Keturunan, Kaum dan Bangsa

 

 

Sejak dahulu, kalau saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan–Malayalam, kaum–India, bangsa–Malaysia. Tambahan, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malabari).

 

Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kepada kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa–India.

 

Lalu saya bertanya; bagaimana dengan ‘kaum’? Katanya, ‘kaum’, ‘keturunan’ dan ‘bangsa’ sama sahaja. Saya perlu mengisi ‘India’ sahaja bagi ketiga-tiganya.

 

Mengikut definisi dalam kamus, ‘bangsa’ adalah ‘kumpulan manusia yang sama asal usulnya serta serupa sifat-sifatnya’ atau ‘kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara’.

 

Kaum’ pula didefinisikan sebagai ‘golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa’.

 

Jadi, frasa ‘bangsa India’ sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India.

 

Saya kemukakan contoh bagi membezakan ‘kaum’ dan ‘bangsa’. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari negeri Selangor dan C dari negeri Sabah. Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat ‘kenegerian’, kita faham apa yang dimaksudkan.

 

Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat ‘kedaerahan’. Kita faham apa yang dimaksudkan.

 

Sekarang kita teliti pula konvensi di negara kita terhadap definisi ‘bangsa’ yang disamakan dengan ‘kaum’. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India.

 

Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila kita katakan G, H dan I memiliki sifat ‘kebangsaan’? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia atau pun masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan?

     

Check this out: Malays, Chinese and Indians in Malaya before 1930

 

Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat ‘perkauman’ (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat ‘kebangsaan’ iaitu semangat ‘keMalaysiaan’.

 

Jika ‘kaum’ dan ‘bangsa’ dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa ‘lagu kebangsaan’, ‘bahasa kebangsaan’, ‘budaya kebangsaan’ dan seumpamanya!

 

Contoh-contoh di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila ‘bangsa’ dan ‘kaum’ dianggap sama dan serupa daripada aspek makna dalaman.

 

Sementara itu, saya akan tetap mengisi borang-borang rasmi dengan data yang sama: keturunan–Malayalam, kaum–India, bangsa–Malaysia.

 

 

Uthaya Sankar SB

Pelita Bahasa, September 1998

Risalah Online ArahKiri - Disember 2002

 

Surat Berita - Kavya - Newsletter

Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia!