Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir berkata bahawa HUKM tidak dapat mengumumkan hasil siasatan mengenai kes keracunan arsenik Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga semua hasil ujian diperoleh dan selepas itu barulah ia boleh dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.
Bagi Dr Khalid, langkah ini adalah untuk mencerminkan integriti HUKM yang tidak mahu didesak untuk mempercepatkan keputusan tentang kes tersebut sehingga semua bukti-bukti diperoleh. Saya mengucapkan syabas kerana Dr Khalid dan HUKM menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menentukan bahawa proses penyiasatan dan keputusannya adalah rahsia hingga ke tangan Mahkamah Tinggi.
Tetapi saya ingin mempertikaikan bagaimana maklumat-maklumat rahsia boleh sampai ke tangan Azizah yang telah mengumumkan bahawa Anwar bebas daripada kesan arsenik sedangkan mengikut Dr Khalid, penyiasatan tersebut masih berjalan.
PENGUMUMAN
Dr Khalid tidak pula menafikan pengumuman Azizah sebaliknya mengeluarkan alasan yang panjang lebar bagi menafikan kritikan-kritikan rakyat dalam media cetak yang mempersoalkan kelambatan HUKM menjalankan penyisatan.
Sebelum ini Dr Khalid juga telah menafikan laporan muka depan dua surat khabar bahasa Malaysia yang Anwar tidak diracun. Sikap memilih bulu dan berdiam diri ini menunjukkan seolah-olah Dr Khalid mengiyakan pengumuman Azizah tetapi menidakkan cerita yang sama dalam surat khabar.
Satu lagi insiden yang nyata ialah pengumuman salah seorang peguam Anwar pada pagi Anwar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi selepas seminggu berada di HUKM. Peguam tersebut berkata bahawa Anwar sudah sihat untuk menghadiri Mahkamah Tinggi tetapi tidak akan ke Sungai Buloh kerana masih perlu rawatan di HUKM.
Bagaiman mungkin peguam tahu tentang hal ini sedangkan hakim hanya membuat keputusan tentang penangguhan kes Anwar pada tengah hari tersebut ?
Rakyat hanya menuntut kebenaran dan keadilan, Namun sikap Dr Khalid setakat ini tidak mencerminkan kedua-dua prinsip tersebut.
SM HONG
Kg Bercham, Ipoh, Perak