Edisi Bahasa Malaysia
 
BAHAYA ORIENTALIS BERTAPAK SEMULA
 

Saya prihatin terhadap ucapan, cadangan, dan propoganda Datuk Dr Harun Din untuk mengeluarkan Perlis dari Malaysia. Perlis adalah sebuah wilayah dalam Persekutuan Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Sebarang usaha, cadangan, ucapan dan propoganda sedemikian hanya membuka ruang kepada musuh negara untuk meranapkan perpaduan dan keselamatan negara sejak tragedi 13 Mei 1969 yang tidak ternilai harganya.

Memenadangkan penceramah dikenali tokoh agama dan akademik, ucapan itu telah menjadi propoganda dan secara halus merangsang semangat anasir subversif untuk memporak-perandakan keharmonian hidup masyarakat majmuk, menghilangkan rasa hormat rakyat kepada undang-undang dan perlembagaan negara, nenanam semangat benci kepada kerajaan, Raja-Raja Melayu, malah mempunyai elemen tragedi mengeluarkan Sabah dan Malaysia (1989).

Sebagai rakyat Malaysia, saya menentang keras sebarang usaha mendesak dan mengapi-apikan rakyat ke arah perpecahan negara kita. Malaysia sebuah negara demokratik dan berperlembagaan, dan hendaklah diurus tidak dengan cara revolusi.

Kita hendaklah peka bahawa suntikan maut fundamentalis dan orientalis asing untuk menghancur-leburkan bangsa dan agama kita tidak pernah berhenti. Mereka sentiasa menunggu, merancang, mencari ruang sesempit mana pun demi menyuntik pil kebencian rakyat kepada Raja-Raja Melayu dan kerajaan yang dipilih rakyat. Ini tidak mustahil kerana jemaah Qadiani di Pakistan dalam Al Arqam telah membuktikannya. Nampaknya Dr Harun secara tidak sedar membuka ruang kepada fundamentalis dan orientalis untuk bernafas semula di Malaysia.

Saya teringat surat As Syahid Maulana abul A'la Maududi pada tahun 1961 dahulu, bahawa usah terpedaya dengan personaliti Islamik seseorang kerana itu tidak menjamin dia benar-benar Islamik berpandukan al Quran dan al Hadis.

Menurut Maulana Maududi, Mohamad Assad yang menulis 'Islam at the Crossroad' dan Dr Wilfred Cantwell Smith penulis 'Islam in modern history', dua tokoh berwajah Islamik tetapi adalah dalang orientalis yang tidak disedari Islam. Rakyat dan kerajaan hendaklah peka dan bertindak tegas terhadap pemimpin yang tidak menyedari diri mereka dieksploit secara halus untuk menghancurkan negara kita.

Sepatutya, jika mereka mempunyai nawaitu ikhlas untuk menegakkan syariat Islam di antero benua ini, tidak perlu menghasut rakyat untuk berevolusi dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Yahudi, Nasrani, ataupun kafir sebagaimana orang Quraisy zaman jahiliah. Tidak bolehkah berdakwah dengan bijaksana sebagaimana As Syahis Hassan Al Banna, Syed Qutb, atau Maulana Maududi sendiri, walaupun mereka telah tiada tetapi idealisme dan perjuangan mereka diteruskan oleh generasi terkini.

Tindakan mencemuh dan menghina peribadi dan keluarga Perdana Menteri (seperti buku SHIT) samalah maksudnya menghina Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai institusi yang menaungi majlis eksekutif, legislatif, dan jurisdiktif negara. Mereka semua patut dihukum melalui undang-undang negara.

Saya mencabar Dr Harun sebagai rakyat Malaysia berjiwa Melayu tulen, sekiranya tidak mampu menghormati perlembagaan negara agar memohonlah kerakyatan negara lain yang beliau fikir sesuai. Atau, carilah pulau-pulau di muka bumi Allah ini untuk dibeli dan buatlah kerajaan Islam tueln dalam tempoh 24 jam.

Jika beliau mampu melakukannya. Pada fikiran saya, beliau tidak lagi layak memakai nama Malaysia kerana ucapannya menunujukkan beliau tidak lagi mendaulatkan negara. Perlis bukan milik Dr Harun. Perlis milik rakyat Malaysia, dan kita wajib mempertahankan walau sekangkang kera sebagaimana kita memperjuangkan Pulau Layang-Layang, Pulau Ligitan, Pulau Sipadan, Pulau Batu Putih dan Kepulauan Spratly milik negara.

AL AZZHARRI SIDDIQ HJ KAMUNDRI
TAWAU, SABAH