PENGAJARAN BERPANDUKAN KOGNITIF (CGI)

(Cognitively Guided Instruction)

        Pengajaran Berpandukan Kognitif merupakan satu pendekatan dalam pengajaran matematik yang menggalakkan  suasana pembelajaran aktif (active learning) ,yang bermakna (meaningful), dapat membina pemikiran aras tinggi, berkesan dan berasaskan penyelidikan.

        Para guru  menggunakan pendekatan pengajaran berpandukan kognitif berhasrat membantu pelajar untuk belajar secara lebih bermakna dan mengembangkan pemikiran aras tinggi. Dengan cara ini dapat membantu mereka membina apa yang pelajar tahu dan membantu mereka  belajar dari rakan dalam kumpulan masing-masing.

        Dalam mengaplikasikan pendekatan pengajaran ini para guru perlu tahu dan memahami bahawa strategi-strategi yang digunakan oleh pelajar dalam penyelesaian  masalah sebelum  mereka diajar prosedur-prosedur formal dan bagaimana mereka boleh berfikir secara matematikal. 

        Menurut Thomas P.Carpenter dan Elizabeth Fennema dari Universiti Winsconsin .USA pengajaran berpandukan kognitif telah diperkembangkan  hampir 12 tahun yang lalu. Idea ini menjadi teras kepada pengajaran berpandukan kognitif:

    " Kanak-kanak tidak datang ke sekolah sebagai kertas kosong.Mereka telah mempunyai kefahaman intuitif tentang matematik. Mereka  menggunakan  pengetahuan  informal tentang matematik dan pelbagai strategi yang boleh diramalkan  dalam menyelesaikan masalah, sedangkan mereka  masih belum diajar secara formal tentang cara menggunakan prosedur matematik yang abstrak dalam menyelesaikan masalah "

        Dalam pengajaran berpandukan kognitif guru perlu memahami strategi-strategi yang digunakan oleh pelajar untuk menyelesaikan  masalah sebelum mereka diajar prosedur-prosedur formal. Mungkin terdapat pelbagai strategi yang digunakan  oleh pelajar. Contohnya mereka cuma meneka sahaja atau menyelesaikan secara cubajaya (try and error) tanpa panduan tertentu. Walaupun pendekatan ini tidak secara formal tetapi guru perlu memahami strategi-strategi tersebut bagi menjamin pelaksanaan CGI.

 Prinsip-prinsip pengajaran berpandukan kognitif :

1.    Guru menggunakan hasil penyelidikan tentang pemikiran matematik pelajar dan proses penyelesaian  masalah. Oleh itu guru  perlu membiasakan diri dengan hasil penyelidikan tentang penyelesaian masalah matematik oleh kanak-kanak, mengklasifikasi  dan mengenalpasti proses-proses  yang kanak-kanak selalu gunakan untuk menyelesaikan masalah.

2.    Guru mentaksir proses penyelesaian masalah  oleh pelajar. Guru perlu menganalisis  pemikiran pelajar dengan menanya soalan-soalan yang sesuai dan seterusnya mendengar respon pelajar. ini adalah hasil daripada kerangka (framework) yang diperolehi daripada penyelidikan  tentang pemikiran kanak-kanak.

3.    Guru merekabentuk pengajaran berasaskan  apa yang mereka tahu tentang pemikiran pelajarnya dan proses penyelesaian masalah  mereka. Guru berperanan menggunakan pengetahuan  yang diperolehi daripada pentaksiran  dan diagnosis  tentang pelajarnya  untuk merancang pengajaran  yang bersesuaian.Dengan itu guru dapat menggalakkan pembelajaran aktif  termasuk penggunaan pembelajaran koperatif.

4.    Guru harus mengorganisasi  pengajaran untuk melibatkan pelajar supaya  mereka dapat membina pengetahuan  mereka secara aktif dan dengan kefahaman  bermakna.

5.    Para guru harus memastikan pengajaran asas matematik  menekankan hubungan  di antara konsep,kemahiran dan proses penyelesaian masalah matematik.

Guru perlu ada 4 kemahiran asas dalam melaksanakan pengajaran berpandukan kognitif  secara yakin dan  berkesan :

1.    Guru perlu tahu mengetahui bagaimana kandungan pengetahuan matematik tertentu diorganisasikan dalam minda pelajar.

2.    Guru harus boleh menjadikan penyelesaian masalah  sebagai fokus kandungan pengajarannya.

3.    Guru harus tahu mentaksir cara bagaimana muridnya berfikir tentang kandungan pengetahuan yang dipersoalkan.

4.    Guru harus  boleh membuat keputusan secara menyusun atur tajuk  berasaskan pengetahuan mereka tentang pemikiran pelajar.

Kelebihan  pendekatan berpandukan kognitif :

1.    Pelajar dapat mempelajari kemahiran asas dalam konteks penyelesaian masalah yang bermakna dan menggalakkan pemikiran aras tinggi.

2.    Pelajar  akan menjadi lebih yakin dalam menyelesaikan masalah.

3.    Pelajar juga akan lebih yakin dalam kebolehan mereka  untuk memahami  masalah baru.

4.    Pelajar akan  menjadi lebih bermotivasi untuk terus  mengerjakan  tugasan kerana  penyelesaian masalah adalah sangat mencabar secara kognitif..

Peranan guru dan pelajar dalam pengajaran berpandukan kognitif :

1.    Guru dan pelajar perlu bekerjasama dalam memyelesaikan masalah.

2.    Guru mungkin bertanya  kepada pelajar cara bagaimana  mereka mendapatkan jawapan dan apakah strategi yang digunakan dalam menyelesaikan  masalah.

3.    Guru mempelajari bagaimana pelajarnya mendapatkan jawapan.

4.    Guru perlu menerangkan  kepada pelajar cara mendekati sesuatu masalah dengan pelbagai kaedah melalui pelbagai  contoh yang ditunjukkan  oleh rakan-rakannya.

Suasana kelas Pengajaran Berpandukan Kognitif:

1.    Pelajar menghabiskan  kebanyakan masa mereka  menyelesaikan masalah.

2.    Pelajar tidak ditunjukan serta-merta oleh gurunya cara hendak menyelesaikan sesuatu masalah.

3.    Setiap  pelajar  menyelesaikan  masalah-masalah dengan mana-mana  cara  yang  mereka  mampu,kadang-kadang dengan lebih  daripada  satu  cara.

4.    Setiap pelajar  melaporkan  cara  bagaimana sesuatu  masalah diselesaikan  kepada rakan-rakannya  dan kepada  guru.

5.    Guru dan  rakan-rakan  mendengar  dan  bertanya  sehingga  mereka memahami  penyelesaian  kepada  masalah  yang di bentangkan

6.    Guru menggunakan maklumat, yang diperolehi  daripada laporan  yang dibuat oleh setiap pelajar  tentang  cara dia menyelesaikan masalah, untukmembuat keputusan  tentang  apa  yang patut  diketahui  oleh  setiap  pelajar  dan  cara bagaimana  pengajarannya  harus   distrukturkan untuk  membolehkan  pelajarnya  belajar.

        Dengan itu pengajaran berpandukan kognitif mempunyai kesan yang baik terutamanya kepada  pelajar, dimana mereka dapat mempelajari  cara mendapatkan jawapan yang betul, mendekati sesuatu masalah, memilih kaedah penyelesaian dan seterusnya  dan membina motivasi untuk belajar.

        Dalam pendekatan pengajaran berpandukan kognitif perkembangan  kemahiran matematik pelajar berlaku secara tak formal kepada formal. Di peringkat permulaan pelajar akan menyelesaikan masalah situasi dunia sebenar. Pada masa ini pelajar belum tahu konsep atau kemahiran . Mereka mungkin akan menyelesaikan masalah dengan lebih daripada satu cara. Guru memodelkan secara konkrit atau separa konkrit seperti gambarajah,perisian komputer atau kalkulator grafik. Seterusnya  guru mengabstrak secara simbolik dan pengajaran guru adalah secara formal.

        Oleh itu pengajaran berpandukan kognitif merupakan pendekatan pengajaran matematik yang boleh diaplikasikan kerana dapat membina pengetahuan secra aktif selain  amalan penngajaran biasa guru-guru.

 

[Balik Ke Menu Tajuk Sinopsis]