GURU MATEMATIK SEBAGAI PENYELIDIK    

Lsta Binti Yahya     

Penyelidikan guru juga dikenali sebagai ‘self-reflective enquiry’. Ianya adalah inisiatif guru itu sendiri ke atas sesuatu aspek dalam amalannya dengan tujuan untuk lebih memahami sesuatu amalan dan kemudiannya mencadangkan pembaikan. Penekanan seharusnya diberikan kepada matapelajaran matematik memandangkan ia adalah  subjek teras yang paling utama.

Kebolehan guru-guru meletakkan penyelidikan sebagai teras budaya kerja sekolah adalah untuk membolehkan " Proses Rawatan" atau "rehabilitation" terhadap anak- anak didik menjadi lebih berkesan. Usaha ini menepati sekali dengan hasrat Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Kementerian Pendidikan untuk menjadikan kajian tindakan ini sebagai satu amalan (practice) yang kreatif, inovatif dan profesional bersesuaian dengan Programme, For Inovation, Excellence and Research (PIER) yang telah dilaksanakan beberapa tahun yang lalu.

Program ini tidak harus dianggap sebagai usaha memahami persekitaran P&P sahaja bahkan hendaknya ia lebih bersifat "Action Oriented" atau orientasi tindakan. Ini adalah bersesuaian dengan kerjaya perguruan yang pada masa ini lebih mencabar dan penuh liku-liku berbanding dengan profesion perguruan 20 tahun yang lalu di mana pada masa kini guru dituntut mempunyai kemahiran-kemahiran dan pemikiran pendidikan yang lebih advance bagi memenuhi keperluan masakini dan alaf ke-3.

Sebagai contoh, isu kegagalan pelajar mencapai kecemerlangan dalam matapelajaran metematik adalah perkara yang perlu diberi perhatian serius hari ini. Isu ini timbul kerana terdapat jurang ekspektasi (jangkaan) dan amalan guru dalam pengajaran matematik. Untuk merapatkan jurang ini, amalan penyelidikan dan tindakan menjadi penting kepada perkembangan P&P matematik  dalam kelas. Ini kerana melalui penyelidikan guru dapat memahami situasi di mana mereka berada dan seterusnya dapat membuat keputusan yang tepat bagi meningkatkan mutu pengajaran mereka.

          Antara bidang-bidang yang boleh dikaji oleh guru sebagai penyelidik adalah seperti amalan, minat dan perhatian guru-guru, tentang soal peranan dan tanggungjawab, disiplin pelajar, sikap, nilai dan pandangan guru, fenomena di luar jangkaan, keberkesanan aktiviti atau program, isu-isu yang timbul daripada dapatan penyelidikan, laporan media dan menyentuh tentang polisi atau arahan baru.

           Contohnya Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) menjalankan  projek-projek untuk mendapatkan maklumat mengenai aspek-aspek tertentu dalam pelaksanaan dan perkembangan kurikulum. Antara  penyelidikan yang dijalankan pada masa ini meliputi aspek-aspek  berikut:

Aspek-aspek yang di kaji oleh PPK di atas sangat bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran matematik . Kita sedia maklum  sukatan pelajaran  matematik hari ini sangat menekankan seperti berfikir secara kritis dan kreatif  serta strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru. Cuma tahap pencapaiannya tidaklah memberansangkan. Inilah yang perlu diberi perhatian oleh guru dalam membuat penyelidikan matematik.

 

Secara keseluruhannya , guru sebagai penyelidik tidak akan menerima  secara melulu permasalahan harian sebaliknya mengimbas kembali permasalahan tersebut dan mencari jalan penyelesaian. Guru-guru seperti ini sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan sendiri, berusaha untuk mengaplikasikan idea dan strategi terbaru bukan membiarkan amalan-amalan rutin berterusan.

 

Ada banyak faktor yang menyokong dakwaan kenapa guru perlu menjalankan penyelidikan. Seperti kenyataan Stenhouse, 1975 iaitu,

 

It is difficult to see how teaching can be improved or how curricular proposals can be evaluated without self-monitoring on the part of teachers. A research tradition which is accessible to teachers and which feeds teaching must be created if education is to be significantly improved’ (p:165)

 

Menurut Bennett (1993) guru menganggap penyelidikan sebagai kegiatan sampingan yang  lebih membebankan .Ini kerana guru tidak melihat perkaitan yang rapat di antara pengajaran dan penyelidikan. Penyelidikan atau kajian tindakan perlu dilakukan  untuk untuk melihat kesediaan guru dan pihak pentadbir melakukan perubahan berdasarkan penyelidikan yang relevan dengan konteks dan pengalaman sendiri.

 

Tokoh penyelidik terkenal Barat berhubung dengan kajian tindakan dan antaranya ialah Elliot (1976), yang menyatakan bahawa kajian tindakan adalah satu pendekatan penyelidikan yang dapat mempertingkatkan kualiti profesion perguruan. Hal ini bertepatan dengan saranan KPPM yang selalu saya sebut sebagai ke arah "Back to Basic" atau pun "real learning / real teaching". Demikian pula Carr dan Kemmis (1986) menyatakan bahawa kajian tindakan adalah merupakan refleksi kendiri (self reflection) melalui aktiviti inquiri untuk membaiki amalan P&P.

         Seorang lagi tokoh penyelidik yang ingin saya berkongsi pengetahuan ialah Jean Macniff (1988) dalam bukunya "Action Research Principals And Practices" . Beliau menyatakan :

"Kajian tindakan telah membuka pengalaman dan proses yang luas di mana keperluan- keperluan dalam kajian pendidikan tersebut merupakan sebagai pendidikan itu sendiri. Secara disedari penglibatan tersebut dapat meningkatkan kemajuan profesion guru dan ini juga merupakan satu komitmen yang membantu proses penemuan seorang penggkaji. Di sini kita lihat dengan mengamalkan Kajian tindakan para guru dapat meningkatkan martabat diri dalam profesion perguruan selain menambahkan sikap diri yang kreatif dan inovatif berbanding profesion lain. Terdapat banyak kelebihan atau faedah yang akan diperolehi melalui pengalaman kajian Tindakan dalam proses pendidikan. BPPDP (1995:8) misalnya telah menyenaraikan antara faedah-faedah yang boleh didapati oleh guru-guru dengan melaksanakan kajian tindakan iaitu

Mendapat sumber maklumat penting untuk memahami amalan pengajaran guru,amalan pembelajaran murid, keadaan murid, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya. Dapat merancang huraian mata pelajaran dengan lebih berkesan. Dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memudahkan pencapaian objektif mereka dan dapat memahami, mengubah dan memperbaiki amalan sendiri. Meningkatkan penggunaan bahan dan membentuk jalinan kerja yang lebih aktif dan efektif. Dapat menyediakan guru sebagai penyelidik yang kritikal, kaya dengan idea baru, sanggup menerima perubahan dan berupaya membuat penilaian terhadap kurikulum dan kokurikulum. Membentuk budaya penyelidikan sebagai asas dalam membuat sebarang perancangan untuk tindakan dan Merapatkan tali siraturrahim di kalangan guru yang terbabit melalui kerjasama secara kolaboratif.

Pada masa sekarang, terdapat usaha melaksanakan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) dan mendapatkan pengiktirafan ISO 9002 di sekolah-sekolah, maka perlaksanaan kajian tindakan adalah merupakan sebahagian daripada langkah-langkah ke arah itu. Jika kita tinjau dalam perlaksanaan TQM itu sendiri ia menekankan kepada model penyelesaian masalah bagi usaha pembaikan yang berterusan di samping ia menekankan kepada proses.  MAMPU (1990) menyebutkan bahawa penyelesaian masalah merupakan satu komponen yang penting dalam usaha peningkatan kualiti. Proses penyelesaian masalah itu melibatkan enam langkah:

1. Pengenalpastian masalah

2. Penganalisisan masalah

3. Alternatif-alterenatif penyelesaian bagi menyelesaikan

   masalah.

4. Pemilihan alternatif penyelesaian dan tindakan

   pembetulan

5. Pelaksanaan tindakan-tindakan pembetulan.

6. Pengukuran dan penilaian tindakan-tindakan  pembetulan

 

Kajian tindakan dirasakan begitu signifikan kepada guru sebagai penyelidik, namun ia telah dapat mempengaruhi suasana pembelajaran pelajar-pelajar dalam bilik darjah. Ini jelas berdasarkan kajian Jaafar Sidek et. Al (1997 : 40) yang mendapati sikap pelajar terhadap program kajian tindakan yang telah dijalankan adalah sangat positif. Pelajar mempunyai motivasi yang tinggi selepas mengikuti program ini. Dalam kajian tindakan yang dijalankan, penilaian dan refleksi yang dibuat ialah pelajar berminat mengikuti program kajian tindakan. Pelajar mendapat perhatian yang lebih daripada guru-guru. Proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik kerana guru bekerjasama memikirkan kaedah yang sesuai dan menyediakan bahan-bahan pengajaran yang menarik.

           Kajian Tindakan adalah satu bidang yang boleh memberi manafaat kepada dunia pendidikan. Guru matematik sepatutnya mengambil peluang untuk menjalankan kajian tindakan  dalam usaha mengubah dari amalan biasa.  Ia memerlukan satu usaha kolobratif yang melibatkan berbagai pihak iaitu guru dan pelajar dan pihak pengurusan sekolah sendiri. Ini bermakna para pengkaji perlu melengkapkan diri dari segi ilmu penyelidikan, kemahiran berkomputer, membuat soal selidik , memproses data dan seterusnya membuat penganalisaan. Kemahiran-kemahiran seperti memproses data dan membuat penganalisian  merupakan kemahiran yang biasa terdapat pada guru matematik. Ini akan memudahkan guru menjalankan penyelidikan kerana melibatkan  bidang statistik.

Selepas beberapa lama mengajar, guru berkemungkinan merasakan tanggungjawab rutin boleh membosankan mereka. Bagaimanapun guru-guru boleh keluar daripada tanggungjawab yang rutin malah mampu membuat keputusan dan memahami kesan daripada sesuatu pengajaran lantas boleh meningkatkan tahap profesionalisme  sebagai seorang guru. Sehubungan itu adalah dicadangkan kajian tindakan perlu dipupuk kepada bakal guru semasa Kursus Asas Perguruan (KAP). Banyak tulisan telah dibincangkan tentang kebaikan kajian tindakan seperti Liston dan Zeichner (1990),Gore dan Zeichner(1991) dan McKay (1992).

          Di negara-negara maju  sperti USA, UK, Australia dan New Zealand, kajian tindakan merupakan komponen penting dalam KAP. Di samping kebaikan kepada guru-guru  pelatih, kajian tindakan  adalah sebagai alat untuk menilai program KAP  itu seperti sejauhmana guru-guru pelatih  mengamalkan pengajaran yang reflektif dan sebagai strategi untuk membaiki proses penyeliaan latihan mengajar.

 Sesungguhnya, berasaskan kepada pentingnya kajian tindakan dalam membantu menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah maka para pendidik seharusnya bersikap positif untuk mencuba kaedah ini sebagai sebahagian daripada proses pengajaran mereka.

         Walau pun usaha untuk membudayakan Kajian Tindakan di sekolah dan dalam bidang matematik terutamanya bukanlah satu kerja yang mudah, namun dengan usaha dan perancangan yang rapi dan bersungguh-sungguh daripada pelbagai pihak yang berkepentingan ianya mampu dijadikan kenyataan.

 

 

Rujukan :

 

1.         Carr, W. and kemmis, S (1989). Becoming Critical, Education,knowledge and Action Research, The Falmer Press,London

2.        Stenhouse, L (1975). An Introduction to curriculum Research and Development, Heinemens, London.

3.         Macniff, (1988) Action Research Prinsipals  and Practices.

4.         Dr. Mohamad Nor Bin Mohamad Taib, Ketrampilan Penyelidikan Sebagai Prasyarat untuk Menjadi Guru Yang Reflektif, BPPDP Kementerian Pendidikan Malaysia

 

 

[Balik Ke Menu Kertas Ilmiah]