Profesor Madya Datuk Mahadzir Mohd Khir ialah pensyarah Universiti Malaya.
MULAI Isnin (18 Oktober) lalu, perhatian rakyat tertumpu kepada persidangan
Parlimen pada 18
Oktober yang lalu. Seramai 110 daripada 192 perwakilan hadir dalam sidang
itu. Ada ramalan bahawa
persidangan kali ini adalah yang terakhir sebelum ia dibubarkan bagi membolehkan
pilihan raya diadakan.
Tidak timbul lagi soal sama ada ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri
Anwar Ibrahim diberitahu atau
pun tidak. Apa yang pasti beliau tidak berada di Parlimen. Pada hari yang
sama Hakim Datuk Ariffin Jaka
membuat keputusan pihak Anwar dipanggil untuk membela diri mulai hari Khamis
(20 Oktober). Ini
bermakna beliau akan sibuk dengan kes di mahkamah.
Dari sesi perbahasan di Parlimen, kes keracunan arsenik masih menjadi isu
yang menimbulkan suasana
cabar-mencabar antara wakil DAP dengan Barisan Nasional (BN). Ini kerana
pihak pembangkang
membangkitkan cadangan supaya diwujudkan satu Suruhanjaya Diraja untuk
menyiasat isu itu. Wakil
Kerajaan, Datuk Azmi Khalid menyatakan adalah tidak perlu berbuat demikian
kerana segala ujian dan
pendapat daripada pakar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
sudah cukup. Malah,
Karpal Singh, anggota pembangkang yang juga peguam bela Anwar dicabar untuk
menyebut apa yang
dinyatakan di mahkamah dan di luar mahkamah.
Pada 29 Oktober pula, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainudin akan
membentang Belanjawan
2000. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir
Mohamad sebelum ini
bahawa belanjawan akan tetap dibentangkan.
Dr Mahathir yang tidak pernah letih terus mampu menaiki kereta laju, turut
menyaksikan dan
menyampaikan hadiah kepada pemenang Grand Prix KL yang pertama kali diadakan
di Malaysia. Beliau
sendiri menyatakan sukan bermotor seperti grand prix adalah kegiatan yang
akan membawa pulangan
besar, bukan saja dari segi pelancongan, malah pekerjaan dan dalam bidang
kejuruteraan bermotor. Ini
akan membantu dari segi industri motokar Malaysia dan minyak Petronas.
Selesai Grand Prix, beliau berkesempatan pula menemui Presiden Palestin,
Yasser Arafat. Pertemuan itu
sebagai menyatakan penghargaan Palestin atas sokongan Malaysia selama ini
untuk membolehkan
wujudnya negara Palestin. Di samping itu, Arafat juga menyatakan sokongannya
terhadap pendirian
Menteri Luar Syed Hamid Albar, berhubung isu kontroversi penemuannya dengan
wakil Israel di New
York baru-baru ini. Pendirian Malaysia tetap tidak berubah iaitu untuk
kebebasan Palestin. Oleh itu, tidak
timbul sama sekali kemungkinan adanya hubungan diplomatik Malaysia Israel
seperti dibangkitkan oleh
Pas. Malah tidak timbul diplomasi bersemuka sebagai langkah awal hubungan
diplomatik.
Dr Mahathir kemudiannya ke Singapura untuk menyampaikan ucapan di Persidangan
Kemuncak
Ekonomi Asia Timur. Forum itu dianjurkan oleh Forum Ekonomi Dunia yang
berpusat di Geneva. Dalam
ucapannya beliau menyarankan penubuhan sebuah Dana Kewangan Asia Timur
(EMF). Tujuannya ialah
untuk membantu negara-negara Asia Timur dalam menghadapi masalah kewangan.
Malaysia sendiri
mengalami masalah itu dan masih tidak tunduk kepada bantuan Tabung Mata
Wang Antarabangsa (IMF).
Malah, Malaysia menghadapi krisis yang melanda ekonominya dengan formula
sendiri iaitu dengan
memperkenal kawalan modal yang terbukti menghasilkan kejayaan.
Kemudian, sekembalinya dari Singapura, beliau yang masih bertenaga terus
ke majlis perasmian sidang
Industri Kecil dan Sederhana (SMI) di Kuala Lumpur.
Selasa lalu, beliau sibuk dengan lawatan rasmi Presiden Venezuela, Hugo
Rafael Chaves Frias. Pertemuan
ini juga berkisar kepada persoalan dagangan antara Malaysia dengan Venezuela,
sebuah negara di
Amerika Latin. Ini membuktikan keupayaan Malaysia dalam soal dagangan dan
kewangan antarabangsa
dengan kaedah yang bersifat proaktif. Malaysia kini menjadi rujukan kepada
negara-negara yang ingin
membangunkan ekonominya.
Urutan dan perkembangan peristiwa itu boleh dilihat dari pelbagai sudut.
Antaranya ialah dari sudut politik
dalaman dan politik antarabangsa. Peristiwa-peristiwa itu bukan saja berlaku
dengan begitu pantas
bagaikan Formula Satu dalam sirkit yang ditentukan, tetapi ia mempunyai
kaitan antara satu sama lain.
Bermula dengan persidangan Parlimen yang dijangka sebagai sidang terakhir
sebelum pilihan raya yang
mungkin diadakan akhir tahun ini atau awal 2000. Persidangan itu akan membahaskan
Belanjawan 2000
yang akan dibentang oleh Daim sekian lama tidak muncul sebagai Menteri
Kewangan, kerana sebelum ini
Anwar adalah Menteri Kewangan. Pembentangan Belanjawan 1999 dilakukan sendiri
oleh Dr Mahathir
pada penghujung tahun lalu (1988). Pembentangan itu dilakukan sesudah dua
peristiwa iaitu penangkapan
Anwar dan pengumuman pengawalan modal. Walaupun dalam suasana muram akibat
kegawatan,
Malaysia masih mampu merancang belanjawan tahun berikutnya, iaitu untuk
tahun ini. Selanjutnya,
walaupun nilai ringgit menjunam akibat krisis mata wang, Malaysia masih
mampu meningkatkan kegiatan
ekonominya. Malah pada satu peringkat ia diramalkan akan menjadi sangat
lembap dan akan
mengakibatkan pembuangan kerja dan penghantaran pulang pekerja asing.
Ramalan itu ternyata salah. Tindakan pengawalan modal berjaya memulihkan
keadaan. Ini juga kerana
kestabilan politik dalaman masih dapat diwujudkan. Puncanya ialah kerana
kerajaan yang masih boleh
berfungsi dan tidak terdapat perpecahan dari dalam, walaupun ada percubaan
untuk mengasak supaya
berlaku kekecohan dan perpecahan. Ini dianggap sebagai ujian dan kemampuan
mengurus krisis.
Walaupun ada tekanan dari luar dan serangan berbentuk psikologikal namun
semuanya berjaya ditangkis
oleh kerajaan. Malah ada kenyataan yang cuba menyamakan suasana seperti
di Indonesia, dan terdapat
juga beberapa kegiatan negatif untuk mengasak suasana bertukar menjadi
seperti di Indonesia. Namun, ia
dapat ditangani dengan berkesan. Malaysia terus bertahan serta berjaya
memulih keadaan.
Pengurusan krisis berkenaan dapat dilakukan dengan berkesan kerana gabungan
parti dalam BN masih
tidak berpecah. Umno sendiri pada awal dilihat sebagai mungkin berpecah
seperti 1987, tetapi hal ini
tidak berlaku. Ini sebagai penyumbang kepada kekuatan kerajaan dan parti
yang mendokong kerajaan
masih dalam kesatuan. Ini tidak menjadi faktor mencetus kekeruhan kestabilan
politik dalaman. Orientasi
masa depan kerajaan berjaya meletakkan keutamaan yang betul pada masanya,
dan Malaysia terus
melangkah memenuhi cita-citanya. Kini suara negatif mengenai Malaysia terpaksa
mengakui kekuatan
mental dan psikologi Malaysia.
Dengan kaedah pengurusan krisis ekonomi dan kewangan yang terancang yang
membolehkan prestasi
meningkat, apakah ramalan mengenai belanjawan yang akan dibentang pada
29 Oktober nanti? Misalnya
adakah akan berlaku beberapa pengecualian cukai dan pertambahan peruntukan
program sosial. Di
samping itu sudah tentu beberapa galakan sebagai tarikan pelaburan asing
bagi mempertingkat kegiatan
ekonomi dan meluaskan peluang pekerjaan akan diberi pertimbangan. Kemungkinan
juga sektor awam
akan diberi penekanan di samping sektor swasta. Dr Mahathir sendiri menyatakan
belanjawan akan
bersifat mesra.
Berdasarkan kenyataan Dr Mahathir yang menekankan bahawa Belanjawan akan
tetap dibentangkan,
mempunyai maksud tertentu. Ini dianggap sebagai peluang untuk kerajaan
yang mempertahan kedudukan,
menyatakan pendirian serius dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Dengan
berbuat demikian ia
dapat dilihat sebagai cara memberi isyarat prapilihan raya dan sebagai
petunjuk dalam proses membuat
penentuan. Jelasnya, ia boleh dimaksudkan sebagai usaha memberi keyakinan
kepada pengundi untuk
membuat pertimbangan sama ada mahu terus memberikan 'endorsement' dalam
pilihan raya akan datang.
Dengan perkataan lain belanjawan kali ini, mungkin dianggap sebagai 'belanjawan
pilihan raya', tetapi
secara rasional ia adalah tanggungjawab kerajaan dan cara memperlihat keseriusan
mengurus serta
mentadbir negara. Di samping itu, ia juga boleh dijadikan sebagai garis
pemisah antara aktiviti kerajaan
dengan mainan politik antara parti.
Berbalik kepada persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tidak
dalam persidangan itu, ia terus
menjadi ramalan. Dalam hal ini dua pendapat dari dua orang yang pernah
menjawat Timbalan Perdana
Menteri, iaitu Tan Sri Musa Hitam dan Tun Ghafar akan dipetik.
Menurut Tan Sri Musa, pilihan raya wajar diadakan dalam masa yang terdekat
ini. Ini kerana pelbagai isu
sudah ditimbulkan seperti persoalan perkauman, agama dan budaya. Beliau
turut menyatakan
kebimbangan isu-isu itu, sekiranya dilanjutkan mungkin memudaratkan keadaan
dalam keghairahan untuk
meraih sokongan dalam bentuk undi. Musa tidak menyebutkan adakah tahun
ini atau awal tahun depan.
Terdekat boleh dimaksudkan dalam beberapa bulan ini. Ini boleh juga dimaksudkan
awal tahun 2000.
Atau mungkin juga maksud beliau November ini? Pendapat beliau mungkin ada
relevannya kerana
sekiranya isu-isu seperti perkauman, agama dan budaya 'dimainkan' sehingga
ke puncaknya dalam politik
antara parti, ia mungkin tidak dapat dikawal. Bagaimanapun sekiranya pilihan
raya diawalkan apakah,
isu-isu itu tidak dipolitikkan atau dapat dihentikan? Adakah beliau mahu
menghantar mesej kepada Dr
Mahathir supaya pilihan raya dipercepat agar isu musim pilihan raya tidak
dibesar-besarkan dan masa
ditumpu kepada pembangunan.
Kepada Tun Ghafar, beliau lebih spesifik dan menyarankan agar pilihan raya
diadakan awal tahun depan.
Tujuannya ialah agar parti-parti pembangkang ketandusan isu. Daripada saranan
beliau, ia boleh
dimaksudkan bahawa survival parti pembangkang lebih bergantung kepada isu.
Di samping itu mungkin
beliau setuju dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memerangi
'pembohongan' dan 'fitnah'
parti pembangkang terlebih dahulu. Dengan perkataan lain Umno memerlukan
masa secukupnya dalam
strategi pusingan akhir sebagai penutup kempen pilihan raya.
Kedua-dua pendapat itu mungkin ada kelainan tetapi persoalan pokok ialah
jangka waktu BN untuk
berdepan dengan pengundi. Dari satu sudut mungkin pendapat mereka mempunyai
kesamaan dari segi
isu. Musa mahukan isu berbau politik cepat dikesampingkan, manakala Ghafar
mahukan isu dijawab
sebagai penjelasan pihak BN kepada parti-parti pembangkang dan memberi
peluang pengundi membuat
pertimbangan.
Kesimpulannya, sama ada pilihan raya diadakan November ini atau awal 2000,
pokoknya ialah
pertimbangan pengundi mestilah berasaskan kepada pemikiran yang rasional.
Kestabilan politik
bergantung kepada kedaulatan warga Malaysia membuat penentuan. Ini berpaut
kepada kemampuan
proses pembentukan kerajaan yang mampu dalam pengurusan dan pentadbiran.
Masa depan politik
bukan terletak kepada ideologi semata-mata tetapi terletak kepada dasar
yang realistik.