Edisi Bahasa Malaysia
 
Cara Malaysia atasi kegawatan ekonomi disanjung

PRESKRIPSI Datuk Seri Dr. Mahathir mengenakan kawalan terpilih modal dan mata wang (selective capital and currency controls) genap dua tahun lusa.Preskripsi Perdana Menteri itu telah dikecam teruk oleh kritikan dalam dan luar negara. Orang asing, boneka mereka di Malaysia baik Melayu dan bukan Melayu yang anti matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB), dengan riak meramal ubat Mahathir akan membawa maut kepada negara dan bangsa.

Mereka memekik mana boleh Malaysia membelakangkan sistem kewangan antarabangsa. Mereka menuntut agar Malaysia terus mendedahkan nilai ringgit, pasaran saham dan modal Malaysia dirompak dan diceroboh penyangak, perompak dan spekulator mata wang antarabangsa seperti George Soros, seorang Yahudi keturunan
Hungary, berpendidikan di England, menjadi rakyat Amerika dan tinggal di New York.

Saya langsung tidak hairan dengan keberanian dan ketegasan Mahathir kerana siapa yang benar-benar kenal Mahathir tahu sifat itu adalah semula jadi tetapi walaupun begitu beliau juga seorang pemimpin yang berbudi bahasa, lembut, murah hati kadangkala emosional.

Melalui satu edik (perisytiharan) ekonomi kerajaan telah memutuskan nilai tukaran mata wang ringgit ditetapkan RM3.80 sen tiap satu dolar Amerika. Sebelum kegawatan ekonomi tukaran mata wang ringgit dolar ialah RM2.50 satu dolar. Masa perompakan oleh spekulator-spekulator dan penyangak, nilai ringgit menjunam jatuh hingga melebihi
empat ringgit satu dolar. Mahathir, seorang tabib lulusan tempatan, membuat preskripsi penyakit Malaysia ini
mesti diberi ubat tempatan. Tegasnya tiap negara harus mencuba ubatnya sendiri. Maka Mahathir pun disokong oleh dressernya (pembantu doktor) Tun Daim Zainuddin memberi ubat yang pahit dan tidak popular dengan orang asing dan spekulator. Kini 'ubat Mahathir' itu sedang menyembuhkan sakit kegawatan ekonomi dan kejayaan itu telah mendapat sanjungan daripada semua pihak termasuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Soros pun. Dia telah berkata memang rejim nilai mata wang dunia perlu kepada kawalan dan peraturan.

Semenjak preskripsi Mahathir berjaya ramailah pemimpin dunia memuji Mahathir termasuk dari negara-negara maju. Kanada, Jepun dan Singapura apatah lagi dari negara Afro-Asia. Kenapa sesetengah negara tidak mampu berbuat seperti kita dan terpaksa menggadai kehormatan, kedaulatan dan kemerdekaan negara langsung membuka luas dan lapang pintu ekonomi negara diterokai oleh orang asing akibat menerima preskripsi IMF tepuk dada tanya selera.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Supachai Panitchpakdi, bakal Setiausaha Agung Pertubuhan Perdagangan Dunia - World Trade Organisation (WTO) selepas Michael Moore, bekas Perdana Menteri New Zealand, akan melepaskan jawatannya tiga tahun lagi (mereka berkongsi jawatan 3 tahun seorang mulai tahun ini) telah berkata preskripsi
Malaysia telah berjaya dan disokong oleh 13 ketua negara Afrika termasuk Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe.
Tegas Supachai; ''Thailand menerima syarat IMF yang terlalu keras. IMF melampaui mengenakan program jimat cermatnya. Sepatutnya Thailand berbelanja bagi menggalakkan pengaliran iktisad. Kini kesannya sebaliknya.

Lalu berkatalah Lee Kuan Yew kepada Nikkei Business, akhbar bisnes Jepun, bulan lepas bahawa kawalan mata wang adalah satu cara bagi menyekat perompak dan kezaliman para spekulator nilai mata wang antarabangsa, kegiatan mereka yang tidak menentu itu boleh membawa ketidakteguhan ekonomi semua negara-negara membangun.Singapura seperti Hong Kong dan Taiwan bernasib baik walaupun mendapat kesan kegiatan-kegiatan spekulator tetapi tidak mengalami kegawatan seperti yang dilalui oleh kita. Thailand, Korea Selatan dan paling buruk Indonesia.Tegas Lee Kuan Yew lagi (yang dianggap oleh dunia Barat terutamanya sebagai seorang pemimpin yang bestari) dia sependapat bahawa gergasi Dana Hedge yang dipunyai oleh George Soros boleh mencabar kedaulatan dan dasar luar sesebuah negara dan mereka adalah satu ancaman.

Selepas kegawatan ekonomi bermula tahun lepas iaitu kemelesetan pertama dalam 13 tahun bagi Malaysia, pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita dijangka meningkat sebanyak 1.8 peratus tahun ini dan 4.3 peratus tahun 2000 mengikut taksiran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Semenjak tahun lepas rizab Malaysia tidak termasuk emas telah meningkat dari AS$20 bilion dolar kepada 31 bilion dolar atau
117.8 bilion ringgit.

Mahathir dan Daim telah berjaya memulih ekonomi kita. Orang beriman mesti menerimanya yang benar benarlah.

Kita mampu bertindak bebas fasal dasar luar kita bebas dan Malaysia bukan sebuah negara boneka. Kita harus selamatkan Malaysia daripada 'dibonekakan' oleh anasir-anasir neo-kolonialisme, penjajahan baru melalui ekonomi.

TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu