Pesta Menuai PISTON 8 Mei 2004 Dirasmikan oleh YB PN. Jornah Mozihim, ADUN N4 Matunggong merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dan Penyelaras KDCA Matunggong
|
PISTON ialah gabungan 5 kampung iaitu Kg. Paku, Kg. Inukiran, Kg. Sinusukan, Kg. Timbagan dan Kg. Guomon. Pesta Menuai yang diadakan di Dewan Serbaguna Kg. Inukiran ini, dinamakan Karamazan Kokotuai PISTON 2004. Majlis ini dirasmikan oleh YB Pn. Jornah Mozihim ADUN N4 Matunggong merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dan Penyelaras KDCA Matunggong. YB Pn. Jornah Mozihim, menyeru semua pihak supaya bersatu padu selepas berlalunya pilihanraya ADUN 2004. Beliau turut berterima kasih kepada semua pengundi di N4 Matunggong kerana memberi kepercayaan kepada beliau menjadi ADUN dengan mengundi calon BN. Beliau mengumumkan rancangan beliau untuk menaikkan taraf hidup penduduk di kawasan N4 Matunggong. Beliau berharap dapat mengurangkan jumlah penduduk di N4 Matunggong yang di bawah paras kemiskinan tegar melalui aktiviti pertanian. Beliau turut memuji penganjuran program ini dan menyeru supaya masyarakat Rungus memelihara kebudayaan Rungus untuk generasi akan datang. Di samping itu beliau menyuarakan harapan beliau supaya bangsa Rungus berdaya saing untuk mengejar kemajuan dan memberi pendidikan kepada anak-anak mereka termasuk mengajar anak mereka bahasa Rungus dan bahasa-bahasa utama di Malaysia seperti bahasa Melayu dan Inggeris. Beliau memohon kepada sesiapa juga yang mempunyai idea untuk cara-cara membangunkan N4 Matunggong supaya tampil kehadapan dan memberi pandangan kepada beliau. Beliau akan sentiasa mendengar pandangan tersebut demi kebaikan N4 Matunggong. Di dalam ucapan Presiden Kkrd, beliau menyeru supaya semua keluarga Rungus menggunakan bahasa Rungus sebagai bahasa utama di rumah. Ini bagi mengelakkan pupusnya penggunaan bahasa Rungus di kalangan masyarakat Rungus dan hilang identiti kerungusan di kalangan generasi baru. Beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap fenomena di mana ibu bapa lebih suka mengajar anak-anak mereka bahasa Melayu dan Inggeris berbanding bahasa Rungus. Ini menyebabkan ramai kanak-kanak Rungus sekarang berumur 12 tahun ke bawah tidak lagi berbahasa Rungus. Di setengah-setengah tempat bahasa Rungus dicampuradukkan dengan bahasa Melayu atau menggunakan bahasa Melayu tetapi menggunakan loghat Rungus. Beliau menegaskan bahawa ini suatu perkara yang kurang sihat dan boleh menyebabkan bahasa Rungus pupus untuk digunakan pada masa akan datang. Beliau menyatakan bahawa bangsa dikenali daripada bahasa dan jika hilang bahasa maka hilanglah bangsa. Salah satu aset utama bangsa Rungus ialah undang-undang adat Rungus. Undang-undang ini kini sedang digunakan di mahkamah-mahkamah anak negeri di seluruh negeri Sabah. Malangnya tidak ramai generasi baru yang mempelajari undang-undang ini. En. Johori Botohong berkata, kemungkinan undang-undang adat ini tidak ada lagi penerus selepas 50 tahun dari sekarang. Oleh itu, beliau sekali lagi menyeru supaya generasi baru Rungus berusaha mempelajari undang-undang adat Rungus supaya ia kekal dapat digunakan di mahkamah anak negeri pada masa-masa akan datang. Karamazan Kokotuai 2004 ini dianjurkan dan dikelola oleh penduduk daripada 5 buah kampung, dikenali sebagai PISTON, yang terdiri daripada ahli-ahli KDCA, SAMORA dan Kkrd. Pesta menuai ini ditaja dan dilaksanakan dengan kerjasama YB Jornah Mozihim, ADUN N4 Matunggong merangkap Penyelaras KDCA Matunggong, En. Johori Botohong, Presiden Kkrd, En. Weldron Bahanda dan En. Wetrom Bahanda.
Copyright © 2003 Rungus Dusun Leadership Club (Rdl Club) - Kkrd |