SIMPAN DOKUMEN RAHSIA TINDAKAN BACUL
 

Perkembangan terbaru yang didedahkan mengenai perbuatan mengeluarkan beberapa kotak dokumen kerajaan ke luar negara amatlah menggores perasaan rakyat.  Ini kononnya dilakukan atas alasan bahawa negara ini tidak lagi selamat.

Saya ingin bertanya pihak berkenaan, sebagai orang yang beragama Islam apakah tidak bersyukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaan keamanan, kemakmuran dan keselesaan hidup di negara ini oleh Allah?

Melakukan pembelotan terhadap negara adalah perbuatan yang keji kerana ia boleh mengakibatkan negara kita dijajahi semula seperti mana suatu ketika dahulu.  Tidak semudah mana yang dinyatakan bahawa dokumen-dokumen itu lebih selamat dalam simpanan di luar negara.  Pernahkah pihak-pihak terlibat terfikir apa akan berlaku jika dokumen-dokumen ini 'tercicir' ke tangan orang asing?

Apakah akan berlaku kepada negara jika rahsia kerajaan terbongkar?  Inikah perbuatan yang dikatakan cerdik dan bertanggungjawab?  Walaupun saya sebagai rakyat biasa yang tidak pernah berkhidmat dengan kerajaan, namun kerana terlalu cintakan negara, apa yang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan serta konco-konconya adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana apa yang dilakukan jelas menjual bangsa dan negara.

Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang merasakan demikian tetapi ramai lagi, mungkin berjuta-juta rakyat kecewa dengan berita ini.  Sikap tamak mahu berkuasa sesungguhnya terserlah pada kumpulan ini.  Apakah kita satu kaum, bangsa yang murah untuk diperalatkan, diperlakukan demikian?

Sejarah banyak mendedahkan perbuatan segelintir rakyat yang membantu negara asing menakluki negara ini.  Golongan rakyat ini sebenarnya adalah pengecut dan bacul kerana tidak sanggup menitiskan darah demi mempertahankan negara.  Perbuatan-perbuatan ini boleh disamakan dengan pengkhianat-pengkhianat negara.

Apa yang sedang dilakukan oleh pihak ini adalah sama dengan perbuatan subversif dan ia bukanlah tindak-tanduk seorang pejuang atau pemimpin tetapi pengecut atau bacul yang bersembunyi di luar negara.  Kepada konco-konco ini, berjuanglah dengan ikhlas dan melalui saluran yang betul. Janganlah jadikan dokumen-dokumen itu sebagai perisai tetapi kembalikan dokumen-dokumen itu kerana ia kepunyaan rakyat Malaysia.

Lebih baik, setelah mendapat peluang menerajui kerajaan Malaysia, dedahkan satu persatu.  Tiada siapa akan bertanya atau rasa marah jika dokumen-dokumen itu digunakan untuk mendedahkannya.  Walau apapun alasan atau hujah, peganglah pepatah Melayu,'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri', baik lagi di negeri sendiri.

Ramli Abdullah, Batu Caves, Selangor