Pada pendapat saya, cerpen “Siru Kambatil” adalah cerpen terbaik dalam kumpulan cerpen Siru Kambam. Cerpen–cerpen dalam kumpulan cerpen Siru Kambam adalah hasil karya Uthaya Sankar SB. Sebab-sebab saya memilih cerpen ini akan saya terangkan sebentar lagi.
Sebelum itu, saya akan menceritakan sinopsis cerpen ini terlebih dahulu. Cerpen “Siru Kambatil” berlatarkan Siru Kambam di Taiping, Perak. Cerpen ini mengisahkan Senduram, seorang atheis yang menetap di Siru Kambam. Oleh sebab dia tidak percaya kepada Tuhan, dia selalu bertengkar dengan penduduk-penduduk Siru Kambam mengenai kepercayaan dan agama. Tetapi penduduk lain di Siru Kambam berpendapat bahawa mereka bertanggungjawab dalam membawa Senduram balik ke pangkal jalan.
Oleh kerana penduduk di Siru Kambam tidak dapat membuktikan kepada Senduram yang Tuhan betul-betul wujud, Senduram semakin merasakan bahawa kepercayaannya - iaitu Tuhan tidak wujud - itu betul. Dia juga berani mencabar penduduk Siru Kambam dengan mengatakan bahawa Tuhan tidak akan membunuhnya dengan alasan dia tidak percaya kepada Tuhan. Walau bagaimanapun tiada apa-apa yang berlaku dan Senduram ingin meluaskan ajarannya kepada semua anak-anak muda di kampung Siru Kambam.
Untuk menjadikan keinginannya suatu realiti, dia terpaksa membuatkan semua penduduk di Siru Kambam setuju dengan ajarannya. Jadi, dia mahu cuba menipu semua orang kampung dengan meminum racun yang sebenarnya madu lebah. Walau bagaimanapun, kuasa Tuhan akan ditunjukkan kepadanya apabila dia akhirnya mati dengan penuh misteri.
Terdapat banyak unsur-unsur sastera yang telah digunakan dalam cerpen ini. Antaranya ialah unsur didaktik, unsur hiburan, unsur imaginasi, unsur emosi dan unsur intelek.
1) Unsur Didaktik
Unsur didaktik ialah unsur moral atau pengajaran yang cuba disampaikan oleh penulis kepada pembaca melalui karyanya. Unsur moral ini disampaikan secara kreatif melalui watak, tema, persoalan dan jalan cerita karya itu; bukan secara langsung seperti dalam buku teks. Contoh unsur didaktik yang terdapat dalam cerpen ini ialah:
“Penduduk Siru Kambam harus memikul tanggungjawab untuk mengubah fikiran Senduram. Mungkin ini ialah ujian Tuhan ke atas penduduk Siru Kambam yang selama ini – walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama – hidup aman damai dengan penuh kepercayaan pada kuasa mutlak Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya.”
2) Unsur Hiburan
Unsur hiburan adalah apa sahaja bahan dalam teks sastera yang membuatkan pembaca berasa puas, gembira dan terhibur. Karya sastera juga boleh memberikan kita hiburan sama seperti menonton filem. Contoh unsur didaktik yang terdapat dalam cerpen ini ialah:
“Saya mula minum masa umur saya sebelas tahun. Samsu inilah kawan saya, isteri saya. Dia kasi saya segala-galanya. Senduram mencium botol yang sudah lama kosong.”
3) Unsur Imaginasi
Unsur imaginasi terbahagi kepada dua. Pertama ialah khayalan yang bukan-bukan dan tidak logik. Contohnya makhluk asing dan pari-pari. Seorang penulis boleh menghasilkan sebuah cerita rekaan dengan menggunakan daya imaginasi. Kedua ialah, keupayaan pengarang menggambarkan semula sesuatu peristiwa atau kisah dalam karya sehingga apabila pembaca membacanya, pembaca berkenaan boleh membayangkan peristiwa atau kisah itu hampir sama dengan apa yang cuba digambarkan oleh pengarang. Contoh unsur imaginasi yang telah digunakan oleh pengarang ialah:
“Sebelum meneruskan kata-katanya, Senduram membetulkan ikatan dothinya. Kemudian dia duduk di sebelah Stenly.”
4) Unsur Emosi
Unsur emosi atau unsur perasaan merupakan perbezaan ketara antara teks sastera dengan teks non-sastera. Semasa membaca sebuah cerpen, pembaca mungkin berasa gembira, sedih atau sebagainya. Ini adalah bukti untuk menunjukkan bahawa unsur emosi terdapat dalam karya sastera itu. . Contoh unsur emosi yang telah digunakan oleh pengarang ialah:
“Bhagavadgita,
al-Quran, Bible, Tao Te Ching, Lu Yu semuanya karut. Bahan untuk dibaca oleh
orang-orang yang tidak tahu menikmati alam kemabukan.”
5) Unsur Intelek
Unsur intelek atau unsur falsafah ialah apa sahaja unsur dalam karya sastera yang merangsang pemikiran pembaca. Contoh unsur intelek yang telah digunakan oleh pengarang dalam cerpen “Siru Kambatil” ialah:
“Ya, Senduram, bertaubatlah. Pilihlah mana-mana satu. Di negara kita ini kita bebas menentukan agama dan kepercayaan kita sendiri.”
Tema ialah persoalan utama, subjek atau pemikiran pengarang yang dikemukakan secara kreatif dalam karya. Sesebuah karya ditulis untuk menyampaikan suatu mesej, subjek atau idea untuk difahami dan dihayati pembaca. Satu cerita hanya boleh ada satu tema sahaja. Contoh-contoh tema adalah seperti persaudaraan, cinta, semangat nasionalisme dan sebagainya. Sesuatu tema juga boleh disebutkan dalam satu frasa seperti “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.”
Persoalan ialah tema-tema kecil yang menyokong dan membantu membawa tumpuan pembaca kepada tema cerpen. Contohnya seperti persoalan-persoalan yang terdapat pada sesuatu cerpen adalah cinta, setia dan kerajinan diri manakala tema cerpen itu mungkin ialah kemiskinan.
Dalam cerpen “Siru Kambatil” temanya ialah kepercayaan kepada Tuhan. Persoalan-persoalannya ialah semangat kejiranan, bertanggungjawab, penipuan dan angkuh.
Karya ini adalah sebuah karya konvensional. Ini adalah kerana ia hanya menggunakan sebuah tema biasa yang disampaikan dengan teknik biasa.
Watak ialah tokoh dalam sesebuah cerita. Ia adalah sama seperti pelakon dalam dunia perfileman. Watak boleh dilihat secara fizikal. Contohnya seperti nama, umur, tinggi, kaum, warna rambut, tempat tinggal dan sebagainya. Watak juga boleh dilihat melalui statusnya; contohnya seperti bisu, pekak, gagap dan sebagainya.
Perwatakan ialah perihal watak dalam cerita itu. Ia boleh dilihat secara objektif seperti sombong, mesra, pendendam dan pemalu. Perwatakan sesuatu watak itu boleh dilihat melalui pemikirannya, tingkah-lakunya, budaya, sikap, minat, hobi dan emosinya.
Dalam cerpen ini, saya memilih watak Senduram kerana dia adalah watak utama dalam cerpen ini. Senduram ialah seorang lelaki bujang berumur awal tiga puluhan. Dia datang ke Siru Kambam lebih kurang dua tahun terdahulu dengan menaiki sampan Awang Nan. Dia datang ke Siru Kambam seorang diri. Watak Senduram selalu berada di Siru Kambam dan jarang pergi ke bandar Taiping. Dia selalu memakai dothi. Dia suka minum samsu dan kalau dia berasa sangat gembira, dia suka meraikannya dengan minum samsu sepuas-puasnya. Dia telah mulai minum samsu pada usia muda iaitu sebelas tahun.
Dia ingin menyebarkan ajarannya kepada pemuda-pemuda di kampung Siru Kambam yang agak cetek dalam ajaran agama. Dia ingin menyebarkan ajarannya yang Tuhan tidak wujud. Kehendaknya ini ditentang oleh semua penduduk di Siru Kambam. Dia mencabar Tuhan untuk mencabut nyawanya kalau Tuhan betul-betul wujud. Untuk membuatkan penduduk di Siru Kambam setuju dengan kehendaknya itu, dia telah merancang sebuah penipuan di mana dia mencabar penduduk lain untuk meminum sebotol racun yang sebenarnya madu lebah. Oleh kerana tiada orang yang akan berani minum ‘racun’ itu, Senduram akan meminumnya dan kalau dia tidak mati, dia mesti dibenarkan menyebarkan ajarannya di kampung itu. Botol racun itu dibuangnya ke dalam sungai agar helahnya itu tidak akan diketahui ramai. Walau bagaimanapun, kuasa Tuhan ditunjukkan kepadanya apabila akhirnya darah tersembur keluar dari mulutnya dan dia mati.
Perwatakan watak Senduram boleh selalu dijumpai di mana-mana tempat. Senduram ialah seorang atheis. Dia tiada kepercayaan kepada Tuhan. Dia tidak malu atau gementar memberikan pandangannya, sama ada ia betul atau salah. Dia berani memberikan pandangannya itu secara terbuka. Dia juga gemar mencabar orang. Dia suka mengejek orang lain dan dia juga tidak menghormati perasaan orang lain. Dia membaling kata-kata yang kesat pada orang lain dan ketawa terhadap kesalahan orang lain. Dia juga ada hati untuk anak Sri Ramani iaitu Abhirami.
Latar sesebuah cerpen terbahagi kepada dua iaitu latar tempat dan latar masyarakat. Latar tempat ialah di mana sesuatu cerpen itu berlaku dan latar masyarakat ialah mengenai semua watak lain yang terdapat dalam cerpen itu selain watak-watak utama.
Siru Kambam ialah sebuah kampung kecil di Taiping, Perak. Maksud nama Siru Kambam dalam bahasa Tamil ialah “kampung kecil”. Jadi padanlah nama dengan tempatnya. Mungkin kerana saiz Siru Kambam terlalu kecil, kedudukan Siru Kambam tidak ditunjukkan di mana-mana peta.
Seseorang boleh pergi ke Siru Kambam dari stesen kereta api Taiping. Dari stesen kereta api Taiping, seseorang perlu melalui Jalan Raja Salim, Jalan Raja Sulong dan Jalan Kampung Boyan masuk ke Taman Pertama. Kemudian, perlu melalui Jalan Surau merentas sempadan Aulong baru anda sampai ke Siru Kambam. Sebenarnya, seseorang boleh berjalan kaki dari Siru Kambam hingga ke Taman Pertama melalui sebuah jalan pintas.
Di jalan masuk ke kampung Siru Kambam terdapat sebuah rumah tumpangan. Rumah tumpangan ini sebenarnya dibina oleh Kurunadhar pada akhir kurun ke-19. Rumah ini dibina mengikut gaya rumah India dan merupakan rumah terbesar di Siru Kambam. Terdapat enam bilik di rumah itu dan bahagian tengah rumah itu tidak berbumbung. Di kawasan itu, terdapat bilik mandi dan tempat membasuh.
Pada masa dahulu, Siru Kambam adalah suatu kawasan perlombongan bijih timah. Selepas perlombongan itu telah dipindahkan ke Aulong Lama, kawasan Siru Kambam telah menjadi tanah terbiar. Kampung itu telah menjadi kawasan ladang tebu utama sejak tahun 1920-an. Jadi boleh diandaikan bahawa kebanyakan penduduk di Siru Kambam berkerja di ladang tebu tersebut. Pemilik-pemilik ladang-ladang tebu itu akan menjual tebu-tebu itu kepada sebuah kilang gula di Prai.
Terdapat sebuah kuil di Siru Kambam iaitu Kuil Sivaperuman. Siru Kambam agak terkenal kerana bangunan kecil yang dikelilingi pohon beringin dan pokok ru ini. Juga terdapat sebuah sungai yang mengalir lesu di tepi kuil ini. Setiap lima tahun, rata yang membawa berhala Kaali Dewi akan diarak dari Kuil Sivaperuman menuju kuil Maha Kaali di kampung Kubur Gajah di mana jarak perjalanannya lebih enam puluh kilometer. Terdapat sebuah pohon bodhi tidak jauh dari pintu masuk ke kuil. Para penduduk Siru Kambam selalu duduk di bawah pohon itu dan berbual-bual.
Masyarakat yang tinggal di Siru Kambam hidup harmoni. Mereka pasti melayan sesiapa sahaja dengan penuh mesra. Penduduk kampung ini terdiri daripada pelbagai kaum, keturunan, suku bangsa dan agama.
Plot ialah jalan cerita sesuatu cerpen, novel atau drama. Plot terbahagi kepada empat bentuk iaitu:
1) Plot Mudah / Kronologi
2) Plot Kompleks
3) Plot Kompound
4) Plotless @ Tanpa Plot
Jenis plot yang telah digunakan dalam cerpen “Siru Kambatil” ialah plot kompleks kerana terdapat banyak flashback dan fore-shadow. Cerpen ini dimulakan dengan watak Senduram berbual-bual dengan penduduk Siru Kambam di bawah pohon pokok bodhi. Kemudian di tengah cerpen diceritakan pula bila dan bagaimana Senduram sampai ke Siru Kambam dua tahun sebelum itu. Kemudian cerita disambung sehingga akhirnya Senduram mati.
Gaya
dan Teknik Penulisan
Gaya bahasa ialah gaya penulisan yang digunakan oleh seseorang penulis cerpen untuk menyampaikan cerita atau cerpennya. Apabila kita menonton televisyen, kita boleh melihat kesan emosi yang cuba disampaikan melalui air muka atau tingkah-laku watak tersebut. Tetapi dalam sebuah cerpen penulis hanya boleh mengunakan perkataan untuk menceritakan semua unsur sastera yang ada. Sebagai contoh, dalam bidang perfileman, untuk menunjukkan yang sesebuah watak itu gembira, pelakon itu hanya perlu senyum atau ketawa. Dalam sebuah cerpen pula, penulis terpaksa menghuraikan setiap aspek untuk menunjukkan yang watak itu senyum atau ketawa.
Terdapat beberapa bentuk bahasa yang boleh digunakan
oleh penulis untuk menyampaikan ideanya. Antaranya ialah seperti bahasa mudah,
bahasa puitik, peribahasa, bahasa berbunga, bahasa bombastik, personifikasi dan
sebagainya.
Contoh gaya bahasa yang digunakan dalam cerpen “Siru Kambatil” adalah:
i) “Kalau saya kasi satu kertas sama awak, bolehkah awak lukis kaki ular?” – bahasa pasar
ii) Sri Ramani terdiam. Dia menggeleng memikirkan sikap Senduram yang bercakap tanpa pemahaman – bahasa mudah
Selain daripada itu, penulis juga telah menggunakan beberapa istilah-istilah bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Tamil untuk menerangkan lagi sesuatu perkara atau objek itu. Biasanya, penulis menggunakan perkataan condong (italik) untuk menunjukkan yang dia sedang menggunakan bahasa asing. Contoh-contoh perkataan bahasa asing yang telah digunakan dalam cerpen ini adalah seperti: -
i) dothi – bahasa Tamil
ii) Bible – bahasa Inggeris
iii) Uncle – bahasa Inggeris
iv) Al-Qur’an – bahasa Arab
Untuk menghasilkan sebuah cerpen yang bermutu, penulis mestilah sentiasa menggunakan teknik-teknik penulisan yang berbeza supaya sesebuah cerpen itu tidaklah kelihatan sama sahaja. Teknik merujuk pada apa sahaja cara yang digunakan untuk menyampaikan cerita, mesej, persoalan, tema, pemikiran dan keseluruhan teks sastera berkenaan. Contoh-contoh teknik yang boleh digunakan adalah seperti teknik monolog, teknik imbas kembali (flashback), sudut pencerita watak bukan manusia atau tidak hidup serta sudut pencerita dua watak secara berganti-ganti.
Teknik-teknik yang telah digunakan dalam cerpen “Siru Kambatil” adalah:
1) Teknik dialog – percakapan antara dua watak
“Engkau nampak sungai
itu?”
“Sungai itu? Nampak.”
“Engkau nampak awan di langit?”
“Nampak!”
2) Teknik monolog – pemikiran atau satu watak bercakap dengan diri sendiri
“Bhagavadgita, al-Qur’an, Bible, Toa Te Ching, Lu Yu
semuanya karut. Bahan untuk dibaca oleh orang-orang yang tidak tahu menikmati
alam kemabukan.”
3) Teknik naratif – penulis menceritakan apa yang sedang berlaku
Senduram mengaku yang dia mabuk pada waktu itu. Tetapi fikirannya pada
masa itu masih tetap. Dia mungkin termakan pujuk.
4) Teknik suspen – babak aksi atau misteri
Senduram jatuh ke tanah bumi Siru Kambam. Dia tidak bangkit semula. Dan
Abhirami yang menyaksikannya tersenyum dalam hati sambil mengikat rambutnya
menjadi sanggul.
5) Teknik imbas kembali (flashback) – seseorang watak itu terkenang peristiwa silam.
“Bertaubatlah engkau, Senduram. Kembalilah ke pangkal jalan.”
Demikian kata Sri Ramani petang tadi apabila Senduram mengganggu poojanya.
Penutup
Jadi selepas diterangkan secara mendalam, wajarlah “Siru Kambatil” dipilih sebagai cerpen terbaik dalam kumpulan cerpen Siru Kambam. Walaupun jalan ceritanya adalah sangat mudah, cara penyampaian cerita itu adalah sangat menarik. Juga pada pengakhiran cerpen ini, penulis telah membiarkannya tergantung. Ini adalah supaya pembaca boleh menghabiskan sendiri cerpen ini secara intelek. Saya memilih cerpen ini atas sebab-sebab yang telah saya terangkan tadi dan juga kerana saya percaya terdapat ramai orang di dunia yang enggan mengakui kewujudan Tuhan. Tentu sahaja mesej, tema dan persoalan dalam cerpen ini boleh dijadikan renungan bersama.
Anton Ric @ Kodisvaran