Puisi seruling senja

Wajah Kekasih

Malam
Kulihat bintang-bintang bergemerlapan
Kurenung bulan bersinaran
Dan aku terkenang
Seorang kekasih di kejauhan

Ingin sekali kutatap wajahnya
Yang menjadi kerinduan
Suaranya membelai perasaan
Bicaranya penuh kejujuran
Dan cintanya yang ketulusan

Hadirlah dalam mimpiku
Walau bukan setiap waktu
Namun memadai bagiku
Sesekali kau datang bertamu
Menemani aku
Membelai dan memujuk jiwaku
Biar tertebus segala rindu


Utusan Rindu

Kota kesabaran hati
Berkocah sendiri pabila sepi
Mencengkam dan menyelubungi
Kala itu teguhnya tiada lagi
Kenangan datang bertamu
Tersingkap segala kemesraan lalu
Kata bicara dan pujuk rayu
Bagaikan masih hangat di perdu waktu
Maka kuutuskan segala rindu
Untuk menjemputmu
Hadir ke pangkuanku.



Kemungkinan

Pertemuan ini
Adalah suatu perkenalan
Perkenalan ini adalah persahabatan
Dan persahabatan ini
Adalah keakraban

Sahabat
Dalam kehidupan
Kita memerlukan teman
Teman tatkala kegembiraan
Teman sewaktu kedukaan

Teman
Hidup ini adalah permulaan
Hujungnya masih kesamaran
Namun semuanya berkemungkinan
Pabila kita bersama
Bergandingan tangan
Memupuk sebuah keserasian



Engkau dan Aku
(buat seorang sahabat;Roshidi)

Tika fajar menyinsing suasana
Dalam desas-desus nafas jiwa
Nun tangan menadah berdoa
Tangis, sedih, sendu dan duka
Mengadu pada Yang Mendengar Bicara
Berharap pada Yang Memenuhi Segala Cita.

Tercambahlah benih di sawah hati
Diairi dan menghijau bawah lembayung nurani
Dipagar serta dijaga rapi
Dengan sebuah janji termeterai
Dihiasi dengan rimbunan pekerti dan budi

Walaupun ia sunyi dan sepi kini
Apabila tibanya takdir Ilahi
Namun ia tetap terjaga rapi
Sehingga waktu masa datang lagi
Ia pasti akan indah kembali
Sebagaimana yang telah kita lalui
Selama mana kita bersetia janji
Engkau dan aku bersemi
Abadi di sanubari……………………..


Seruling Senja

Warkah

Pesanan Buat Kekasih I

Wahai kekasih hatiku, sesungguhnya engkau adalah tergolong dalam kalangan yang amat kusayangi. Sukamu adalah kegembiraanku dan dukamu adalah kesedihanku jua.

Ketahuilah olehmu sayangku,
Sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan onak dan duri serta seribu kemungkinan yang telah ditakdirkan tuhan. Dalam seribu kemungkinan itu, kita adalah salah satu darinya. Tidak seorang pun diantara kita yang tahu akan rezeki, jodoh serta ajal maut dirinya sendiri. Oleh itu, bersabarlah kiranya telah tiba takdir tuhan untuk orang yang kita sayangi. Ujian Allah itu ada hikmah di sebaliknya. Dan redhalah kiranya ketentuan Allah telah tiba untuk dirimu sendiri. Siapalah kita di sisi tuhan untuk mempertikaikan takdir dan ketentuanNya.

Sayang,
Dunia ini bukanlah hanya milik kita. Tapi ia telah dianugerahkan tuhan untuk seluruh makhlukNya untuk diuji, siapakah diantara kita yang paling bersyukur? Hitunglah olehmu akan anugerah tuhan. Pastinya tiada terhitung. Dan sebesar-besar anugerah dariNya ialah Iman dan Islam. Dengan apakah patut dibalas pemberianNya ini?. Ingatlah kiranya engkau mengumpul seluruh kekayaan memenuhi bumi ini dan engkau beramal selama lima ratus ribu tahun sekalipun untuk membayar harga hanya sebiji mata, ketahuilah sesungguhnya tempat bagimu adalah neraka kerana engkau telah berhutang denganNya.
Tetapi, Dia tidak pernah meminta sedemikian rupa. Memadailah bagiNya untuk melihat kita benar-benar menjadi hambaNya. Mengabdikan diri buatNya, tuhan yang memiliki semesta alam. Tuhan Yang Maha Pengampun walaupun dirimu datang kepadanya dengan dosa dan noda setinggi bergunung. Dialah tuhanYang Maha Pemurah, tidak pernah melambatkan rezeki walaupun hidupmu penuh dengan kederhakaan. Dialah tuhan Yang Teramat Tahu walaupun engkau kunci dan sembunyikan rahsia hidupmu nun jauh disudut hati yang gelap gelita. Dialah tuhan Yang Maha Pengasih, selangkah engkau rapat kepadaNya, sepuluh langkah Dia merapatimu. Dialah Raja bagi sekalian raja walaupun engkau berkuasa memerintah seluruh isi dunia ini. Dan sesungguhnya, segala-gala yang terdetik di hati dan terlintas di fikiranmu itu adalah milikNya jua.

Duhai kekasih, duhai sayang,
Sesungguhnya tidakku miliki emas permata walaupun sebesar biji kurma untuk ku hadiahkan buatmu, namun sudilah kiranya dirimu menghayati pesananku ini buat pedoman dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh bergelombang ini. Juga aku tidak memiliki sesuatu untuk kuberikan padamu sebagai bukti tanda kasihku padamu, tetapi ketahuilah, ku punya hati yang padanya kubina tugu kasih dan sayangku dengan penuh keikhlasan serta kukalungkannya jambangan bunga taqwa. Dan kini aku serahkan segala-galanya pada tuhan.
Ingatlah, kiranya takdir tuhan telah tiba buatku untuk menemuiNya tak kuminta apa-apa darimu. Cukuplah sekadar segugus doa dan fatihah buatku, agar kutenang di tempat peristirehatan sementara serta halalkan makan dan minumku dan maafkan kesalahanku terhadapmu dari hujung rambut sampai ke hujung kakiku. Atau kiranya engkau masih lagi berdendam terhadapku, tuntutlah pembalasannya nanti di hadapan tuhan Yang Maha Adil PengadilanNya. Dan nasihatku buatmu, bersabarlah. Usah ditangisi pemergianku ini dan simpanlah air mata mu itu kerana banyak lagi perkara yang bakal engkau tangiskan di dalam hidupmu nanti.

Sayangku,
Walaupun ku tak dapat hidup di sampingmu, tetapi memadailah buatku untuk mati di pangkuanmu. Salam ampun dan maaf dariku buat semua dan teristimewa buatmu SAYANG!!!



Pesanan buat kekasih II

Aduhai sayang……
Mengapa rindu hati tidak tertahan tatkala kuntuman cinta mula mewangi. Bauannya memenuhi setiap ruang kehidupanku ini. Bagaimana mungkin dapat kutahan apabila ia mula semerbak di kamar malam sewaktu kesepian datang bertamu menjengok diri yang sendiri.

Wahai kekasih…..
Sesungguhnya pepohon cinta ini kupagar rapi. Temboknya tinggi dari kalam Ilahi. Air siramannya sesejuk salji daripada keikhlasan hati di jalan suci. Bajanya kujaga sendiri dengan taqwa yang meliputi pintu kesedaran diri.

Wahai pujaan…..
Ketahuilah olehmu bahawa cinta ini kuikat suci. Segalanya kuserahkan pada Ilahi untuk menentukannya. Aku hanya seorang manusia yang merancang Cuma dan demi Allah cinta ku ini hanyalah semata-mata kerana Dia. Dan kusandarkan cintaku pada mu ini dalam rangka mencari cintaNya Yang Maha Suci.

Aduhai penawar hati…..
Aku ini manusia sepertimu jua. Tiada lebih di sisi Tuhan Yang Maha Tinggi manakan terdaya aku menahan ujian yang mendatang dan siapalah aku di sisiNya untuk mempertikaikan ketentuan dariNya. Di manakah tempatku di sisiNya apabila tiba saat pertemuan nanti. Sesungguhnya hanya doa yang mampu kulakukan bagi mengharap belas dan kasihanNya di hari yang tiada bayangan selain dari bayanganNya.

Wahai pengubat jiwa…..
Betapa berharganya keindahan hidup ini tatkala bunga-bunga kematian mula berputik. Begitu bernilainya sebuah kesihatan pabila kengiluan mula menjalari seluruh urat saraf ini. Oleh itu, tiada lagi nilainya dunia ini selain dari mengharapkan keampunan Allah terhadap dosa-dosa lalu.

Aduhai kekasih, aduhai sayang……
Mungkinkah ternoktah sudah ikatan cinta ini kiranya maut itu terlebih dahulu menyapaku? Mungkinkah kematianku ini menandakan bahawa tamatnya sebuah cinta suci yang telah terbina di atas dasar Ilahi ini? Atau pemergianku ini dengan membawa sebuah cinta yang tak kesampaian dan segeluk sayang yang bakal menjadi kenangan.

Dengarlah wahai penawar……
Mahukah dirimu mendoakanku nanti tatkala aku berhempas pulas menjawab soalan malaikat yang bertanya? Mahukah engkau melapangkan kuburku sejauh mata memandang dengan doa-doamu atau hanya ingin membiarkan aku dihimpit kuburan sehingga berselisih kedua-dua tulang rusukku?

Aduhai pujaan…..
Kini telah kubuktikan betapa sucinya cinta ini dengan membawanya bersama kematianku menuju ke lahad. Akan ku bawanya berjumpa tuhan Rabul Jalil untuk dinilaiNya cinta yang kusemai diatas cintaNya. Dan mahukah engkau membuktikan ketulusan cintamu padaku hanya keranaNya dengan mengirimiku segugus doa yang berkekalan dan berpanjangan rahmatNya ke atasku. Semoga dengan jasa ikhlasmu itu, tuhan mencatatkan bagimu di Luh sebuah pertemuan denganku nanti di sana disebabkan sucinya cintamu oleh kerana cintaNya Yang Maha Agung.

Pesanan buat kekasih III

Aduhai sayang…..
Semakin nafas ini di penghujung, semakin pilu ku rasakan. Bisakah aku meninggalkan mu sendirian tanpa tempat untuk bergantung dan mengadu? Mampukah dirimu menghadapi ujian hidup ini sendiri?
Ketahuilah olehmu wahai sayang, walaupun aku nanti nun jauh di lahad bumi, cinta dan kasih sayangmu sentiasa menemaniku sehingga ku bawanya nanti ke hadapan tuhan untuk diperkirakan. Adakah cinta ku ini benar-benar suci atau hanya cinta yang berlandaskan nafsu semata?

Wahai kekasih….
Betapa ruginya aku kerana tidak mempunyai zuriat yang bakal mendoakan kesejahteraanku mahupun yang bakal menyambung kembali perjuanganku. Apalah dayaku seorang hamba yang lemah, sudah ketentuan takdir Ilahi, aku tidak mempunyai itu semua. Cuma yang ada hanyalah dirimu yang amat ku sayangi. Padamu jualah ku tinggalkan segunung pengharapan.

Aduhai sayang…….
Kiranya tiba saat yang telah dijanjikan tuhan, kuingin pergi meninggalkan segala nikmat kehidupan ini dengan tenang. Aku mahu saat aku dijemput malaikat maut, ia di temani dengan gerombolan malaikat dari syurga yang membawa kafan dari kain di syurga bersama haruman kasturi yang semerbak. Aku mahu kedatanganku ini di redhaiNya dan aku juga redha dengan kehendakNya.
Dengarlah olehmu bahawa cintaku terhadapmu ku tanam dalam lubuk hatiku dan ku bina padanya sebuah tugu yang cantik berukir sebuah keimanan dan ketaqwaan. Pada tika itu, aku tidak mahu menyeksamu supaya mengingatiku. Sesungguhnya dirimu bebas untuk menentukan haluan hidupmu sendiri hatta untuk mencari seseorang yang bakal menggantikan tempatku di hati mu. Aku tidak pernah berwasiat padamu supaya hanya setia hanya padaku seumur hidupmu. Aku tidak sezalim itu sayang………carilah sesiapa sahaja yang boleh menunjukkanmu jalan ketuhanan bagi menggantikan aku untuk memenuhi keperluanmu. Aku rela dan redha terhadapmu dan doaku sentiasa bersamamu agar nanti kau bisa bahagia bersama penggantiku dalam melayari hidupmu nanti.

Wahai kekasih…….
Dalam kisah cinta ini, sesungguhnya aku bangga memiliki mu, kuntuman yang mekar di taman terlarang. Bukan mudah untuk ku menyuntingmu, terlalu banyak ujian dan dugaan yang perlu aku lalui sehinggalah harummu menjadi milik ku walaupun sehingga kini aku tidak mampu untuk memetikmu untuk menghiasi kamar malamku. Dan mungkin aku sememangnya tidak akan mampu untuk berbuat demikian kerana takala ini aku telah dijengok khabar-khabar kematian.
Aku juga bangga mempunyai seorang kekasih yang selalu menunjukkan aku jalan kebaikan. Tidak pernah melupakan bicara nasihat dalam tutur kata dan matanya selalu basah kerana menangis mengharapkan pengampunan di sisi tuhan.
Ya Allah……
Kiranya keluhan ini bisa menghilangkan kepiluan ini, maka telah memadai buatku merasa bahagia di sisimu. Kiranya senyumanmu itu mampu mengubati segalanya, nescaya ia akan menjadi bekalku di sana nanti. Dan kiranya doa mu itu adalah segalanya, maka memadailah untukku memiliki cintamu.
Ya Allah……..
Dadaku mula menyesak kini. Nafas sudah tidak teratur lagi. Hanya padamu ku berserah diri dan sebuah cinta suci ini. Dan kini ku serahkan di bawah penjagaaMu Ilahi, seorang kekasih yang amat kucintai.



Seruling Senja