Dizigotik

© Uthaya Sankar SB 1998

 

“HELLO, birthday boy!” laungku.

Aku menelefon tepat pukul sembilan pagi ke pejabatnya kerana aku tahu dia tidak pernah terlewat masuk kerja. Sengaja aku ubah sedikit suaraku untuk cuba menyamar.

“Helo, siapa ni?”

“Hei, akulah. Kembar kau!”

“Oh, hampir tak kenal suara kau tadi,” katanya. “Vanakam. Apa hal?”

“Apa hal, kautanya?” balasku. “Sedar tak hari ni berapa hari bulan?”

“Mmm ... Dua puluh satu.”

“21 Mei 1987.”

“So? Oh, hari jadi kita!” suaranya nyata tergamam. “Aku terlupa langsung. Happy Bir—!

Terus aku hang up tanpa menunggu Rama menghabiskan ucapannya. Aku pasti dia akan menelefon kembali; lalu aku angkat gagang dan meletakkannya di atas meja.

Bagaimana dia boleh terlupa tarikh keramat ini: 21 Mei? Tarikh aku dan dia sama-sama lahir ke bumi. Tarikh yang tidak pernah kami lupa sebelum ini. Tarikh yang sama-sama kami nanti. Tarikh untuk menghabiskan masa bersama-sama, hanya aku dan dia.

Ya, kami telah berumah tangga dan punya anak. Apakah itu alasan untuk melupakan tarikh lahir kami? Empat tahun lalu, kami raikan hari jadi terakhir sebagai teruna. Tetapi setahun selepas itu kami masih mampu untuk meneruskan tradisi itu. Isteri kami tidak menghalang. Dan yang lebih penting, mereka tidak pernah berkeras untuk turut serta.

Tarikh 21 Mei adalah hari untuk kami berdua. Tinggal sebentar beban kerja. Tinggal sebentar anak isteri. Tinggal seben­tar segala masalah yang mencengkam hidup.

Waktu itu kami Ragu dan Rama akan kembali menjadi kanak-kanak. Menjadi remaja yang mahukan adventure yang lain daripada yang lain. Seperti sewaktu berusia lima belas tahun.

Waktu itu kami mula membantu di Ladang Tebu Siru Kambam tempat ayah menjadi pengurus ladang. Kerja sampingan sahaja. Setelah bekerja seminggu, kami dibayar upah yang kukira agak lumayan pada usia itu. Kebetulan hari jadi kami tinggal tiga hari saja lagi.

“Apa kata kalau kita keluar makan malam bersama?”

Cadangan Rama merupakan sesuatu yang agak baharu. Sebelum ini kami tidak pernah meraikan hari jadi kami tanpa keluarga. (Kami “anak tunggal” dalam keluarga). Setelah ibu meninggal semasa umur kami sebelas tahun, kami menghenti­kan amalan itu. Tetapi apabila kembarku membuat cadangan baharu, aku sendiri tiba-tiba timbul minat.

Lalu kami keluar makan malam di sebuah restoran di ban­dar Taiping. Rama yang belanja. Pengalaman itu telah mem­bantu mengeratkan hubungan kami berdua. Kami menjadi lebih intim berbanding tahun-tahun sebelumnya. Maka aku bertekad dalam diri untuk menjadikan amalan keluar makan bersama­sama kembarku sebagai acara tahunan. Seperti yang telah kudu­ga, Rama sependapat dalam hal ini.

Sejak itulah, pada setiap 21 Mei, kami akan keluar bersama-­sama. Rama belanja pada kali pertama dan giliran aku pula pada tahun berikutnya. Begitulah seterusnya. Kami tidak seka­dar keluar makan bersama-sama. Kami juga menonton wayang atau ke konsert atau mendaki Bukit Maxwell (kini Bukit Larut) atau ke Taman Tasik Taiping atau menyaksikan permainan ragbi (yang bagi kami lebih hebat berbanding bola sepak) atau ke fun fair atau ... ke mana sahaja. Syaratnya kami dapat bersama-sama tanpa gangguan sesiapa dan apa-apa.

“Ayah kamu nak jadi budak-budak semula,” isteriku mem­beritahu pasangan anak kembar kami tahun lalu sewaktu aku bersiap-siap untuk keluar.

Petikan cerpen “Dizigotik” dalam kumpulan Menara 7 (DBP, 1998)