BUDAYA berbohong dan memfitnah kini semakin disuburkan oleh parti pembangkang. Seperti menjaga tanam-tanaman, mereka menyemai dan membajai budaya ini di setiap majlis ceramah politik yang dianjurkannya. Fikiran rakyat disogok dan diracuni dengan putar-belit dan pemalsuan fakta sehingga kebenaran diketepikan sama sekali. Risalah, media cetak dan halaman web dalam internet direka cipta sebegitu rupa bagi menonjolkan mereka saja yang baik dan perlu mendapat sokongan rakyat. Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah terbukti berpuluh tahun membawa kejayaan membangunkan negara dan memperbaiki taraf hidup rakyat, ditayangluaskan oleh mereka sebagai tidak lagi relevan.
Mengapa pembohongan dan putar-belit pembangkang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini? Pertama, pembangkang mendapati orang ramai begitu mudah sekali percaya dengan penyebaran fitnah dan pembohongan. Mereka nampak cara itu sangat berkesan sehingga rakyat yang suka kepada keamanan selama ini dapat digelisahkan dan dibimbangkan malah sanggup merusuh. Justeru, mereka mengambil kesempatan untuk mencipta lebih banyak pembohongan dan pemalsuan fakta memburukkan kerajaan. Kedua, pembangkang terpaksa terus melakukannya kerana sudah tiada sebarang fakta yang benar di pihak mereka untuk dijadikan modal politik. Pada masa yang sama segala fitnah itu satu persatu dapat ditangkis kerajaan, malah rakyat sendiri yang berfikiran rasional sedar segalanya palsu dan tidak diterima akal. Lantas, kerana tidak ada jalan lain, pembangkang terdesak mereka-reka banyak lagi pembohongan baru bagi menutup tembelang serta fitnah sebelumnya. Lantas, terbentuk rentetan siri pemalsuan fakta dan pembohongan yang bertali-arus.
Pembangkang sedar pembohongan keterlaluan dalam majlis ceramah terbuka yang diadakan di padang bola, tempat letak kenderaan dan rumah penyokong kuat mereka tidak boleh bertahan lama. Kini mereka menukar strategi menggunakan masjid pula untuk berbohong. Mereka yakin disebabkan masjid rumah Allah yang suci dan mereka kononnya parti yang memperjuangkan Islam dan keadiian, orang ramai mudah dikelirukan. Justeru, semakin banyak masjid dan surau dijadikan pentas memaki-hamun dengan menyebarkan berita dan dakwaan palsu terhadap kerajaan. Sesungguhnya, amat malang bagi umat Islam di negara ini apabila pembangkang sanggup berkata sesuatu yang tidak benar di atas mimbar masjid dan ketika yang sama mereka mendakwa lebih berhak bercakap mengenai agama. Lebih menyakitkan hati umat Islam apabila orang bukan Islam dibenarkan oleh mereka menggunakan masjid memaki-hamun dan mencerca bangsa seagama kita. Bagi Parti Keadilan dan DAP, mereka tidak sensitif perkara ini kerana tidak mendakwa sebagai parti Islam. Tetapi bagaimana pula dengan Pas yang sanggup membiarkan saja perbuatan itu yang jelas mencemarkan kesucian masjid sebagai tempat beribadah. Jelas terbukti Pas sangat bergantung kepada politik kebencian, berbohong, memfitnah. Mereka menyokong apa saja perbuatan parti kuncunya sekalipun masjid disalahgunakan oleh bukan Islam semata-mata mahukan sokongan.
Sesungguhnya budaya pembohongan dan pemalsuan fakta oleh pembangkang ini mesti dimusnahkan segera bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan keamanan negara. Ibarat duri dalam daging, jika dibiarkan ia akan menjadi nanah yang busuk dan penyakit yang sangat membahayakan. Kita percaya atas kepentingan inilah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan Umno akan melancarkan serta-merta kempen besar-besaran memerangi fitnah serta pembohongan parti pembangkang yang semakin menjadi-jadi, agar rakyat tidak terus dikelirukan. Kempen itu akan diadakan dalam pelbagai bentuk termasuk ucapan penjelasan, kursus-kursus serta pengedaran risalah. Umno perlu menggandakan usaha penerangan dengan menggerakkan secara bersepadu semua peringkat pemimpin dan ahli bagi memaksimumkan sokongan rakyat kepada parti. Beberapa isu besar yang perlu dititikberatkan dan diperjelaskan oleh Umno dalam setiap majlis perjumpaan bersama rakyat. Ini termasuk isu hudud dan penerimaan Umno terhadapnya, isu sekularisme, rasional pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu kronisme dan nepotisme, kuasa politik Islam, kerjasama Pas dengan DAP dalam barisan alternatif, pembangunan dan kejayaan Malaysia serta kejayaan Umno dalam program Islamisasi di Malaysia. Dengan cara ini, menjelang pilihan raya rakyat boleh membuat perbandingan jelas antara fakta, kebenaran dan pembohongan.