Pedas
SIAP?
Belum.
Bila
lagi?
Ada
masa lagi ...
Eh!
Tinggal sejam sahaja untuk kau hantar cerpen.
Biarlah.
Kau bukan tak tau sikap Si Zaharan tu. Macam pasir di pantai; sentiasa
berubah.
Maksud
kau?
Ya
lah. Kalau aku dah siapkan cerpen minggu lalu, tidak
mustahil dia akan berubah fikiran. Dia akan kata, dia mahukan
cerpen yang begini, yang begini. Tak daya aku nak buat semula.
Kau
anti dia?
Buat
apa? Kalau anti orang yang senonoh, ada juga untungnya. Ini, Si Zaharan,
pensyarah 'serba tahu' yang mahu semua student
buat kerja mengikut tahap mentaliti dia. Kalau mentaliti
dia tinggi tak apa juga!
Jadi
kau tak nak buat cerpen yang disuruh?
Buat.
Bila?
Nampak
perakam kaset tu?
Eh!
Sedang merakam!
Ya,
aku sedang rakamkan perbualan kita. Nanti aku akan tulis semula untuk dihantar
kepada Si Zaharan.
Weh!
Mampus aku.
Jangan
risau. Aku tak sebut nama kau.
Jadi
... kau nak pakai situasi inilah untuk cerpen kau?
Ya.
Latar?
Sini juga? Macam mana kau nak gambarkan bilik kita ini?
Bagilah cantik-cantik sikit, ya.
No.
Cerpen aku tak akan huraikan latar.
Tapi
... kau kata pensyarah suruh rujuk pada buku, kan?
Ya.
Dia suruh tulis cerpen ikut format yang terdapat dalam buku How
To Write Short Stories yang dia sarankan. Tapi pada masa
yang sama, dia minta kami tulis cerpen yang
tidak terlalu
konvensional.
Tentu
sukar untuk kau.
Ya,
sebab aku dah mula teroka
bidang penulisan eksperimental. Tapi apa nak buat ... Si Zaharan tu
masih di takuk
lama. Mungkin bagi dia, buku yang disarankannya adalah sebuah
masterpiece! Aku dah baca
banyak lagi buku yang boleh membantu
penghasilan cerpen yang berciri sastera. Kalau aku bagi tau
Si Zaharan
pun bukannya bermanfaat. Dia tu bodoh sombong.
Eh!
Kau nak sebut semua ini dalam cerpen kau?
Ya
lah. Apa salahnya?
Nanti
disabotajnya kau!
Biarkan.
Aku tak akan hairan! Cuba kau bayangkan ... Si Zaharan
Abu Hassan tu pensyarah Kursus Latihan Kaki di Kolej Sains Sukan ini.
Tetapi dia
mengajar – atau lebih tepat lagi, memaksa – kami menulis cerpen.
Selama satu semester dia tak pernah buat apa-apa latihan yang berkaitan
dengan acara sukan.
Aduh!
Kau
tahu, apabila kursus kami bermula dulu, Si Zaharan
datang sebagai pensyarah kami. Terkejut juga aku apabila dia mula
menyoal para student tentang sastera.
Dan kau pun dapat menjawab dengan mudah, kukira.
Tidak
juga. Aku lebih banyak berdiam diri. Mungkin kerana terkejut! Rupa-rupanya
dia pensyarah sementara yang mengganti
pensyarah yang cuti belajar selama setahun. Pengetua benarkan Si
Zaharan ajar apa sahaja yang dia suka!
Tak ada yang bangkang?
Ada.
Tapi pengetua tak ambil tindakan. Zaharan diizinkan
mengajar apa sahaja. Tambahan, Zaharan anak
buahnya. Dan
nampaknya Zaharan minat menulis cerpen. Katanya, ada
beberapa
buah cerpennya tersiar di akhbar tabloid. Dihurainya satu per satu
tema-tema cerpennya yang rata-rata konvensional. Dia bercerita
seolah-olah karya-karyanya adalah karya agung!
Kau
sabar aje?
Terpaksa.
Lepas tu, dia bertanya pada kami sama ada kami
minat membaca karya sastera. Ramai yang menggeleng-geleng. Tiba
giliran aku, aku senaraikanlah karya-karya agung antarabangsa
yang telah aku baca berulang kali.
Wow! Reaksinya?
Merah
padam, you. Dia
tanya, “Awak betul-betul baca
pandai menyebut judulnya sahaja?”
Lalu aku terangkanlah isi
beberapa novel dan cerpen yang diakui
mutunya. Bengang Si
Zaharan! “Karya-karya Zaharan bin Abu Hassan pernah awak baca?”
tanyanya
lagi sambil tergelak bangga. Terus-terang aku jawab “Tidak”.
Huh!
Tentu tambah bengang pensyarah tu.
Agaknya dia mahu membuat promosi karya-karya klisenya di kalangan
kami. Malah, aku percaya, kalau salah seorang daripada pelajar
menciplak karyanya bagi tujuan esei ini, dia akan terasa bangga.
Eh!
Itu menyalahi etika penulisan.
Bukan
bagi Si Zaharan. Kau tahu, pada semester lalu, dia
minta kami tulis rencana ringkas tentang salah seorang Sasterawan
Negara. Kebetulan, Si Zaharan pernah menulis tentang Usman Awang
dalam salah sebuah akhbar tabloid berhaluan kiri. Course-mate
aku, Si Imran, menciplak rencana Zaharan. Kau tahu apa
yang berlaku?
Rencana Si Imran diumumkan sebagai yang terbaik.
Eh!
Pensyarah tak sedar rencana itu diciplak?
Tahu. Katanya, “Ini rencana yang memenuhi selera
saya. Nampaknya
Imran telah membaca rencana saya tentang Usman Awang dan
berjaya menulis mengikut gaya bahasa saya.” Bayangkan!
Teruk
betul nampaknya. Tapi dia tak tahukah yang kau ni
seorang penulis?
Petikan cerpen "Pedas" yang tersiar di Mingguan Watan pada 4 Ogos 1996 serta dikumpulkan dalam Surat Dari Madras (DBP: 1999)