Edisi Bahasa Malaysia
ANTARA CIRI-CIRI KEPIMPINAN MAHATHIR DAN PEMBANGKANG
Nenek Kebayan
Air Molek, Melaka 

Apakah kita sedar bahawa negara kita dilimpahi oleh nikmat dan kemakmuran di bawah kepimpinan PM sekarang ini.  Cuma orang yang tidak kenang budi dan buta hati sahaja yang tidak tahu bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.

Sesetengah orang Melayu memang suka mendengar cakap-cakap yang tidak enak didengar dan percaya bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh pihak tertentu yang sememangnya antikerajaan.  Setelah mendengar ceramah-ceramah politik parti pembangkang mereka akan mengulas semula di kantin-kantin atau di pejabat dengan apa yang diperkatakan oleh pembangkang itu benar belaka.

Yang peliknya mereka ini adalah kakitangan kerajaan yang setiap bulan dok makan hasil kerajaan.  Bagi mereka ini duit kerajaan mereka gendak sapu tapi mengutuk tetap juga dilakukan.  Kalau ada apa-apa duit tambahan yang kerajaan beri merekalah yang awal-awal lagi akan senyum meleret dan tak mahu ketinggalan menerima duit tersebut.  Inilah manusia yang muka tak malu.  Cubalah suruh mereka berhenti kerja kerajaan, tak mahu pula.

Sekarang ini yang nyanyuk bukanlah Dr.Mahathir tetapi kenyanyukan ini jelas dapat dilihat di kalangan orang-orang parti pembangkang.  Inilah dia 'kata dulang paku serpih, kata orang awak yang lebih'.  Belum pun menang pilihan raya, dah buat cadangan yang bukan-bukan.  Semua cadangan yang dibuat tidak masuk diakal.  Inilah orang-orang yang akan menghancurkan negara kalau mereka memerintah kelak.

Nampaknya Dr. Mahathir semakin berumur semakin canggih pemikirannya.  Apa yang dilakukan adalah untuk generasi akan datang.  Saya juga berdoa agar pengganti beliau kelak akan berfikiran seperti beliau.

Sepatutnya rakyat Malaysia harus berbangga dengan ketokohan beliau kerana apa yang dibuatnya adalah untuk rakyat dan mungkin juga anak-anak parti pembangkang yang akan menikmatinya apabila mereka besar kelak.  Kita tunggu dan lihat.

Patutkah orang yang hendak melelong bangunan dalam negara sendiri kepada orang luar dan juga yang hendak pisahkan negeri Perlis dari Malaysia dijadikan pemimpin?  Tepuk dada tanya selera.

Sebelum mereka memerintah lebih baik saya mati dahulu kerana tak sanggup melihat Malaysia tergadai.  Semoga rakyat Malaysia berfikir dengan lebih matang memilih kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Dr. Mahathir adalah seorang yang paling cekal menempuh rintangan dan tohmahan.  Beliau juga adalah seorang yang bertanggungjawab dan mempunyai semangat juang yang tinggi.  Tergamak Fadzil Noor menyamakan Dr. Mahathir dengan Firaun.  Menitis air mata saya dibuatnya.

Berkat kecekalan beliau, beliau tidak mudah menyerah kalah dan tidak jemu-jemu ingin memajukan orang Melayu dan Islam ke persada dunia.  Syabas Datuk Seri.  Kami bangga mempunyai PM seperti Datuk Seri Dr. Mahathir.

Sedar atau tidak sekembalinya Datuk Seri daripada menunaikan fardhu haji, ekonomi semakin pulih dan bursa saham telah mencapai ke tahap yang amat memberangsangkan.  Ini adalah kenyataan.  Adakah ini doa Datuk Seri untuk kesejahteraan rakyat Malaysia semasa menunaikan fardhu haji?  Hanya Allah s.w.t. dan Datuk Seri sendiri yang tahu.  Doa yang baik akan dibalas dengan kebaikan juga.  Saya juga lihat air muka Dr. Mahathir sekarang ini semakin berseri dan nampak muda sok mo.  Semoga Allah sejahtera kesihatan Datuk Seri Dr. Mahathir.