Jalan Menuju Sinar Solat 1

 oleh:Islah diri

Solat adalah satu perkara yang datang bukan daripada diri dan kehendak manusia. Ia bukanlah hasil daya kreativiti dan imaginasi mana-mana manusia. Solat merupakan satu perkara yang datang dari daripada luar diri manusia. Bahkan datang daripada luar kehendak dan keinginan sebarang makhluk. Baik makhluk di bumi atau makhluk di langit. Baik makhluk yang berakal seperti malaikat, jin dan manusia, mahupun makhluk-makhluk dari golongan hayawaan (dunia kehaiwanan), nabataat (tumbuh-tumbuhan) ataupun jamaadaat (alam benda-benda yang kaku dan jumud). Sesungguhnya solat adalah bersumber daripada satu sumber yang jauh lebih tinggi dan agung, berbanding seluruh alam dan segala isi kandungannya dan juga segenap lapisannya. Solat sebenarnya adalah satu perintah, keinginan dan kesukaan Zat Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung, iaitu Pencipta Sekelian Makhluk: Allah Azza Wa Jalla.

Allah-lah Khaliq. Allah-lah Maalik. Yakni Allah-lah Yang Maha Mencipta dan Allah-lah Yang Maha Memiliki dan Menguasai. Segala sesuatu di dalam genggaman Kudrat dan Iradat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tiada suatu apapun yang terlepas daripada liputan ilmuNya. Segala-galanya bergantung kepada Kudrat dan IradatNya. Segalanya adalah mutlak di dalam liputan ilmu dan ketetapan Allah Ta'ala. " Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat mahupun (apa yang ada) di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melain Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir bijian di dalam kegelapan bumi, begitu juga tidak jatuh (suatu apapun) baik yang basah mahupun yang kering, melainkan (segalanya)tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang-nyata.- 6:5 9

"Ingatlah apa yang telah dipesankan oleh Luqmanul-Hakim kepada anaknya, katanya: "Wahai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara yang hanya seberat biji sawi , serta ia tersembunyi di dalam batu yang besar, atau pun di langit mahupun di bumi, sudah tetap akan dibawa juga (kepenghadapan) Allah;sesungguhnya Allah itu Maha Halus pengetahuannya); lagi Amat Meliputi (ilmuNya tentang segala sesuatu).- 31:16 ".

Pada Allah-lah hakikat manfaat dan mudarat. Tiada suatu apapun yangdapat memberikan manfaat mahupun mudarat melainkan dengan izin dan kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah-lah yang menghina dan Allah-lah yang memuliakan. Sesiapa yang dimuliakan Allah, maka dialah orang mulia. Barangsiapa yang dihinakan Allah, sesungguhnya benarlah dia seorang yang hina. Segalanya adalah milik Allah. "Bagi Allah-lah segala apa yang ada di langit mahupun yang di bumi; sesungguhnya Allah, Dialah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Maha Terpuji." Segalanya bersumber daripada khazanah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Khazanah yang tiada batas dan hadnya. Khazanah Allah yang maha luas, seluas Kudrat dan Iradat Allah yang tiada had dan batasnya. Khazanah yang pintunya tidak pernah tertutup dan isinya tidak pernah berkurang. Jika berhimpun seluruh manusia dan jin daripada yang awal sehingga yang terakhirnya daripada mereka di satu lapangan, lalu dengan serentak masing-masing berdoa memohon kepada Allah setiap hajat dan keinginan mereka, dengan bahasa mereka masing-masing yang bermacam-macam lagi berbagai; pasti, pasti dan pasti ! Segala permohonan mereka itu dapat didengar dan dapat difahami oleh Allah Taala. Dan jika Allah Ta'ala memakbulkan setiap doa dan permintaan tersebut, nescaya tidak berkurang satu apa pun daripada khazanah Allah Ta'ala, melainkan ibarat setitis air daripada lautan yang terbentang luas. Itulah Kudrat Allah, itulah khazanah Allah Ta'ala. Di tangan Allah ada SunnatulLah (hukum-hukum peraturan Allah), dan di tangan Allah jugalah adanya KudratulLah (kemutlakan kekuasaan Allah). Harus dan bebas bagi Allah untuk menjadikan atau melakukan sesuatu berdasar asbab (sebab-akibat) dan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu menyalahi asbab, bahkan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu tanpa asbab. Pisau yang sama di tangan Nabi Ibrahim a.s. mampu membelah batu, tetapi pisau yang itu juga tidak dapat melukakan Ismail a.s. Api yang marak membakar ranting-ranting dan puntung-puntung kayu yang membukit dengan lahapnya, tetapi api yang menggunung itulah yang tidak mampu membakar walau sehelai roma Ibrahim a.s. Untuk hidup kita perlukan udara, air dan makanan; tetapi apakah yang dapat menjadi punca kehidupan kepada Yunus a.s. selama dia berada sekian hari lamanya di dalam perut ikan Nun? Yang ada hanyalah segala asbab kematian: kegelapan, tanpa makanan, tanpa minuman dan tanpa udara. Inilah yang dinamakan KudratulLah. yang ada bersama Yunus a.s. ialah Kudrat Allah, bukan hanya sekadar SunnatulLah lagi. Apabila Allah menginginkan sesuatu itu tidak binasa, ia pasti tidak akan binasa.

Walaupun yang ada pada masa itu hanyalah segala asbab kebinasaan. Laut yang sama Allah gunakan untuk menyelamatkan Musa a.s. dan para pengikutnya, dengan laut yang sama jugalah Allah telah binasakan Fir'aun dan segala bala tenteranya. Manusia pada hukumnya memerlukan pencatuman benih daripada ibu dan bapanya untuk dilahirkan ke muka alam ini, tetapi siapakah yang telah menjadikan Isa a.s. tanpa bapa, malah yang telah menjadikan Adam a.s. tanpa ibu dan bapa? Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Dalam genggamanNyalah segala sesuatu. Abrahah dengan angkuhnya telah mengerahkan platun tentera bergajahnya untuk memusnahkan BaitulLah. Mereka semakin dekat dengan kawasan Tanah Haram.

Penduduk Mekah telah bertempiaran lari menyelamatkan diri di balik-balik gunung. Hati mereka berdebar-debar menanti satu peristiwa yang dahsyat lagi menyedihkan akan berlaku. Ka'bah akan dimusnahkan.

Tiada lain kekuatan yang mereka punyai untuk menghadapi gajah-gajah tentera Abrahah. Di hati mereka hanya tinggal satu sahaja lagi harapan, iaitu Allah Ta'ala sendiri. Di hati mereka ketika itu hanya ada Allah. 360 berhala mereka telah hilang dari benak nubari mereka. Hanya kepada Allah hati-hati mereka menghadap.

Yakin yang bersih dari sebarang syirik. Lalu apakah yang telah dilakukan oleh Allah? Memadai bagi Allah untuk menghantar serombongan burung-burung yang kecil, membawa bersama mereka kerikil-kerikil yang kecil. Cukup untuk menyebabkan Abrahah dan tentera bergajahnya hancur berkecai, bagai daun yang dimamah oleh ulat. Maha Suci Allah Ta'ala! Maha Besar Allah Azza Wa Jalla!Inilah Allah. Dengan segala kekuasaanNya. KehebatanNya. KebesaranNya. KekuatanNya. Kemutlakan kehendak dan kudratNya. Keagungan dan kemuliaanNya. Maka daripada Zat Yang Maha Suci inilah terzahirnya perintah solat. Zat Yang Maha Agung inilah yang menginginkan agar perintah solat dianugerahkan kepada manusia. Ia bukanlah idea ciptaan akal dan kehendak manusia. Tetapi ia adalah perintah daripada langit, kehendak Allah, Pencipta Seru Sekelian Alam. Allah Yang Maha Besar memfardhukan solat agar solat itu dapat menjadi penghubung antara makhluk dengan Tuhannya. Yang dicipta dengan Penciptanya. Sesungguhnya solat adalah satu anugerah yang sangat agung. Daripada Dia Yang Maha Agung. Sungguhlah solat itu 'penyejuk mata' bagi mereka yang mengerti tentang keagungan Dia yang telah menghadiahkan solat ini kepada manusia. Jika untuk lain-lain perintah adalah memadai wahyu diturunkan melalui Ruhul-Amin Jibrail a.s. ; tetapi tidak dengan solat. Untuk menerima perintah solat ini, Rasulullah saw. perlu dijemput untuk masuk ke penghadapan Allah Ta'ala. Merentasi keluasan bumi, melangkaui lapisan-lapisan langit.

Langsung daripada Tuhan Seru Sekelian Alam, Muhammad saw. menerima hadiah yang amat bernilai ini. Bahkan Jirail a.s. pun tidak dibenarkan mengiringinya, yang ada hanyalah Allah dan hamba dan kekasihNya: Muhammad saw.

Solat adalah mi'rajnya umat ini. Melalui solat, seorang insan yang beriman akan menuju terus di balai penghadapan Allah Ta'ala. Adakah lagi sesuatu perkara yang terlebih agung daripada dapat menghadap Yang Maha Agung, malah yang Empunya Segala Keagungan, keagungan yang hakiki lagi mutlak? Oleh itu, hendaklah kita faham, solat itu bukanlah hanya sekadar suatu bentuk gerakan yang bermula dengan takbir dan disudahi dengan salam. Sebenarnya solat adalah lebih daripada itu. Solat adalah satu wadah perhubungan makhluk dengan Khaliqnya. Satu pernyataan hubungan yang tulus antara Yang Dicipta dengan Sang Pencipta. Melalui solat, Allah Ta'ala membuka peluang kepada hamba-hambaNya untuk berhubung terus denganNya dan mengambil manfaat secara langsung daripada Kemahakuasaan Kudrat dan Iradat Allah Ta'ala. Solat yang mempunyai hakikat akan memperoleh dua kesan utama. Kesan yang pertama ialah seseorang itu akan benar-benar faham dan mendapat manfaat solat sebagaimana yang dimaksudkan oleh Allah Ta'ala dengan firmanNya: (( Dan mintalah pertolongan olehmu sekelian (kepada Allah), dengan (jalan) kesabaran dan (melalui) solat; sesungguhnya solat itu amat berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk! ))- 2: 45 . Demikian pula di dalam firmanNya di tempat yang lain: ((Wahai sekelian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan (jalan) kesabaran dan (melalui) solat; sesungguhnya Allah menyertai orang-orang yang sabar!)) - 2 : 153.

Manakala kesan yang kedua pula, hasil daripada solat yang mempunyai hakikat; seseorang itu akan mencapai kehendak apa yang dimaksudkan oleh Allah Ta'ala melalui firmanNya:

(( Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) daripada Kitab (Al-Quran); dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada fahsya' ( sifat-sifat dan perbuatan yang keji ) dan munkar ( amal perbuatan kemungkaran ); dan sesungguhnya zikrulLah ( yakni, mengingati dan berzikir kepada Allah) itu adalah lebih besar; dan Allah itu mengetahui apa sahaja yang kalian kerjakan. )) - 29:45 Kesan yang pertama yang akan terzahir daripada solat yang mempunyai roh dan hakikat ialah mencapai Nusrah (bantuan) atau Isti'aanah/ Ma'uunah ( pertolongan) langsung daripada Allah Ta'ala. Solat yang sedemikian mampu menjadi pembuka pintu khazanah Allah yang tiadabertepi itu. Seorang wanita daripada satu kabilah Arab telah membuat keputusan untuk memeluk Islam. Cahaya hidayah telah memenuhi ruang hatinya. Seluruh orang kampungnya telah berang.

Bagi mereka, wanita ini telah menconteng malu kepada kampung mereka. Wanita tersebut telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah. Lalu di bawa bersamanya anak lelakinya yang seorang itu. Masih kanak-kanak lagi si anak itu.

Setelah sampai di Madinah dan Rasulullah saw. telah dimaklumkan tentang kehadirannya, lalu Rasulullah saw. telah menawarkan kepada mana-mana keluarga untuk mengambil wanita itu sebagai keluarga angkat untuk diajar dan didedahkan dengan ajaran-ajaran dan suasana Islam yang sebenar. Selang beberapa hari wanita muallaf itu tinggal di Madinah, terjadi satu peristiwa. Suatu hari, si anak sedang bermain-main dengan kawan-kawan barunya di sekitar kawasan masjid, sedang bermain-main itu, tiba-tiba si anak itu telah jatuh dan telah meninggal dunia. Oleh kerana si anak itu tidak dikenali, maka para Sahabat r.a. telah mengambil keputusan untuk menguruskan sahaja jenazah kanak-kanak tersebut. Setelah selesai dikafankan, dan telah sedia untuk disembahyangkan, tiba-tiba perkara ini telah sampai ke pengetahuan ibunya. Lalu ibunya dibawa kepada jenazah anaknya itu. Melihat jenazah anaknya itu, si ibu terus menunaikan solat dua rakaat dan telah berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya daku mencintaiMu. Engkau mengetahui, bahawa ketika daku memeluk agamaMu, kaumku telah mencerca daku dan menyumpah daku ; dan antara sumpahan mereka, mereka mengatakan bahawa anakku akan mati kerana aku telah meninggalkan agama nenek moyangku, oleh itu wahai Allah! Kau hidupkanlah kembali anakkku ini, agar ia tidak menjadi fitnah kepada agamaMu!", selesai sahaja doanya itu, tiba-tiba kaki si anak kelihatan bergerak-gerak dan hidup kembali. Lihatlah! Inilah yang dikatakan KudratulLah dan kesan daripada solat yang mempunyai roh dan hakikat. Keimanan yang tulin dan solat yang mempunyai hakikat khusyuk dan khudhu', mampu menggerakkan nizaamul-ghaib (peraturan ghaib) Allah Azza Wa Jalla. Untuk maksud ini, beberapa perkara perlu diusahakan, agar solat kita akan menjadi solat yang memepunyai hakikat di sisi Allah.

Marilah kita usahakan agar solat yang kita tunaikan dengan penuh patuh saban hari itu, benar-benar satu solat yang menepati kehendak Allah, Tuhan yang disembah. Bahkan, di dalam bahasa Melayu pun solat disebut dengan istilah sembahyang. Perkataan ini adalah gabungan dua perkataan: "Sembah" dan "Yang". Perkataan 'Yang' di sini sebenarnya adalah perkataan sanskerit 'Hyang' yang memberi makna dewa, tuhan, dewa kayangan. Perkataan 'kayangan' sendiri asalnya ialah "ka - yang - an" bererti tempat atau alam ketuhanan. Jadi perkataan 'sembahyang' itu sendiri secara klasiknya membawa makna: Memuja Tuhan.1 Bagaimanapun, perkataan solat adalah jauh lebih tepat dalam menggambarkan hakikat kelakuan perhubungan makhluk dan Tuhannya. 'Hakikat' dan 'gambaran' adalah dua perkara yang berbeza. Umpama sebuah patung seekor 'bapak' harimau yang begitu gagah kelihatannya, dibandingkan dengan seekor anak harimau. Walaupun anak harimau itu hanyalah anak, tetapi cakaran kukunya akan memeberi bekas yang tidak sedikit pedihnya. Tetapi patung 'si bapak' harimau yang kelihatan gagah itu, tidak dapat berbuat apa-apa, walaupun yang menyekel kepalanya hanyalah seorang budak kecil. Gambar api bagi satu letupan bom atom di Hirosyima dan Nagasaki, tidak akan dapat memberi apa-apa kesan dan bekas, tetapi api sekecil api mancis sudah cukup untuk menyebabkan terbakar hangusnya sebuah bandar. Gambaran dan hakikat adalah benar-benar dua perkara yang berbeza. Di atas meja hidangan, terhidang semangkuk buah-buahan plastik. Warnanya, bentuknya dan rupanya benar-benar kelihatan hidup. Cantik dan menyelerakan. Tetapi 'gambaran' buah-buahan itu tetap tidak dapat dikecapi dan dinikmati.

Jangankan untuk dikecap, bauh harum buah-buahan pun tidak akan kedapatan. Khusyuk dan khudu' adalah asas untuk mendapatkan hakikat solat. Khusyuk ertinya 'tetap hati', dan khudu' ertinya 'tenang anggota' dalam menunaikan solat. Hakikat solat yang paling bawah yang perlu kita capai ialah: Bagaimana melalui amalan solat kita, kita dapat zahirkan sifat-sifat ketaatan di dalam solat, di bawa ke dalam kehidupan kita di luar solat. Kerana itulah, sangat penting untuk memastikan solat kita benar-benar mempunyai hakikat bukan sekadar 'gambaran' sahaja. Oleh itu, ulamak-ulamak mursyid di bidang dakwah dan islah ummah telah memberikan beberapa nasihat. Ada beberapa perkara yang perlu kita usahakan ke atas solat kita:A) 'Yaqiin' yang sahih. Yaqiin di sini secara mudahnya bermaksud "keyakinan kita kepada kesempurnaan, ketunggalan, kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala dari segi Zat, Af'aal, Asma' dan Sifat". Sebagaimana disimpulkan di dalam kalimah 'Laa ilaaha illalLaah'! Kita perlu kosongkan hati kita daripada sesuatu selain Allah Ta'ala. Kalimah 'Laa ilaaha illalLah' adalah kalimah yang mengandungi Nafi(menidakkan) yakni "Tiada tuhan" dan ithbat(menetapkan) yakni "melainkan Allah". 'Laa ilaaha illalLah' ini menuntut supaya kita mengosongkan apa jua sesuatu selain Allah daripada hati kita. Hanya Allah dan kesukaan-kesukaan Allah yang lanyak memenuhi hati kita. Di dalam sebuah hadis Qudsi ada disebut: Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman: (( Wahai hambaKu! Hatimu adalah tamanKu; dan syurgaKu adalah tamanmu. Sekiranya engkau tidak bakhil kepadaKu dengan tamanmu bahkan engkau tempatkan makrifahKu di dalam hatimu, nescaya aku tidak akan bakhil kepada dengan tamanKu dan Aku akan tempatkan engkau didalamnya!)).

Oleh itu kita mestilah buat penafian yang sempurna bahawa tiada yang hebat melainkan Allah, tiada yang dapat memberi manfaat dan mudharat melainkan Allah, tiada yang berkuasa melainkan Allah, tiada yang memberi rezeki melainkan Allah, tiada kecintaan melainkan kepada Allah , tidak berharap melainkan kepada Allah, segalanya hanya Allah. Kita nafikan segala kebesaran kecuali kebesaran Allah; segala kehebatan melainkan kehebatan Allah; segala keyakinan kecuali keyakinan kepada Allah; segala kecintaan kecuali kecintaan kepada Allah. Hanya Allah yang memberi manfaat. Hanya Allah yang memberi mudharat. Allah-lah yang Menghinakan, dan Allah-lah yang Memuliakan. Tidak akan berlaku suatu perkara melainkan semuanya telah diizinkan oleh Allah.

Semuanya berada dalam pengetahuan dan hitungan Allah Ta'ala. Hati kita hendaklah dipenuhi keyakinan, hanya dengan mengikut perintah Allah, kita akan berjaya. Dan dalam melanggar perintah Allah pasti ada kegagalan dan kehinaan. Janji Allah adalah benar. Akhirat adalah benar. Barzakh adalah benar. Mahsyar adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Segala janji Allah pasti akan berlaku. Kerana...... sesungguhnya :'Tiada tuhan melainkan Allah!" . 'Laa ilaaha illalLah'!! Sekurang-kurangnya, dengan hanya 'yaqiin' yang beginilah yang selayaknya kita menghadap Allah Azza Wa Jalla di dalamsolat kita.

Bagaimanakah kita dapat usahakan agar keyakinan yang sedemikian dartang ke dalam hati kita? Caranya ialah dengan kita selalu mendakwahkan keyakinan ini kepada orang lain. Kita hendaklah selalu ceritakan perkara ini kepada orang lain berkali-kali. Lagi dan lagi.

Kita ceritakan hakikat 'Laa ilaaha illalLah' ini lagi dan lagi. Setiap hari. Tanpa jemu, dan penuh cinta kepada Allah; kita ceritakan betapa Allah-lah Yang Maha Kuasa, makhluk tidak ada kuasa. Allah Khaliq, dan selain daripada Allah semuanya makhluk. Kita ceritakan betapa kehebatan Allah Ta'ala. Betapa Kudarat dan Iradat Allah Ta'ala adalah mutlak. 'Laa ilaaha illalLah'! Kita kena ceritakan, sampaikan, dakwahkan kebesaran Allah setiap hari kepada semua manusia. Ada sahaja peluang, maka ceritakan hakikat ini. Keyakinan ini. Kita pujuk rayu manusia kepada Allah Ta'ala. Kepada cinta Allah. Yakin kepada Allah. Taat perintah Allah. Dan ajak manusia untuk ajak manusia lain pula kepada Allah. Kepada hakikat 'Laa ilaaha illalLah'! Kita kena ceritakan tentang kebesaran Allah, kehebatan Allah, kekuasaan Allah, keyakinan kepada Allah, kecintaan kepada Allah lagi dan lagi. Sehingga ia menjadi darah daging percakapan kita seharian. Kita seru manusia lain kepada perkara ini. Kepada hakikat 'Laa ilaaha illalLah'. Rasulullah saw. telah mencanangkan kata-kata ini siang dan malam, dari lorong ke lorong, pintu ke pintu, dari satu kampung ke satu kampung dan dari satu khemah ke satu khemah: "Wahai manusia! Ucapkanlah 'Laa ilaaha illalLah', kamu akan berjaya!" Pernah Rasulullah saw. bersabda kepada para Sahabat r.a.: Katanya: Perbaharuilah sentiasa iman kamu. Lalu para Sahabat bertanya: Bagaimanakah kami dapat memperbaharui iman kami? Jawab beliau: Ikthiruu bi qauli 'Laa ilaaha illalLah' (Perbanyakkanlah dengan perkataan,ucapan, perkataan 'Laa ilaaha illalLah')!" Inilah langkah pertama untuk datangkan hakikat kalimah 'Laa ilaaha illalLah' ke dalam hati kita. Yakni, dengan cara kita cakapkan, sampaikan, sebarkan, warwarkan, seru dan pujuk rayu manusia kepada kehebatan dan kebesaran Allah Ta'ala. Bukankah perkara ini yang menjadi intipati seruan azan yang dilaungkan oleh para bilal lima kali sehari semalam? Renungkan! Jika kita berpeluang untuk ceritakan, cakapkan, sampaikan tentang kebesaran Allah, kehebatan Allah dan kekuasaan Allah Ta'ala, maka itu adalah lebih baik. Itulah peluang yang kita sentiasa cari. Disamping itu, jika kita dapati ada orang lain yang sedang menceritakan dan menyampaikan kepada kita tentang kehebatan Allah, kebesaran Allah, kekuasaan Allah, keyakinan kepada Allah, kecintaan kepada Allah, kebenaran janji-janji Allah, keadilan peraturan Allah, kejayaan dalam mentaati perintah Allah maka hendaklah kita tumpukan pendengaran telinga dan hati kita kepada percakapan orang itu. Jika bukan kita yang cakapkan, biar kita yang mendengarkannya . Dengarlah perkara-perkara ini dengan penuh ghairah, penuh keinginan untuk mencintai Allah sepenuh hati kita. Kita perlu cakapkan perkara ini, atau dengarkan perkara ini dengan penuh rendah diri kepada Allah Ta'ala. Penuh rasa malu kerana kita tidak dapat menyembah Allah dengan sebagaimana yang selanyak-lanyaknya Allah Subhanahu wa Ta'ala itudisembah.

Selain itu kita sentiasalah fikirkan tentang ciptaan-ciptaan Allah Ta'ala. Kita kagum melihat kehebatan teknologi gubahan manusia hari ini, tetapi adakah mana-mana teknologi yang dapat menciptakan seekor lalat? Atau seekor nyamuk? Tidak ada. Kerana Allah-lah sahaja Khaliq! Maha Pencipta. Sedangkan makhluk ini hanya sekadar menggubah. Mereka hanya mampu menggubah bahan-bahan yang telah disediaciptakan oleh Allah Azza Wa Jalla. Lihatlah kejadian alam ini. Lihatlah kejadian langit yang sehingga sekarang masih lagi menjadi misteri para astronaut. 'Tidakkah engkau lihat kepada unta, bagaimanakah ia dijadikan?; kepada langit, bagaimanakah ia ditinggikan?; kepada bumi, bagaimanakah ia dihampar? kepada gunung-ganang; bagaimanakah ia dipasak?'. 'Tidakkah kamu memikirkan tentang apa(yakni benih sperma) yang kamu pancarkan itu? Adakah kamu yang menjadikannya atau Kami yang menjadikannya?' 'Tidakkah kamu lihat apa yang kamu tanam itu? Kamukah yang menumbuhkan atau Kami yang menumbuhkannya?' 'Tidakkah kamu lihat air yang kamu minum itu? Kamukah yang menurunkannya dari awan atau Kamikah yang menurunkannya? Jika Kami kehendaki, Kami boleh menjadikan masin; masihkah kamu sekelian tidak tahu bersyukur?' 'Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang, seperti yang engkau dapat lihat; dan Dia mengadakan di bumi, gunung ganang yang mempasak bumi agar kukuh dan tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia biakkan padanya pula berbagai jenis binatang; dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang benar-benar mempunyai banyak manfaatnya.Ini semua adalah ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang diciptakan oleh makhluk-makhluk selain Allah? Bahkan orang-orang yang zalim (dengan kesyirikan mereka) itu hanya berada di dalam kesesatan yang nyata.'

Kita fikirkan dengan akal kita, kita cakapkan dengan lidah kita dan kita sediakan telinga kita untuk dengar tentang perkara-perkara ini, lagi dan lagi. Sehingga penuhlah hati kita dengan kehebatan Allah, kebesaran Allah, yakin yang betul dengan Allah Ta'ala, kebenaran janji-janji Allah, yakin bahawa hanya dalam mentaati perintah Allah ada kejayaan. Jika kita mampu mendirikan solat dengan keadaan 'yaqiin' yang sebegini, pasti solat kita adalah solat yang mempunyai hakikat. Seterusnya, kita hendaklah berdoa dengan sungguh-sungguh, menangis merayu Allah Ta'ala, agar Allah dengan kasih sayangNya, akan sudi untuk mengurniakan 'yaqiin' yang sedemikian ke dalam hati kita. Kita hendaklah berdoa seumpama seorang fakir, memohon ihsan dan belas daripada Allah Ta'ala. B) 'Toriqah' yang sahih. 'Toriqah' di sini bukanlah maksudnya tarikat tasauf atau aurad zikir itu. Bukan itu yang dimaksudkan. Tetapi yang dimaksudkan dengan 'toriqah' di sini ialah : cara solat kita perlu dilakukan setepat yang mungkin dengan cara yang telah ditunjuk ajar oleh Rasulullah saw. Kerana hanya cara yang ditunjuk ajar Rasulullah saw. sahajalah yang ada jaminan kejayaan. Itulah antara kesimpulan yang dapat diambil faham daripada bahagian kedua Kalimah Toiyibah2, iaitu:"Muhammadur-Rasulullah". Dalam cara tunjuk ajar Rasulullah saw. sahajalah ada jaminan kejayaan. Kerana dalam kalimah 'Laa ilaaha illalLah' ada tuntutan agar kita buat keputusan bahawa hanya dalam mentaati seluruh perintah Allah sahajalah kita akan berjaya; tetapi bagaimanakah pula perintah Allah itu kita dapat tunaikan, macamana caranya, bagaimanakah bentuknya? Bila kita temui perintah daripada Allah Ta'ala : Wahai orang-orang yang beriman, dirikanlah solat...! Bagaimanakah cara untuk menunaikan solat itu? Maka jawapannya ada di dalam kalimah 'Muhammadur-rasululLah', iaitu cara untuk menunaikan solat itu, lihatlah kepada cara solat yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah saw.

Sebab itulah dikatakan kalimah 'Laa ilaaha illalLah' itu sebagai Kalimah Iman, manakala kalimah 'Muhammadur-RasululLah' itu pula sebagai Kalimah Amal. Dalam kalimah 'Muhammadur-rasululLah' inilah terdapatnya cara dan contoh ikutan bagaimana kita hendak menunaikan kehendak-kehendak kalimah yang pertama iaitu 'Laa ilaaha illalLah'. Untuk mencapai 'toriqah' yang betul ini, kita mestilah sentiasa kepada bertanya kepada alim ulamak dan selalu merujuk kepada mereka untuk mendapatkan panduan. Adalah sangat terpuji jika mampu, kita pergi berjumpa mana-mana ustaz, imam atau orang alim yang kita yakini, dan meminta ihsan mereka untuk memeriksa cara solat kita. Mula-mula, kita mintalah sedikit masa daripada mereka. Seterusnya, kita ambillah wudhuk di hadapan mereka, minta mereka perhatikan cara-cara wudhuk kita, betul atau tidak, menepati atau tidak dengan cara wudhuk Rasulullah saw. Kemudian bersolatlah sebanyak dua rakaat dan minta supaya ustaz itu perhatikan cara solat kita. Kemudian minta mereka betulkan mana yang cacat, yang tidak sempurna dan yang silap. Minta mereka tunjukkan cara yang tepat. Jika mereka tidak keberatan, minta mereka tunjukkan sekali nas dan dalil-dalilnya tentang cara solat yang tepat itu. Setelah selesai bab wudhuk, gerak geri dalam solat, maka seterusnya perdengarkanlah bacaan-bacaan di dalam solat pula kepada ustaz atau imam tadi. Dengan cara yang sama juga, minta mereka betulkan mana-mana bacaan yang tidak betul atau kurang tepat. Demikianlah secara sedikit demi sedikit. Tahap demi tahap. Cuma, cara yang paling afdal untuk kita baiki bacaan kita ialah, kita hendaklah meluangkan sedikit daripada masa kita untuk belajar Al-Quran dan segala hukum-hukum tajwidnya secara berguru. Itulah yang paling afdal. Setelah itu, kita hendaklah berdoa bersungguh-sungguh, dengan menangis-nangis kepada Allah Ta'ala agar dengan limpahan Rahman dan RahimNya, Allah Ta'ala akan membaiki cara solat kita supaya semakin hampir dan hampir menepati cara solat Rasulullah saw.C) Keghairahan yang sahih. Keghairahan di sini bermaksud: Wujud semangat keghairahan yang berkobar-kobar untuk mencari dan mencapai sebanyak-banyaknya ganjaran daripada Allah Ta'ala, berdasarkan yakin kita kepada janji-janji Allah. Di dalam hadis-hadis, Rasulullah saw. menggunakan istilah 'ihtisab' bagi mengambarkan sifat keghairahan dan minat yang begitu mendalam dalam mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah Ta'ala. Dirikanlah solat kita dengan penuh ghairah dan kesungguhan untuk mendapatkan janji-janji ganjaran daripada Allah Ta'ala, dan demi merebut kegembiraan Allah kepada kita. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah saw. bersabda (mafhumnya): "Barangsiapa yang mendirikan qiyam Ramadhan( solat Tarawih) di dalam bulan Ramadhan, iimaanan (dengan penuh keimanan) dan ihtisaaban(dengan penuh mengharap kepada ganjaran Allah Ta'ala); diampunkan baginya segala dosa-dosanya yang telah lalu!".

Lihatlah, di sini adalah jelas, ihtisab atau keghairahan dan bersungguh-sungguhnya kita untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah itu adalah antara syarat kesempurnaan dalam amal ibadat kita.Bagaimanakah caranya untuk mendapat ihtisab yang betul dalam solat kita ini? Tidak ada cara lain, melainkan kita mestilah memberi perhatian yang kuat kepada ilmu fadhailul-a'maal (ilmu tentang kelebihan-kelebihan amalan-amalan agama). Jadi kita mestilah selalu hadirkan diri kita di dalam majlis-majlis ilmu fadhaail yakni majlis ilmu yang membicarakan tentang kelebihan-kelebihan, ganjaran-ganjaran dan pahala-pahala yang Allah telah janjikan untuk setiap amalan agama. Oleh kerana perbicaraan kita menyentuh mengenai solat , jadi adalah perlu untuk kita melazimkan diri kita untuk dengar hadis-hadis Rasulullah saw. tentang kelebihan-kelebihan amalan solat di sisi Allah Ta'ala. dan kita selalulah baca dan tatap buku-buku yang mengandungi berkenaan kelebihan amalan-amalan agama ini.3 Agar kita tahu apakah nilai bagi setiap amalan agama ini.

Seterusnya, setiap kali kita ingin menunaikan solat, kita bayangkanlah dan ingat-ingatkanlah apakah ganjaran yang telah disediakan Allah dalam amalan solat ini. Akhirnya, kita hendaklah berdoa,menangis dan merayu Allah, agar Allah Azza Wa Jalla akan memberikan kepada kita, keghairahan yang sahih dalam kita menunaikan solat kita.

Disamping itu, kita selalulah cerita-ceritakan kepada orang lain tentang kelebihan-kelebihan, pahala dan ganjaran-ganjaran istimewa yang Allah telah sediakan dalam amalansolat ini.

 

Ke Laman Utama