Jangan Beritahu Ravi Hal Ini
KAU
bergaul rapat dengan Ravi sewaktu di tingkatan enam rendah. Kebetulan kau
menjadi pembimbingnya apabila Ravi bertukar ke Sekolah Menengah Che’ Wan Thani
pada pertengahan tahun 1993. Sebagai seorang Pembimbing Rakan Sebaya, kau
ditugaskan mengorientasi Ravi yang masuk ke sekolah kau lewat beberapa minggu
berbanding pelajar-pelajar lain.
Mungkin
kebetulan juga Ravi dimasukkan ke kelas yang sama dengan kau. Maka bertambah
eratlah hubungan kau dan dia. Kau dijadikannya rakan belajar. Kau juga
dijadikannya rakan karib. Malah kau jugalah yang sering diajaknya keluar makan
atau menonton wayang di bandar.
‘Macam
belangkas!’ komen Hasmiza; mungkin kerana cemburu.
Sesungguhnya
komen Hasmiza ada benar dan ada silapnya juga. Memanglah hubungan kau dan Ravi (atau
lebih tepat lagi, hubungan Ravi dengan kau) lebih erat berbanding rakan-rakan
lain di sekolah. Menakjubkan juga bagaimana kau menjadi begitu akrab dengan Ravi
dalam masa tidak sampai dua bulan.
Sedangkan
dengan Mohan yang kau kenali sejak di sekolah rendah pun sekadar rakan sekolah
sahaja. Juga dengan Shazmi yang kau kenali sejak di Sekolah Menengah Darul
Ridwan. Apatah lagi dengan Chandran yang masuk ke sekolah kau semasa di
tingkatan empat. Memanglah tidak dapat dinafikan persahabatan kau dengan Mohan
dan Chandran memang akrab. Tetapi tidak pula sampai seakrab persahabatan dengan
Ravi.
‘Biasalah.’
Begitu komen yang sentiasa kauberikan apabila ditanyakan hal itu.
Petikan
cerpen “Jangan Beritahu Ravi Hal Ini” (Dua Fragmen Kasih) dalam Menara 7