Kau Harus Mengerti, Emi

        

SEBAGAI seorang olahragawan, memanglah ramai orang terutama golongan pemudi menjadi peminatnya. Senarai peminat yang mengirim kad-kad ucapan syabas serta mengerumuni untuk mendapatkan tanda tangannya semakin bertambah sete­lah dia berjaya membolot tiga pingat emas dalam acara 100 m, 200 m dan 4 x 100 m SUKMA beberapa bulan lalu.

Antara sekian ramai peminatnya ialah Emi, si gadis lincah berumur tujuh belas tahun. Emi mengirimnya sepucuk kad ucap­an tahniah sekembalinya ke Taiping bersama-sama tiga pingat emas yang dimenangi. Kebetulan Emi juga seorang olahragawati; acara 100 m dan 200 m. Sering juga mereka bertemu kerana sama-sama menghadiri latihan intensif yang diadakan di Bangi.

Kedatangan kad daripada Emi merupakan titik permulaan pergaulan mereka. Maklumlah, sebagai seorang pemuda yang mendapat pendidikan di sekolah lelaki sejak darjah satu hingga tingkatan lima, dia agak kekok untuk bergaul dengan para atlet wanita. Kalau adapun, sekadar berkata “Hai!” sahaja.

Emi menyatakan keinginan untuk berkenalan dengannya. Sudilah menjadi abang angkat saya, kata Emi dalam kad yang dikirimnya. Dia terpinga-pinga juga pada mulanya. Maklumlah, dia tidak ada adik-beradik perempuan dalam keluarga. Yang ada, tiga abang dan dua adik lelaki.

Apa salahnya, kata suara hatinya empat bulan lalu. Ini peluang untuk bergaul dengan golongan wanita. Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan. Dia hanya mahu menjadi adik angkat. Nah! Bukankah ini permulaan yang baik untuk belajar memahami perasaan golongan wanita, kata suara hatinya lagi.

Dia akur. Dia tahu bahawa dia perlu belajar untuk tidak berasa kekok sewaktu berada di kalangan kaum wanita. Jika tidak, sampai bila-bila pun dia tidak akan berpeluang untuk menyesuaikan diri dengan mereka. Dan ini tentu tidak sesuai dengan usianya yang semakin dewasa dan perlu memikirkan soal masa hadapan.  

       

Petikan cerpen “Kau Harus Mengerti, Emi” (Dua Fragmen Kasih) dalam Menara 7 (DBP: 1998)