Sengketa Pulau Cinta

Oleh: Uthaya Sankar SB

 

Sebetulnya kami sendiri tidak pernah ke sana. Sekadar mendengar melalui beberapa orang rakan sahaja. Jadi peluang keemasan serupa ini kami putuskan untuk tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja.

"Berbulan madu di Pulau Cinta?" tanyaku kepada abang iparku yang menawarkan pakej berkenaan sebagai hadiah perkahwinan kami.

"Ya. Kamu terus masuk kerja dua hari selepas tarikh perkahwinan sehingga tidak sempat berbulan madu. Jadi, nah! Ini peluang untuk kamu," katanya sebelum berbisik kepadaku: "Belum terlambat. Baru dua minggu berkahwin ... ."

Isteriku menerima sahaja hadiah daripada abangnya. Cuma dia mengingatkan aku agar tidak membawa bersama-sama kerja penulisanku sewaktu berbulan madu di Pulau Cinta.

"Dan jangan jadikan ini bahan bagi karya abang," katanya sambil memicit-micit tengkukku.

(Aku tidak pasti adakah dia benar-benar tidak mahu aku mengabadikan pengalaman kami di Pulau Cinta dalam bentuk karya atau dia sebenarnya sedang merangsangkan aku agar berbuat demikian!)

Perjalanan kami diatur penuh teliti oleh agensi tempat abang ipar aku bekerja. Dari halaman rumah kami di Klang, kami diterbangkan di dalam sebuah helikopter ke Pulau Kelang. Dari sana, kami belayar di dalam sebuah bot kecil menuju ke destinasi.

"Kau yakin abang kau tidak cuba mempermainkan kita?" tanyaku setelah beberapa minit kami berlayar tanpa menemui pulau yang kononnya terletak di antara Pulau Kelang dan Pulau Ketam.

Isteriku tidak menjawab sehinggalah kami sampai di pangkalan sebuah pulau. Dari sana, kami dijemput masuk ke dalam sebuah kereta Proton Satria berwarna kuning.

"Inilah Pulau Cinta," kata isteriku dengan penuh ceria; mungkin sebagai menjawab pertanyaanku semasa di dalam bot tadi.

Pulau ini tidak luas. Pangkalan tempat kami berlabuh tadi terletak di bahagian timur. Jauh ke barat kelihatan sebuah bukit. Di puncaknya sebuah istana.

"Istana!"

"Milik Ravana," pemandu kereta menerangkan.

Kami aku dan isteriku — berpandangan.

 

Petikan cerpen “Menyimpang” dalam kumpulan Siru Kambam (DBP, 1996&1997)