku melewati daerah luka ini
nada lagunya sedih meruntun hati
gendangnya dipalu sendu
pilunya mengetuk pintu hatiku

daerah ini begitu parah lukanya
seolah tiada lagi ruang untuk sembuh
luka itu masih lagi menitis
sakitnya ..hatinya masih terhiris

daerah apakah ini
yang tak mampu aku memahaminya

wahai penghuni daerah suram
sedarlah...bangkitlah kalian
hulurkan tangan-tanganmu
keluarlah kalian dari derita itu

ketahuilah wahai penghuni suram
masih ada bahagia di luar sana
untuk apa kalian di sini

bintang menanti kalian kembali dipangkuannya
bulan juga
mentari menunggu setia

wahai penguni lembah derita
bukalah matamu
di sini bukan daerah kita
masih banyak yang menanti di luar sana
pastinya bukan lagi derita atau sengsara

pilihlah bahagia...............

Mencari Erti Cinta (13may206)

cinta yang silih berganti antara insan di dunia
ceritanya juga....ada berbagai rupa
cerita cinta yang terluka
dan cerita cinta yang mengundang bahagia

aku terpana dengan istilah cinta ini
menjadikan aku seorang pemikir kepada maksudnya
sampai kini...sehinggi di saat ini
aku masih lagi keliru...aku terkapai lesu

ku lewati lurah dan denai
berbicara pada tasik dan sungai
ku khabarkan cerita cinta pada mereka
namun aku makin keliru
cinta mereka bisikkan kepadaku..bukan cinta manusia

aku daki pergunungan ini
mencapai puncak...kiranya ada maksud tertera
setinggi ini pun aku masih gagal mencapainya
ku pandang ke bumi...hmm mungkin ada ruang belum ku terokai

berada di dasar sekali
seolah dunia sebenar aku tinggalkan
melihat kalau di kehidupan ini
aku akan memahami apakah itu cinta insani

seringkali bintang dan bulan dikaitkan
cinta digambarkan seindah ciptaanNya
kepekatan malam pun tidak bisa menghilangkan cinta
namun usahaku sia-sia..hanya bintang berteraburan..bulan masih di sana
istilah cinta juga tidak wujud di persada cekerawala


ahh di manakah lagi belum ku jelajahi
Ya Rabbi..cintamu cinta hakiki
namun aku insan gagal memahami erti
cinta hakiki insan duniawi

Aku Hanya Pemerhati, Minyak naik lagi..Infalasi iskkkk.......(11may206)

aku hanya pemerhati
nak ku diam aku sakit sendiri

aku hanya pemerhati
minyak naik lagi??!!!

aku hanya pemerhati
semua orang ada pendapat sendiri

aku hanya pemerhati
Pak Lah pun dah bagi sebabnya sendiri

aku hanya pemerhati
pembangkang dah guna isu ini

aku hanya pemerhati
apakah sebab yang sebenarnya ini?

aku hanya pemerhati
perasuah di sana sini..sakitnya hati

aku hanya pemerhati
orang marah tak henti henti

aku hanya pemerhati
bila la nak sedar-sedar ni?

aku hanya pemerhati
Inflasi!!! inflasi!!!! Inflasi!!!!!

Penderitaan Atau Kebahagiaan? (7mac206)

terlalu banyak kelukaan dari kebahagiaan
mampukah kita menanggungnya nanti
namun mengapa?

semuanya pasti bermula dan akan ada akhirnya
persis bermulanya pagi hari
malam pasti menyusul kembali
namun mengapa?

adakah itu satu satunya pilihan wahai insan
dimana kewajaran bagi sebuah kehidupan
kalau semua memilih kesengsaraan
kalau tiap hari akan ada penderitaan
namun mengapa?

tidak dipertikai sunnahnya alam
tidak juga fitrahnya kejadian
namun manusia diberi pilihan
kebahagiaan atau penderitaan.....


namun mengapa dipilih penderitaan?

 

Kuburan Cinta (22feb206)

daerah rasa ini menghijau bibit-bibit sayang
menguntum bunga-bunga rindu bertebaran
rasa kasih yang terpendam semakin mendalam
menggunung rasa cinta seorang insan

dipergunungan cinta ini aku sendiri
tiada insan sudi menemani
ku dongak ke langit ..kelihatan bintang-bintang
di dada malam...ada bulan bersinar terang

bayu rindupun bertiup lembut
melewati celahan kasih yang terbina
memandangmu hati ku rawan
seolah nanti semua kenangan akan ditinggalkan

wahai bayu..sampaikan rinduku
ku tahu akan sampai ketikanya
salam rindu akan dikembali
wahai malam...telanlah derita hatiku
agar tak kan kelihatan pedihnya nanti

biarkan aku di pergunungan cinta ini
sendiri meratapi kasih yang tak kesampaian
cinta akan ku kuburkan di sini
ku nisankan rindu ini
dan aku....setia menjadi penghuni
sebuah cinta yang tak mampu memanjat usia
berkubur ketika baru bermula

wahai kasih..aku masih lagi mampu berbicara
dikuburan cinta ini..yang masih merah warnanya
ku doakan dikau bahagia.....

Berkampung Di Hutan Batu (18feb206)

bicara teman di malam ini
membawa seribu kenangan mengasyikkan
bermula dari cerita kampung di pendalaman
bercerita tentang sungai mengalir tenang
dengan ikan-ikannya ...kelah dan toman
membayangkan pepohon buahnya rambutan dan durian
manggis, duku dan langsat berbuah sakan

bicara teman di malam ini
berbumbungkan bintang, malam dan bulan
dengan ditemani cengkerik berdendang riang
melewati batas persawahan...meniti alur melintang
berburung berterbangan di pinggir bukit menjulang

bicara teman di malam ini
mengimbau kenangan silam
penuh keasyikkan ..kedamaian
segarnya..seperti masih baru semalam di ingatan

bicara teman di malam ini
sayangnya kini telah lama ditinggalkan
berada di hutan batu kota metropolitan
penuh kepalsuan dan hanyir menyesak pandangan

bicara teman di malam ini
dengan tekad ..biar kenangan semalam menjadi panduan
hidup di kota metropolitan
minda dibaluti kekampungan
kesempurnaan sebuah penghidupan


Berdebarnya Hati.........(13feb206)

berdebarnya rasa hati ini
seolah ada sesuatu yang mengusik hati
ahh kelirunya aku pada debaran yang semakin keras dirasa
kisah silamkan yang kembali bermain difikiran
atau kisah mendatangkah yang tidak diundang

berdebarnya rasa di petang ini
mengapa pemandangan alam ini masih belum mampu memberi ketenangan
pepohon yiornya yang melentok liok menari lembut
bayu bertiup beralun meyapu wajah
beburung berkicau mesra

berdebarnya rasa hatiku ini
rindukah aku? tapi pada siapa
untuk apa rindu ini kalau debaran terasa
tidak mungkin rindu ...kerana rindu tidak ada debaran menakutkan
yang ada debaran mengasyikkan

berdebarnya rasa hatiku ini
marahkah aku?
tiada apa mengundang kemarahanku
kerana tiada apa yang berlaku dalam hidupku

berdebarnya aku....
debaran ini menjadikan aku risau
debaran ini menjadikan aku takut
namun.....
biarlah debaran ini ..
mungkin debaran ini ada hikmahnya


 

Kedewasaan Ini (10feb206)

kedewasaan ini mengajar kita banyak perkara
kedewasaan ini memberi seribu rasa
kedewasaan ini membawa bahagia
kedewasaan ini adalah cinta

kedewasaan ini adalah cerita
kedewasaan ini membawa berita
kedewasaan ini membawa derita
kedewasaan ini adalah sengketa

kedewasaan ini aku menyaksi segala
kedewasaan ini dunia bagaikan bara
kedewasaan ini campuran duka dan suka
kedewasaan ini adalah airmata dan senyum tawa

kedewasaan ini adalah anugerah dariNya
kedewasaan ini hanya sementara
kedewasaan ini akan ada titik nohtahnya
kedewasaan ini akan kembali kepada fitrahnya


kedewasaan ini aku masih lagi di sini
kedewasaan ini.....aku masih mencari erti

p/s dewasakah kita kiranya masih tidak memahami diri kita sendiri?