Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia

Oleh: Uthaya Sankar SB

 

Keterlibatan penulis kaum India di Malaysia dalam sastera Bahasa Malaysia bermula pada tahun 1960-an.[1] Antara penulis kaum India yang giat menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia pada tahun 1960-an ialah G. Soosai, Joseph Selvam, N. S. Maniam, Palaniappan dan A. Nagappan.[2] Namun begitu, nama-nama itu tidak bertahan lama.

Kekosongan yang ditinggalkan itu diisi oleh penulis generasi muda. Mereka menguasai Bahasa Malaysia dengan baik kerana mendapat pendidikan formal dalam bahasa berkenaan; selain mendapat pendidikan tinggi. Antara mereka ialah Saroja Theavy Balakrishnan, M. Mahendran, Devaraj P. Thangaraju, Srivali Seeridaram, Rajendran Rengasamy dan Kathiresan Doraisamy.

Watak-watak yang terhasil di tangan penulis angkatan baru menggambarkan citra budaya masyarakat kaum India di Malaysia.[3] Aspek karya mereka yang cukup menarik adalah gambaran imej watak dan perwatakan. Mereka berjaya melukiskan perwatakan kaum India di Malaysia yang mampu berasimilasi, mempengaruhi dan dipengaruhi, melalui pelbagai rintangan hidup serta mengekalkan identiti budaya yang diwarisi zaman-berzaman.

Pendekatan mimetik[4] digunakan untuk meneliti watak dan perwatakan dalam teks dengan mengandaikan bahawa apa yang tergambar dalam teks adalah gambaran sebenar imej kaum India. Judul cerpen-cerpen yang dikaji ialah “(2) Post-mortem,”[5] “Cabaran Hidup,”[6] “Cerpenis,”[7] “Dalam Perut Jerung Raksasa,”[8] “Doa Tahun Baru,”[9] “Dua Alam,”[10] “Emak,”[11] “Emak II,”[12] “Hari Penentuan,”[13] “Kakak, Tolonglah Saya!,”[14] “Kandasami,”[15] “Nayagi,”[16] “Sebuah Cerita Biasa”[17] dan “Wanita.”[18]

Seterusnya akan dihurai imej 22 watak wanita kaum India yang terdapat dalam 14 cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh sejumlah penulis kaum India dari tahun 1988 hingga 1997.

Abhirami

Abhirami dalam cerpen “Nayagi” ialah ibu kepada Madhavi. Dia seorang balu yang memilih untuk memakai sari putih. Abhirami seorang ibu yang penyayang. Namun begitu, dia masih berfikiran konvensional berhubung soal anak perempuan. Misalnya dia berpendapat bahawa bebannya hanya akan turun setelah anak-anak perempuannya berkahwin. Soal mas kahwin masih menjadi perkara utama yang difikirkan dan diambil kira oleh Abhirami.

            Dengan itu, apabila Ravi Kumar ingin mengahwini Madhavi tanpa apa-apa mas kahwin, Abhirami menerima sahaja cadangan itu tanpa memikirkan soal perasaan dan keinginan Madhavi. Apatah lagi Ravi Kumar seorang duda berumur 32 tahun dan beranak tiga sedangkan Madhavi hanya seorang gadis berumur 16 tahun. Abhirami ternyata mengambil keputusan terburu-buru semata-mata untuk melepaskan tanggungjawab. Seperti diakuinya sendiri, dia hanya mahu melihat Madhavi berkahwin sebelum dia meninggal.

            Abhirami menggunakan teknik memujuk dan memaksa bagi  membuatkan Madhavi bersetuju dengan cadangan untuk berkahwin dengan Ravi Kumar. Apabila Madhavi dengan berani mendedahkan bahawa dia mahu mengahwini Vijay Kumar, Abhirami mempersoalkan keupayaan pemuda itu. Sebaliknya dia memujuk dan semacam memaksa Madhavi mengahwini Ravi Kumar yang kononnya bukan mahu berkahwin untuk memuaskan nafsu. Dan apabila Madhavi sekali lagi dengan berani bertanya “Bagaimana dengan keperluan saya sebagai seorang isteri?” Abhirami menamparnya bagaikan Madhavi telah mengungkitkan suatu pertanyaan yang tidak boleh diungkitkan langsung oleh seorang anak gadis yang sopan dan bertingkah-laku baik.

            Hingga ke akhir cerita, Abhirami ternyata kurang memikirkan perasaan dan keinginan Madhavi dalam soal menentukan bakal suami. Apa yang penting bagi Abhirami ialah tanggungjawabnya sebagai seorang ibu harus dibereskan secepat mungkin dan dengan kos serendah mungkin. Malah di bahagian akhir cerita, Abhirami hampir yakin bahawa dia sudah berjaya memujuk/memaksa Madhavi menurut permintaanya.

‘Aku’

Watak ‘Aku’ dalam cerpen “Kakak, Tolonglah Saya!” menampilkan imej wanita kaum India yang prihatin terhadap kejadian sekeliling; khasnya terhadap nasib kaum wanita. Walaupun ‘Aku’ berada di India atas urusan rasmi, dia tetap prihatin terhadap nasib yang menimpa Ameena yang ditemuinya dalam penerbangan dari Hyderabad ke New Delhi.

            Sebaik sahaja ‘Aku’ mendapat tahu bahawa Ameena yang baru berumur 12 tahun itu dikahwini secara paksa oleh seorang lelaki Arab, dia mula bertindak segera untuk menyelamatkan gadis itu. Dengan pantas dan dengan sangat cekal dan berani, ‘Aku’ mengumumkan kepada para penumpang kapal terbang tentang apa yang telah berlaku. ‘Aku’ meminta mereka menandatangani petisyen yang mengutuk tindakan Yaahya untuk diserahkan kepada pihak berkuasa. Berkat usahanya, petisyen berjaya dibuat. Walaupun pada akhirnya Ameena tiba-tiba mengaku tidak dipaksa oleh Yaahya, tetapi tindakan itu tidak memberi kesan terhadap imej kental dan positif yang dimiliki oleh ‘Aku’.

            Melalui perbualan dengan Joe pula, ‘Aku’ menampilkan imej wanita kaum India yang berfikiran matang dan terkedepan. Dia tidak mudah terikut-ikut dengan amalan kolot yang tidak berasas. Misalnya dalam soal amalan satee, ‘Aku’ membidas secara intelek. Dia tidak bersikap emosional. Sebaliknya dia mampu mengeluarkan pedapat dan hujah yang konkrit dan didasari fakta dan data yang kukuh. Ini menampakkan kematangan serta ketajaman fikiran ‘Aku’.

            Pada masa yang sama, ‘Aku’ memiliki rasa cinta terhadap tanah tumpah darahnya. Malah ‘Aku’ bangga mengidentitikan dirinya sebagai rakyat Malaysia. Dalam pertemuan singkatnya dengan Joe, ‘Aku’ berjaya menampilkan imej positif wanita Malaysia. Seperti diakui sendiri oleh Joe, “Walaupun saudari rakyat Malaysia yang pertama saya temui, saya sudah dapat membayangkan peribadi mulia seluruh rakyat negara saudari”.

Amma

Imej watak Amma (emak) dalam cerpen “Doa Tahun Baru” dipaparkan melalui sudut pandangan anaknya yang bernama Rama, 7 tahun. Amma seorang wanita yang sangat rajin melakukan kerja-kerja di rumah. Misalnya pada awal pagi sambutan Tahun Baru Tamil, dia bangun awal dan membuat segala persiapan yang perlu.

            Dia mempunyai sepasang anak kembar – Ragu dan Rama (“Saya”). Ragu dan Rama ternyata sangat sayangkan Amma. Malah mereka berdua memutuskan untuk memandang wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi tahun baru. Ini menunjukkan betapa mulianya Amma di mata mereka kerana objek pertama yang biasanya dipandang pada pagi Ponggal, Diwali dan Chithirai Vishu ialah berhala dewa-dewi.

            Appa (bapa) turut menganggap Amma sebagai insan yang sangat mulia. Appa juga memandang Amma sebagai objek pertama pada pagi tersebut. Kata Appa, “Awaklah Lakshmi dalam rumah ini.” Perbandingan itu terus disetujui oleh Rama yang berpendapat Amma memang cantik seperti Dewi Lakshmi walaupun Amma tidak memakai banyak barang kemas. Amma tidak kurang hebat berbanding Dewi Lakshmi walaupun Amma tidak memiliki empat pasang tangan seperti Dewi Lakshmi.

            Ragu dan Rama juga menganggap Amma sebagai imej penyelamat dan pelindung. Misalnya semasa kedua-dua kanak-kanak itu dipimpin oleh Amma berjalan dari bilik tidur menuju ke bilik sembahyang dalam keadaan mata tertutup, Rama terasa sedikit seram. Dia membayangkan seperti ada gaung yang dalam di hadapan. Namun begitu, dia terus juga melangkah kerana dia yakin Amma pasti tidak akan membiarkannya  jatuh ke dalam gaung itu. Rama benar-benar yakin bahawa selagi dia berjalan di sisi Amma sambil memegang tangan dan mengikut arahan Amma, dia pasti akan selamat.

            Imej Amma sebagai seorang ibu dan isteri yang penyayang juga jelas terbayang semasa Amma dan Appa memandikan Ragu dan Rama. Sambil mandi, mereka bergurau senda sehinggakan Rama merasakan seperti mereka sekeluarga sedang berkelah di dalam bilik mandi!

            Rama juga kerapkali memuji kecantikan Amma. Baginya Amma adalah wanita yang paling cantik.Wajah Amma putih berseri. Alis matanya disapu celak. Rambutnya diikat dengan rapi dan diletakkan bunga malli pada sanggul. Titik kumkum merah yang bulat dan besar mewarnai dahi Amma. Di hidung mancungnya pula terdapat mukuti berbatu kuning yang bersinar-sinar. Ini menggambarkan imej Amma sebagai seorang wanita kaum India yang mengamalkan gaya berpakaian tradisional. Taali berwarna kuning yang Appa ikat semasa mereka berkahwin pula dianggap oleh Amma sebagai harta yang paling berharga. Baginya kebendaan tidak penting. Amma mementingkan kebahagiaan dan keharmonian hidup.

            Amma sentiasa aktif. Walaupun penat membuat segala persediaan sempena perayaan tahun baru, dia langsung tidak merungut mahupun mengeluh. Amma tetap melayan tetamu dengan wajah yang ceria dan tangan terbuka. Amma sentiasa sibuk berlari ke sana ke mari menguruskan hal itu dan hal ini sehinggakan Rama berpendapat Amma wajar ada lapan tangan untuk memudahkannya membuat segala kerja rumah.

            Amma memainkan peranan yang sangat penting dalam keluarga. Kedudukannya dalam keluarga dan dalam masyarakat sangat tinggi. Misalnya Ammalah yang menguruskan persediaan bagi upacara sembahyang di rumah pada pagi tahun baru. Segala persediaan ini biasanya dilakukan oleh individu yang paling dihormati dan disegani dalam keluarga. Bagitu juga apabila Appa meminta Amma sendiri mengambilkan kaivisyesyam yang diletak dalam bilik sembahyang.

            Sebagai seorang yang sentiasa aktif dan penyayang – dengan erti kata emosi dan fikirannya sangat tenang dan stabil – Amma tidak pernah sakit; seperti diakui oleh Appa. Maka apabila Amma tiba-tiba ditemui dalam keadaan pengsan (kemungkinan pitam kerana letih), Appa, Ragu dan Rama hilang punca. Mereka benar-benar merasakan suatu kehilangan yang sangat besar. Malah Appa menangis teresak-esak di sisi katil tanpa mengendahkan orang ramai yang sedang memerhatikannya. Begitu juga dengan Ragu. Rama pula memohon kepada Tuhan agar dia akan dapat sentiasa memandang wajah Amma sebagai objek pertama pada hari-hari perayaan. Maknanya, Rama mahu supaya Amma sentiasa ada bersama mereka.

            Walaupun Amma tidak melakukan apa-apa yang besar dan hebat dalam kisah ini, imej dirinya tetap hebat. Amma merupakan imej wanita kaum India yang mampu menjamin kesejahteraan, keamanan, kebahagiaan dan keselamatan sebuah keluarga yang harmoni. Amma menjadi tunggak keluarga bahagia. Dia mampu melaksanakan secara lengkap segala tugas, tanggungjawab dan peranan sebagai isteri dan ibu.

Citra

Watak Citra dalam cerpen “Wanita” pula menggambarkan imej wanita kaum India yang ketara menggunakan nama suami selepas berumah tangga. Misalnya, nama asal watak dalam cerpen ini ialah Citra a/p Perumal. Sebaik sahaja wanita berumur 28 tahun ini berkahwin dengan Encik Ramachandran, nama “Cik Citra” ditukar kepada “Puan Ramachandran”. Inilah yang dipersoalkan oleh rakan sekerjanya, ‘Saya’.

            Ternyata Citra hanya terikut-ikut dengan amalan orang. Dia sebenarnya tidak faham mengapa nama suami harus dipakai oleh isteri. Kejahilannya terbongkar sedikit demi sedikit apabila dipersoalkan secara bertubi-tubi oleh ‘Saya’ yang menganggap kaum wanita perlu berbangga menggunakan nama sendiri.

            Citra memberikan pelbagai alasan untuk membenarkan tindakannya menggunakan nama suami; dan sekaligus memarahi ‘Saya’ yang masih memanggilnya dengan nama asal. Tindakan wanita ini ternyata keterlaluan apabila nama asalnya pada pas kerja, urusan surat-menyurat dan tanda nama ditukar kepada nama suami. Dan dia berbangga dengan hal itu. Ini menunjukkan betapa Citra sebenarnya tidak ada identiti sendiri yang boleh dibanggakan sehingga dia terpaksa menumpang nama suami.

            Citra cuba memberikan pelbagai alasan apabila ditanya oleh ‘Saya’. Misalnya, menurut wanita itu, seorang wanita India perlu menukar nama kepada nama suami setelah berkahwin. Alasan ini dibidas oleh ‘Saya’ dengan pedas sekali sehingga muka wanita itu merah padam. Menyedari bahawa dia tidak mampu menjawab pertanyaan ‘Saya’ yang sangat kritis, Citra cuba mencari dalih untuk tidak memberi sebarang komen. Misalnya dia bertanya apakah ‘Saya’ tidak ada kerja lain dan menuduh pertanyaan-pertanyaan ‘Saya’ sebagai nonsense. Namun begitu, ‘Saya’ terus memaksa kerana dia sudah dapat mengagak bahawa Citra hanya terikut-ikut dengan amalan orang lain tanpa mengetahui alasan di sebalik tindakan itu.

            Demi untuk menyelamatkan diri, Citra memberikan pelbagai alasan yang sebenarnya menggambarkan betapa dangkal fikiran dan betapa wanita itu tidak ada jatidiri. Setiap alasan yang dikemukakannya semakin mendedahkan kebodohan dirinya.

            Misalnya, dia berkata wanita kaum India menggunakan nama suami sebagai tanda sudah berkahwin dan sebagai lambang bahawa dirinya sudah menjadi “seorang insan yang sama sekali baru”. Sambil terus berpura-pura tidak tahu, ‘Saya’ dengan amat sinis bertanya apakah pula fungsi taali dan mengapa pula pada surat kelahiran anak-anak, nama asal wanita tu digunakan! Citra terdiam mendengar segala pertanyaan itu.

            Kemudian wanita itu cuba memesongkan perhatian dengan mengatakan bahawa wanita kaum Cina juga melakukan pertukaran nama selepas berkahwin. ‘Saya’ dengan segera meminta Citra agar tidak mengaitkan orang lain; sebaliknya memberi alasan kenapa dia sendiri menggunakan nama suami.

            Dalam keadaan terdesak, Citra mengatakan bahawa langkah itu diambil untuk menunjukkan rasa hormat terhadap suami. Dan apabila  ‘Saya’ bertanya apakah tindakan menggugurkan nama sendiri itu wajar, Citra menuduh ‘Saya’ sebagai menghina kaum wanita. Citra mengemukakan pelbagai alasan berupa politik, sosial, budaya dan agama bagi menyokong tindakannya menggugurkan nama sendiri dan menggunakan nama si suami. Namun, setiap alasan itu ternyata tidak berasas dan sengaja dicipta oleh Citra. Maka kesemuanya dibidas oleh ‘Saya’ dengan bijak.

            Apabila segala usahanya gagal, Citra cuba semacam mengugut ‘Saya’ dengan mengingatkan bahawa ‘Saya’ pernah dibuang kerja sebelum ini kerana mengungkitkan persoalan yang sama di tempat kerja lama. Apa yang nyata, Citra ialah imej wanita kaum India yang leka menggunakan nama suami tanpa ketahui punca dan kewajaran di sebalik tindakan tersebut. Dia mencipta pelbagai alasan untuk membenarkan tindakan itu. Namun, pada masa yang sama, watak seperti Citra secara ironi mahu supaya hak kaum wanita diiktiraf. Semua ini dikritik secara lantang dalam cerpen ini dengan menjadikan Citra sebagai sasaran.

            Imej Citra yang mencari pelbagai alasan untuk menghalang kritikan ‘Saya’ tidak berakhir di situ sahaja. Dia akhirnya mengadu kepada pihak majikan sehingga menyebabkan ‘Saya’ dibuang kerja atas alasan “mengganggu ketenteraman pekerja wanita”. ‘Saya’ akhirnya membuat kesimpulan yang tepat mengenai imej golongan wanita seperti Citra dengan berkata: “Wanita adalah selamanya hamba abdi yang lemah selagi mereka tidak memerdekakan diri dan minda. Kaum wanita tidak akan mendapat tempat yang mulia di mata dunia dalam era pembangunan ini selagi mereka masih menganiaya diri sendiri; mengikat diri pada amalan karut yang tidak berasas”.

Emak

Watak emak dalam cerpen “Emak” ialah seorang balu yang tinggal di kampung. Hubungannya dengan anak-anak cukup baik dan erat. Mereka saling sayang-menyayangi dan saling bantu-membantu. Namun timbul masalah komunikasi antara emak dan anak-anak apabila Syanker mencadangkan agar emak mengikuti rombongan lawatan ke Kedah dan Kelantan selama lima hari.

            Emak sangat degil. Dia tidak mudah berganjak daripada keputusan untuk tidak mengikuti rombongan tersebut. Dia mencari pelbagai alasan untuk menolak cadangan yang dikemukakan oleh Syanker dan Vani. Misalnya siapa yang akan menjaga cucunya dan ayam itik yang dibela. Emak juga lebih senang melakukan kerja-kerja membasuh dan mengemas rumah berbanding pergi melancong ke tempat-tempat menarik.

            Emak pernah ada impian tinggi untuk menjadi doktor. Tetapi dia diberhentikan dari sekolah pada usia terlalu muda dan dikahwinkan. Sejak itu emak menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun emak tidak pernah merungut dan bersungut. Malah dia menganggap impian zaman kanak-kanaknya sebagai kisah silam yang sudah tidak membawa apa-apa makna. Walaupun begitu, masih ada sedikit penyesalan dalam jiwanya.

            Wanita tersebut juga sangat pandai merahsiakan perasaan dan fikirannya. Misalnya walaupun dipujuk berulang kali selama beberapa hari oleh Syanker dan Vani, emak tidak mendedahkan apa punca sebenar dia tidak mahu menyertai rombongan melancong. Rupa-rupanya emak tidak menganggap aktiviti melancong sebagai sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya. Pada mulanya emak memberikan alasan bahawa dia sudah tua; biarlah Syanker yang masih muda menggantikan tempatnya dalam rombongan tersebut.

            Apabila sudah tidak tahan didesak, barulah emak mendedahkan punca sebenar. Dia meluahkan segala isi hatinya kepada Syanker. Rupa-rupanya emak merasakan seperti Syanker sedang cuba membuatkannya meninggalkan rumah Syanker. Katanya, jika Syanker tidak suka dia tinggal di situ, dia boleh pergi; walaupun dia cukup bahagia tinggal bersama anak dan cucu. Tetapi dia tidak mahu Syanker memaksanya pergi ke suatu tempat yang tidak dapat menjanjikan ketenangan jiwa.

            Sebalik sahaja emak meluahkan segala isi hatinya, barulah Syanker faham apa yang bermain dalam fikiran emak. Dia menyesal kerana merancang suatu aktiviti yang akhirnya membawa kesan di luar jangkaan. Maka serta-merta dia memutuskan untuk membatalkan terus program lawatan emak ke Kedah dan Kelantan. Syanker sedar bahawa tidak ada perkara lain yang lebih penting kepada emak jika dibandingkan dengan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama anak-anak dan cucu.

Emak

Watak Emak dalam cerpen “Emak II” ditampilkan dengan imej seorang ibu yang terlalu mengongkong kebebasan anaknya. Emak tidak berusaha memahami jwa anaknya, Ris @ Balakrishna. Sebaliknya emak mahu supaya Ris menurut segala arahan dan permintaannya tanpa soal. Malah emak juga mencurigai anaknya itu.

            Emak juga mempunyai sikap ‘seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul’ kerana memarahi Ris apabila dia berbual lama dengan Han @ Khandan melalui telefon sedangkan emak sendiri sering bergayut berjam-jam pada telefon; berbual dengan rakannya. Emak ternyata tidak bersikap adil.

            Watak emak juga memiliki sikap memandang rendah dan menghina golongan kurang berada. Emak tidak mahu Ris rapat dengan Han, pelajar miskin yang tinggal di kampung terpencil. Apatah lagi apabila emak menyedari bahawa hubungan Ris dan Han tidak sekadar sebagai rakan tetapi sudah menjurus kepada hubungan persaudaraan.

            Segala sikap negatif yang dimiliki oleh emak bukan hanya ditunjukkan kepada Ris, malah juga kepada suaminya. Emak tidak mendengar nasihat suami; sebaliknya berani melawan semula dengan suara yang tinggi. Emak ialah imej isteri dan ibu yang memiliki segala macam sikap negatif yang pasti membuatkan orang lain membencinya.

            Emak mengongkong Ris daripada segala aspek; misalnya dalam soal memilih warna pakaian, kelas tuisyen yang mesti diikuti, kelas nyanyian yang wajib disertai, aktiviti apa boleh disertai dan rakan mana boleh digauli. Ringkasnya, emak mengawal sepenuhnya segela aspek dalam hidup Ris yang berumur 17 tahun. Emak sedikitpun tidak memberikan Ris peluang – apatah lagi hak – untuk mencorak hidupnya sendiri.

            Semua ini menyebabkan Ris semakin membenci emak. Emak hanya berjaya mengawal tindak-tanduk Ris melalui paksaan. Tetapi emak gagal meraih rasa hormat, bangga dan kasih sayang daripada seorang anak. Ris sampai ke peringkat di mana dia menyesal menurut segala arahan emak. Dia mula memberontak secara diam. Maka hilanglah segala rasa hormat dan takut terhadap emak.

            Akhirnya Ris pergi juga untuk bertemu Han tanpa mengendahkan larangan emak. Emak yang selama ini megah dengan keupayaannya mengawal anak, akhirnya mendapat tamparan hebat. Namun begitu, dia kekal dengan imej negatif seorang ibu.

Kanaga

Kanaga dalam cerpen “(2) Post-mortem” ialah seorang pelacur berumur 20 tahun. Dia memberitahu ‘Aku’ bahawa walaupun dia bukanlah orang yang baik tetapi dia juga tetap ada perasaan kemanusiaan. Dia sanggup membantu ‘Aku’ dalam usaha membuktikan Periasammi tidak mendera Sinnapayya @ Boy.

            Kanaga telah dinodai oleh Alex @ ‘Misai’ semasa wanita itu berumur 16 tahun. Hanya kemudian Kanaga mengetahui bahawa Alex seorang bapa ayam. Namun begitu, Kanaga tidak mampu melepaskan diri daripada penguasaan Alex. Apatah lagi selepas kelahiran Sinnapayya, Alex mengugut akan mencederakan bayi itu jika Kanaga enggan menurut arahannya.

            Demi menjamin keselamatan Sinnapayya, Kanaga meminta Suppamah menjaga bayi itu. Namun begitu, Alex tetap mengugut akan mencederakan Sinnapayya apabila sekali itu Kanaga tidak sanggup ditiduri seorang lelaki tua. Kanaga terperangkap apabila kasih sayang dan ugutan dijadikan senjata oleh Alex untuk mencapai maksud jahatnya.

            Kanaga jugalah yang mendedahkan kepada ‘Aku’ bahawa Alexlah orang yang sebenarnya mendera Sinnapayya serta meminta Suppamah meninggalkan bayi itu di dalam tandas hospital – melalui ugutan tentunya. Kanaga terpaksa menyembunyikan segala apa yang diketahuinya semasa perbicaraan kes Periasammi di mahkamah kerana takut Alex akan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap dirinya, Suppamah dan Jayanthi serta Ramesh. Dia takut dibunuh sepertimana Alex membunuh Mallathi yang cuba membantu pihak berkuasa semasa perbicaraan.

            Maka Kanaga terus membisu. Alex telah memusnahkan hidupnya. Anaknya pula didera sehingga mati oleh lelaki itu. Namun, Kanaga masih tidak berani tampil mendedahkan perbuatan Alex kepada pihak berkuasa. Namun akhirnya wanita itu berubah fikiran setelah dia terdengar Alex mengatakan bahawa terdapat seorang pemuda – ‘Aku’ – sedang cuba mencari bukti untuk membebaskan Periasammi daripada hukuman gantung. Kanaga memutuskan untuk membantu pemuda itu dalam usahanya jika berpeluang. Dan dia merasakan dirinya agak bertuah apabila ‘Aku’ sendiri datang menemuinya di rumah pelacuran.

            Kanaga bakal menjadi saksi utama dalam membuktikan Periasammi tidak bersalah. Namun begitu, segala impian ‘Aku’ tidak sempat menjadi kenyataan. Semasa Kanaga dan ‘Aku’ sedang berbual dalam bilik, Alex datang bersama pengikutnya. Kanaga berusaha melindungi ‘Aku’ dengan memberitahu Alex bahawa bukan pemuda itu yang terlibat dalam kes Periasammi; bahawa ‘Aku’ hanya datang sebagai pelanggan di rumah pelacuran itu.

Namun begitu, Alex tidak mengendahkan kata-kata Kanaga. Wanita itu dibunuh. Pada peringkat awal, dia tidak berani membebaskan diri daripada cengkaman Alex. Kemudian apabila anaknya, Sinnapayya mati, Kanaga masih tidak berani tampil di muka pengadilan. Sewaktu dia akhirnya bersedia untuk membantu ‘Aku’ menegakkan keadilan, nyawanya pula hilang.

Kannama

Kannama dalam “Sebuah Cerita Biasa” ialah emak kepada Karpagam dan Rajoo. Setelah Rajoo berkahwin, wanita tua itu tinggal bersama Karpagam di kampung. Namun apabila disahkan bahawa pihak berkuasa akan merobohkan rumah-rumah (setinggan) di kampung terbabit, mereka diajak tinggal bersama Rajoo dan isterinya, Yasoda.

Menyedari hakikat bahawa mereka hanya menumpang di rumah orang, Kannama tidak berani memperjuangkan hak serta membela diri. Begitu juga apabila Yasoda menghina dan memarahi dia dan anaknya. Pada pendapat Kannama, “Kita hanya menumpang hidup di rumah ini. Jadi terpaksalah kita pekakkan sahaja telinga mendengar maki hamun kakak ipar awak”.

Malah walaupun Kannama tidak tahan melihat Karpagam dimarahi dan dimaki oleh Yasoda, wanita itu terus berdiam diri. Apabila keadaan menjadi semakin genting, Kannama hanya berkata “Lepaskan dia!” – itupun bukan dengan nada marah tetapi dengan nada merayu. Malah terus pula wanita itu berlari pantas dan menyembah di kaki Yasoda sambil terus merayu supaya Yasoda melepaskan Karpagam.

Walaupun Kannama yakin bahawa anaknya tentu tidak mengambil wang yang dikatakan hilang, namun dia tidak berani membela anaknya sendiri di hadapan seorang menantu. Dia hanya mampu merayu meminta anaknya dilepaskan dan dimaafkan.

Kannama menggambarkan imej wanita kaum India yang sangat pasif dan menerima sahaja segala apa yang terjadi; sama ada disukai atau tidak. Kannama hanya menurut arahan. Bagaikan dia tidak ada sebarang hak. Aksinya sangat pasif dan sangat bertepatan dengan imej wanita kaum India tradisional yang dikatakan hanya perlu menurut segala arahan suami dan anak lelaki.

Karpagam

Karpagam ialah kanak-kanak berumur 12 tahun dalam cerpen “Sebuah Cerita Biasa” yang ditampilkan sepenuhnya melalui sudut penceritaan ‘Aku’, seekor burung nuri. Karpagam dituduh mencuri wang yang disimpan oleh kakak iparnya, Yasoda. Sambil menangis teresak-esak, Karpagam cuba menjelaskan bahawa dia tidak mengambil wang itu; malah melihatnya pun tidak. Namun begitu, Yasoda terus memukul dan menyeksa remaja itu. Setelah ditanya berulang kali, Karpagam hilang sabar. Lalu dia tidak menjawab lagi. Sebaliknya dia hanya berusaha melepaskan diri daripada cengkaman Yasoda.

            Pada pendapat ‘Aku’, Karpagam seorang budak yang sangat baik. ‘Aku’ benar-benar yakin bahawa remaja itu tidak mengambil wang yang dimaksudkan; sebaliknya tentu Yasoda mahu memfitnah.

            Karpagam sangat sayangkan ‘Aku’ dan begitu sebaliknya. Karpagam selalu berbual-bual dengan ‘Aku’ selepas Rajoo dan Yasoda pergi kerja. Malah Karpagam jugalah yang ditugaskan menjaga makan-minum ‘Aku’. Dalam hal ini, Karpagam ternyata sangat berdisiplin dan bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan. Karpagam turut menjaga kebersihan sangkar ‘Aku’.

            Sebagai seorang remaja awal (berumur 12 tahun), Karpagam masih ketara bersikap keanak-anakan. Misalnya cara dia berbual dengan ‘Aku’; bagaikan mereka saling memahami. Namun, di bahagian akhir cerita, Karpagam mampu berkata kepada ‘Aku’: “Kau tidak akan faham! Kau tidak akan faham! Kau tidak memahami bahasaku sebagaimana aku tidak memahami bahasa kau.”

            Karpagam jelas menampilkan imej remaja awal yang kompleks. Seperti yang dikatakan tadi, dia bukan hanya bersikap keanak-anakan tetapi juga memiliki pemikiran matang (remaja akhir @ dewasa). Hal ini menjadi lebih tampak bilamana Karpagam mengeluarkan wang kertas lima puluh ringgit dari saku dan menyembunyikannya di dalam rekahan pada sangkar ‘Aku’ dengan alasan “hanya inilah tempat yang abang dan Si Yasoda tidak akan geledah nanti”.

            Ini membuktikan bahawa watak Karpagam sangat kompleks dan perlu diinterpretasi secara mendalam daripada sudut psikologi remaja. Tindakannya di luar jangkaan watak ‘Aku’ yang sejak awal sangat yakin bahawa Karpagam seorang budak yang baik. Ternyata sangkaan ‘Aku’ jauh meleset. Namun, tidak pula diketahui dari mana Karpagam mendapat wang yang dimaksudkan: Adakah memang sudah dicuri sejak awal atau sengaja dicuri kemudian kerana mahu membalas dendam terhadap Yasoda?

            Walau apa sekalipun punca dan akibat daripadanya, apa yang penting adalah bahawa Karpagam menggambarkan imej remaja kaum India yang kompleks dan penuh misteri sehingga sukar dinilai pada permukaan (face value) semata-mata. Dalam keadaannya yang berdiam diri, fikiran Karpagam dipenuhi pelbagai perkara yang sukar ditafsir. Misalnya ‘Aku’ tidak pernah menyangka Karpagam akan menyembunyikan wang lima puluh ringgit yang diperolehi dari entah mana. Tambahan pula, terdahulu daripada itu, ‘Aku’ ternampak Yasoda menyembunyikan sesuatu (wang lima puluh ringgit?) di bawah bantal Karpagam.

Laxmi

Laxmi dalam “Nayagi” ialah ibu kepada Abhirami dan nenek kepada Madhavi. Pada masa yang sama, Laxmi juga kakak kepada Senggoda Kurunathar, bapa Madhavi. Anak-anaknya ialah Ravi Kumar, Siva Kumar dan Abhirami. Wanita tua ini masih kekal dengan imej tradisional kaum India. Misalnya dalam mengamalkan perkahwinan di kalangan saudara-mara terdekat. Ini khususnya apabila seorang lelaki digalakkan mengahwini anak gadis kepada kakak kandungnya.

            Dalam hal ini, Laxmi mahu Madhavi menerima Ravi Kumar sebagai suami selepas isteri Ravi Kumar meninggal dunia semasa melahirkan Hari Kumar. Bagi Laxmi, perkahwinan Madhavi dan Ravi Kumar akan menebus maruah keluarga yang tercemar hampir 18 tahun sebelumnya kerana Ravi Kumar tidak mahu berkahwin dengan Malathi iaitu kakak Madhavi. Ravi Kumar membuat keputusan itu kerana dia mahu mengahwini Chellama yang pada waktu itu sudahpun mengandung akibat keterlanjuran mereka berdua. Malathi pula terpaksa dikahwinkan dengan Siva Kumar, adik Ravi Kumar.

            Lalu apabila setahun selepas kematian Chellama, Ravi Kumar menyatakan keinginan untuk memperisterikan Madhavi, Laxmi menerima perkembangan itu dengan gembira. Baginya perkahwinan pada kali ini mesti berjaya dilaksanakan. Akibat keinginan kuat untuk melaksanakan ‘cita-cita’ lama, Laxmi gagal mengambil kira aspek perasaan dan keinginan Madhavi.

            Apabila Madhavi enggan menerima Ravi Kumar sebagai suami, Laxmi memaksa dengan pelbagai cara; termasuk ugutan. Dia mengungkitkan bahawa memang menjadi tradisi dalam keluarga mereka untuk seorang lelaki berkahwin dengan anak kepada kakak sendiri. Laxmi juga memberi alasan bahawa Madhavi sedang menjaga Hari Kumar, anak Ravi Kumar. Dengan itu, katanya, Madhavi wajar menjadi isteri kepada Ravi Kumar.

            Apabila Madhavi mendedahkan keinginannya untuk bersuamikan Vijay Kumar, Laxmi mengungkitkan bahawa pemuda itu sebenarnya adalah anak luar nikah yang lahir akibat keterlanjuran Ravi Kumar dan Chellama. Laxmi ternyata tidak menyukai Vijay Kumar. Baginya, pemuda itu terlalu asyik dengan usaha menuntut kemerdekaan negara.

            Laxmi juga berusaha memujuk Madhavi dengan kebendaan. Katanya, Ravi Kumar mewarisi ladang tebu yang luas; Madhavi bertuah jika berkahwin dengannya. Apabila Madhavi masih bertegas mengatakan bahawa dia hanya akan berkahwin dengan Vijay Kumar, Laxmi mula menyergah dan menarik-narik rambut gadis itu. Malah Laxmi bertanya apakah Madhavi akan kahwin lari dengan Vijay Kumar; atau apakah mereka berdua akan membunuh diri.

            Sebagai langkah terakhir dalam usahanya memaksa Madhavi menerima Ravi Kumar, Laxmi memberitahu Madhavi bahawa dia hanya boleh mendukung Hari Kumar (yang sedang menangis) sekiranya dia sedia menjadi isteri Ravi Kumar. Laxmi ternyata bertindak tanpa perasaan kemanusiaan. Sebaliknya dia mengeksploitasi perasaan kemanusiaan (kasih sayang) yang dimiliki oleh Madhavi untuk memastikan bahawa usahanya berjaya mencapai hasrat yang diingini.

Madhavi

Madhavi @ Paapa dalam cerpen “Nayagi” ialah remaja yang berfikiran matang dan dewasa. Walaupun pada bahagian awal cerita ini Madhavi bersikap agak keanak-anakan, tetapi sikap itu berubah langsung menjadi sikap seorang wanita yang tegas bilamana muncul masalah dalam hidupnya.

            Sebagai gadis berumur 16 tahun, Madhavi juga tidak terlepas daripada dilanda cinta. Namun begitu, cintanya tidak keterlaluan sehingga melanggar batas norma. Ia tidak berasaskan emosi ‘picisan’ dan mengikut perasaan. Sebaliknya perasaan cinta Madhavi terhadap Vijay Kumar @ Viji Mama adalah berlandaskan rasa kagum dan rasa hormat. Vijay Kumar yang berfikiran matang, bersemangat nasionalis, berpelajaran, berbudi pekerti mulia, menguasai beberapa bahasa serta memperjuangkan (secara diam) hak golongan wanita telah membuatkan Madhavi secara diam-diam menaruh perasaan cinta dan kagum terhadapnya.

Mereka berdua tidak pernah meluahkan perasaan di hati masing-masing. Malah sehingga penghujung cerita, tidak diketahui apakah cinta Madhavi berbalas. Perasaan cinta Madhavi terhadap Vijay Kumar digambar melalui gestures yang sangat halus dan sopan. Misalnya pipi gadis itu digambarkan memerah dan hatinya berdebar apabila berhadapan dengan pemuda yang berumur 17 tahun itu. Malah Madhavi sendiri tidak tahu apakah Vijay Kumar turut menaruh hati terhadapnya; atau sekurang-kurangnya apakah pemuda itu sedar bahawa Madhavi mencintainya.

Apabila Ravi Kumar, bapa Vijay Kumar mengatakan bahawa dia akan datang meminang Madhavi, gadis itu terasa sangat gembira. Pada fikirannya, dia akan dikahwinkan dengan Vijay Kumar. Tetapi rupa-rupanya Ravi Kumar yang menduda itu sendiri yang ingin mengahwini Madhavi.

Namun begitu, Madhavi tidak mudah menyerah pada nasib. Walaupun dipujuk oleh emak dan dipaksa oleh nenek, Madhavi tetap tidak mahu berkahwin dengan Ravi Kumar yang berumur 32 tahun. Madhavi ternyata bersikap tenang dan mampu mengeluarkan hujahan yang matang dan tegas semasa mempertahankan pendiriannya.

Dia tidak menangis mengenangkan nasibnya kerana bagi Madhavi, hanya orang yang mengaku kalah perlu menangis dalam situasi begitu. Walaupun Madhavi seorang anak dan cucu yang menghormati orang tua, tetapi dia tidak mahu menjadikan itu sebagai penghalang kepada usahanya mempertahankan hak diri. Sejak awal lagi, Madhavi bersikap tegas dan tidak menyerah kalah semata-mata kerana memenuhi permintaan/paksaan/harapan orang tua.

Madhavi mewakili imej watak wanita kaum India yang lengkap; dengan erti kata tidak selapis atau stereotaip. Dia mampu berasimilasi dan mengubahsuai diri mengikut keadaan. Misalnya sikap dan tingkah lakunya pada bahagian awal cerpen sangat kontras dengan sikap yang dipaparkan setelah timbul konflik dalam cerita. Madhavi seorang gadis yang periang, ceria, penyayang, prihatin dan suka bermain seperti kanak-kanak. Sikap ini kelihatan seperti kurang sesuai dengan umurnya yang sudah mencapai 16 tahun. Namun pada masa yang sama, Madhavi juga seorang gadis yang tegas, matang, kritikal, degil, kental, berfikiran terbuka dan terkedepan, bersemangat tinggi serta berani memperjuangkan hak tanpa dipengaruhi oleh pihak lain yang bersikap mementingkan diri.

Apabila konflik mencapai kemuncak di mana Madhavi diminta memilih antara Ravi Kumar dan Vijay Kumar, dia dikenakan pelbagai syarat. Antaranya, jika dia memilih untuk menjadi isteri Ravi Kumar, dia dianggap berjaya menjaga maruah keluarga, menghormati keputusan orang tua dan segala macam kesan positif. Sebaliknya jika dia memilih Vijay Kumar sebagai bakal suami, ini bermakna dia tidak menghormati keputusan orang tua, mencemar maruah keluarga dan sebagainya yang negatif.

Namun begitu, sebagai wanita kaum India yang memiliki imej yang lengkap – bulat; hitam, putih dan kelabu – Madhavi tetap membuat keputusan berdasarkan fikiran yang waras, tegas dan berpatutan sambil mengambil kira segala aspek berhubung masa hadapan.

Mallathi

Mallathi dalam cerpen “Cerpenis” ialah kakak kepada Vasanthi. Kehadirannya tidak lama. Namun dia masih memainkan peranan penting dalam cerpen ini. Mallathi tampil sebagai imej kakak yang prihatin terhadap masalah dan dilema yang dihadapi oleh Vasanthi. Mallathi pada mulanya cuba meredakan tangisan dan kebimbangan Vasanthi yang menghadapi masalah apabila suaminya, Prakash tidak mengizinkannya meneruskan keterlibatan dalam bidang penulisan.

            Selepas Vasanthi kembali tenang, Mallathi berusaha pula memberikan sedikit petua dalam hidup berumah tangga. Misalnya bahawa golongan suami mahu sentiasa diberi layanan istimewa. Juga kemungkinan Prakash menghalang minat Vasanthi kerana cemburu buta. Oleh kerana Mallathi menyedari bahawa minat Vasanthi adalah sangat mendalam, maka dia menyarankan agar adiknya terus menulis tanpa pengetahuan Prakash dengan menggunakan nama samaran.

            Cadangan demi cadangan dan kemungkinan demi kemungkinan dikemukakan oleh Mallathi kepada adiknya. Tindakan ini ternyata membawa hasil yang menggalakkan. Misalnya Vasanthi yang asyik menangis kerana buntu fikiran akhirnya mampu berfikir dengan tenang setelah berkongsi masalah dengan Mallathi. Secara tidak langsung, Mallathi berperanan membantu Vasanthi memikirkan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapinya. Mallathi ialah imej kakak yang berfikiran terbuka, matang, penyayang, prihatin, pemberi sokongan moral dan sedia membantu.

Mallathi

Mallathi dalam “(2) Post-mortem” ialah seorang suri rumah yang terjebak dalam kancah pelacuran yang dikendalikan oleh Alex. Dia pada mulanya tidak berani melepaskan diri kerana diugut. Namun begitu, apabila timbul kes penderaan yang mengakibatkan kematian Sinnapayya, Mallathi ingin bertindak. Dia sedar bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Periasammi dan sekaligus menghadapkan Alex ke muka pengadilan.

Semasa kes Periasammi masih dalam perbicaraan, Mallathi telah pergi bertemu peguambela Zulfikar Nader Ali. Dia berjanji akan tampil membela Periasammi di mahkamah. Malah Mallathi disifatkan oleh Zulfikar sebagai saksi utama di pihak tertuduh. Malangnya wanita itu menghilangkan diri di saat-saat akhir sebelum sempat memberi apa-apa keterangan – lisan mahupun bertulis – kepada Zulfikar.

Rupa-rupanya Alex sudah mendapat tahu tentang ‘pembelotan’ yang cuba dilakukan oleh Mallathi. Maka wanita itu dibunuh. Mayatnya disapu gula dan dibiarkan semalaman. Keesokannya, mayat yang dihurungi semut dibuang ke dalam bekas lombong. Mayat itu hanya dapat dikesan oleh pihak berkuasa setelah reput dan sukar ditentukan identitinya.

Mallathi diberi imej suri rumah yang terpedaya dan terjebak dalam pelacuran secara paksa. Dia tidak berani untuk membebaskan diri atau melaporkan perbuatan Alex kepada pihak berkuasa. Namun begitu, dia hilang sabar setelah Sinnapayya mati dan Periasammi dijatuhi hukuman atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Mallathi cuba membantu. Malangnya dia dibunuh.

Minachi

Minachi ialah ibu kepada watak Muniammah dalam cerpen “Cabaran Hidup”. Dia tinggal di sebuah ladang getah bersama suami yang pemabuk dan tiga anak. Setiap hari, Krishnan, si suami pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Minachi pasti menjadi mangsa pukulan dan cacian. Wanita itu juga sekadar menjadi semacam alat untuk Krishnan memuaskan nafsu. Minachi tidak berusaha mengubah keadaan hidup ini. Dia bersikap pasif dan menerima sahaja segala apa yang berlaku dalam hidupnya.

            Pada suatu hari, Minachi memberitahu Krishnan bahawa dia sedang mengandung anak keempat. Sebaik sahaja mendengar berita itu, Krishnan menjeling marah. Muniammah ketakutan. Akhirnya Krishnan bertindak liar. Dia menendang dan memecahkan pintu rumah. Minachi dan anak-anak hanya mampu menangis. Minachi tidak berusaha melakukan apa-apa dalam keadaan itu.

            Minachi membiarkan sahaja suaminya memakinya dengan kata-kata kesat yang mengaibkan. Kononnya anak yang dikandung oleh Minachi bukan hasil daripada benihnya. Krishnan menuduh Minachi mengadakan hubungan sulit dengan salah seorang penyelia ladang tempat dia bekerja.

Tuduhan itu benar-benar menyakitkan hati Minachi. Dia selama ini diasuh dan dibesarkan dalam keluarga yang miskin tetapi bermaruah tinggi. Dia kuat beragama dan sangat peka terhadap soal-soal agama. Anehnya, wanita yang mengaku dirinya sangat peka terhadap ajaran agama tiba-tiba sahaja bertindak nekad membunuh diri. Minachi dengan pantas masuk ke dapur dan mengunci pintu. Dia mencurah minyak tanah ke seluruh badan dan membakar diri. Tindakan ini semata-mata untuk membuktikan bahawa dia tidak menduakan suami.

Muniammah

Muniammah dalam “Cabaran Hidup” mempunyai imej seorang gadis berusia 25 tahun yang mempunyai potongan badan yang menjadi idaman setiap pemuda di Ladang Heng Keng. Dia terpaksa berhenti sekolah pada usia 16 tahun dan menoreh getah demi kebahagiaan hidup adiknya, Rajen dan Madhu. Ibu mereka sudah meninggal dunia sementara bapa yang pemabuk pula melarikan diri bersama perempuan simpanan semasa Muniammah berumur 18 tahun.

            Apabila gadis itu tinggal sendirian bersama dua orang adiknya yang masih kecil, ramai pemuda cuba mengganggu. Sungguhpun begitu, Muniammah tetap bersemangat tinggi, bersikap tegas dan  menjaga maruah diri dalam menghadapi segala usikan dan gangguan. Gadis ini diibaratkan sebagai teratai yang tumbuh di lumpur; teratai tetap teratai dengan kecantikan dan keasliannya walau di mana ia berada. Pada masa yang sama, Muniammah mendidik kedua-dua adiknya supaya dapat menjadikan mereka orang yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara.

            Segala peribadi baik yang dimiliki oleh Muniammah telah membuatkan Hassan menaruh hati terhadapnya.

            Sekali itu, Sarjit Singh, penyelia ladang getah tempat Muniammah bekerja telah cuba memperkosa gadis itu. Sarjit memang selalu cuba mendekati Muniammah dengan niat tidak baik. Apabila Muniammah cuba mengelak daripada menurut kehendak Sarjit, lelaki itu cuba membalas dendam dengan mencari kesalahan di tempat kerja. Sarjit selalu mengadu tentang Muniammah kepada pihak pengurusan ladang.

            Gangguan ini sampai ke kemuncak apabila pada suatu hari, Sarjit cuba memperkosa Muniammah semasa gadis itu pulang sendirian. Muniammah hanya mampu menjerit meminta tolong sewaktu Sarjit cuba memuaskan nafsunya. Pada waktu itu datang Hassan lalu berjaya menyelamatkan Muniammah.

            Muniammah sangat terhutang budi kepada Hassan. Seringkali dia mengatakan betapa hidupnya tentu telah musnah jika tidak kerana Hassan yang datang melindungi kesuciannya tempoh hari. Lama-kelamaan hubungan mereka menjadi semakin intim. Hassan meluahkan perasaan cintanya kepada Muniammah. Walaupun mereka berlainan kaum dan agama, Muniammah terus sahaja menerima cinta Hassan.

            Pada masa yang sama, Sarjit yang gagal dalam niat buruknya telah mula menyebarkan fitnah kononnya Hassan dan Muniammah sering mengadakan pertemuan sulit di ladang getah. Akibatnya para penduduk di ladang berkenaan mengutuk Muniammah, Rajen dan Madhu. Mereka rata-rata tidak merestui hubungan percintaan antara Muniammah dan Hassan yang berlainan kaum dan agama. Akibat daripada reaksi masyarakat sekeliling, Muniammah dengan mudah sahaja mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hassan. Dia tunduk kepada reaksi dan harapan masyarakat ladang.

            Sejak itu, Muniammah menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap masa depan Rajen dan Madhu. Dia sanggup berkorban segala keinginan peribadi demi adik-adiknya. Akhirnya Rajen berjaya masuk ke sebuah politeknik dalam pengajian bidang perakaunan. Pemuda itu mula bercinta dengan anak gadis pengurus ladang berkenaan.

            Ini menyebabkan ketiga-tiga adik-beradik itu dihalau dari ladang tersebut. Pada waktu itu, hanya Hassan datang membantu. Dia mengajak mereka tinggal bersama keluarganya. Muniammah sekali lagi terhutang budi kepada jasa baik Hassan dan keluarganya. Dalam diam, Muniammah mengakui dalam hatinya bahawa dia masih mencintai Hassan tetapi perbezaan agama yang menjadi penghalang.

            Hidup Muniammah semakin tenang. Layanan yang diberikan oleh keluarga Hassan sangat mengharukan. Secara tidak langsung, Muniammah mula berminat untuk mendalami agama Islam sambil tertanya-tanya dalam diri, apakah mungkin harapannya untuk menjadi pasangan hidup Hassan akan tercapai.

Punitha

Punitha dalam cerpen “Dua Alam” mengalami gangguan mental yang agak teruk. Dia meracau-racau dan berhalusinasi bertemu manusia zaman purba yang kononnya bertanduk seperti kerbau. Punitha merasakan seperti kumpulan manusia itu mahu membunuhnya sebagai memenuhi permintaan dewa mereka.

            Fikiran dan khayalan Punitha berselang-seli antara realiti dan imaginasi. Dia sesekali bercakap kepada ibunya; tetapi seperti sedang bercakap dengan manusia bertanduk dalam halusinasinya. Bomoh yang dipanggil untuk memulihkan ‘penyakit’ Punitha mengatakan bahawa dia dirasuk hantu. Maka upacara menghalau hantu diadakan. Namun, Punitha tetap tidak pulih. Keadaannya bertambah serius. Akhirnya Punitha dibawa ke hospital sakit jiwa untuk tindakan lanjut.

            Sepanjang cerpen, tidak diketahui apa punca sebenar Punitha dirasuk hantu atau akit jiwa. Halusinasi yang dialaminya juga tidak memberi sebarang gambaran terhadap puncanya.

Selvi

Selvi dalam “Hari Penentuan” merupakan imej remaja yang bersemangat dan tidak mudah mengaku kalah. Ini jelas apabila dia tidak berputus asa walaupun dua kali gagal dalam peperiksaan SPM. Namun, semasa menanti keputusan peperiksaan kali ketiga, perasaannya kian berkecamuk memikirkan keputusan yang bakal diterima.

            Selvi sedar bahawa bapanya, Paramasivam menaruh harap yang sangat tinggi terhadapnya. Ini membawa kepada dilema dalam diri Selvi kerana dia sedar bahawa dia tidak akan mendapat keputusan yang baik kali ini. Semuanya berlaku kerana tidak lama sebelum peperiksaan SPM, Selvi mendapat tahu bahawa kekasihnya, Selvam sudah ada kekasih baru. Selvi terlalu kecewa sehingga tidak mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan peperiksaan.

            Selvi melalui pengalaman remaja yang stereotaip: bersekolah, bercinta, gagal dalam percintaan dan gagal dalam peperiksaan. Malah semasa hangat bercinta, Selvi sanggup berbohong kepada bapanya untuk pergi bertemu Selvam.

            Keghairahan bercinta serta kekecewaan akibat kegagalan dalam percintaan membuatkan Selvi tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Lalu, semakin hampir tarikh pengumuman keputusan peperiksaan, semakin Selvi berasa takut dan bimbang. Namun begitu, dia terpaksa menerima hakikat.

            Semasa Selvi pergi untuk mengambil keputusan peperiksaan, dia sudah sedia maklum bahawa dia pasti gagal. Maka dia sudah memutuskan untuk membunuh diri. Dia sudah pun merancang dan membawa bersamanya sebotol racun lalang. Sebaik sahaja keputusan diterima, dia meluru ke arah air terjun untuk membunuh diri dengan meminum racun yang sudah dibawa sebagai ‘bekal’.

            Jadi, Selvi adalah imej wanita kaum India yang tidak memiliki jatidiri dan semangat yang tinggi dalam hidup. Perkara yang remeh-temeh membuatkannya memutuskan untuk mencabut nyawa sendiri. Ini juga secara tidak langsung menjelaskan tahap keimanan dan pengetahuan agama yang dimiliki olehnya. Walaupun akhirnya Selvi ‘gagal’ melaksanakan hajatnya untuk membunuh diri, dia tetap berdosa kerana sudahpun berniat untuk membunuh diri. Kegagalannya dalam melaksanakan ‘pembunuhan diri’ itu hanyalah secara kebetulan sahaja.

Selvi

Satu lagi watak Selvi ialah watak utama cerpen “Dalam Perut Jerung Raksasa”. Umurnya 30 tahun dan dia digambarkan memiliki bulu mata yang lebat. Selvi bekerja di sebuah restoran. Dia sangat sayangkan adiknya, Saravanan yang berumur 15 tahun. Selvi benar-benar risau dan bimbang kerana Saravanan terlalu leka menonton filem Tamil di pawagam.

            Selvi tidak mampu menghalang apabila Saravanan memaksa emak mereka membeli perakam video dengan ugutan bahawa jika permintaannya tidak dipenuhi, dia tidak akan mengambil peperiksaan PMR. Selvi juga sedar bahawa Saravanan selalu menonton filem-filem lucah bersama rakan-rakannya. Namun, dia tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan adiknya daripada terus terpesong.

            Walau bagaimanapun, apabila Selvi sudah tidak tertahan lagi dengan sikap Saravanan yang semakin leka dan sanggup ponteng sekolah untuk menonton filem Tamil di pawagam, Selvi mengambil keputusan nekad untuk membawa Saravanan ke pangkal jalan. Lalu dia pergi mencari Saravanan di pawagam berdekatan.

            Selvi dibantu seorang perempuan tua bersari putih dan penuh misteri. Perempuan itu mengetahui banyak perkara mengenai diri Selvi serta keluarganya. Pada mulanya Selvi merasakan bahawa perbualan dengan perempuan tua itu hanya membazir masa. Tetapi kemudian Selvi sendiri meminta perempuan itu membawanya bertemu Saravanan yang dikatakan berada “jauh … terlalu jauh”.

            Lantaran terlalu bimbang memikirkan keselamatan Saravanan, Selvi sanggup menyembah perempuan itu untuk mendapatkan bantuan. Apa yang penting baginya ialah keselamatan adiknya. Menurut Selvi sendiri, walaupun Saravanan  berperangai buruk, dia masih menyayanginya. Lalu perempuan tua itu bertanya apakah Selvi sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan Saravanan. Tanpa berfikir panjang, Selvi mengatakan bahawa jika perlu, dia rela mengorbankan nyawanya sendiri demi untuk menyelamatkan adiknya daripada sebarang bahaya.

            Serta-merta Selvi mendapati dirinya berada di dalam sebuah gua berupa terowong. Walaupun dilanda rasa takut, Selvi sanggup menghadapi segala cabaran demi Saravanan. Akhirnya Selvi sampai di sebuah pawagan yang sangat aneh. Orang ramai leka menonton wayang yang dipancarkan pada layar gergasi. Selvi ternampak adiknya yang berada dalam keadaan kurang sedarkan diri. Segera dibawanya remaja itu keluar dari tempat tersebut.

            Walaupun adiknya berjaya diselamatkan, Selvi yang prihatin terhadap masa depan masyarakat tetap sedih memikirkan nasib ratusan anak-anak muda kaumnya yang masih “terperangkap dalam perut pawagam raksasa itu”.

Suppamah

Suppamah dalam cerpen “(2) Post-mortem” ialah seorang pelacur berumur 34 tahun. Anaknya Jayanthi dan Ramesh. Wanita itu duduk serumah dengan Periasammi, seorang penganggur dan penagih heroin. Dalam perbicaraan kes penderaan yang membawa kepada kematian Sinnapayya @ Boy, Periasammi mengatakan bahawa Suppamah seorang yang pemarah dan suka menendang Sinnapayya.

            Sewaktu watak ‘Aku’ pergi ke rumah Suppamah untuk berbincang tentang Periasammi yang dituduh mendera Sinnapayya, wanita berusia 34 tahun itu tidak menyenangi kedatangannya. Malah Suppamah tidak membenarkan ‘Aku’ masuk. Dia merenung tajam penuh benci melalui celah daun pintu sambil bertanya apakah ‘Aku’ seorang detektif dan apakah ‘Aku’ sedang cuba membuktikan bahawa Periasammi tidak bersalah.

            Apabila ‘Aku’ mengatakan bahawa dia memerlukan bantuan Suppamah untuk membuktikan Periasammi tidak bersalah, wanita itu enggan bekerjasama. “Jangan harap!” katanya sambil memberi alasan bahawa dia ada dua anak kecil untuk dijaga. Dia merasakan bahawa tindakannya cuba membantu ‘Aku’ dalam usaha membela Periasammi pasti akan membahayakan nyawa anak-anaknya. Walaupun Suppamah menjalankan kerja terkutuk, dia tetap menyayangi anak-anaknya serta mahu melindungi mereka.

            Seterusnya, apabila ‘Aku’ mengatakan bahawa Periasammi memberitahunya Suppamah yang mendera Sinnapayya, wanita itu terus menutup pintu. Kemudian, sambil menangis, wanita itu mengatakan bahawa Periasammi menipu; sebaliknya lelaki itulah yang sebenarnya mendera Sinnapayya dan lelaki itu juga yang meninggalkan bayi itu di tandas hospital. Suppamah juga merayu agar ‘Aku’ tidak mengganggunya lagi. ‘Aku’ pasti bahawa ada sesuatu yang membuatkan Suppamah takut untuk mendedahkan hal sebenar.

            Sementara itu, Zulfikar Nader Ali, peguam bela Periasammi yakin bahawa Suppamah berdusta. Emak Periasammi pula mengatakan bahawa Suppamah menganiaya Periasammi yang tidak bersalah.

            Mak Kiah, jiran Suppamah pula sudah lama mengenali wanita itu. Namun Mak Kiah tidak tahu Suppamah pelacur. Kalau dia tahu, kata Mak Kiah, dia tentu menjauhkan diri sejak awal lagi. Apabila para jiran langsung tidak sedar pekerjaan Suppamah, ini menunjukkan bahawa tindakan Suppamah sangat licik. Dia mampu merahsiakan aktivitinya. Dia juga tidak berasa malu dengan apa yang dilakukannya. Malah dia sanggup melahirkan dan menjaga dua orang anak; walaupun tidak diketahui siapa bapa kepada anak-anak itu.

            Apabila Mak Kiah bertanya kepada Suppamah kenapa dagu, mata dan mulut Sinnapayya pecah, dia terdiam. Apabila didesak, dia mengatakan bahawa Periasammi yang melakukannya. Suppamah berjaya meyakinkan sepenuhnya Mak Kiah bahawa Periasammilah yang mendera Sinnapayya sehingga mati.

Tetapi sebenarnya Suppamah ternyata menipu. Demi kasih sayang terhadap anak-anak dan dalam usaha menjamin keselamatan anak-anak, Suppamah telah menipu seperti yang diarahkan oleh Alex @ ‘Misai’.

Sebelum itu, apabila ‘Aku’ bertemu Periasammi bagi kali kedua, lelaki itu mengaku bahawa Suppamah tidak mendera Sinnapayya. Sebaliknya wanita itu sayangkan budak berkenaan. Periasammi mendedahkan bahawa dia menuduh Suppamah sebagai pendera kerana marah apabila wanita itu menjadi saksi kepada pihak pendakwaraya.

Sebenarnya Suppamah telah menipu kerana takut diancam oleh Alex, si bapa ayam yang menguasai sarang pelacuran. Apabila Suppamah dan Periasammi membawa Sinnapayya yang cedera ke hospital, Alex telah menemui Suppamah. Dia mengarahkan Suppamah supaya meninggalkan budak kecil itu di dalam tandas hospital kerana takut rahsia tentang aktiviti pelacuran yang dijalankannya akan terbongkar. Suppamah terpaksa akur kerana Alex mengugut akan mencederakan anak-anaknya, Jayanthi dan Ramesh.

Ternyata Suppamah seorang wanita yang menyayangi kanak-kanak. Malah hakikat itu dijadikan senjata oleh Alex untuk melacurkan Suppamah. Jika wanita itu enggan menurut arahan Alex, dia mengugut akan mencederakan Jayanthi, Ramesh dan Sinnapayya. Alex juga sanggup membunuh mana-mana pelacur yang cuba lari dari sarang pelacuran yang diusahakannya; apatah lagi jika mereka cuba membongkar rahsia kepada pihak berkuasa.

Jadi Suppamah merupakan imej seorang wanita kaum India yang terjebak dalam kancah pelacuran secara paksa. Dunianya penuh dengan dosa dan noda. Namun begitu, Suppamah bukan seorang pelacur yang tidak berperikemanusiaan. Dia tetap memiliki perasaan keibuan dan kasih sayang. Malah itulah yang dijadikan senjata oleh Alex untuk memaksa Suppamah mengikut telunjuknya

Demi keselamatan anak-anak dan orang yang disayangi, Suppamah sanggup melakukan apa sahaja; khususnya menipu dan memusnahkan diri sendiri. Dia terpenjara dalam sarang pelacuran yang tidak ada jalan keluar – kecuali maut.

Theivanai

Watak Theivanai dalam cerpen “Kandasami” ialah imej wanita kaum India yang lahir di Tanah Melayu dan ingin mengidentitikan diri sebagai warga Tanah Melayu walaupun negara belum merdeka pada waktu itu; tahun 1950.

            Walaupun Theivanai tidak berpelajaran dan hidupnya hanya dikelilingi manusia yang juga tidak berpendidikan, dia tetap memiliki fikiran yang tajam dan terkedepan. Misalnya, Theivanai mengatakan bahawa tidak pernah ada keinginan di hatinya untuk kembali ke India. Walaupun Kandasami memutuskan untuk pulang ke Tamil Nadu, Theivanai tetap berpendirian tegas dengan keputusannya untuk kekal di Tanah Melayu; walaupun keputusan itu bermakna dia akan ditinggalkan oleh Kandasami.

            Theivanai juga mampu bersuara untuk menyedarkan suaminya tentang tindakan yang sedang diambilnya. Misalnya wanita itu mempersoalkan apa akan berlaku kepada perjuangan Kandasami dalam parti (MIC) jika dia sudah memutuskan untuk pulang ke India. Theivanai mengungkitkan sikap hipokrit Kandasami secara yang penuh halus sehingga Theivanai tidak nampak seperti seorang isteri yang melawan suami.

            Theivanai menampilkan beberapa sikap positif yang mengangkat imej wanita kaum India. Walaupun tidak berpelajaran, fikirannya tajam. Dia memiliki semangat cintakan negara walaupun pada waktu itu (1950) dia belum menjadi warganegara sah di sebuah negara merdeka; sedangkan pada masa yang sama India yang sudah merdeka sanggup menerimanya.

Vasanthi

Watak Vasanthi dalam cerpen “Cerpenis” sudah berminat menulis cerpen sejak sewaktu berada di bangku sekolah. Hasil karyanya sering tersiar dalam beberapa akhbar Tamil. Perkembangan ini menaikkan semangat Vasanthi untuk terus aktif menulis. Malah kekasihnya, Prakash juga pada mulanya memberikan sokongan dan galakkan. Prakash sering memuji-muji usaha dan hasil karya Vasanthi. Katanya, gadis itu layak menerima anugerah tertinggi dalam bidang penulisan.

            Selepas Prakash dan Vasanthi baru sahaja melangsungkan perkahwinan, Prakash masih tidak menghalang keterlibatan Vasanthi dalam penulisan cerpen berbahasa Tamil. Tanda-tanda itu hanya timbul beberapa bulan kemudian. Prakash mempersoalkan, kalau Vasanthi asyik berkarya siapa yang akan menjaga kebajikan dirinya; siapa yang akan memasak dan mengemas rumah.

            Walau bagaimanapun Prakash sedar bahawa isterinya sedang mengandung. Demi menjaga hati Vasanthi yang mengandungkan anak sulung mereka, Prakash tidak terlalu mendesak Vasanthi menghentikan aktiviti menulis cerpen. Dengan itu, sepanjang sembilan bulan seterusnya, Vasanthi babas berkarya.

Selepas melahirkan anak sulung, wanita itu terlalu sibuk sehingga tidak sempat menulis. Hampir setahun kemudian, Vasanthi cuba meluangkan masa untuk kembali menulis. Malangnya Prakash tiak mengizinkan. Katanya, dia tidak mahu Vasanthi hanyut dalam dunia khayalan. Vasanthi cuba menjelaskan bahawa bidang penulisan sudah sebati dengan jiwanya. Dia berasa tidak selesa jika tidak menulis. Tambahan pula, melalui aktiviti penulisan itulah Vasanthi mahu membimbing golongan pembaca, khususnya wanita.

Sebaliknya Prakash dengan lancang menuduh Vasanthi mahu terkenal di kalangan pembaca lelaki. Vasanthi benar-benar tidak faham mengapa Prakash menghalang keterlibatannya dalam bidang penulisan. Dia mula tertanya-tanya apakah mungkin Prakash takut dia akan mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan seorang ibu; atau adakah Prakash sebenarnya cemburu buta. Vasanthi tidak tahu apa punca yang sebenar.

Namun begitu, Vasanti masih berusaha mendapatkan izin suami untuk menulis cerpen. Dia cuba meminta izin dengan manja. Namun begitu, Prakash masih tidak berlembut. Dia meminta supaya Vasanthi tidak membazir masa dengan menulis. Dia meminta Vasanthi menganggap keterlibatan dalam bidang penulisan sebagai suatu kenangan masa lalu. Alasan yang diberikan adalah bahawa Vasanthi bukan lagi anak dara. Vasanthi diminta menerima hakikat bahawa dia kini sudah bergelar isteri dan ibu kepada seorang anak. Pada pendapat Prakash, ini sekaligus bermakna bahawa zaman Vasanthi menulis sudah berakhir.

Dengan tegas Vasanthi cuba membela diri. Dia cuba menyedarkan Prakash bahawa masih ada penulis wanita yang terus aktif menghasilkan cerpen-cerpen bermutu selepas berumah tangga; misalnya Saroja Theavy yang tetap aktif dalam penulisan cerpen berbahasa Malaysia selepas bergelar isteri dan ibu. Prakash pula menjawab pedas: “Itu orang lain. Ini kau. Kau isteri aku. Kau kena ikut cakap aku!”

Vasanthi sangat kecewa mendengar jawapan itu. Selepas Prakash pergi kerja, Vasanthi menangis semahu-mahunya. Dia sedar bahawa dia tersepit antara ketaatan terhadap suami dan minat terhadap penulisan.

Pada waktu itu datang kakaknya, Mallathi. Lalu Vasanthi menceritakan apa yang telah terjadi. Vasanthi sendiri mengatakan dia hairan mengapa Prakash yang pada suatu masa dahulu memuji karyanya dan memberikannya galakkan kini berubah sikap.

Mallathi mengatakan mungkin Prakash terasa cemburu jika ramai peminat lelaki mula menghubungi Vasanthi setelah membaca karya-karyanya. Vasanthi segera membidas dengan mengatakan bahawa pembaca seharusnya menghargai karya; bukan memuji penulisnya semata-mata.

Seterusnya Mallathi mengungkitkan kemungkinan Prakash risau Vasanthi terlalu leka menulis sehingga mengabaikan kerja-kerja rumah. Apatah lagi jika sampai tidak sempat melayan kehendak golongan suami yang disifatkan oleh Mallathi sebagai “memang mahu sentiasa diberi layanan”. Vasanthi mengakui kemungkinan bahawa Prakash bimbang dia tidak akan menerima layanan penuh akibat kesibukan dan kelekaan Vasanthi berkarya. Tetapi Vasanthi mengeluh kerana Prakash tidak pernah berterus-terang kepadanya.

Mallathi juga mencadangkan satu lagi alternatif kepada Vasanthi yang memang bertekad untuk terus menulis. Katanya, biarlah Vasanthi menyiarkan hasil-hasil karya menggunakan nama samaran. Cadangan itu membuatkan Vasanthi terdiam seketika. Dia mula memikirkan kata-kata kakaknya secara teliti dan mendalam.  Vasanthi sedar bahawa itu merupakan suatu cadangan yang baik untuk membolehkan dia meneruskan minatnya tanpa pengetahuan suami. Vasanthi boleh menggunakan masa terluang untuk berkarya dan mengirimkannya kepada penerbitan tanpa pengetahuan Prakash.

Namun begitu, Vasanthi juga tidak lupa untuk memikirkan apa akan terjadi jika Prakash ditakdirkan mengetahui hal sebenar. Memikirkan segala kemungkinan yang boleh terjadi, Vasanthi menjadi semakin runsing. Dia sudah nekad untuk meneruskan keterlibatannya dalam bidang penulisan cerpen berbahasa Tamil. Bagi Vasanthi, itulah salah satu cara untuk dia berusaha mengubah fikiran rakyat; untuk dia mengemukakan persoalan-persoalan baru untuk difikirkan oleh para pembaca.

Pada masa yang sama, Vasanthi memutuskan bahawa dia tidak mahu menipu suaminya. Sebaliknya dia mahu menjadi cerpenis dengan izin suami. Vasanthi mahu supaya Prakash memperakui minatnya dalam bidang penulisan. Malah dia mahu Prakash menghormati minatnya. Akhirnya Vasanthi mengambil keputusan untuk bukan menulis tanpa pengetahuan Prakash. Sebaliknya dia dengan nekad memutuskan untuk berbincang secara mendalam dengan suaminya. Vasanthi akan memastikan bahawa Prakash memahami dirinya serta minatnya dalam penulisan. Malah Vasanthi yakin bahawa dia akan dapat terus menulis dengan sokongan moral daripada Prakash.

Yasoda

Watak Yasoda dalam “Sebuah Cerita Biasa” adalah imej stereotaip watak kakak ipar yang jahat dan cuba memfitnah adik iparnya sebagai pencuri. Hal ini tidak menghairankan kerana cerpen ini memparodikan sebuah cerita rakyat masyarakat India.

            Yasoda digambarkan sebagai wanita yang memiliki segala macam sikap buruk. Misalnya apabila suaminya, Rajoo membawa pulang seekor burung nuri (‘Aku’) dua bulan terdahulu, dia tidak berkata “Elok dilepaskan bebas burung tu” atau “Betapa cantiknya burung nuri ini!” tetapi hanya berkata “Elok dijual semula sahaja binatang tu, bang.” Insiden ini menggambarkan betapa Yasoda tidak mempunyai perasaan kasih sayang.

            Malah reaksi yang hampir sama diberikan apabila Rajoo membawa Kannama (emak) dan Karpagam (adik) untuk tinggal bersama mereka di bandar. Tanpa perasaan kemanusiaan, Yasoda hanya berkata “elok dibiarkan sahaja mereka tinggal di kampung tu, bang.” Wanita itu cuba mempengaruhi suaminya tetapi gagal. Jadi, kegagalan itu mungkin menjadi punca Yasoda cuba memfitnah Karpagam; seperti komen Rajoo: “Jangan-jangan awak sengaja mahu menuduh emak dan adik saya, tak? Awak nak cuba halau mereka dari rumah ini.”

            Kemudian, semasa semua orang sedang sibuk mencari wang yang hilang di dalam bilik tidur Rajoo dan Yasoda, wanita itu secara senyap-senyap masuk ke bilik tidur Karpagam dan meletakkan sesuatu di bawah bantal Karpagam. ‘Aku’ percaya Yasoda berbuat demikian untuk mengenakan Karpagam. Jika benar, sahlah Yasoda seorang wanita yang bersikap buruk dan terkutuk. Namun begitu, cerpen ini tidak memberikan sebarang kesimpulan yang jitu.

            

Hasil analisis ke atas watak-watak tersebut menunjukkan imej yang pelbagai. Ada watak yang kuat dan ada watak yang lemah dari segi imej yang dipaparkan. Ada watak yang stereotaip dan ada watak yang segar-baru-asli dari aspek watak dan perwatakan. Ada watak yang menggambarkan imej wanita kaum India dalam dunia realiti objektif dan ada juga watak yang menampilkan dunia realiti teks.

Namun begitu, secara keseluruhan, kesemua 22 watak dalam 14 cerpen yang diteliti menampilkan imej wanita kaum India yang pelbagai ragam. Penampilan imej yang pelbagai ini secara tidak langsung menggambarkan imej wanita kaum India yang juga pelbagai ragam dalam realiti objektif masyarakat India di Malaysia.

 

 ____________________

Sedutan tulisan ini disiarkan dalam Dewan Sastera, Ogos 1998. Maklumat yang dipaparkan di halaman ini adalah petikan Bab Tiga tesis bertajuk "Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia" (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998) oleh Uthaya Sankar SB. Baca sinopsis cerpen di sini.

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!

[1]             Krishanan Maniam, Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (KL: DBP, 1993), hlm. 273.

[2]             Krishanan Maniam, op. cit., hlm. 273-274.

[3]           Uthaya Sankar SB, “Ciri-ciri Seorang Sasterawan”, Dakwah, Februari 1996, hlm. 56.

[4]           Hashim Awang, Teman Pelajar Kesusasteraan (Fajar Bakti: 1985), hlm. 17-18.

[5]           Uthaya Sankar SB, “(2) Post-mortem” dalam Othman Puteh (ed.) Angin Pagi, (KL: Fajar Bakti, 1994), hlm. 130-141.

[6]             Rajendran Rengasamy, “Cabaran Hidup” dalam Menara (KL: DBP, 1988), hlm. 63-68.

[7]           Uthaya Sankar SB, “Cerpenis”, Karya, Oktober 1997, hlm. 12-14.

[8]           Saroja Theavy Balakrishnan, “Dalam Perut Jerung Raksasa”, Dewan Sastera, Mei 1997, hlm. 34-37.

[9]           Uthaya Sankar SB, “Doa Tahun Baru” dalam Menara 6 (KL: DBP, 1995), hlm. 70-80.

[10]          M. Mahendran, “Dua Alam” dalam Kamariah Mohamed Ali (ed.), Tanpa Mengira Warna (KL: DBP, 1993), hlm. 99-109.

[11]          Uthaya Sankar SB, Orang Dimensi (KL: DBP, 1994), hlm. 1-5.

[12]          Ibid., hlm. 12-26.

[13]          Saroja Theavy Balakrishnan, “Hari Penentuan” dalam Kamariah Mohamed Ali (ed.), op cit., hlm. 31-39.

[14]          Uthaya Sankar SB, Siru Kambam (KL: DBP, 1996), hlm. 127-138.

[15]          Saroja Theavy Balakishnan, “Kandasami” dalam Menara 4 (KL: DBP, 1991), hlm. 1-14.

[16]          Uthaya Sankar SB, Siru Kambam, op. cit., hlm. 82-98.

[17]          Uthaya Sankar SB, “Sebuah Cerita Biasa” dalam Menara 6, op. cit., hlm. 89-95.

[18]          Uthaya Sankar SB, “Wanita” dalam Menara 6, op. cit., hlm. 81-88.