Nada-nada Islam dalam Sajak-sajak Joseph Selvam

Oleh: Raja  Rajeswari  Seetha Raman

          

           

Joseph Selvam merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan Bahasa Malaysia. Penyair kelahiran Melaka ini amat prolifik dalam bidang puisi pada sekitar dekad 70-an.

                  

(Lihat juga tulisan lain oleh Raja Rajeswari di SINI.)

 

Malah beliau merupakan penyair kaum India yang julung sekali menghasilkan puisi dalam Bahasa Malaysia serta berjaya mencipta nama yang teguh dalam dunia puisi. Antara nama pena yang sering digunakan oleh beliau ialah Yusuf S. dan Elili.

 

Pembabitan Joseph Selvam dalam persada puisi tanah air bermula pada tahun 1965. Di samping menghasilkan puisi, sajak, dan cerpen dalam Bahasa Malaysia, beliau juga sering menulis rencana, esei serta mengalihbahasakan puisi dan cerpen dari Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia.

 

Antara sajak perseorangan beliau yang telah dibukukan ialah Nadi Perpaduan, Merintis Jalan Ke Bahagia, Dalam Perjuangan, Dalam Sinar Matamu, Suara, Penerimaan , Sajak-Sajak Kecil, Pertemuan, Linangan Rasa di Tanjung Bidara dan Perhimpunan.

 

Sajak-sajak beliau juga termuat dalam antologi bersama penulis lain. Antaranya ialah “Lagu Sepi”,Riak Di Pinggir Rasa”,Mencari dalam Mengerti”, “Dari Musim ke Musim” dan “Gema Membelah Gema IV”. Sajak-sajak Joseph Selvam sering memenuhi dada majalah  Balai Muhibbah pada dekad 70-an (iaitu selepas istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan – ed.)

 

Joseph  Selvam bukan sahaja arif dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan boleh membaca dan menulis tulisan Jawi dengan baik, malah beliau juga seorang penyair yang berpandangan jauh dan berfikiran terbuka. Sikap serta pemikiran beliau terpancar dalam semua karya kreatif  yang dihasilkan oleh beliau.           

 

Daripada  tema-tema yang bersifat universal, Joseph Selvam mula menjurus kepada tema keagamaan khususnya agama Islam di sekitar lewat tahun 70-an.

 

Membaca & menulis tulisan  jawi

 

Pergaulan beliau yang akrab dengan masyarakat Melayu serta kebolehan beliau membaca dan menulis tulisan Jawi membolehkan beliau menjiwai serta menghayati agama Islam serta  menghasilkan sajak-sajak yang berunsur keagamaan khususnya agama Islam dengan cukup  berkesan.

 

Malah  Joseph Selvam merupakan penyair Bukan Melayu yang pertama  yang telah menyentuh tentang tema agama Islam dalam sajak-sajak beliau.

 

Kumpulan sajak perseorangan beliau yang berjudul Penerimaan membuktikan  kejayaan beliau mengungkap tema agama Islam. Sajak-sajak yang termuat dalam kumpulan sajak perseorangan ini merakamkan pengalaman peribadi penyair dalam pengembaraan mencari Allah (s.w.t)

 

Segala rakaman perasaan, pengalaman lahiriah dan batin yang dialami oleh penyair dalam pengembaraan mencari-Nya dirakamkan dengan begitu efektif sekali sehingga sukar untuk audien mempercayai bahawa kuntum-kuntum puisi tersebut dihasilkan oleh seorang penyair yang bukan beragama Islam.

 

Di sinilah letaknya kejayaan serta kelebihan Joseph Selvam berbanding penyair kaum India yang lain yang hanya mampu untuk mengangkat tema dan persoalan dalam lingkungan budaya masyarakatnya sahaja.

 

Kesemua sepuluh sajak dalam kumpulan sajak  Penerimaan boleh ditafsir dari tiga aspek iaitu rakaman pengalaman peribadi penyair dalam pengembaraan mencari Ilahi, kemuliaan bulan Ramadhan dan Syawal serta kepentingan keimanan dalam diri insan.

 

Di sini, penulis akan mengulas lima sajak Joseph Selvam yang telah benar-benar menyentuh sanubari penulis.

 

Pengalaman Peribadi

 

Kelima-lima sajak tersebut merakamkan pengalaman peribadi Joseph Selvam dalam pengembaraan mencari-Nya iaitu tentang kekuasaan Ilahi yang akhirnya berakhir dengan penerimaan agama Islam setulus-tulusnya tanpa sebarang paksaan.

 

Kesemua ini dilukiskan dengan cukup meyakinkan dalam kumpulan sajak persendirian beliau yang berjudul  Penerimaan.

 

Pengembaraan mencari-Nya dimulakan dengan penuh keyakinan dan dengan semangat yang kental. Ketegasan sikap penyair terpancar dalam sajak berjudul  Permulaan dan Kesudahan” yang merupakan sajak pertama dalam antologi ini.      

            

PERMULAAN DAN KESUDAHAN

Kita mulakan sesuatu

Dengan mengucap

Bismillah

Kita  sudahkan sesuatu

Dengan mengucap

Alhamdulillah (hlm 1:Bait 1)

 

Sebagaimana hidup ini perlu diharungi dengan keimanan, keyakinan, dengan semangat yang kental serta sentiasa bersyukur kepada Ilahi,  beliau juga memulakan pengembaraan beliau mencari Ilahi dengan keyakinan bahawa impiannya akan tercapai. Ini ketara dalam sajak di atas.

 

Sewaktu beliau dalam proses pengembaraan mencari–Nya, tiba-tiba pada suatu hari beliau terdengar laungan suara Azan. Walaupun pada mulanya penyair berasa gementar mendengar suara Azan tetapi setelah menghayati setiap kata dengan  tenang dan teliti untuk seketika sahaja, beliau terasa seolah-olah ada kebenaran dalam kata-kata tersebut kerana seluruh jasad serta jiwa beliau menjadi suci murni dan dada beliau menjadi lapang setelah mendengar dan menghayati suara azan tersebut.

 

Pengalaman peribadi antara penyair dan suara azan itu telah menyedarkan beliau tentang kekuasaan Ilahi. Beliau mula yakin dengan ajaran agama Islam itu sendiri dan telah membuat keputusan untuk menerima sebulat hati ajaran agama Islam. Segala pengalaman peribadi beliau ketika mendengar laungan azan itu dirakamkan dengan jujur sekali dalam sajak berjudul  Azan dan Aku”.

 

AZAN DAN AKU

Bergemalah azan di udara

Gementar diriku terasa

Tiba-tiba berhentilah seketika

Melupakan  segala kerja  (hlm.2 bait 2)

 

Kudengar panggilan-Nya

Dan merenung sebentar sahaja

Cahaya  kebesaran meresap ke dada

Jiwaraga bermandi cahaya

Kurasa pembersihan diri

Kurasa pembersihan jiwa

Kurasa kebesaran-Nya

Aku ketahui jalan sempurna

Aku ketahui jalan sebenarnya

Kusujud  ke arah kaabah-Nya ( hlm.2 bait 3)

 

Damailah

Damailah

Debaran dada ( hlm. 2 bait 4)

 

 

Menunaikan solat

 

Ketenangan yang diperoleh selepas mendengar suara azan itu telah mendorong penyair untuk menunaikan solat.

 

Terbukti selepas menunaikan solat, segala kemusykilan yang bersarang dalam minda dan sanubari penyair selama ini terjawab .

 

Terbukti ada mukjizat  di sebalik suara azan tersebut kerana suara azan itu menghindarkan manusia khususnya diri penyair daripada melakukan kemungkaran dan keburukan serta mendorong penyair ke jalan yang benar yang diredhai Allah (s.w.t.).

 

Segala perasaan serta pengalaman beliau itu dirakamkan dengan cukup meyakinkan dalam sajak berjudul  “Suara”.

 

SUARA

Bergegarlah  istana syaitan munkar

Lenyaplah nafsu membawa sesatan

Mendengar lidah mula berucap

Lailaha illallah  

Muhammadar Rasulullah (hlm. 3 bait 3)

 

Aku melaung

Ke arah rumahNya

Suaraku:

Suara kepercayaan benar-benar pada-Nya

Allahummakhtim bisaadati ajalina

Memandu ke jalan benar ( hlm 3. bait 4)

 

Kedua-dua bait di atas membuktikan kepada kita bahawa kini penyair yakin pada suara azan  dan mempercayai kewujudan-Nya  kerana azan memandu beliau ke jalan yang benar.

 

Jelaslah, suara azan boleh menghindarkan manusia daripada melakukan kejahatan. Justeru, penyair semakin yakin dengan suara azan .

 

Setelah menunaikan solat, beliau akhirnya menemui-Nya  yang sekian lama dicari. Penemuan dalam pengembaraan mencari Ilahi dirakamkan dengan penuh efektif dalam sajak berjudul “Ku Temui Kau”.

 

KU TEMUI KAU

Ku cari  Kau

Di tebing sungai

Di taman bunga

Di lereng gunung

Di hutan rimba (hlm.5 bait 2)

 

Kucari  Kau

Di senyuman bunga

Di pemandangan indah

Di lautan bait-bait puisi

Di siulan unggas-unggas murni

 

Pada suatu senja

Ketika aku duduk kesepian

Suatu suara dalam hembusan bayu

Membuka rahsia

Dan aku mula mengenal Kau

Dan dengan tiba-tiba

Kurasa terlalu dekat dengan Kau

Dekat dalam hati nuraniku ( hlm. 5 bait 5)

 

Dengan rasa bahagia

Melimpah setiap ruang jiwa

Kusebut nama Kau sampai ke urat nadi

Dengan denyut ghairah meresap

Kusujud ke arah Mekah

Menyembah Kau (hlm. 5 bait 6 )

 

Sajak di atas merakamkan pengalaman  peribadi penyair dalam proses mencari Ilahi. Sebelum ini, penyair mencari Ilahi di merata-rata tempat tetapi tidak juga ditemui.

 

Pada suatu petang, ketika mendengar suara azan berkumandang di udara, dan selepas meneliti setiap kata timbul semacam kesedaran dan keyakinan dalam diri penyair untuk menunaikan solat .Terbukti penyair dapat merasai kebesaran serta kekuasaan Ilahi hanya selepas menunaikan solat.

 

Segala rakaman rasa gembira penyair setelah menemui–Nya yang sekian lama dicari digambarkan dengan cukup berkesan dalam sajak di atas.

 

 

Sebelum & selepas  menemui Ilahi

 

Akhirnya selepas menemui-Nya, penyair membandingkan keadaan dirinya sebelum dan selepas menemui Ilahi.

 

Sebelum penyair menemui-Nya hidup beliau bagaikan bangkai bernyawa tanpa hala tuju dan beliau hidup dalam keadaan daif dan sesat. Timbul rasa kesal dalam diri penyair kerana mengambil masa yang begitu lama untuk mengetahui hakikat tentang kewujudan Ilahi.

 

Penyair juga berasa kesal kerana tidak mengambil inisiatif untuk sedar akan hakikat ini sejak mula lagi. Ini merupakan teladan kepada insan lain agar tidak bersikap sedemikian. Segala rasa kesal digambarkan secara jujur dalam sajak berjudul “TuhanKu”.

 

TUHANKU

Sebelum bibirku mengucap nama-Mu

Aku adalah bisu!

Sebelum  telingaku mendengar bisik- Mu

Aku adalah pekak!         

Sebelum kakiku mencari  rumah-Mu

Aku adalah kudung! (hlm.12 bait 1)

 

Sebelum mataku melihat kebesaran- Mu

Aku adalah buta!

Sebelum aku menyintai-Mu

Aku adalah bangkai bernyawa!

Oh Tuhanku

Betapa aku tidak mengenali-Mu

Begitu lama dalam hidupku!

Betapa aku tidak menerima-Mu

Begitu lama di jantung hatiku!

Betapa aku tidak memuja-Mu

Begitu lama di setiap ruang jiwaku!

Betapa aku tidak menyintai-Mu

Dengan mata batinku!

Betapa aku tidak menyembah- Mu

Tuhan yang satu

Pada seluruh insan

Sujud di kaki ke arah Mekah

 

Demikianlah lima sajak oleh Joseph Selvam yang menggambarkan pengalaman  peribadi beliau dalam pengembaraan mencari Ilahi.

 

Setiap peristiwa yang dialami oleh penyair digambarkan dengan begitu meyakinkan sekali dalam kumpulan sajak persendirian beliau yang berjudul Penerimaan.

 

Malah judul sajak itu sendiri membuktikan bahawa penyair telah menerima ajaran agama Islam dengan sebulat hati. Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh penyair Joseph Selvam secara tersirat kepada para audien.

         

          

AL  ISLAM, September 2002

Kavya, september 2002

Send your FEEDBACK