Edisi Bahasa Malaysia
Isnin: 19 Julai 1999
Surat Kepada Pengarang
DEWAN KULIAH MEDAN FITNAH
Pelajar UIA, Petaling Jaya
 

Pendidikan adalah asas untuk membina satu generasi berilmu pada alaf akan datang.  Pendidikan yang bermutu adalah aset terpenting supaya satu waktu nanti akan lahir golongan terpelajar yang boleh meneruskan kepimpinan negara serta mampu melahirkan idealisme yang padat dengan semangat nasionalisme supaya negara sentiasa terjamin daripada isu penjajahan asing.

Namun begitu, apa yang amat membimbangkan sekarang ialah sistem pendidikan yang semakin hari semakin mengelirukan.  Daripada pandangan mata kasar, dapat dikenal pasti bahawa sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi adalah landasan untuk aset negara ini dilimpahkan dengan ilmu pengetahuan serta diterapkan dengan semangat cintakan negara yang padu dan tidak mudah digoyahkan oleh mana-mana pihak.

Kerajaan menyediakan pusat-pusat pengajian, terutamanya universiti awam atau swasta dengan pensyarah terlatih atas satu matlamat supaya generasi muda dapat menimba ilmu secukupnya dan diberi latihan yang sewajarnya agar mereka bersedia melangkah ke dunia baru setelah tamat pengajian.

Tidak dapat disangkal, usia muda adalah jiwa yang amat mudah dipengaruhi.  Bukan saja dengan wang ringgit yang melimpah-ruah, malah juga hanya dengan kata-kata yang diolah menarik dan diulang berkali-kali.  Apatah lagi apabila ia disampaikan oleh mereka yang intelektual dan berpengalaman.  Apa yang dikesalkan, inilah satu fenomena baru yang berlaku dalam dunia pendidikan sekarang, terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi.

Sebagai generasi muda yang sedang menempuh alam pengajian, maka saya sendiri tidak dapat lari daripada terjerumus dalam keadaan seumpama ini.  Di saat negara agak terumbang-ambing dengan kancah politik yang tidak menentu dan keadaan ekonomi negara yang masih perlu dipertingkatkan, terdapat agenda-agenda lain yang berlangsung di dewan kuliah.  Paling memalukan, agenda itu direncanakan sendiri oleh pensyarah yang pada dasarnya diamanahkan untuk membentuk generasi muda yang berkarisma dan berhemat tinggi.  Tetapi malangnya, apa yang dapat saya lihat dan saya sendiri lalui, terdapat golongan pensyarah ini yang menyimpang daripada matlamat asal universiti.  Keadaan negara serta permasalahan yang timbul dijadikan peluang terbesar untuk mereka bersuara lantang di dewan kulian bagi menyuarakan betapa hebatnya hujah mereka menentang kerajaan.

Apa yang saya lalui, dua jam waktu kuliah dihabiskan dengan agenda menarik menceritakan segala yang negatif mengenai pemerintahan negara.  Generasi muda di dalam dewan kuliah terus menerus di tanam dengan kebencian yang amat sangat terhadap tampuk pemerintahan sekarang.  Tidak dapat dinafikan cubaan demi cubaan itu telah berjaya dan objektif serta matlamat yang cuba digapai itu sedikit sebanyak dapat diterapkan.  Kebanyakan daripada golongan pelajar yang mendengar itu nampaknya memberi tindak balas yang amat menggalakkan dan ini memberi gambaran bahawa usaha pensyarah sebegini agak membuahkan hasil.

Perkara sebegini mungkin dikatakan masalah sekecil huma, tetapi bagi saya ia mampu membentuk satu masalah yang besar pada satu masa akan datang sekiranya ia tidak dibanteras dengan segera.  Penerapan yang cuba ditaman itu sedikit demi sedikit akan menjadikan mereka manusia umpama kacang lupakan kulit.  Mereka akan dewasa sebagai insan yang tidak tahu mengenang budi walaupun selama ini pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan termasuklah penyediaan biasiswa untuk pembelajaran mereka.

Saya sebagai seorang pelajar yang tidak mahu melihat negara tercinta porak-peranda lalu saya memohon kepada pihak Kementerian Pendidikan supaya hal ini diberi tindakan yang sewajarnya.  Pensyarah yang menyimpang daripada landasan itu harus dijauhkan daripada pelajar yang rata-ratanya amat mudah terpengaruh.  Dan pelajar ini pula harus segera dibangunkan daripada tidur mereka yang panjang.  Saya yakin, pihak kementerian mempunyai alternatif terbaik untuk mengatasi masalah ini contohnya membuat tinjauan di pusat-pusat pengajian tinggi dan melihat sendiri senario yang melanda persekitaran dan warganya.

Di samping itu, saya amat berharap pensyarah-pensyarah yang hebat berhujah itu menghentikan segera cubaan-cubaan mereka.  Alangkah baiknya jika suara yang lantang berhujah itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyampaikan ilmu yang sepatutnya kepada pelajar.  Sebagai kumpulan yang kaya dengan pengalaman, yang berpeluang melalui zaman kesusahan dan melihat sendiri bagaimana pejuang dahulu kala memerdekakan negara dan memartabatkan bangsa, maka seharusnya mereka menghargai titik peluh pejuang terdahulu.  Jangan kerana hujah-hujah yang lantang dan pedih menghina dan mengutuk orang lain dalam tempoh dua jam itu, mampu mengkucar-kacirkan kedamaian dan kemakmuran serta pembangunan yang mengambil masa 42 tahun lalu.

Sebagai manusia, memang mudah untuk kita mempersoalkan pemerintahan serta ketidakpuasan terhadap kepimpinan seseorang, namun pernahkah kita terfikir betapa susahnya pemimpin memerah otak mencari jalan terbaik hinggakan kita mampu merasai setiap apa yang terbentang di depan mata kita sekarang.  Apa yang dapat saya lihat, ramai yang mengatakan kerajaan melakukan pembaziran dengan mendirikan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.  Mereka juga sewenang-wenangnya menuduh pemimpin ingin dipuji dengan menganjurkan Sukan Komanwel yang lalu, tetapi amat memalukan bila kumpulan ini jugalah yang sering berkunjung ke Menara Berkembar Petronas, mereka juga yang giat bercerita betapa indahnya ibu kota apabila dilihat dari atas Menara Kuala Lumpur dan mereka ini jugalah yang tidak berganjak dari depan televisyen menyaksikan siaran langsung Sukan Komanwel dulu.

Andai kata kita diberi peluang untuk meneraju negara, belum tentu kita atau anda sebagai pensyarah sendiri dapat mengatasi ketidakpuasan itu.  Cukuplah bercakap mengenai keburukan orang lain dan hentikanlah reformasi negara yang cuba anda gembar-gemburkan kerana sebagai manusia kita tidak akan mampu menjadi yang paling sempurna.  Sebaiknya, reformasikan dulu diri sendiri sebelum cuba mereformasikan sebuah negara yang sudah pun direformasikan sejak 42 tahun lampau.

Bagi mereka yang tidak pernah disemai dengan semangat nasionalisme yang kukuh, mungkin tidak menyedari reformasi yang berlaku selama ini.  Tetapi bagi mereka yang cintakan perjuangan pemimpin negara, pasti senario reformasi dapat dirasakan sejak pejuang dahulu berjaya memerdekakan negara sehinggalah ke saat sekarang di mana usaha pembangunan negara dan kemakmuran rakyatnya terus menjadi misi dan wawasan kerajaan.