Berikut adalah biodata ringkas beberapa penulis kaum India; disusun mengikut abjad. Jika nama penulis yang saudara cari tiada di sini, sila rujuk pada senarai utama.
Bathmavathi
Krishnan dilahirkan
di Kuala Krau, Pahang tetapi dibesarkan di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat
pendidikan awal di Alor Setar dan Kangar, Perlis sebelum melanjutkan pengajian
Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana
Kepustakawanan di Universiti Loughborough, Britain. Kini berkhidmat sebagai
pustakawan di Perpustakaan Universiti Malaya. Cerpen beliau termuat dalam
antologi Vanakam. E-mel: bathma5@hotmail.com
Dhranee Nathan Gopinathan dilahirkan pada tahun 1968 di Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di SR Convent dan SM Convent, Johor Bahru sebelum menyambung pelajarannya di SK Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau pernah menjadi juru rawat di Johor Bahru sebelum memulakan pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya. "Hibiscus Rossa" adalah cerpen sulung beliau yang menang hadiah penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP III dan termuat dalam antologi Menara 3 (DBP: 1990).
Kamalah Suppiah lahir pada tahun 1960 di Batu Feringgi, Pulau Pinang. Mendapat pendidikan di SRK Batu Ferenggi, SM Tanjung Bungah dan Sekolah Abdullah Munshi. Beliau banyak menulis cerpen Bahasa Tamil. Manakala cerpen bertajuk "Tiada Penyesalan" adalah cerpen sulung dalam Bahasa Malaysia. cerpen itu menang hadiah penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan termuat dalam antologi Menara (DBP: 1988).
Rajendran Rengasamy dilahirkan di ipoh, Perak pada tahun 1965. Beliau menerima pendidikan awal di SR Methodist, Tanjung Rambutan, Sekolah Aminuddin Baki, Chemor dan Sekolah Raja Chulan sehingga tamat STPM (1984) sebelum menuntut dalam bidang perakaunan di politeknik Ungku Omar, Ipoh. Cerpen beliau pernah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP I & III. Mengikut maklumat terakhir dalam antologi cerpen Tanpa Mengira Warna (DBP: 1993), Rajendran bertugas sebagai Pegawai Akaun di ipoh.
Sritharanee
Subramaniam pernah
menang Hadiah Cerpen DBP 2000. Beliau lahir di Tapah, Perak dan kini
menetap di Kulim, Kedah. Guru ini telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda
dan Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seterusnya mengikuti pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Sains
Malaysia. Cerpen
beliau turut termuat dalam antologi Vanakam. E-mel:
sritha01@tm.net.my
Srivali Seeridaram dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1973. Mendapat pendidikan awal di SRK Ampang dan SM Taman Tasik, Ampang. Mendapat pendidikan sehingga ijazah pertama dalam bidang Persuratan Melayu serta mengikuti Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pernah muncul johan Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1996 dan cerpennya termuat dalam Menara 5 dan Menara 7. Beliau turut menang Hadiah Khas Sajak dalam Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1994.
Suresh Kumar S. V. Vijayathevan dilahirkan pada tahun 1965 di Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK(C) Siang Lin, SM Katholik dan Sekolah Tinggi Melaka. Beliau pernah menang Pertandingan Mengarang Autobiografi (1982) anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Cerpen beliau pernah menerima hadiah penghargaan Hadiah Cerpen Maybank-DBP I & III serta termuat dalam antologi Menara (DBP: 1988)dan Menara 3 (DBP: 1990).
Thilagavathi Arumugam dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1974. Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kluang, Johor pada tahun 1988; lalu memeruskan pelajaran di Sekolah Sultan Abdul Jalil. Pernah memenangi pertandingan deklamasi puisi peringkat sekolah pada tahun 1988 dan 1991; serta hadiah penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992. Cerpen berkenaan termuat dalam antologi Menara 5 (DBP: 1993).
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |