Merenung perkembangan semasa yang menjadi polimik di Malaysia hari ini, saya terpanggil untuk mengimbas kembali puisi 'Perjuangan yang masih belum selesai' karya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri kita yang dikasihi. Di antara bait-baitnya, berbunyi begini; Air mata tiada erti, sejarah silam tiada maknanya, sekiranya bangsa tercinta terpInggir, dipersenda dan dilupakan.' Kemudian beliau menambah, 'Tugas kita belum selesai rupanya, bagi memartabatkan dan memuliakan bangsa, kerana hanya bangsa yang berjaya, akan sentiasa dihormati'.'Tugas kita bukan kecil, kerana mengisi kemerdekaan, rupanya lebih sukar daripada bermandi keringat dan darah menuntutnya'.
Keseluruhan puisi ini mengambarkan mengenai perit jerih bangsa mendapatkan kemerdekaan negara dan betapa sukarnya untuk mempertahankan kemerdekaan itu sekiranya rakyat dan pemimpin lemah. Ia juga menegaskan bahawa pentingnya memartabatkan bangsa sendiri sekiranya mahu berjaya menghadapi masa akan datang yang lebih mencabar.
Mengambil kira puisi yang dicipta dan dibacanya sempena ulang tahun ke-50 Umno pada 4 Mei 1996 itu, adalah lebih bertepatan sekiranya ia disegarkan kembali hari ini yang senario politik dan sosial negara tercinta amat memual dan mengecewakan sebilangan besar rakyat Malaysia. Ketika mendeklamasikan puisi itu, Dr Mahathir sayu menitiskan air matanya, dadanya sebak dan nadanya terharu, malah keikhlasan terpancar pada riak wajahnya. Ini jelas melambangkan betapa beliau seorang pemimpin yang begitu sayangkan agama, bangsa dan negaranya sendiri sehingga mengalirkan air mata! Tidakkah kita bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah pemimpin seperti beliau?
Andainya seluruh rakyat dan semua bangsa Melayu khususnya, menghayati keseluruhan isi puisi ini, nescaya ia akan membawa makna yang mendalam dan turut sama sebak kerana ia membuktikan bahawa puisi ciptaannya itu sebenarnya berfungsi bagi menyedarkan bangsa Mekayu dan kemerdekaan negara. Ironinya, Dr Mahathir, akan lebih sedih lagi apabila melihat, mendengar dan megalami fenomena lura biasa dewasa ini yang melanda bangsa Melayu di negaranya sendiri. Setelah lama menahan dan menangkis segala tekanan pihak luar, serta mempertahankan kemerdekaan dengan pelbagai usaha dan pengisian yang memang pasti tidak tergalas, kini beliau sendiri dicerca dan dihina oleh rakyat yang beliau pertahankan selama ini sehingga ada yang sanggup membunuhnya. Ini adalah senario yang 'busuk lagi membusukkan' dan 'jijik lagi menjijikkan'!
Sesungguhnya, bagi pemimpin ulung seperti Dr Mahathir, kehidupannya sentiasa diselubungi ujian getir, kontroversi dan dugaan besar sehinggalah di kemuncak kariernya kini. Ini tidak dapat dielakkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin yang agung dan berwibawa akan ditentang dan jatuh oleh sebilangan kecil rakyat yang telah dipengaruhi dalang jahat dan diracuni fikirannya dengan propoganda sempit. Adakah kita rakyat Malaysia yang hidup aman dan harmoni dalam masyarakat majmuk ini mahu ia terjadi pada Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia yang kita sanjungi ?' Tepuk dada tanyalah iman!
Adalah amat dikesali kerana sejak kebelakangan ini ada sebilangan rakyat Malaysia dan bangsa Melayu khususnya begitu mudah dihasut, mempercayai fitnah, bersekongkol dengan anasir asing dan membuat rusuhan seperti orang yang tidak berfikiran waras dan matang. Semua orang mempunyai harapan. Malah sudah tentu harapan itu hasrat hati yang tinggi mengunung. Namun, adakah hanya kerana apabila harapan itu tidak dapat dipenuhi, maka jalan pintas terbaik dipilih ialah dengan memberontak? Atau adakah ianya kerana kekecewaan ini tidak dapat dibendung lagi? Mengapa pula rasa ketidakpuasan hati itu diluahkan dengan tindakan yang boleh menjatuhkan maruah bangsa ke satu tahap yang paling rendah dan sanggup menggadaikan negara sebagai cagarannya? Kemungkinankah keadaan ini timbul dalam hati dan fikiran rakyat Malaysia kerana mereka sudah tiba pada satu peringkat keruntuhan moral dan pertimbangan minda yang kritikal.
Bukankah mengaibkan dan menghairankan apabila sebilangan besar rakyat Malaysia ketika ini yang tidak mampu melihat kepentingan sejarah jatuh bangun kemerdekaan negara dan perjuangan bangsa meskipun ketika ini kita berada dalam suasana berbangga dangan sejarah evolusi kemajuan negara yang semakin tersohor. Di mana silapnya? Sejarah sendiri merakamkan, setiap kali sejarah berulang, kesannya akan menjadi lebih besar.
Jatuh bangun tamadun manusia dari era pra sejarah hinggalah ke pasca kolonial membuktikan betapa pentingnya mengkaji dan merenung panjang sejarah pembangun bangsa dan negara. Ia perlu dijadikan asas ukuran ke arah hidup yang berbudaya, matang dan bersusila. Pemerhatian sebegini wajar untuyk melahirkan generasi dan anak watan yang bersemangat patriotik. Jesteru, impak yang lebih besar pasti menimpa 'Malaysia alaf baru' jika aspek dan elemen sejarah diabaikan dan diingati dengan naif oleh rakyat.
Adalah tidak munasabah dan tidak sopan seandainya Dr Mahathir yang sekian lama menbela nasib rakyatnya diketepikan dan ditolak mentah-mentah oleh rakyat yang sudahpun terbela nasibnya kini hanya disebabkan tindakan beliau terhadap pemimpin didikannya sendiri yang juga disayangi rakyat. Setiap yang berlaku pasti ada baik dan buruk, cuma kita sebagai rakyat, hendaklah melihatnya dengan mata hati dan fikiran yang tajam. Kekeliruan tidak dinafikan memang ada. Keliru untuk menentukan yang mana benar dan yang mana satu benar-benar salah. Namun, kekeliruan yang wujud dalam hati masing-masing usahlah dicampur-adukkan dengan emosi dan kepercayaan melulu.
Sekiranya berlaku, maka mekarlah perasaan benci terhadap kerajaan dan pemimpin negara dan inilah yang sedang berlaku sekarang. Ia tambah meluap-luap dengan sikap opotunis parti pembangkang yang bijak mengambil peluang terbaik ini untuk menumbangkan kerajaan. Memanglah sebagai rakyat kita tidak boleh duduk diam dan akur terhadap apa yang berlaku. Sesuatau yang wajar perlu dilakukan. Namun, melakukan sesuatu yang luar batas etika dab susila bangsa adalah amat mengaibkan. Kita ada cara lain. Jika benar tindakan Dr Mahathir itu salah dan tidak sepatutnya berlaku, maka sudah tentu Allah akan membalasnya dengan balasan yang setimpal kerana kebenaran akan terbukti juga akhirnya. Cuma masa dan keadaan yang akan menentukan. Tidak perlulah kita melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah. Akan tetapi, sekiranya tindakan beliau itu sesuatu yang benar lagi membenarkan, maka itu satu rahmat yang tidak terduga!
Apa yang penting di sini, sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan umum mengenali sejarah seta susur galur pembangunan negara, buangkanlah jauh-jauh rasa benci yang menebal dan gejolak emosi yang tidak terkawal yang tidak menguntungkan sesipa. Jangan pula kita terikut-ikut orang lian kerana kebebalan diri sendiri! Berfikirlah dengan waras dan rasional. Bertindaklah juga dengan rasional. Sekiranya kita sebagai umat Islam sejati yang beriman, taqwa dan tawakkal, sudah tentu budaya menfitnah, mencerca, menghina, menghukum sesuka hati, kekabilahan dan ketaksuban sudah pasti bukan menjadi amalan kita.
Mudah-mudahan kita masih lagi dapat hidup di tanah air sendiri yang kita cintai ini iaitu Malaysia yang kini sentiasa dicemburui negara lain di dunia; bersama-sama berganding bahu antara masyarakat majmuk yang lain dengan hati yang suci dan murni tanpa sebarang prejudis dalam suasan aman dan damai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah, dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.
RAKYAT MALAYSIA, LAYANG-LAYANG, JOHOR DARUL TAKZIM