Betapa bertuah jadi rakyat Malaysia
SERUAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melancarkan sambutan ulang tahun Ke-30 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini supaya pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyemai perpaduan ketika di kampus wajar diberi perhatian serius. Walaupun ia bukan perkara baru diperkatakan banyak pihak, ia perlu diamalkan dengan penuh ikhlas. Perpaduan menjadi ramuan utama dalam membina kesejahteraan masyarakat hari ini dan pada masa akan datang. Integrasi nasional menjadi wahana utama dalam pembangunan jati diri dan pembangunan lainnya untuk menghadapi masa depan.
Sebenarnya, setiap individu perlu bersyukur dan berasa bertuah atas pelbagai alasan. Perpaduan adalah satu daripadanya. Pengalaman berada dalam ribuan manusia ketika menyambut sesuatu perayaan di negara ini, tentunya menyentuh hati setiap individu Malaysia. Perasaan bangga dan bersyukur wujud di sanubari setiap rakyat ketika menyambut Hari Kebangsaan, lebih-lebih lagi ketika negara menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ke-16 tahun lalu.
Betapa bertuahnya menjadi rakyat di sebuah negara yang aman damai, dan tidak pernah meletakkan sebarang batas halangan dalam sebarang urusan. Ini berasaskan kepada sikap rakyat yang sentiasa rasional dan bertoleransi. Rakyat mempunyai alasan yang kukuh untuk berbangga dan bersyukur.
Semangat perpaduan dan kerjasama sedemikian bukan perkara baru. Lihat dalam apa juga perayaan atau sambutan. Ketika Aidilfitri atau Aidiladha, suasana hari itu dimeriahkan menerusi kunjungan rakan pelbagai keturunan. Begitu juga perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali atau Krismas. Perarakan membawa kavadi ketika menyambut Thaipusam, bukan setakat dibawa oleh kaum Hindu, malah juga kaum Cina. Kemeriahan sambutan perayaan boleh diterjemahkan kepada perpaduan masyarakat yang sukar digugat.
Hari ini, hal yang sama perlu wujud di kampus universiti. Di USM walaupun dasar menempatkan pelajar berbeza kaum dalam satu bilik, baru dilaksanakan Mei lalu, hakikatnya perkara ini sudah lama dilaksanakan di semua desasiswanya. Amalan itu sudah bermula pada awal 1980-an. Sepanjang tempoh itu, tidak pernah ada masalah dalam perhubungan antara kaum di kampus. Malah, ia memberi pelajar kefahaman terhadap adab budaya rakan daripada kaum lain.
Program Rancangan Bersama Desa anjuran
USM dengan kerajaan Kedah dalam tempoh berkenaan juga membabitkan pelajar
pelbagai kaum yang tinggal di sesebuah kampung pedalaman selama dua bulan.
Bagi pelajar bukan Melayu, pengalaman berada di kampung Melayu meninggal
kenangan manis. Mereka
mengenal erti kasih sayang daripada keluarga
angkat. Malah, mereka mendapat perhatian istimewa daripada keluarga angkat
masing-masing, sehinggakan menukar nama mereka mengikut nama manja keluarga
Melayu. Ketika itu pula, gelora politik amat kuat kerana isu mengkafir
Umno. Namun, kekentalan semangat, toleransi dan kasih sayang tidak melunturkan
semangat perpaduan yang ada. Mereka diterima oleh semua penduduk dengan
perasaan kasih sayang. Khabarnya, sehingga kini, masih ada yang saling
mengunjungi rumah anak-anak angkat berkenaan.
Sesungguhnya, kemesraan antara kaum masih terpancar dalam Rancangan Bersama Desa oleh pelajar USM di daerah pedalaman Belantek, Kedah, baru-baru ini. Keluarga angkat di kampung berkenaan mempunyai anak-anak angkat yang datangnya dari Sabah dan Sarawak. Pelajar dilayan dengan penuh mesra dan kasih sayang seperti keluarga sendiri. Pengalaman yang dilalui hampir 15 tahun lalu tidak pernah berubah - bahawa kita kaya dengan kasih sayang.
Demikian bertuahnya rakyat Malaysia. Berada dalam satu kumpulan besar yang berbeza kepercayaan, budaya dan malah juga bahasa, namun hakikatnya kita bersatu dan saling sayang menyayangi. Perasaan inilah sebenarnya yang harus terus dipupuk dan dibajai. Perpaduan dan integrasi kaum perlu terus disemai dan dipelihara. Janganlah ada sesiapa yang cuba membakarnya dengan fahaman sempit.
Seeloknya kita menghindari sebarang tindakan yang cuba membakar api permusuhan yang tidak sewajarnya ada. Biarpun ada perbezaan pendapat, masih ada jalan penyelesaian yang terbuka luas melalui perundingan. Walaupun ada perkara kusut yang tidak kita senangi, masih ada ruang yang boleh dilalui untuk meleraikannya.
Di universiti, misalnya, amat banyak ruang untuk berbuat demikian. Selama ini, tidak pernah ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kerjasama dalam tugasan Penyelidikan dan Permbangunan (R&D) atau penerokaan ilmu terbentang luas. Dapat melihat, banyak projek yang berjalan hasil kerjasama sedemikian.
Dalam dunia akademia, tidak ada batas yang mengikat dan menghalangnya. Sama juga halnya dalam dunia kampus seluruhnya. Kegiatan persatuan, samada Majlis Perwakilan Pelajar atau persatuan lain sentiasa dibuka untuk penyertaan semua. Walaupun akur adanya unsur luar yang mempengaruhi, terutama dalam Majlis Perwakilan Pelajar beberapa tahun kebelakangan ini, ia dimonopoli pihak tertentu, namun hakikatnya, mereka tidak dapat melarikan diri daripada hakikat sebenar bahawa, kampus ini didiami juga oleh rakan pelbagai kaum.
Sekarang ini, apabila dasar penempatan pelbagai kaum dilaksanakan sepenuhnya di kampus universiti, sewajarnya kesedaran ini lebih meluas dan diterima baik. Tidak ada sebab mana-mana pihak menentangnya. Selepas hampir 42 tahun merdeka, sewajarnya integrasi itu semakin teguh, bukannya longgar dan penuh prasangka.
Bagi sesetengah pelajar yang menganggap dasar ini tidak sesuai dengan fitrah keagamaan, mereka wajar melihatnya semula dalam perspektif luas. Agama sentiasa menggalakkan sikap toleransi dan saling interaktif antara manusia.
Namun, pemantauan yang sewajarnya perlu
dilakukan secara berterusan. Pelajar harus dipastikan tidak
memainkan isu kaum dan agama apatah lagi
membuat provokasi melalui lambang yang boleh menimbulkan
salah faham sesama sendiri. Pelajar perlu
diawasi, agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan, menangguk di air
keruh.
Di USM misalnya, konsep desasiswa yang diamalkan selama ini harus difahami semua golongan masyarakat, termasuk ibu bapa. Konsep desasiswa ialah untuk menterjemah pengalaman hidup di desa di kalangan siswa. Dalam perkataan yang mudah, menerapkan nilai-nilai murni desa di dalam kampus universiti.
Nilai-nilai itu termasuk semangat integrasi, setiakawan, saling memahami dan toleransi bagi menyiapkan diri menghadapi dunia kehidupan sebenar pada masa hadapan apabila mereka memasuki dunia kerjaya. Seruan sedemikian harus terus dibuat akan tetap relevan selama-lamanya. Realiti bahawa, kita hidup dalam negara yang bertuah ini, seharusnya difahami dan dihayati sejujurnya tidak kiralah, di kampus universiti, sekolah atau di rumah, perasaan bersyukur itu harus sentiasa tersemai.
Perasaan sayangkan negara dan berbangga,
bahawa kita adalah segelintir umat bertuah kerana berada di bumi yang makmur
dan aman sentosa. Seelok-eloknya kita berpegang kepada pesanan orang tua,
iaitu
'marahkan nyamuk, jangan kelambu dibakar'.
Kita perlu insaf terhadap apa yang berlaku di negara lain. Jadikan pengalaman
pahit di negara yang sentiasa bergelora dengan pertelingkahan sebagai iktibar.
Kesan kegawatan ekonomi di negara ini tidak separah di negara jiran. Kita masih melihat pasar raya dibanjiri pengguna, kedai makanan segera dipenuhi anak-anak muda.
Di kampus universiti, pihak pengurusan pening memikirkan medan kereta dan motosikal yang semakin kurang dan masalah kesesakan. Kereta dan motosikal berkenaan bukan milik pensyarah, malah kebanyakannya dimiliki pelajar kelas menengah. Paling tidakpun, sebahagian besar pelajar mempunyai motosikal.
Penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar di universiti bukan luar biasa. Rata-rata menganggapnya sebagai keperluan. Ibu bapa pula masih mampu menghantar anak ke kampus untuk melapor diri mengikuti pengajian dan membayar tunai yuran pengajian, walaupun ada yang masih kesulitan.
Pokoknya, begitulah bertuahnya kita menjadi rakyat Malaysia. Lihatlah ramainya manusia, dan kaum membanjiri kampus USM ini saban tahun untuk larian Jambatan Pulau Pinang, termasuk yang diadakan di sini baru-baru ini.
Sesungguhnya inilah wajah negara kita.
Seruan kerajaan supaya kita terus berganding bahu dan menyemai
perpaduan tanpa mengira warna kulit amat
wajar, disokong dan perlu terus diperingatkan. Bahawa kita amat bertuah
kerana menjadi rakyat di negara yang berdaulat ini.
Mohamad Abdullah