Diwali @
Maru Malarchi
©
Uthaya Sankar SB
Bunuhlah aku secepat mungkin. Kalau tidak, aku akan sentiasa memburu dan membunuh kau. Nescaya menjelang Diwali, orang ramai sudah mendapat cahaya kejernihan fikiran. Bukan lagi kau yang diraikan, tetapi Karna.
Mustahil kau sudah lupa tentang muslihat yang kau gunakan untuk melemahkan Karna. Ya. Bukankah sudah banyak kali juga aku mengulang-ulang kisah itu kepada kau apabila aku berjaya memburu kau!
Aku tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap kau. Buat sementara waktu, biar mereka mendewa-dewakan kau. Biar mereka menyembah kau pagi petang. Biar mereka cipta mitos tentang kau. Itu hak mereka. Hak orang yang tidak tahu peribadi sebenar orang yang disembah.
Atau pilihan orang-orang yang tidak mahu menerima hakikat warna kelabu pada peribadi kau. Mereka melihat yang putih sahaja. Yang hitam pun diputihkan. Apatah lagi yang kelabu!
“Aku mahukah baju besi dan anting-anting kau.”
Demikian kau meminta kepada Karna. Dan si tolol itu – maaf – pula langsung tidak sedar bahawa insan fakir yang menemuinya adalah kau yang memang pandai menyamar untuk menipu.
“Aku tahu bahawa kau memang dermawan …”
Tanpa banyak soal, Karna mengambil pisau lalu memotong baju besi dan anting-anting itu. Diserahkannya kepada kau. Ah! Betapa kau sampai hati meminta pahlawan itu memotong baju besi dan anting-anting yang melekat pada tubuhnya sejak lahir.
Tetapi tiada apa-apa yang perlu dihairankan. Bukankah kau memang pakar mengatur muslihat? Tujuan kau hanya mahukan kemenangan di pihak kau. Apa-apa yang lain, kau persetankan.
Kau marah mendengar pendedahan berani ini?
Ha! Burulah aku. Bunuhlah aku, wahai pahlawan bacul. Kalau tidak, aku akan terus memburu kau dengan segala penceritaan kisah lampau. Akan aku ulang dan ulang dan ulang dan terus mengulang segala peribadi hitam kau. Biar berdesing telinga kau mendengarnya. Biar kau tahu malu.
Kau eksploitasikan kasih sayang antara ibu dan anak demi untuk menjayakan rancangan kau. Kau dedahkan kepada Kunthi Devi siapa sebenarnya Karna.
Diffuse to two-shot.
“Apa? Diakah bayi yang aku hanyutkan di sungai dahulu?”
“Ya. Dialah dosa yang kau cuba sembunyikan …”
“Aku terpaksa,” Kunthi Devi merintih. “Anak itu lahir sebelum aku berkahwin. Aku terpaksa membuangnya mengikut trend semasa.”
“Tapi kini bayi itu muncul sebagai Karna untuk menghapuskan anak-anak kau yang sah. Karna bersumpah akan membunuh Arjuna.”
“Aduh! Betapa malang nasibku. Apa yang harus aku lakukan?”
Lalu kau meminta Kunthi Devi bertemu Karna. Kau ajarkan dia apa yang perlu dilakukan sewaktu menemui Karna. Seperti yang kauajar, Kunthi meminta Karna bersumpah untuk tidak cuba membunuh adik-beradik Arjuna yang seramai empat lagi. Karna diminta bersumpah tidak akan melepaskan panah sakti lebih daripada sekali ke arah Arjuna.
Bukankah begitu rancangan kau? Bukankah dengan cara itu kau berjaya melemahkan Karna?
Dissolve to flashback.
Di medan perang, panah sakti yang Karna lepaskan hanya mengena mahkota Arjuna. Maka terlepaslah Arjuna daripada takdir mati di tangan Karna.
Tapi apakah kau berhenti di situ? Apakah kau puas setelah merampas baju besi dan anting-anting yang lahir bersama Karna? Atau setelah kau berjaya menyelamatkan nyawa Arjuna?
Kau minta pula Arjuna melepaskan panah sewaktu Karna belum bersedia. Sewaktu roda rata Karna tersekat dalam tanah. Sewaktu Karna melucutkan senjata lalu berusaha menolak ratanya.
Masihkah kau ingat? Masihkah kau ingat?
Masakan kau sudah lupa. Mana mungkin kau lupa selagi aku berada bersama kau. Mana mungkin aku berhenti mengingatkan kau akan segala perbuatan keji kau terhadap Karna. Itulah misiku kini.
(Insert
comic relief: 45 sec.)
Selagi
aku masih hidup, selagi itulah aku akan terus memburu kau. Selagi itulah aku
akan terus menikam kau. Selagi itulah aku akan terus mengungkit-ungkitkan
perbuatan keji kau terhadap Karna.
Masih
ingatkah muslihat itu?
Swish
pan to:
“Cepat!
Panahlah sekarang,” kata kau kepada Arjuna sewaktu Karna turun menolak rata.
“Panahlah!”
“Tapi
…”
“Usah
bertapi, Arjuna. Patuhi arahanku. Lepaskan anak panah sekarang juga! Panah
sementara Karna belum bersedia untuk mempertahankan diri.”
Lalu
gugurlah Karna di medan perang. Gugur sebagai wira di tangan dua pahlawan yang
dayus. Ya, aku maksudkan kau dan Arjuna. Kau sesungguhnya dayus. Tidak berani
menentang secara berdepan.
Kemudian
datanglah Kunthi Devi meratapi kematian yang memang sudah diduga. Datanglah
Arjuna menyesali perbuatan membunuh insan yang baru diketahui abang sulungnya.
Berkerumunlah para extras.
“Aduh!
Aku telah membunuh abang kandungku sendiri. Celakalah aku. Hinalah aku. Generasi
akan datang pasti menghina aku.”
“Kau?”
Kau ketawa angkuh memandang Arjuna. “Aku yang membunuhnya. Aku yang
mengarahkan kau melepaskan anak panah tepat pada saatnya. Aku yang menyelamatkan
nyawa kau sewaktu Karna melepaskan panah saktinya. Jika kau mampus waktu itu,
akan mampukah kau melepaskan panah yang membunuh Karna? Kau telah aku peralatkan
untuk membunuh Karna. Akulah yang berhak menerima pujian kerana membunuh perwira
sejati ini.”
Arjuna
dan adik-beradiknya terdiam. Cuma Kunthi terus meratapi anak luar nikahnya. Para
askar pihak Pandawa dan Kaurawa sudah mengerumuni mereka.
“Tidak!”
ratap Kunthi. “Akulah yang telah membunuhnya. Jiwanya telah mati sewaktu aku
membuangnya ke dalam sungai dahulu. Yang hidup selama ini hanyalah jasadnya.
Jasad tanpa jiwa. Akulah ibu yang tidak berperikemanusiaan. Aku telah membunuh
anakku sendiri. Akulah yang bersalah. Tangkaplah aku, Tuan Inspektor. Akulah—”
Cut!
“…
Akulah yang bersalah. Akulah yang berdosa. Akulah!”
“Tidak,
ibu.” Arjuna mendapatkan Kunthi Devi. “Kita telah sama-sama membunuhnya.
Jiwanya mati apabila ibu menghanyutkan bayi itu di dalam sungai. Kini panah saya
mencabut nyawanya. …”
“Aku!
Akulah yang membunuh Karna. Akulah yang amat berkuasa mencabut nyawa Karna.”
Kau tudingi dada. “Akulah. Akulah sahaja yang berkuasa. Kau, Arjuna, dan kau,
Kunthi, hanyalah boneka yang aku jadikan wahana untuk melangsaikan tugasku.”
Dengan
megah kau rapati Karna yang terbaring di riba Kunthi. Gugur air matanya (Kunthi)
kerana bakal kehilangan anak sulung. Gugur air matanya (Karna) kerana sedih
dipanah secara dayus oleh Arjuna.
“Sebelum
roh kau terbang dan kembali kepada Pencipta, berikan aku apa yang kau ada!”
“Aduhai.
Apa lagi yang ada padaku?” tanya Karna dengan suara perlahan dan
terputus-putus.
“Pahala
kau. Sedekahkan segala pahala kau kepadaku! Aku akan bawa ke kementerian dan
daftarkan segalanya atas namaku.”
“Oh,
jangan!” tempik Kunthi Devi. “Pahala itu milik kau, wahai anakku. Jangan
serahkan hakcipta dan hakmilik kepada sesiapa. Pahala itulah yang akan
dipertimbangkan di hadapan Pencipta nanti.”
“Diam,
Kut—”
____________________
Uthaya Sankar SB ketara mengangkat kisah-kisah dari epik dan purana India, lalu diberi interpretasi baru yang sangat releven dengan isu-isu semasa. Petikan cerpen “Diwali @ Maru Malarchi” (Mingguan Malaysia 2 Ogos 1998; SuaraAnum.com 1 November 2002; Kavya November 2002) misalnya menggesa orang ramai menilai semula pendewaan mereka terhadap watak Krishna dan memikirkan tentang watak Karna yang menjadi mangsa konspirasi licik Krishna dan sekutunya. Terpulanglah pada kebijaksanaan masing-masing pembaca untuk menilai apa yang tersirat di sebalik apa yang tersurat. Editor SuaraAnum.com menyebut: "Selain sebuah kisah sempena Deepavali yang disambut oleh penganut Hindu seluruh dunia, cerpen ini juga mempunyai siratan politik yang bermakna."