Di Penjuru Hijau Istana Sastera
oleh saroja theavy balakrishnan


Semalam
di belakang rumah Mak Sum,
teratai putih mekar berkuntum-kumtum,
terapung damai di penjuru kolam,
menyiram semerbak harum,
menitis indah ke jiwa alam.


Hari ini
teratai-teratai putih telah mati,
kolam ditimbus, di situ sebuah kilang berdiri,
cuma dalam baris-barisku ini,
gemilang hidup teratai putih masih mewangi.


Sejujurnya, indah alam hijau di Tanah Hijau ini merupakan inspirasi yang sukar saya sangkal. Namun tidak benar jika saya katakan yang saya mula menulis kerana ingin membela nasib ribuan fauna dan flora yang mengisi jasad pertiwi. Bukan itu sebabnya saya kira, mengapa saya menulis pada mulanya, walaupun saya cenderung ke arah itu sekarang.

Secara semula jadi saya suka mendengar dan membaca cerita sejak kecil. Setelah membaca sekian banyak cereka yang ditulis oleh para penulis, timbul pula keinginan untuk menulis seperti yang ditulis-tulis oleh mereka. Melalui beberapa pertandingan di peringkat awal, terutamanya yang dianjurkan oleh DBP, kemenangan-kemenangan yang saya peroleh mula memberi keyakinan kepada diri saya.

Perlahan-lahan saya mula menulis. Bergerak lambat seperti siput seekor menyusur batu, dengan beban tugas sebagai seorang guru serta ibu muda dan anak-anak
keliling pinggang, saya menaip. Saya bersyukur kepada Yang Esa kerana tidak menarik diri daripada dunia penulisan walaupun perbagai aral yang menyandung
langkah saya. Atas limpah kurnia-Nya dan sokongan keluarga, serta teman-teman, saya telah dapat memanjat pohon kacang ajaib yang menjalar sampai ke istana
kesusasteraan. Di situ, di suatu penjuru, saya duduk mengarang. Sejujurnya, saya menyedari bahawa membaca dan menulis merupakan satu proses yang cukup
mengasyikkan. Yang mematangkan minda dan mendeburkan rasa simpati kepada yang lain.

Dalam dunia penulisan saya boleh menjadi siapa-siapa sahaja, merasai jiwa siapa-siapa-siapa sahaja, dan menentukan nasib watak-watak dalam alunan plot. Saya kira menulis dapat memberi kepuasan demi kepuasan, bertindan-tindan, tatkala menyiapkan sebuah karya salajur ke karya yang lain. Bagi diri saya, proses menulis cereka timbul apabila sesuatu insiden, perkara, perkataan, binatang, objek ataupun manusia mengesankan saya. Sesuatu yang telah memberi kesan mendalam itu akan datang, menampilkan diri bertubi-tubi sehingga saya menuliskan buah fikiran tentang perkara itu. 

Cerpen "Dalam Dunia Dinding-Dinding Dingin" (Dewan Masyarakat Julai 2001), saya tulis setelah terbaca tentang nasib perempuan di dalam penjara apabila
terpaksa berpisah dengan anak sendiri apabila anak itu mencapai usia dua tahun. Betapa remuknya hati seorang ibu yang menemui jalan buntu ketika di dalam tahanan,
membuat saya berfikir tentang masalah ini. Cereka ini tentang watak Mei Fong, seorang pengedar dadah yang dijatuhkan hukuman mati mandatori. Di dalam penjara,
setelah berpisah dengan anaknya, perempuan itu dihujani seribu penyesalan sehingga dia insaf, dan akhirnya dia memberitahu pihak polis maklumat penting
tentang sindiket pengedaran dadah yang pernah dianggotainya.

"Membina Piramid" (Mingguan Malaysia, 8 April 2001), merupakan cerpen tentang seorang manusia yang diobsesi dek wang ringgit. Betapa di dunia ini idea-idea
tentang wang menipu kita sehingga wang diutamakan berbanding dengan semua perkara lain. Saya pernah mengalami insiden ini banyak kali, apabila kawan lama
muncul tiba-tiba hanya kerana direct selling. Selama ini saya tidak wujud dalam kamus fikiran mereka, apatah mati atau hidupnya saya. Kemudian tiba-tiba
mereka hadir kerana wang, dan memaksa saya menjadi ahli. Apabila saya menolak, mereka merajuk lalu menghilang tanpa khabar berita lagi.

Kesan tersebut saya curahkan dalam cerpen, dan muncullah watak Seng Huat yang mengejar kawan-kawan atau sesiapa sahaja kerana tenggelam dalam dunia
perniagaan piramid. Piramid itu sendiri menjadi simbol kematian dalam konteks ini. Saya menyelitkan mesej bahawa sejauh mana manusia merancang, kematian akan
tetap datang tanpa setitis amaran. Akhirnya, Seng Huat tidak dapat menolong dirinya sendiri apabila ditimpa kemalangan.

Saya berbicara tentang akibat buruk kejuteraan genetik kepada umat manusia dalam cerpen "Kuak-kuak Di Batin"(Dewan Budaya, November 1999). Perlanggaran
tatacara sains asli alam, walaupun dengan alasan untuk kebaikan manusia, sebenarnya dalam jangka panjang membawa keburukan kepada manusia. Bukankah ini
aktiviti yang mengubah rencana Tuhan? Sejujurnya, memerhati perkembangan bidang ini, dan sekarang ini proses pengklonan manusia, mencetuskan kegerunan yang
amat. Dalam cerpen ini, Babalus merupakan manusia yang memiliki dua perasaan yang saling merebut jiwanya yang eka. Dia menjadi keliru kerana perasaan-perasaan
seekor lembu mengganggu-gugat kewujudannya sebagai manusia.

Manusia ini dilahirkan hasil bioteknologi genetik, yakni embrio manusia dibesarkan dalam telur lembu. Seronok juga berfikir sebagai Babalus, namun tujuan
saya adalah supaya manusia-manusia sepertinya tidak dilahirkan di bumi ini hanya kerana keinginan eksperimen sains. Biarlah Tuhan seorang yang mengekalkan kuasa mencipta, bukan manusia yang ingin berwatak sebagai Tuhan.

"Seorang Bidadari di Trafalgar Square" (Berita Mingguan, 8 Oktober 2001), ialah cerpen saya tentang keruntuhan nilai moral akibat kemodenan yang menimpa
umat manusia. Semasa saya ke London, saya berkenalan dengan seorang perempuan yang terlalu cantik tetapi terlalu hodoh perangainya daripada kaca mata saya.
Saya sedar kebanyakan orang-orang di sana tidak menggunakan ajaran sebarang agama sebagai kayu ukur. Sebaliknya, mereka berpegang kepada teori Darwin.
Hanya yang tua-tua (mungkin 20% sahaja) yang hendak mencari Tuhan. Dalam panas selimut fahaman sekular, mereka mengganggap kepercayaan kepada Tuhan adalah
satu perbuatan kolot. Lalu saya menuliskan cerpen yang agak mudah jalan cerita ini, agar kita di Tanah Hijau ini tidak menjadi begitu kerana kemodenan dan kekayaan
material yang datang melimpah.

Sejujurnya, sebagai guru saya banyak menyedari penghakisan nilai-nilai moral di kalangan anak-anak muda. Yang salah itu, sudah mula menjadi tidak salah dan yang betul itu sudah dilupakan pula. Walau berlainan agama dan bangsa, kita tetap bangsa Malaysia yang mementingkan budaya timur berdasarkan agama masing-masing, lalu bagaimanakah dapat kita mendirikan benteng untuk menghindar hukum hidup bebas yang liar menjalar? 

Saya kira pada tahap pemikiran saya (barangkali saya berubah lagi), cinta akan negara sinonim dengan cinta akan alam sekitar. Bukankah sungai dan laut, gunung
dan lurah, setiap fauna dan flora, bukan sahaja menjadi khazanah negara dan masyarakat, tetapi merupakan organ-organ yang membentuk Malaysia. Jika
perjuangan kita dulu adalah untuk menentang penjajahan, bagi saya perjuangan sekarang adalah untuk mempertahankan alam sekitar daripada kerakusan
manusia. Saya percaya kita perlu mencari jalan untuk hidup sebagai sebahagian daripada ekologi kita, yakni menjadi spesies yang harmoni dan bukannya pembinasa.
Saya tidak menolak pembangunan dan kemajuan dunia perniagaan, tetapi sesebuah organisasi perniagaan harus berdaya tahan.

Ini hanya dapat dilakukan sekiranya timbul kesedaran dan langkah-langkah yang wajar di kalangan semua pihak, terutama pihak kerajaan yang memiliki kuasa dan pihak swasta yang mempunyai wang dan teknologi. Dalam setiap keputusan untuk memajukan tamadun manusia, alam sekitar merupakan satu faktor vital yang harus
diambilkira selain keuntungan wang ringgit dan glamor hidup manusia. Inilah perjuangan yang dilakukan oleh watak Dr.Adnan dalam cerpen "Kilau Kemilau Kandil Hijau" yang memenangi tempat pertama dalam pertandingan Formula Malaysia.

Saya kira sudah sampai masanya, kita fikirkan tentang dominasi manusia di planet ini. Manusia harus mencari jalan agar mereka tidak mengerjakan alam sehingga
menyebabkan perbagai spesies pupus. Sungai dan laut telah menjadi tempat pelupusan paling mudah dewasa ini. Sekiranya, saya berjalan-jalan mencari
butir-butir pasir putih di pantai-pantai tertentu, yang sering saya temui ialah botol mineral, cawat plastik, dan macam-macam sisa manusia moden. Semua ini
amat menyedihkan saya. Saya menyesal kerana ada orang-orang yang tidak peduli tentang alam sekitar, sedangkan kepupusan alam ialah permulaan kepupusan
umat manusia. Bukankah begitu berakhirnya zaman kegemilangan dinosaur? (walaupun binatang mahabesar itu tidak merosakkan alam pada kadar yang dilakukan
oleh manusia).

Antara beberapa cerpen saya seperti "Di sepenjuru pantai Peru" (Mingguan Malaysia, 13 September 1998), "Pengantin Hitam" (Mingguan Malaysia, 9 April 2000) dan "Keinginan Kecil Di Celah Daun" (Dewan Sastera, Februari 2001), membawa tema alam sekitar secara langsung walau memiliki persoalan-persoalan lain secara tersirat.

"Di Sepenjuru Pantai Peru" merupakan kisah hidup seekor anak singa laut yang kehilangan ibu bapanya kerana pantai Punta San Juan di Peru mengalami keadaan iklim melampau (El-Nino). Kejadian ini benar-benar
berlaku. Pantai itu pernah menjadi syurga pembiakan perbagai spesies laut dan darat sebelum berubah menjadi pantai perkuburan kerana keadaan iklim
ekstrem. Peristiwa ini menyayatkan hati saya, lalu dalam dunia bayangan saya menyusur ke pantai itu, salajur menjadi singa laut seekor di celah batu. Singa
laut seekor dalam kelaparan dan kesejukan, di celah batu berlumut tanpa ibu di sisi, dikelilingi busuk bangkai-bangkai bergelimpangan, merupakan imej yang
mengikut saya walau ke mana saya pergi sehingga cerpen ini siap. Setelah siap imej yang datang samar-samar cuma.

Dalam cerpen "Pengantin Hitam", saya menjadi burung gagak yang hitam-lengam menanti kedatangan seekor kekasih. Entah kenapa saya tidak sampai hati melihat burung-burung gagak ditembak dengan kejam, sedangkan pada suatu masa dahulu burung-burung itu dibawa ke sini untuk memakan ulat di ladang-ladang kopi. Fenomena ini saya kaitkan dengan tabiat manusia moden
yang pakar membuang sampah-sarap yang tidak biodegradeble. Akibatnya, alam sekitar tercemar dan tempat pelupusan sampah menjadi komoditi yang sukar
dicaribaru. Di situlah, burung-burung gagak menjadi hero dan heroin yang membantu umat manusia menghapuskan sampah-sarap yang dibuang oleh penduduk
kotamega.
Hampir setiap pagi, saya membuang ulat-ulat yang memakan dedaun pokok kari di belakang rumah. Pada daun-daun itu saya sering ternampak telur seni
rama-rama yang melekat. Melihat kepompong. Si rama-rama yang menari-nari mencari tempat bertelur. Saya terkesan dengan kehidupan rama-rama, lalu membuat
rujukan lebih lanjut tentang spesies ini. Saya terpegun dengan tabiat hidup dan kecantikan spesies ini, sehingga membayangkan diri saya sebagai seekor
rama-rama yang cita-cita kecilnya senantiasa terbuai-buai dalam desur-desir angin.

Dalam cerpen "Keinginan Kecil di Celah Daun", saya mengungkap perjalanan hidup sebiji telur rama-rama sehingga dapat menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Malangnya keinginannya untuk mengawan tidak tercapai kerana si rama-rama jantan yang terbang kemari dari tempat yang jauh, hanya dengan menghidu molekul cinta
yang ditaburkan ke bumantara oleh rama-rama betina, telah mati dengan tiba-tiba. Si rama-rama jantan ghaib di celah-celah daun, barangkali dimakan oleh haiwan
lain. Saya tidak tahu mengapa rama-rama itu mati, tetapi si rama-rama betina terus menderita.
Seperti rama-rama, manusia juga nentiasa mencari perubahan dalam hidup, mengharapkan kemajuan diri sebagai sesuatu yang dapat memberi kebahagiaan. Lalu
saya dapati, saya juga lebih banyak hidup untuk esok daripada untuk hari ini. Lalu seperti si rama-rama saya mendamba metamorfosis, walhal saya sedar
perubahan baru itu juga, kelak tidak akan berkekalan, dan akhirnya ke kematian tujunya hidup ini.

Bagi saya, tiada banyak perbezaan antara kehendak naluri manusia dan si rama-rama yang mengalaminya secara semulajadi. Metamorfosis seolah-olah menjadi vital bagi manusia di tengah kemelut perubahan. Selain cerpen ini, saya telah menghasilkan sebuah cerpen bersiri untuk remaja. Cerpen "Di Celah-Celah Cinta Lepidoptera I dan II" (Dewan Kosmik,  Februari dan Mac 2001), menyelitkan cinta remaja dan cinta spesies lepidoptera. Tujuannya, untuk menyedarkan anak-anak muda supaya mengapresiasi hidupan di kelililing mereka.

Sejujurnya dalam tiga dekad yang lepas, lebih setengah daripada hutan asli di benua Asia sudah hilang. Satu pertiga daripada tanah-tanah pertaniannya telah
terhakis dan kurang sesuai digunakan. Sejujurnya alam kita sedang tenat. Kita tidak perlu menunding jari kepada Barat dan mengatakan bahawa mereka cemburu.
Sama ada mereka mencemburui kejayaan kita ataupun kekayaan kita, itu tidak penting kerana hakikatnya, yang kita bicara adalah tentang harimau kita, udara
kita, air kita, pohon kita, tanah kita, orang kita dan dunia kita. Kita perlu mengembleng usaha agar warisan nenek-moyang kita tidak hancur dalam rakus penyakit materialisme. 

Barangkali anda tertanya-tanya, mungkin saya keliru antara bicara sastera dengan bicara alam sekitar. Sejujurnya, sastera menobatkan rasa kemanusiaan dan sudah sampai masanya, rasa itu manusia ditunjukkan kepada spesies di sekelilingnya. Inilah yang saya lakukan, sebagai satu usaha yang sekecil-kecilnya daripada diri saya yang kerdil. Saya bukanlah environmentalist sehebat Juan Pablo Orrego di Chile ataupun Karam Singh Walia di TV3, atau sebarang aktivis alam sekitar yang lain. Sejujurnya, walaupun saya banyak berfikir tentang kehidupan fauna dan flora di dunia, cuma sedikit dapat saya titiskan dalam karya-karya sastera.

Sekian.

1  Oktober 2001, Shah Alam.

 

Kertas Kerja Saroja Theavy Balakrishnan pada Seminar Kesusasteraan Bandingan 2001 pada 6 Oktober 2001 di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Disiarkan dalam majalah Dewan Sastera (Januari 2003) dengan judul "Sastera Menobatkan Rasa Kemanusiaan".