ANWAR MUNGKIN MERANCANG SESUATU MERAIH SIMPATI

Saya mengucapkan syabas kepada semua pihak terutama pakar-pakar perubatan yang telah bertungkus lumus menjalankan kajian terhadap dakwaan keracunan arsenik Anwar dan seterusnya membuktikan bahawa dakwaan tersebut hanyalah palsu belaka. Dengan keputusan-keputusan kajian tersebut, maka lenyaplah dakwaan pihak tertentu yang kononnya Anwar diracun. Ini bukanlah kali pertama, pihak tersebut membuat dakwaan yang tidak berasas. Sebelum ini, isteri beliau Datin Seri Wan Azizah Ismail mandakwa suaminya akan disuntik oleh virus HIV. Ini juga akhirnya tidak benar setelah pihak perubatan mengesahkan dia tidak mengalami jangkitan HIV. Bagaimanapun saya percaya, mereka tidak akan berhenti di situ. Kita jangan terperanjat sekiranya ada percubaan tertentu dilakukan oleh Anwar untuk terus meraih simpati orang ramai dan mengugat kestabilan politik tanah air.

Mogok Lapar

Ini termasuklah kemungkinan beliau melakukan mogok lapar seperti yang pernah dilakukan oleh Mahatma Gandhi. Berlainan dengan Gandhi yang digelar wira oleh rakyat India kerana memperjuangkan kemerdekaan negaranya, Anwar hanyalah seorang ahli politik jalanan yang tidak meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan beliau. Beliau tahu dengan melakukan mogok lapar dia akan menjadi lemah dan hilang tenaga dan terpaksa dimasukkan semula ke hospital.

Dengan cara ini dia tidak perlu menghadiri perbicaraan liwatnya sekiranya beliau diperintah oleh mahkamah untuk membela diri. Niat dia hanya untuk melambat-lambatkan perbicaraan dan dipindahkan keluar dari penjara. Ini mungkin dilakukan kerana Anwar bimbang beliau kan dipinggirkan oleh parti PAS dan DAP sekiranya masih berada dalam penjara terutamanya selepas pilihan raya kelak.

Anwar sedar bahawa kedua-dua parti itu sekarang hanya menumpang popularitinya dan tidak akan mempedulikannya lagi sesudah pilihan raya umum. Pada masa yang sama juga, Keadilan pula dijangka tidak akan mendapat sambutan daripada rakyat. Menyedari hal tersebut, dia pasti akan melakukan sesuatu bagi membolehkannya diberi ikat jamin atau ditahan di hospital kerana dengan cara ini membolehkannya turut sama terbabit dalam perbincangan strategi pilihan raya dengan parti-parti pembangkang lain bagi menjamin kedudukan politiknya.

Berdasarkan apa yang sudah berlaku sebelum ini, saya yakin dia akan melakukan ini semua untuk kepentingan dirinya.

ABDUL RAZAK RAHIM
Setiawangsa, Kuala Lumpur