HIT,
DIE or HIDE IT
a.k.a Enam Unsur Karya Sastera
Sebuah karya sastera yang bermutu biasanya
mengandungi enam unsur utama: hiburan, didaktik, imaginasi, emosi, intelek dan
teknik.
Keenam-enam unsur ini hadir secara bersama dan ada
masanya tidak dapat dipisahkan kerana ia sering saling berkait. Bagaimanapun,
ada kalanya tidak kesemua unsur berkenaan hadir dalam sebuah karya.
HIBURAN
(entertainment) merupakan fungsi asas bagi sesebuah karya sastera.
Fungsi ini lebih nyata dalam sastera lisan; misalnya si nenek bercerita kepada
cucu-cicitnya. Kita juga sering menonton televisyen dan membaca buku komik bagi
menghiburkan hati serta menenangkan jiwa.
Karya sastera juga berupaya menjadi bahan hiburan
yang bermutu. Cerpen dan novel remaja, misalnya, menyajikan bahan bacaan ringan.
Plotnya tidak kompleks. Temanya adalah biasa sahaja. Konflik yang timbul tidak
memaksa kita berfikir secara mendalam. Selalunya ada ending
yang memberi kepuasan kepada pembaca yang mahukan hiburan.
Perlu diingatkan bahawa kategori “hiburan” adalah
berbeza antara seorang pembaca dengan seorang pembaca lain. Malah sebuah karya
serius masih boleh dibaca sebagai sebuah karya yang menghiburkan. Ia tidak pula
menjatuhkan nilai dan martabat karya berkenaan. Sebaliknya menunjukkan betapa
karya berkenaan bersifat subjektif dan fleksibel.
Selain menghibur, karya sastera juga harus berupaya
mendidik pembaca; terutama remaja. Dalam hal ini, karya sastera memiliki unsur DIDAKTIK
(moral). Bagaimanapun, unsur pengajaran harus disampaikan secara
halus melalui mesej yang tersirat dan bukannya secara berkhutbah.
Nilai, moral dan tatasusila yang diterapkan melalui
karya sastera haruslah disampaikan secara tidak langsung.
Karya-karya tahun 1930-an dan 1940-an ada antaranya
yang terlalu mementingkan nilai didaktik sehingga hilang nilai seni sebagai
sebuah karya sastera.
Cuba perhatikan contoh cerpen “Cerita Balasan
Kebajikan – Kelebihan Orang Yang Murah Hati Pada Perkara Agama” (Kehidupan
Dunia Akhirat, 15 Disember 1935). Penulis mengakhiri cerita dengan
menyenaraikan unsur-unsur moral yang terkandung di dalam karyanya!
Wahai pembaca-pembaca sekalian:
Daripada cerita ini dapatlah kita buah pandangan yang
berharga seperti di bawah ini,
1. Tentang pergaulan isteri yang ikhlas dan mesra dan tiada rela melihat
suaminya di dalam kesusahan dan reda sama-sama susah.
2. Betapa susahnya orang yang berhutang. Masa berhutang senang, bila
hendak membayar sangat susah.
3. Balasan membuat perkara yang kebajikan diserta dengan ibadat yang
khusyuk dan tawaduk serta berserah kepada Tuhan.
Anda haruslah berwaspada agar tidak menulis mengikut
gaya di atas. Sebaliknya anda perlu berusaha menyampaikan unsur didaktik, mesej
atau pengajaran secara tidak langsung; secara yang tersirat.
Sebuah karya sastera yang bermutu memang kaya dengan
nilai moral dan didaktik. Tetapi segalanya disampaikan secara tidak langsung
melalui dialog, monolog, tindakan, aksi, tema dan teknik-teknik lain yang lebih
bersahaja.
Dalam hal ini, sebagai seorang karyawan muda, anda
tidak harus menulis Khandan adalah seorang
pemuda yang suka menolong orang. Sebaliknya, tunjukkan (show)
sikap itu melalui tindakan dan aksi watak Khandan. Atau melalui reaksi serta
kata-kata watak lain; tetapi bukan oleh penulis sendiri. Biar pembaca menilai
sama ada Khandan suka menolong orang.
Karya sastera adalah berciri imaginatif. Maka, IMAGINASI
(imagination) adalah satu lagi unsur dalam karya sastera.
Anda tentu telah biasa dengan unsur ini. Tetapi untuk
makluman anda, unsur imaginasi dalam karya sastera tidak merujuk pada khayalan
semata-mata.
Keupayaan pengarang mengungkapkan semula realiti
dalam karya sastera yang dihasilkannya juga memerlukan imaginasi.
Pertama, kita perhatikan dulu unsur imaginasi berupa
khayalan. Semasa menulis cerpen, anda mungkin membayangkan sebuah cerita. Cerita
itu lahir daripada khayalan anda. Anda akan memilih watak-watak untuk mendukung
cerita anda. Watak-watak itu juga selalunya khayalan semata-mata. Latar tempat
yang digunakan turut merupakan tempat yang anda reka sendiri.
Cerita, latar dan watak yang anda gunakan itu lahir
daripada khayalan anda; imaginasi anda. Jadi karya yang terhasil adalah berciri
imaginatif.
Watak yang anda kemukakan tidak wujud dalam realiti.
Latar tempat yang anda sebutkan hanyalah khayalan semata-mata. Kisah yang
dipaparkan juga adalah rekaan dan khayalan semata-mata. Itulah imaginasi.
Cerita anda mungkin berlatarkan sebuah alam lain:
angkasa lepas, dasar laut, alam bunian, kayangan atau alam mimpi.
Bagaimanapun, anda tidak semestinya mencipta segala
latar tempat dan watak daripada imaginasi semata-mata. Ambil latar sekolah anda
dan lakukan pengubahsuaian menggunakan imaginasi.
Ambil watak guru di sekolah anda dan ubahsuai sedikit
untuk dijadikan watak bagi cerita anda. Atau ambil watak dan perwatakan jiran
anda dan ubahsuai untuk dijadikan watak pengetua dalam cerpen yang anda tulis.
Gunakan imaginasi. Kali ini, bukan imaginasi berupa
khayalan tetapi imaginasi yang kreatif dan terarah. Bukan lagi khayalan mengenai
UFO dan makhluk dari Marikh tetapi
kemampuan menjadikan sekolah dan guru anda sebagai bahan dalam cerpen yang
dihasilkan secara kreatif.
Imaginasi juga penting untuk menggambarkan semula
sesuatu latar, watak atau peristiwa yang berlaku untuk tatapan pembaca.
Misalnya, katakanlah anda mahu menggambarkan suasana
di pasar malam. Masakan anda hanya menulis begini: Keadaan di pasar malam itu sangat sibuk dan bising. Sebaliknya anda
harus mampu membuatkan pembaca membayangkan suasana sebenar yang ingin anda
gambarkan.
Jika anda mampu membuatkan pembaca melihat, merasai,
menghidu serta mendengar suasana sibuk, bising dan hanyir di pasar malam, maka
anda berjaya mengeksploitasi imaginasi anda untuk berkarya.
Imaginasi juga penting dalam menggambarkan watak dan
perwatakan. Apabila selesai membaca sebuah karya, pembaca seharusnya sudah boleh
membayangkan rupa fizikal serta sifat dan perangai watak dalam karya yang
dibaca. Pembaca sudah tahu rambutnya begini, gaya cakapnya begini, mimik mukanya
begini, gaya jalannya begini dan seterusnya.
Ia membuktikan bahawa anda berjaya menggunakan
imaginasi sebagai seorang pengarang untuk mengemukakan satu watak yang
benar-benar hidup; lalu pembaca boleh menggunakan daya imaginasi mereka untuk melihat
watak berkenaan.
Seterusnya, sebuah karya sastera tidak berguna jika
ia tidak memiliki unsur INTELEK.
Unsur intelek mungkin ditemui dalam satu ayat, satu perenggan, satu halaman atau
dalam mesej keseluruhan selepas selesai membaca sebuah cerpen.
Sebuah karya sastera harus – malah wajib –
merangsang pembaca berfikir. Pembaca tidak boleh pasif. Sebaliknya dipaksa
supaya berfikir secara aktif mengenai apa yang berlaku dalam cerita, mengapa
satu watak berbuat demikian, apa yang berlaku dalam cerita dan sebagainya.
Unsur intelek dalam cerpen boleh jadi merujuk pada
moral yang dikemukakan; pembaca diajak untuk memikirkan mesej yang disampaikan.
Ada falsafah.
Atau pembaca dipaksa mempertikaikan keputusan yang
dibuat oleh satu watak. Pembaca memprotes kesudahan cerita. Pembaca memikirkan
sendiri kesudahan cerita. Pembaca terangsang untuk berfikir. Inteleknya tercabar
dan dicabar.
Untuk memungkinkan kewujudan unsur intelek dalam
karya, perlu ada penulis yang intelek dan pembaca yang juga intelek. Atau secara
kasar: penulis dan pembaca yang mempunyai otak dan tahu menggunakan otak untuk
berfikir.
EMOSI
(emotion) pula merupakan unsur yang membezakan karya sastera dan
non-sastera secara mutlak. Karya ilmiah tidak mementingkan perasaan atau emosi.
Kita tidak dituntut berasa sedih atau gembira semasa membaca buku Fizik dan
Ekonomi. Kita tidak terasa suspen sewaktu membuat latihan Matematik Tambahan
atau membuat graf Pengajian Am.
Sebaliknya sebuah karya sastera boleh memainkan
perasaan dan mengusik emosi pembaca. Kita mungkin turut membenci watak Patriarch
sewaktu membaca novel Patriarch
(1991). Kita mungkin terasa sedih apabila watak dalam cerita meninggal dunia.
Antara emosi yang biasa adalah: sedih, gembira,
menyampah, hairan, terkejut, benci, cemburu, terharu, tidak percaya, protes,
dilema, kebingungan dan lega.
Segala emosi ini mungkin dialami oleh watak dalam
cerita atau dialami oleh pembaca semasa membaca cerita berkenaan.
Beralih melihat unsur TEKNIK pula. Anda tentu maklum bahawa cara menulis karya sastera
tidak sama dengan cara menulis karya ilmiah. Di sinilah teknik memainkan
peranan.
Teknik merujuk pada cara sesuatu bahan disampaikan.
Cara cerita disampaikan. Cara watak beraksi dan berperanan. Cara latar tempat
dilukiskan. Cara jalan cerita dibuat. Cara penulis menarik perhatian dan minat
pembaca supaya terus membaca apa yang ditulisnya.
Antara teknik penulisan yang biasa digunakan dalam
karya sastera adalah teknik dialog, monolog, sudut pencerita, imbas kembali,
babakan, suspen, klimaks, plot kompleks, naratif, gaya bahasa, ayat panjang,
ayat majmuk serta istilah saintifik.
Sekadar contoh, fikirkan bagaimana anda akan
menggambarkan rupa fizikal watak dalam cerpen yang anda hasilkan. Anda boleh
sahaja menggunakan teknik penceritaan langsung dengan mengatakan bahawa watak
itu tinggi, berkulit cerah, berhidung mancung dan sebagainya.
Malkit
berkulit cerah dan berhidung mancung. Tubuhnya pula tinggi. Akan tetapi,
kepalanya botak.
Dalam contoh di atas, teknik to tell telah digunakan di mana penulis menceritakan secara langsung
segala hal mengenai watak.
Atau anda boleh menggunakan teknik pelukisan watak
secara tidak langsung. Dengan cara ini, anda tidak terburu-buru memperkenalkan
rupa fizikal watak terbabit. Sebaliknya, mungkin watak lain akan bercakap
mengenai rupa fizikal watak itu. Penulis menggunakan teknik to
show iaitu menunjukkan rupa fizikal watak tersebut.
“Apa
kau nak risaukan, Malkit? Hidung kau mancung; kulit cerah. Dah tu tinggi pula
macam Mat Salleh!” Osman mengusik.
“Ini?”
Malkit menudingi kepalanya yang tidak berambut.
Penggunaan unsur teknik dalam penulisan cerpen tidak
hanya terhad pada bentuk-bentuk yang dibincangkan di sini. Seperti yang
dijelaskan tadi, teknik merujuk pada apa sahaja dan segala cara yang digunakan
oleh penulis secara sedar untuk menyampaikan cerita dengan cara yang menarik
supaya dibaca oleh khalayak sehingga tamat. Apa yang pasti, teknik menulis
sebuah karya sastera berbeza daripada teknik menulis karya ilmiah.
Bagaimanapun, tidak pula bermakna anda tidak boleh
menggunakan teknik penulisan non-sastera dalam karya sastera. Malah jika
ditangani dengan baik, ia boleh menjadi satu penulisan yang menarik pula!
Keenam-enam unsur sastera yang telah dijelaskan –
hiburan, didaktik, imaginasi, intelek, emosi dan teknik – adalah saling
berkaitan. Biasanya adalah sukar untuk memisah-misahkannya.
Misalnya, berikut adalah petikan perenggan pertama (intro)
cerpen “Selamat Jalan, Ayya” (Orang
Dimensi, 1994). Cuba teliti petikan ini untuk mengesan keenam-enam unsur
sastera.
Aku
terpaksa berpisah dengan Ayya. Aku terlalu menyayanginya. Tapi aku tiada pilihan
lain. Malah aku terpaksa berpisah dengan Ayya kerana aku terlalu menyayanginya.
Latihan Lanjutan:
Pilih sebuah cerpen dalam Sasterawan Pulau Cinta dan tandakan unsur-unsur sastera yang terdapat di dalamnya.
Disediakan oleh Uthaya Sankar SB bagi Bengkel Karyawan Muda