Edisi Bahasa Malaysia
Isnin 19 Julai 1999  6 Rabiulakhir 1420
Surat Kepada Pengarang
Barat perlu kikis prejudis terhadap Islam
Oleh Maarop Md Noh 

PELBAGAI pendapat mengenai abad baru dikemukakan oleh ahli sains politik, sosial, ekonomi dan budaya. Pada keseluruhannya, mereka meramalkan abad ke-21 kemuncak pencapaian manusia dalam bidang ilmu khususnya sains dan teknologi. Sains dan teknologi dikatakan memperkasa manusia menjadi penguasa alam.

Bagaimanapun, ada pendapat menetapkan abad ke-21 akan dimonopoli sesuatu blok di dunia. Tidak kurang juga meramalkan berlaku peperangan antara tamadun dunia. Paling ketara mempropagandakan ramalan ini ialah ahli sains politik Amerika Syarikat, Samuel P Huntington.

Huntington dalam bukunya, Clash of Civilisation (1993) dan Clash of Civilisation and Remaking of World Order (1996), mengutarakan pandangan yang mengerikan dengan meramalkan peperangan antara tamadun dunia akan berlaku pada abad ke-21. Tiada seorang pun ahli sains politik yang berani menyanggah pendapat itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyanggah pendapat Huntington dan menyifatkannya sebagai satu provokasi untuk melaga-lagakan tamadun di dunia. Dalam bukunya, A New Deal for Asia (1999), Dr Mahathir berpendapat konflik tamadun atau peperangan antara tamadun tidak akan berlaku, malah konflik itu sengaja direka-reka sebagai momokan kepada sesuatu tamadun.

"Dunia jarang mengikut telunjuk teori akademik," tegas Dr Mahathir.

Sebagai seorang doktor perubatan beliau mempunyai asas kukuh untuk tidak mempercayai peperangan tamadun akan berlaku. Ini berdasarkan kenyataan beliau sendiri, seorang doktor tidak akan memberi sebarang ubat kepada pesakitnya tanpa membuat kajian mendalam terlebih dulu. Dr Mahathir percaya kekerapan pendapat atau sesuatu pandangan itu ditonjolkan memungkinkan ia menjadi kenyataan dan diterima masyarakat sebagai satu realiti.

Bagi Dr Mahathir, masyarakat dunia sepatutnya tidak terpengaruh dengan pandangan itu. Sebaliknya, perlu memikirkan bagaimana mereka dapat belajar dan mengamalkan nilai murni antara tamadun itu sendiri.

A New Deal for Asia diterbitkan oleh Penerbitan Pelanduk. Buku setebal 155 halaman ini mengandungi tujuh bab yang sebahagian besarnya menyentuh masalah kegawatan ekonomi di Asia dan usaha mengatasinya.

Bab berkenaan ialah: 'An Asian View of the World', 'Asia's Road to Prosperity', 'Who Spoiled the Asia Dream', (Siapa yang memusnahkan mimpi Asia), 'Asian View in a Turbulent World' (Pandangan Asia terhadap Dunia yang bergolak),  'Looking East Again? Japan's Role In Reviving Asia', (Sekali lagi Pandang ke Timur? Peranan Jepun dalam Kebangkitan Asia) 'Rebuilding East Asia for The New Millenium' (Membina Semula Asia Timur bagi menghadapi alaf baru), dan 'Will the 21st Century Still Be the Asia Century?' (Adakah abad ke-21 masih menjadi abad Asia?).

Dr Mahathir yang terkenal sebagai pemimpin yang lantang dan berani, bukan saja di negara sendiri malah di peringkat antarabangsa, dalam buku ini dengan keras membidas negara maju yang berusaha menjerumuskan ekonomi Asia.

Baginya, Barat sentiasa mempunyai agenda tersembunyi dengan mencipta sesuatu yang boleh malahirkan suasana cemas dan tegang. Pelbagai teori mereka kemukakan, termasuk nepotisme, kronisme dan sebagainya. Malah, konflik antara tamadun juga dianggap salah satu genderang prejudis Barat kepada tamadun yang mereka curigai.

Dalam hal ini, nampaknya Dr Mahathir dengan tegas menjelaskan, konflik tamadun yang diwar-warkan oleh Huntington adalah konflik antara Islam dan Barat. Menurutnya, ini adalah sesuatu yang mustahil berlaku. Sebaliknya Barat perlu menghakis prejudis terhadap Islam dan dunia Timur.

Sifat tamak, dengki, hipokrit dan prejudis yang mendalam negara maju terhadap Asia juga menjadi begitu jelas apabila pada suatu ketika mereka memperjuangkan hak asasi manusia secara global, pada waktu yang sama memperlekeh pandangan dan usaha orang lain.

Sebagai contoh Dr Mahathir menjelaskan apabila definisi demokrasi dan hak asasi manusia yang dilaung-laungkan Barat tidak dipatuhi, ramai pemimpin Asia, termasuk beliau sendiri merasai tekanan daripada Barat.

"Walaupun kami berusaha mengamalkan cara kapitalis Barat, pertumbuhan ekonomi Asia tetap menderita akibat krisis kewangan yang melanda Asia sejak Julai 1997," katanya.

Krisis kewangan yang menyebabkan kegawatan ekonomi yang begitu teruk, malah ada yang berpendapat ia lebih buruk daripada yang dialami Amerika Syarikat pada 1930 itu benar-benar menghiris perasaan, bukan saja Dr Mahathir, malah ia memamah tulang-belulang penduduk Asia yang memang terkenal gigih itu.

Selain Malaysia, negara Asia yang terjejas teruk akibat krisis kewangan dan serangan spekulator kewangan antarabangsa adalah, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Korea Selatan, Thailand dan Indonesia terpaksa meminjam berbilion dolar dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Ironinya, pinjaman itu gagal menyelamatkan kegawatan ekonomi dan krisis kewangan negara terbabit.

Indonesia menjadi mangsa paling derita. Negara itu, bukan saja mengalami keruntuhan ekonomi yang menyedihkan, malah bantuan kewangan IMF itu menyebabkan kestabilan politik negara itu runtuh. Peletakkan jawatan Presiden Suharto dan tunjuk perasaan besar-besaran rakyat Indoneisa pada Mei 1997 adalah akibat ketidak ikhlasan IMF membantu negara itu.

Malaysia bernasib baik kerana tidak terikut-ikut dengan umpan dan rentak IMF. Sebaliknya Malaysia mengambil langkah berani memulihkan ekonominya dengan mengadakan sistem kawalan kewangannya sendiri. Ini menyebabkan penggerak usaha menjatuhkan ekonomi Malaysia tersedak dan mulai sedar; tidak semua negara boleh dipatahkan tengkuknya dengan mudah.

Dalam bukunya itu, Dr Mahathir menegaskan Asia tidak boleh dibentuk dengan acuan dan imej Barat. Asia mempunyai nilai dan kekuatan tersendiri. Pendeknya Asia mesti berdiri sendiri dan memugal kekuatannya sendiri di benua bertuah ini. Dalam hal ini, Dr Mahathir percaya dengan disiplin yang kuat, Asia boleh menguasai segala-galanya.

Disiplin penting kerana selama ini penduduk Asia dimomokkan kurang berdisiplin dan paling menyedihkan mereka dijilid dengan pandangan negatif kononnya masyarakat Asia tidak yakin kepada diri sendiri. Dengan perkataan yang lebih tepat masyarakat Asia adalah bodoh, pemalas, pengotor dan sebagainya.

Penjajahan Barat terhadap negara Asia yang begitu lama meninggalkan kesan negatif kepada pembentukan peribadi masyarakat Asia. Sepanjang penjajahan, masyarakat Asia dikatakan lemah semangat dan hanya Barat yang gagah dan bijak. Paling malang beratus tahun lamanya perkara ini menjadi darah-daging dalam masyarakat Asia. Hanya selepas menikmati kemerdekaan barulah mereka berjaya memperbaiki kelemahan itu.

"Setiap orang boleh menguasai segala kepakaran dan ilmu pengetahuan dengan syarat mereka bersungguh-sungguh," kata Dr Mahathir.

Pendapat Dr Mahathir memang berasas. Malaysia sendiri yang turut dilanda krisis ekonomi akibat serangan spekulator kewangan antarabangsa dan tekanan IMF berjaya keluar dari gerhana ekonomi itu. Walaupun unjuran pertumbuhan ekonomi tidak setinggi lapan peratus sebelum Julai 1977, kini unjuran pertumbuhan ekonomi cukup menggalakkan.

IMF sendiri terpaksa menjilat semula ludahnya apabila terpaksa menerima kenyataan Malaysia beupaya berdiri sendiri, malah mengukuhkan semula ekonominya tanpa bantuan IMF.

Langkah silat ekonomi Malaysia yang dibuka oleh Dr Mahathir berjaya mengatasi gerak tinju Barat yang digerakkan oleh IMF. Dr Mahathir berjaya memperkenalkan ilmu mempertahankan ekonomi Malaysia dengan menyesuaikan langkah silat Melayu yang lembut, tetapi keras dan pukulan mautnya.

Dalam hal ini, dengan sokongan padu rakyat, Dr Mahathir yang sebelum ini dikecam kononnya penyebab keruntuhan ekonomi negara muncul menjadi juara di tengah gelanggang. IMF dan Bank Dunia turut memuji langkah Malaysia itu. Selain itu beberapa blok ekonomi, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat sendiri mulai membuka mata dan ingin mempelajari pendekatan Malaysia.

Dalam bukunya itu juga Dr Mahathir mengajak rakyat Malaysia supaya belajar bersungguh-sungguh daripada semua tamadun ilmu di dunia. Malah, bagi Dr Mahathir, mempelajari budaya asing, terutama Barat tidak akan mengurangkan nilai Asia khususnya bangsa Melayu.

Beliau menolak sama sekali pandangan negatif yang berpendapat mengambil nilai Barat akan membaratkan bangsa Melayu. Bagaimanapun pada waktu yang sama Dr Mahathir mengingatkan adalah tidak bijak masyarakat mengamalkan secara membuta-tuli semua tamadun dan budaya Barat. Beliau mengingatkan budaya dan tamadun Asia amnya dan Melayu khasnya mempunyai nilai yang tinggi dan wajib dikembang dan dipertahankan.

Mengenai Abad ke-21, Dr Mahathir dengan jelas berpendapat, abad itu adalah abad semua negara-bangsa. Kerana itu, beliau menolak kemungkinan berlakunya pertempuran tamadun seperti yang diwar-warkan oleh Huntington. Sebaliknya dengan semangat kerjasama semua benua, peperangan boleh dielakkan.

Menurut Dr Mahathir, jika digalur semula tamadun manusia, kemungkinan peperangan antara tamadun itu wujud tidak boleh dielakkan. Perkara ini berasaskan evolusi peperangan itu sendiri yang bermula daripada peperangan antara suku kaum kepada daerah dan apabila terbentuknya negara-bangsa, peperangan merebak antara negara.

Berasaskan teori evolusi perang itu, tidak hairanlan jika Huntington meramalkan peperangan yang akan datang adalah antara tamadun dunia. Bagaimanapun, Dr Mahathir berpendapat, dunia tidak semestinya patuh kepada teori akademik semata-mata.

Beliau mengingatkan, jika manusia asyik memberi fokus kepada perbezaan pendapat dan persengketaan semata-mata sudah pasti akan berlaku perpecahan masyarakat. Sebaliknya, jika masyarakat bekerja keras untuk menjamin perpaduan dan kerjasama, sudah pasti tidak akan berlaku sebarang perpecahan.

Sebagai membalas ramalan ahli sains politik Barat, Dr Mahathir meramalkan Abad ked-21 adalah abad yang penuh ceria generasi muda yang lebih beretika, berilmu dan memahami roh tamadun dunia.

Bagi generasi muda, kata Dr Mahathir, mereka hendaklah berani merungkai ikatan budaya yang lapuk dan sebaliknya mengamalkan nilai ilmu yang lebih tinggi dan bermanfaat kepada dunia seluruhnya.

"Generasi muda abad ke-21 mesti memikirkan diri mereka adalah rakyat dunia," kata Dr Mahathir kemudian menyambung: "Mereka mesti melupakan warna kulit, keturunan dan sifat lemah semangat."

Di sini, Dr Mahathir mengajak generasi muda memanfaatkan teori dunia tanpa sempadan (lihat Kenichi Ohmae: Borderless World, 1989) dengan menghapuskan prejudis bangsa, politik, ekonomi, agama dan pelbagai lagi.

"Generasi muda abad ke-21 mesti mengelakkan diri dan menghalang berlakunya perperangan antara tamadun dunia," katanya.

Zaman informasi dan teknologi maklumat yang tinggi pada abad ke-21 itu, kata Dr Mahathir perlu dimanfaatkan secukupnya dan seadil-adilnya supaya tidak ada negara yang akan terpulau. Dalam hal ini, Dr Mahathir mengajak belia, khususnya Asia membina kekuatan diri sendiri dan menjadikan tamadun dunia untuk satu bangsa saja.