Demokrasi hak majoriti rakyat 

DI BETONG, Sarawak baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bercakap mengenai demokrasi yang sering disalahertikan oleh segelintir rakyat. Beliau berkata rakyat tidak perlu membazirkan masa dan fikiran untuk berdemonstrasi semata-mata untuk menggunakan hak menegakkan demokrasi. Hakikatnya, rakyat tidak perlu berdemonstrasi di jalan raya atau di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain. Tindakan seperti itu juga boleh mencemarkan nama baik rakyat dan negara pada mata dunia, melainkan ini adalah niat golongan yang berbuat demikian. Demonstrasi biasanya dilakukan oleh golongan yang menuntut sesuatu hak. Tetapi, jika hak sudah diberikan, apa gunanya membuang masa dengan slogan kosong. Pihak berkuasa mungkin tidak gentar menghadapi sebarang demonstrasi kerana mereka ada cara untuk menenangkan keadaan. Tetapi, apa yang lebih dibimbangkan ialah kesan daripada tindakan itu. Ia mudah mencetuskan keadaan di luar kawalan. Dalam keadaan terdesak, pihak berkuasa tidak boleh bertolak ansur ketika mereka menyuraikan sebarang demonstrasi liar. Jika mahu terbabit secara langsung dalam kegiatan politik, adalah lebih baik
menghadiri ceramah politik yang diadakan dari semasa ke semasa. Ini adalah kebebasan yang diberikan oleh kerajaan yang tidak melarang majlis politik seperti itu diadakan, asalkan ia tidak menimbulkan masalah keselamatan negara. Ini adalah salah satu penghormatan yang diberikan oleh kerajaan untuk menghormati amalan demokrasi. Sebaliknya, jika tindakan pihak terbabit keterlaluan, tindakan menyekat mereka perlu dilakukan.

Hari ini, sistem demokrasi di Malaysia berjalan dengan lancar. Ia bukan saja memberi kebebasan kepada rakyat memilih kerajaan setiap lima tahun, malah rakyat juga dibenarkan mengambil bahagian dalam proses pilihan raya. Parti pembangkang sudah sekian lama menjalankan kempen di segenap pelosok negara untuk menjelaskan perjuangan parti mereka. Mereka tidak segan silu menganjurkan majlis berbentuk ceramah politik yang dihadiri oleh pemimpin parti itu. Di majlis seperti itu, malah di masjid, mereka menghentam kerajaan dan pemimpin tanpa batasan. Lebih daripada itu, mereka juga menjual pita rakaman yang mengandungi ucapan pemimpin mereka yang mempertikaikan setiap usaha kerajaan. Bagi parti pembangkang, kerajaan tidak pernah melakukan sebarang kebaikan. Ini tentulah tuduhan yang tidak adil kepada kerajaan sedangkan parti pembangkang tidak pernah memberi sumbangan untuk membangunkan negara dan rakyat.

Jika ada pihak mempersoalkan hak demokrasi di negara ini, sebenarnya, mereka berdusta. Mereka adalah golongan yang "diberi betis, hendakkan paha". Selepas diberi kebebasan, mereka membuat tuntutan yang bukan-bukan. Golongan ini sebenarnya tidak faham pengertian demokrasi. Mereka memutarbelitkan pengertian demokrasi dengan mengatakannya ia sebagai kuasa rakyat. Hakikatnya, demokrasi adalah kuasa majoriti rakyat. Hanya majoriti rakyat saja yang diberi hak untuk membuat keputusan demi kebaikan seluruh rakyat. Apakah hak golongan segelintir rakyat untuk mempersoalkan keputusan hak majoriti rakyat. Jika golongan yang segelintir ini terlalu diberi muka, mereka akan memijak kepala. Melihat tindak-tanduk keterlaluan golongan yang dianggap minoriti dalam sistem politik hari ini, mereka seharusnya sudah dikenakan tindakan. Tetapi disebabkan kerajaan menyanjung hak rakyat kerana sedar mereka sebenarnya dikelirukan oleh pihak berkepentingan, kerajaan masih memberi peluang kepada mereka untuk membuat keputusan di peti undi. Kerajaan menaruh harapan yang tinggi bahawa rakyat akan dapat berfikir dengan waras untuk memilih antara intan dan kaca.