Oleh Mahadzir Mohd Khir
DATUK Azhar Mansor selamat pulang ke tanah air pada malam 11 Ogos lalu. Beliau tidak kelihatan letih. Beliau benar-benar dilihat sebagai pelaut negarawan. Semangat juangnya mengharungi ribuan batu nautika lautan akan terus bernyala sebagai obor menyambut hari kemerdekaan ke-42 pada 31 Ogos nanti. Manakala pasukan Malaysia pula dapat meraih 57 pingat emas di Brunei dalam sukan SEA. Secara simbolis, 57 angka keramat yang mana kemerdekaan kita juga bermula dari tahun 1957. Semuanya berlaku dalam bulan ini, bulan Ogos. Walaupun perayaan hari kemerdekaan akan tiba, ramalan mengenai bila pilihan raya akan diadakan masih belum ada jawapan. Tiada siapa dapat menjangka bila ia akan berlaku. Masing-masing membuat ramalan saja. Bagaimanapun, parti-parti politik, sama ada pembangkang atau Barisan Nasional (BN), semuanya membuat persediaan. Masing-masing tidak mahu ketinggalan.
Tiba-tiba saja, di Jakarta, Dr A C Manullang, bekas Pengarah Badan Penyelarasan Perisikan Negara Indonesia (Bakin) membuat satu kenyataan dalam satu sidang akhbar tempatan. Beliau mendakwa adanya campur tangan CIA (Central Intelligence Agency Amerika Syarikat) dan Mossad (Israel), dua badan perisikan mempunyai agenda untuk menjatuhkan Presiden B J Habibie. Di samping itu, kedua-dua badan perisik itu secara tersembunyi bertujuan untuk melemahkan negara-negara di rantau ini. Mungkin pada sesetengah pihak, ini dianggap sebagai cerita lama. Malah ada juga yang berpendapat apa juga masalah politik domestik, negara-negara membangun kerap kali menjadikan CIA sebagai 'scape goat' kepada permasalahan mereka. Mungkin ada anggapan yang mengatakan ia cerita dongeng. Sama ada ia cerita dongeng atau cerita yang senjaga diadakan, perlu sama-sama diberi pertimbangan.
Sebenarnya bagi sesiapa yang tahu mengenai dasar luar Amerika, CIA ditubuhkan sebagai sebuah agensi yang membantu dalam pembentukan dasar luar Amerika. Kebiasaannya dasar yang dirumus adalah untuk menjaga kepentingan Amerika dalam politik antarabangsa. CIA akan membantu mengumpul pelbagai maklumat, kemudian memproses dan menilainya untuk pihak Majlis Keselamatan Negara Amerika yang bertanggungjawab kepada Presiden dalam tindakan dasar luar ke atas negara-negara tertentu. Sememangnya tujuan Amerika ialah untuk menjaga kepentingan negara itu di seberang laut.
Pernah pada satu peringkat, CIA dianggap sebagai persoalan kontroversi di mana perlakuannya amat mencurigakan. Walaupun pada dasarnya ia sebagai agensi untuk mengumpul maklumat bagi pihak Amerika, ia juga mempunyai agenda tersembunyi. Disebabkan ia adalah sebuah badan perisik, kegiatannya lebih bersifat 'rahsia'. Tindakannya juga berbentuk pelbagai cara tersembunyi (cover action) dalam usaha mendapatkan maklumat. Semua cara dianggap 'halal' dalam tindakan untuk mengubah cara berfikir serta tindak tanduk pemimpin di sesetengah negara. Tujuannya ialah untuk menguasai perlakuan pemimpin negara supaya memihak kepadanya.
Bagi pemimpin yang sukar diubah perlakuannya, cara-cara lain pula akan dikenakan. Ini bermakna secara tidak langsung mereka berusaha mencampuri politik domestik sesebuah negara dengan cara tersembunyi. Pihaknya akan menggunakan segala macam rancangan tindakan termasuk sabotaj sekiranya perlu jika pemimpin itu tidak akur kepada kehendak mereka. Kegiatan CIA sewaktu Perang Dingin (Cold War) di rantau ini begitu berkesan sekali. Misalnya, di zaman Soekarno, oleh kerana kegiatan Parti Komunis Indonesia (PKI) terlalu kuat mempengaruhi pemimpinannya, CIA turut berperanan. Ini juga disebabkan kerana agensi perisik lain, khususnya KGB (Russia) memainkan peranan mengembang ideologi komunisme di Indonesia. Dengan kata lain pada ketika itu Jakarta seolah-olah menjadi pusat 'espionage' rantau ini di mana pihak CIA dan KGB masing-masing cuba mempengaruhi perlakuan politik Indonesia supaya memihak kepada negara induk agensi perisik masing-masing.
Kemudian berlakunya peristiwa 'coup' 30 September 1965 yang mana Soekarno dijatuhkan dan digantikan dengan Soeharto. Peristiwa itu digambarkan secara terperinci oleh Kerry B Coolison dalam novelnya The Merdeka Square. Walaupun ia sebuah novel, tetapi ia didasarkan kepada kajian yang mendalam berasaskan kepada dokumen yang diperolehinya.
Kini rantau Asia Tenggara tidak lagi menghadapi kesan Perang Dingin. Tetapi politik antarabangsa berkisar kepada hegemoni unipolar iaitu Amerika Syarikat. Blok komunis, termasuk Russia kini menghadapi masalah domestiknya sendiri, tidak lagi berkemampuan meluaskan sayapnya. Apa yang ternyata ialah 'sayap helang' Amerika (Amerika Eagle) mula mengepak luas, memastikan kehendak dan kepentingannya terjaga di seluruh pelusuk dunia. Di sinilah, agensinya iaitu CIA berperanan. Oleh itu kenyataan Dr Manullang, yang pernah dapat latihan dari Mossad, perlu dilihat secara serius. Beliau juga menyatakan bagaimana sesetengah agensi, yang pada permukaannya dilihat sebagai agensi perdagangan atau kewangan dan nampaknya mempunyai identiti yang berkecuali, tetapi kegiatan tersembunyi (covert) sukar diketahui.
Misalnya, Yayasan Quantum yang di belakangnya George Soros dilihat mempunyai identiti berkecuali, tetapi mempunyai tugas campur tangan ekonomi global melalui strategi kewangan. Mungkinkah apa yang dimaksudkan oleh Dr Manullang ada kebenarannya dan keadaan yang berlaku di pasaran kewangan baru-baru ini yang mewujudkan gawat adalah satu rancangan yang tersembunyi. Ia mungkin sukar untuk dibuktikan, tetapi apakah tidak mungkin 'tangan-tangan yang tersembunyi' berperanan?
Dalam buku Islamic Threat tulisan Esposito, terdapat kenyataan seperti bahawa selepas ancaman kuasa 'Merah' (komunisme) kemungkinan Hijau (Islam) akan mengambil alih tempat merah untuk mengancam kuasa Barat termasuk Amerika. Negara-negara Islam bukan saja dari Asia Barat, tetapi Asia Tenggara, di mana Indonesia dan Malaysia adalah kawasan penduduk Islam yang terbesar.
Bagi menjaga kepentingan Amerika, khususnya ekonomi pasaran mereka berasakan amat wajar pihaknya menguasai rantau ini. Secara logik, ini bermakna politik domestik perlu dikuasai terlebih dahulu. Untuk menjayakan rancangan itu perlakuan pemimpin dan persepsi umum terhadap pemimpin perlu dikuasai sebagai cara menentukan perlakuan politik kedua-dua pihak. Salah satu pihak akan cuba dipengaruhinya agar satu angkubah daripada angkubah (pemimpin atau warga) dapat dikawal. Malah, jika boleh suasana atau persekitaran politik boleh dilazimkan (conditioning) menurut 'suhu' yang tetapkan.
Jika pasaran wang serta tukaran wang, dolar Amerika Syarikat menjadi penentu, maka ini akan memudahkan kawalan untuk menentukan turun naik ekonomi. Pada hari ini, dengan konsep globalisasi dan dengan isu liberalisasi, ekonomi pasaran cuba diasak supaya dibuka seluas-luasnya kepada persaingan bebas, sebagai cara untuk mengubah perlakuan politik domestik kita. Cara ini mungkin dilihat sebagai fenomena yang semula jadi, tetapi motif atau agenda tersembunyi pihak tertentu tanpa disedari sebenarnya beroperatif.
Secara kasar mungkin ada pihak beranggapan keadaan ekonomi yang bergantung kepada mata wang dolar Amerika yang rata-rata dapat menentukan kos dan inflasi adalah perkiraan teori ekonomi. Tetapi pihak berkenaan tidak mengambil kira politik antarabangsa yang bertunjangkan kuasa unipolar. Dalam hal ini ramai yang lupa mengenai politik antarabangsa yang berpaksi kepada konsep 'hegemoni' yang mana politik bererti kuasa. Selanjutnya kuasa boleh diertikan sebagai pengawalan ke atas perlakuan atau sikap politik sesebuah negara. Jika politik domestik boleh dikuasai, ia juga dapat menentukan dasar luar.
Walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil
tetapi perlakuan politik domestik dan luarnya sukar dikuasai. Bagaimanapun
kita perlu memikirkan apa pilihan pihak tertentu? Jika pada awal perbincangan
kenyatan Dr Manullang hanya menyentuh mengenai Indonesia, apakah tidak
mungkin tempiasnya boleh terkena Malaysia? Sukar untuk membuktikan secara
terbuka, tetapi pelbagai andaian boleh dilakukan. Antara lain ialah kemungkinan
agenda tersembunyi beroperasi daripada pelbagai arah: melalui alat komunikasi
eletkronik umpamanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah
berkali-kali 'didemonize' oleh media asing dengan pelbagai bentuk imej
negatif. Tujuannya untuk menimbulkan kesangsian terhadapnya dan secara
tidak langsung mempertikaikan kemampuan kerajaan Malaysia. Pada hal, sistem
pemilihan Malaysia adalah demokratik, tetapi gambaran yang diberi sebagai
tidak demokratik. Ini seolah-olah sebagai justifikasi untuk membolehkan
kuasa asing membantu mana-mana pihak untuk memulihkan demokrasi. Pada hal
kuasa asing berkenaan, di dalam buku-buku yang ditulis oleh mereka dan
pengucapan berulang kali menyatakan mengenai kedaulatan rakyat tanpa campur
tangan asing dalam menentukan pilihan mereka.