Maklumat diri Saroja Theavy Balakrishnan; seperti yang dikemukakan sendiri oleh beliau pada 6 Oktober 2001.



Saya dilahirkan pada 7 April 1962, di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Hj. Mohd. Shariff  dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar.  Kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda (dalam bidang Linguistik, Sastera dan Komunikasi), dan seterusnya memperoleh Diploma Pendidikan. Selepas itu, bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kepong Baru, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kini, saya sedang menunggu keputusan tesis sarjana dalam bidang kesusasteraan dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

 

Ringkasan Kelayakan

Seorang individu yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam bidang pengajaran Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan. Selain itu, menghasilkan karya kreatif terutama dalam genre cerpen.



Pengalaman dalam bidang Keguruan

Telah mengajar subjek Bahasa Malaysia dan subjek Kesusasteraan untuk para pelajar PMR dan SPM. Berjaya mencetus minat dan menyimbur kebolehan pelajar untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut.

Sebagai setiausaha akademik sekolah dan ketua panitia Bahasa Malaysia serta Kesusasteraan telah membuat program perancangan untuk memajukan pencapaian akademik pelajar. Antaranya, membuat alat-alat bantu mengajar, mengadakan pameran, serta mengadakan Minggu Bahasa dan Sastera di sekolah. Selain itu, mengadakan pertandingan menulis cerpen dan puisi di peringkat sekolah serta peringkat Daerah Petaling.

Dalam bidang kokurikulum telah melatih pelajar untuk menyertai sayembara penulisan sajak, dan esei serta skrip drama. Membimbing para pelajar dalam pertandingan mendeklamasi puisi, sajak, berbalas pantun, syarahan, perbahasan, drama, dan pelbagai aktiviti bahasa serta sastera yang lain. 

Sebagai guru penasihat persatuan, membimbing pelajar dalam pelbagai aktiviti untuk berbakti kepada negara. Antaranya, menjalankan projek membuat taman-taman bunga yang bertema di kawasan sekolah.

Telah mengikuti pelbagai kursus dalam bidang pengajaran Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan bagi meningkatkan profesionalisme dari masa ke masa. Selama ini, telah mendapat pelbagai pengalaman dalam mendekati para remaja yang berlainan keturunan dan status sosial.

 

Pengalaman dalam bidang Sastera dan Penulisan

 

Penulisan cerpen dan sajak

Menulis cerpen untuk bacaan umum, remaja, dan kanak-kanak. Saya telah mula berjinak dalam bidang penulisan sejak di peringkat universiti. Pada mulanya, saya menulis puisi semasa sedang menuntut di UKM, dan aktif sebagai wartawan akhbar Nadi Bangi (akhbar keluaran Jabatan Komunikasi, UKM). Semasa mula bertugas sebagai guru, cerpen yang berjudul  “Bukit Sikikih Mengaum” mendapat hadiah sagu hati dalam Pertandingan Menulis Cerpen, anjuran Jabatan Pendidikan Wilayan Persekutuan (1987). Kemenangan ini telah memberi keyakinan dan mendorong saya untuk terus berkarya. Sajak-sajak saya pernah tersiar dalam majalah-majalah remaja pada peringkat awal menulis, sebelum menumpukan perhatian kepada genre cerpen.

Antara kejayaan besar yang diraih ialah kejayaan mendapat tempat pertama daripada lebih 450 buah cerpen dalam Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 2000.

 

Anugerah Dalam Penulisan Cerpen

1. Hadiah Penghargaan Hadiah Cerpen Utusan Melayu 2000, bagi kategori cerpen dewasa.

2. Hadiah Penghargaan dalam Peraduan Menulis Cerpen Kanak-kanak- Anjuran Kementerian Alam Sekitar, 2000.

3. Tempat Pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Formula Malaysia, 2000.

4. Tempat Pertama dalam Peraduan Menulis Cerita Kanak-kanak Kategori Bahasa Melayu Tahap 1, Kementerian Pendidikan Malaysia 1999. (sempena Hari Guru)

5. Hadiah Utama, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, kategori Cerpen Remaja, 1998.

6. Hadiah Penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP VII, 1996. 

7. Tempat Kedua dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP VII, 1996.

8. Hadiah Penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-Kategori B, 1994/95.

9. Tempat Kedua dalam Peraduan Menulis Cerpen DBKL-BBP, sempena 100 tahun Kuala Lumpur, 1990.

10. Tempat Pertama dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP IV, 1991.

11. Tempat Kedua dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP II, 1989.

12. Hadiah Penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP I, 1988.

13. Hadiah Penghargaan dalam Pertandingan Menulis Cerpen Remaja - Anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, 1988.

  
Pengalaman Mengikuti Bengkel Penulisan

Ditaja oleh pihak DBP untuk mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen Mastera di Cisarua, Bogor, Indonesia, dari 11 hingga 17 Oktober, 1998. Banyak yang dipelajari, terutamanya kerana peluang belajar daripada beberapa orang tokoh penulis Indonesia yang menjadi pembimbing dan pengkritik.

 

Pembentangan Kertas Kerja

Di Universiti Sains Malaysia, pada 7 hingga 8 November 1998: Membentangkan Kertas Kerja tentang pengalaman menulis, bertajuk: Secebis Pengalaman Peribadi dalam Penghasilan Sastera Kreatif dalam Seminar Kesusasteraan Kebangsaan di Malaysia.

Dalam Simposium Penulisan Pelbagai Kaum di Miri, Sarawak pada 17 hingga 20 September 1999: Membentangkan Kertas Kerja tentang Proses Penulisan Kreatif bertajuk: Alam Sebagai Sumber Inspirasi.
 
Di Universiti Walailak, Nakorn Si Thammarat, Thailand pada 21 hingga 23 Julai, 2001: Membentangkan Kerja Kerja bertajuk, "Traditional Values and the Writers in the Post Modern Era- A General View" dalam Perjumpaan Penulis Thai-Malaysia (dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris). Pengalaman ini cukup berharga
kerana saya berpeluang berhadapan dengan khalayak bukan Malaysia, dan mendapat perbagai maklum balas daripada mereka.

 

 
Pengalaman Menghadiri Seminar dan Perjumpaan Penulis

Dalam Pertemuan Sasterawan Nusantara X (PSN) di Johor Bahru pada 17 hingga 21 April 1999, Pertemuan Peserta Program Penulisan Mastera telah diadakan. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah memberi peluang sekali lagi kepada saya untuk turut serta dalam pertemuan itu. Perbincangan dengan rakan-rakan dalam negara dan dari luar negara telah menyalurkan pelbagai idea dan menajamkan daya fikir saya sebagai seorang penulis dan pengkritik sastera.

Seterusnya saya telah mengikuti Simposium Penulis Pelbagai Kaum Ke-2 di Pulau Pinang pada 17 hingga 21 November 2000.

Selain itu, sering menghadiri pelbagai seminar sastera yang dianjurkan oleh DBP.

 
  
Hasil Karya

Cerpen bertajuk Lambaian Malar Hijau, yang memenangi hadiah penghargaan dalam  Peraduan Maybank-DBP 1996, telah terpilih sebagai salah satu karya sastera untuk para pelajar tingkatan empat (dalam antologi Anak Laut, DBP: 2000). 

Selain itu, manuskrip ulasan novel Aku Anak Timur karya Siti Aminah Haji Yusof telah disiapkan untuk diterbitkan oleh Utusan Publications Sdn. Bhd.

Kesemua cerpen saya sehingga bulan Mei 1995, termuat dalam kumpulan cerpen persendirian bertajuk
Gemerlapan, Dewan Bahasa dan Pustaka: 1997. Sebelum dikumpulkan, ada antara cerpen-cerpen tersebut termuat dalam beberapa antologi bersama, antaranya, Seratus Tahun Kuala Lumpur, Hadiah, antologi Menara, dan Mercu.

  

Alamat pos:

Saroja Theavy Balakrishnan,

3 Jln Lagong 27/84,
Taman Alam Megah,
40400 Shah Alam