Saya pelajar Universiti Utara Malayisa (UUM) terpanggil untuk berkongsi pengetahuan dengan warga Malaysia yang cintakan keamanan, kesejahteraan dan kebenaran. Kepada semua warga kota atau dari luar Kuala Lumpur yang menyokong reformasi, perlu dimaklumkan bahawa isu Datuk Seri Anwar Ibrahim keracunan ini saya mendengarnya dari pensyarah sendiri awal bulan Jun lalu.
Katanya Anwar diracun, rambutnya luruh dan kurus badannya. Renunglah cerita ini, sudah masuk empat bulan baru semakin dihebohkan penyokongnya. Kenapa? Bagi saya dan sesiapa juga yang waras fikirannya boleh memahami mengapa isu itu diketengahkan. Tidak lain dan tidak bukan untuk kepentingan politik semata-mata. Cerita ini direka semata-mata sebagai salah satu agenda politik Anwar.
Sekarang ini semua orang sedar keadaan ekonomi negara menuju pemulihan, sambutan rakyat terhadap kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semakin ramai. Lihat pada malam menyambut kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil, baru-baru ini, sehingga melimpah pengunjungnya. Lawatan ke Selangor turut mendapat sambutan ramai, begitu juga di negeri-negeri lain.
Apabila penyokong Anwar melihatkan sambutan ini, mereka mulai bimbang, maka mula timbul isu keracunan, buat demonstrasi, dengan tujuan yang tidak lain untuk menghangatkan semula isu Anwar. Kepada pelajar dan anak Melayu, lihatlah kembali, dimanakah kekuatan kita orang Melayu di segi akademik. Penubuhan pusat matrikulasi, Maktab Rendah Sains Mara dan sebagainya dengan tujuan mengumpulkan pelajar cemerlang dari sekolah rendah, menengah dan IPT supaya mereka boleh menuntut ilmu dan keluar sebagai pelajar dengan kelulusan kelas pertama.
Ringkasnya, input adalah pelajar cemerlang, dengan seba serbi dibantu berbanding bangsa lain yang juga warga Malaysia, tetapi yang menyedihkan setiap kali konvokesyen, bangsa yang tidak dibantu paling ramai mendapat kelas pertama. Tetapi anak Melayu yang dibantu dan cemerlang di peringkat awal mendapat keputusan tidak mengggalakkan. Kepada ibubapa, jangan asyik berpolitik, tidak ambil kisah prestasi setiap semester pelajaran anak-anak.
ZAA,
PENYOKONG KUAT KEBENARAN